Cabaran Pasangan Muda

Sebelum tiba bulan Ramadan yang lalu, aturcara saya pada hujung minggu sedikit sibuk dengan tempahan menikahkan pasangan. Bulan Ramadan ni pun ada satu pasangan yang bernikah pada hujung minggu depan! 

Cakap tentang menikahkan pasangan memang banyak peristiwa lucu..antara peristiwa yang tidak dapat saya lupakan ialah pabila menikahkan pasangan warga emas, yang perempuan dalam lingkungan 50 an, manakala yang lelaki pula dalam lingkungan 60an. Tetamu kesemuanya saudara mara terdekat, anak, cucu, adik beradik dan sebagainya..memang meriah abis. Yang lucunya ialah bila saya ingin dapatkan tanda tangan pengantin perempuan, makcik ni pun dengan tersipu2 sebab diusik oleh anak-anak dan adik beradik..mula tanda tangan..nak tahu apa dia sign? Z 

Rupanya dia guna initial nama dia je, tiba2 teringat film ‘Zorro’..watak Zorro juga guna initial yang sama. saya hanya mampu tersenyum je..selamat tak tergelak kan? Kalau tidak abis aku! Kena gantung lesen lah nampaknya…

Lagi satu peristiwa pula membabitkan pasangan yang bernikah semula (bukan rujuk, sebab dah habis iddah), kedua-dua pasangan ni (usia 30 an) pakai baju rumah je, maklum dikelilingi anak-anak dan juga saudara mara terdekat, tiba masa nak nikahkan mereka, pengantin pompuan hilang. Sibuklah sedara mara cari, Jenab..oh Jenab (nama rekaan), mana kau ni? Rupanya Si Jenab ni kat dapur tengah buat air utk tetamu! Ya Allah!.. : ) Terpaksalah dia bergegas ke ruang tamu..mungkin sebab ia hanya sekadar satu ritual untuk menyatukan mereka dan tetamu pula sedara mara..jadilah macam tu. Apapun, syukur mereka disatukan semula dan kembali sebagai pasangan suami isteri. Semoga berkekalan hingga ke sepanjang hayat hendaknya. Amin!

Haai, sebenarnya saya nak cerita lain, keluar lain pulak posting saya ni! Sebenarnya sejak kebelakangan ini saya menerima beberapa tempahan nikah untuk pasangan muda, lebih tepat lagi pasangan berusia belasan tahun. 

Biasanya dalam situasi begini, saya terpaksa modify sikit khutbah nikah yang disampaikan pada pasangan..di mana saya akan selitkan sedikit nasihat buat kedua orang tua mempelai ini agar sama-sama membantu anak-anak mereka dalam mengharungi kehidupan rumahtangga yang penuh dugaan serta cabaran termasuklah bantuan dari segi kewangan. Maklum sahajalah pasangan muda kan? Tak boleh lepas tangan gitu je..

Lepas nikah saya ingatkan lagi ibu bapa mereka, mereka perlu bersedia terima sebarang kekurangan yang ada pada diri anak dan juga menantu, ini kerana pasangan muda perlu masa untuk melakukan adaptasi atau perubahan sebagai suami isteri. Maklum kalau masa kita umur 18 tahun atau 19 tahun  apa yang kita buat? Kalau yang lelaki (tak semua) mesti biasanya nak lepak2 dgn kawan kan? Tapi dah jadi suami, tak boleh lah lepak tiap hari..tu semua perlukan pengorbanan yang tinggi untuk berubah dari pasangan…jadi, ibu bapa perlu beri galakan dan perangsang. Jangan mengomel (sila lihat posting saya yang telah sudah), sebab siapa yang nak suruh kawin awal? Jadi kita sebagai orang dewasa kena bantu pasangan muda ni.. 

Ini tidak termasuk bila pasangan muda ni dapat cahaya mata..kalau suami NS siapa nak jaga? susu pulak siapa nak beli? Jadi tidak boleh tidak kedua ibu bapa dan besan perlu bekerjasama dan berbincang dalam hal ini..inilah yang sering saya kongsi bersama para ibu bapa pasangan muda bila saya diminta berikan ceramah kursus rumahtangga pasangan muda kelolaan Hub Inspirasi di AMP. Maklum, pasangan yang matang bila dilanda badai boleh bergoyang apatah lagi bagi pasangan muda? 

Oleh itu, kedua ibu bapa dan besan perlu bersatu hati dalam hal ini sebagaimana kita bersatu hati izinkan mereka menikah awal, sebab matlamat kita ialah supaya rumahtangga mereka berkekalan hingga ke sepanjang hayat..mungkin sekarang mereka belum biasa, tapi I.allah dengan sokongan, bimbingan kita..akan menjadikan mereka matang dan bertanggungjawab dalam mengharungi suka duka perkahwinan. Ia memang susah..tapi tidak mustahil sebenarnya. 

Semoga usaha kita semua berjaya hendaknya. Amin.

Nawaitu…

Selepas artikel blog Ilham Rasa keluar di BM, terdapat kenaikan yang mendadak semalaman pada laman ini. Hari Ahad biasanya merupakan off peak bagi viewers tapi tidak semalam. Hampir 420 pengunjung melawati laman ini.  Terima kasih BM!

Saya sebenarnya terus terang segan untuk muncul di BM kerana takut dikatakan ingin publisiti selain beranggapan saya masih baru dalam arena ini.. Hanya apabila penulis bersetuju menggandingkan saya dengan beberapa penulis blog mapan seperti Ustaz Haniff, barulah saya bersetuju. Seperkara lagi, lepas difikirkan mendalam..tak kiralah apa pandangan orang yang penting niat kita ikhlas mengharapkan keredhaan Allah.

Cakap pasal niat ni, saya sempat survey daripada beberapa laman blog yang melawati posting saya berkenaan ‘Niat’ dan mendapati perkara berikut:

1. Terdapat salah faham daripada pengunjung yang membaca posting saya ini, bahawa jika kita terlupa niat, puasa tetap sah. Salah faham ini berpunca daripada kefahaman bahawa lafaz ‘Nawaitu Shauma Ghadin…’ merupakan satu niat. Ia sebenarnya tidak. Ia hanya sekadar satu LAFAZ atau BACAAN kecuali kita niatkan dalam HATI.

BACA atau LAFAZ = BUKAN NIAT

Ada baiknya saya jelaskan maksud niat berdasarkan pandangan ulama:
– Ibn Qayyim: Niat ertinya menyengaja dan bermaksud bersungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu dan tempanya di DALAM HATI, dan tidak ada sangkut paut dengan lisan (sebutan).
– Imam Nawawi : Niat ialah keinginan (intent) yang ada DALAM HATI.
Kesimpulannya niat adalah amal seorang mukmin yang terbit dari kehendak, keinginan atau azam melakukan sesuatu.

Suka saya tekan di sini, niat untuk mengerjakan ibadah puasa adalah WAJIB. Hanya ia boleh dicapai dengan kehendak, keinginan (Intent) atau azam untuk berpuasa esok hari.

Cuma masaalahnya, kita faham bahawa lafaz atau bacaan ‘Nawaitu…’ adalah niat. Jadi bila kita tak baca ‘Nawaitu..’ kita faham kita tak niat puasa. Sedangkan sebenarnya kita sudah niat puasa sebab kita sudah punya azam atau keinginan untuk puasa esok hari hari sebagai menunaikan kewajipan puasa bulan Ramadan yang diperintahkan oleh Allah.

Isu ini samalah seperti bacaan lafaz ‘Usolli’ dalam solat, ia bukan niat…ia hanya satu lafaz. Isu lafaz ‘Usolli’ ini mungkin akan saya jelaskan pada posting akan datang.

2. Salah faham bahawa jika tidak sahur, tak boleh puasa.  Saya tidak pasti berapa ramai masyarakat Islam kita yang beranggapan sedemikian. Ia hanya dapat dipastikan melalui survey. Tetapi yang pastinya memang ada yang faham puasa perlu sahur dan jika tidak sahur, tidak boleh puasa.

Sebenarnya, sahur hanyalah satu galakan daripada Rasulullah kepada sesiapa yang berpuasa. Ia tidak WAJIB. Tetapi sangat baik dilakukan dan mendapat keberkatan bagi sesiapa yang sahur. Ia memberi kita kekuatan fizikal bagi mengharungi puasa, juga mendidik kita untuk untuk bangun awal bagi melakukan solat malam dan seterusnya mengerjakan solat Subuh, selain dari itu waktu sahur juga merupakan waktu yang baik untuk kita berdoa.

3. Perlu kajian lanjut bagi kefahaman masyarakat Islam Singapura dalan ibadah puasa. Juga kempen bagi menangani perkara ini sebagai satu public education pada masyarakat.

Alhamdulillah, satu inisiatif kempen solat telah pun dilakukan oleh Pergas. Saya sendiri terlibat dalam menasihati komiti bagi kempen ini, memandangkan ianya bersesuaian dengan kajian sarjana saya.  I.Allah, satu forum khas bertajuk, Tiada Solat, Amalan Ditolak? akan diadakan di Masjid Kassim pada 20 September ini pada jam 2.00 petang.

4. Isu niat yang saya jelaskan dalam posting ini, bukan merupakan satu perkara baru. Ia sudah disebutkan oleh ulama terdahulu. Namun terdapat kesilapan dari segi pengajaran berkaitan perkara ini yang perlu diperbaiki.

Saya berharap agar asatizah yang terlibat dalam pengajaran solat atau puasa di madrasah separuh masa atau mengajar di kuliah2 serta di kelas remaja dan dewasa  dapat memberikan perhatian serius pada perkara ini. Bagi sesiapa yang ingin penjelasan lanjut perkara ini boleh email saya di abah.yasir@gmail.com atau hubungi saya di pejabat (Masjid Al-Falah).

Selamat Berpuasa dan jangan lupa NIAT!

Eksklusif: Lanjutan Kepada Artikel BM

Pengalaman bekerjasama dengan para asatizah tempatan untuk menghasilkan laporan eksklusif untuk Berita Minggu (BM) hari ini merupakan satu pengalaman yang istimewa yang tidak dapat aku lupakan. Maklum sajalah, bukan mudah untuk mencari “sumber” untuk menguatkan lagi rencana yang harus aku hantar kepada akak Hanim Mohd Salleh. Dateline semakin hampir (laporan dijangka disiarkan pada bulan Ramadan sewaktu mula-mula mendapat go ahead dari BM beberapa bulan sebelum ini), jadi aku terpaksa perah otak untuk mulakan tanggungjawab yang diberikan.

Alhamdulillah. Aku mendapat kerjasama yang baik dari para asatizah kita — Ustaz Mohd Yusri Yubhi, Ustaz Muhd Haniff dan Ustaz Saifurrahman. Soalan-soalan untuk mewawancara mereka mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan. Rasanya macam nak interviu mereka untuk rancangan Forum @ TV Suria pulak. Padahal untuk laporan akhbar. Soalan panjang sejengkal. Aku rasa Menteri Mentor Lee Kuan Yew pun tak sanggup nak jawab soalan yang aku kemukakan. Hehe.

 

Bagaimanapun, oleh kerana keterbatasan ruang di akhbar, maka tidak semua soalan yang aku ajukan kepada para asatizah jemputanku disiarkan untuk dijadikan laporan lengkap. Kalau disiarkan sepenuhnya, aku rasa, editor BM tak sanggup nak bayar duit penat aku. Itu belum termasuk duit kopi dan wang saguhati yang sewaktu dengannya. Haha. Lantas, untuk entry kali ini, aku akan siarkan beberapa soal-jawab aku bersama para asatizah jemputan di mana ada di antaranya tidak dapat disertakan dalam laporan BM itu.

Mudah-mudahan kita dapat mengetahui dengan lebih lanjut lagi, apa yang ingin disampaikan oleh para asatizah kita tentang blog-blog yang mereka hasilkan itu. Untuk pengetahuan anda, jawapan mereka yang disiarkan telah disunting untuk penyesuaian blog ini. Teruskan membaca.

<> <> <> <> <> <> <>

 Aku: Adakah perlu bagi bloggers Melayu/Islam menyelitkan unsur-unsur agama dalam blog mereka? Pandangan ustaz…

 Ust Haniff: Ya, perlu. Ini kerana menyampaikan pesanan agama adalah tanggungjawab setiap Muslim. Cuma, sesiapa yang ingin menyelitkan unsur agama hendaklah memastikan kandungannya itu betul. Jika dia tidak mampu untuk mengolah sendiri, dapatkanlah dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Ust Saifurrahman: Menyelitkan unsur-unsur agama tidak menjadi isu bagi saya. Jika seseorang itu benar-benar faham akan konsep Islam itu agama fitrah dan unggul, maka apa yang disampaikan itu adalah dari sudut agama Islam itu sendiri. Itulah yang cuba yang selitkan pada setiap entry saya. Apa yang penting, ia tidak terlalu too religious hingga membuatkan orang yang membacanya rasa turned off.

Aku: Siapakah yang telah menjadi sumber inspirasi Ustaz dalam penghasilan blog Ustaz sekarang?

Ust Yusri: Saya mendapat inspirasi daripada blog Ustaz Muhd Haniff. Selain itu, saya tersentak dengan dengan pandangan beliau bahawa asatizah banyak buat blog tetapi lebih kepada blog peribadi. Saya rasa kenapa tidak saya kongsi pengalaman kerja saya (yang sering berdamping dengan ibu bapa serta remaja selain dari pasangan suami-isteri serta orang dewasa di masjid ataupun di badan-badan Islam tertentu)? Maka dari situ terhasillah blog yang dinamakan Ilham Rasa.

 Ust Haniff: Err… no one really inspired me.

 Ust Saifurrahman: Tiada sesiapa. Saya melibatkan diri dalam blog kerana ia, pada pendapat saya, adalah keperluan semasa berdakwah.

Aku: Sebagai seorang Ustaz, adakah satu kemestian kandungan blog Ustaz hanya tertumpu kepada konsep dan nilai agama sahaja, dan tidak pada konsep universal ataupun kepelbagaian?

Ust Yusri: Ia bukan satu kemestian. Saya lebih suka menyampaikan nilai agama melalui penulisan yang santai dan ada sedikit humor bagi menarik minat pembaca dan secara tidak langsung, mereka dapat mengutip pengetahuan yang baru dan dapat mereka praktikkan dalam kehidupan seharian.

Ust Haniff: Sama ada seorang ustaz ingin memberi fokus pada unsur universal atau agama, ini adalah soal pendekatan masing-masing. Ia bergantung pada faktor sasaran dan personaliti ustaz itu sendiri. Di dalam Islam terdapat banyak ajaran yang boleh dipakejkan sebagai sesuatu yang universal, sebagaimana juga ia mengandungi ajaran-ajaran yang unik.

 Ust Saifurrahman: Tidak semestinya. Kehidupan ada kepelbagaian. Dan Islam merangkumi segala aspek kehidupan. Konsep universal adalah cara peribadi saya kerana tasawwur saya begitu. Dan saya rasa ramai yang begitu jika dilihat berdasarkan jumlah pengunjung ke blog saya.

 

Aku: Bak kata pepatah Melayu, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Apakah pandangan Ustaz mengenai blog yang mengandungi unsur-unsur lucah yang boleh mencemarkan etika penghasilan blog, dan bagaimana kita boleh mengekang keadaan ini dan mengembalikan keyakinan para pengunjung untuk menghasilkan blog?

Ust Saifurrahman: Sebuah blog yang tercemar tidak boleh mencemarkan blog yang lain – itu keistimewaan blog. Ada banyak blog yang berlainan approach, content, views, perspectives, etc… so there is a treasure of information. Be consistent with the quality of your blog dengan unsur-unsur kebaikan manusia sejagat.

 Aku: Apa yang Ustaz harapkan setelah memiliki blog sendiri?

Ust Haniff: Saya harap kalau ada yang dapat kehadapan secara sukarela dan menjadi penaja yang budiman untuk membantu saya membangunkan web peribadi saya yang menggabungkan segala bahan-bahan yang saya hasilkan setakat ini.

Ust Saifurrahman: InsyaAllah, blog saya akan terus berkembang, dan mudah-mudahan dapat menarik lebih ramai pengunjung, sambil dapat memikirkan bersama apa yang telah saya persembahkan dalam blog saya itu.

Perkongsian Disertasi: Pengamalan Niat

Sebelum masuk bulan Ramadan tempohari, saya ditanya oleh seorang muallaf berbangsa India. Beliau bertanyakan saya dalam bahasa Inggeris, bagaimana hendak niat puasa? Saya beritahu padanya, ‘we can start the niat at night after Maghrib, buat actually if you had the intention to fasting tomorrow because of Ramadan, it already consider as niyyat’ Gembira dia, dia jawab ‘that’s the best advice I eved had (about niat)’ Alhamdulillah. 

Agama itu sebenarnya mudah, Nabi kata ‘ Ad-Diin Yusron’ ertinya, Agama (Islam) itu mudah. Tapi kita yang menyusahkan sendiri, kita diajar dari kecil perlu baca lafaz ‘Nawaitu Shauma Ghadin….’ kalau tak baca lafaz niat tu, tak sah puasa! Sampai ada yang buat alasan tak puasa sebab tak niat! Sebenarnya tidak sebegitu dalam ajaran Islam. Bila kita berhajat untuk puasa esok hari kerana sudah masuk bulan Ramadan, dan pastinya puasa kita pula kerana Allah..maka itu sudah dikira niat namanya. Niat kan tempatnya dalam hati? Adapun baca lafaz niat itu tiada bersalahan..ia lebih menguatkan lagi apa yang sudah kita niatkan. 

Sama juga bila kita nak mandi wajib sebab berjunub atau uzur bagi wanita. Bila kita tahu kita berhadas besar dan ingin mandi untuk bersihkan dari hadas besar, tu sudah niatlah..takkan nak baca lafaz niat dalam bilik air! ‘Sahaja aku mandi hadas besar kerana Allah..’

Sebenarnya perkara ini ada saya sentuh dalam disertasi (thesis) sarjana saya semasa membicakan tentang pengamalan solat, saya mendapati melalui kajian soal selidik (questionnaire) yang diedarkan kepada lebih 240 responden. 10.3% daripadanya tidak menjatuhkan niat dalam hati ketika ingin mendirikan solat! Sah ke tu? Kenapa jadi begitu? Sebabnya mereka melafazkan di bibir sahaja. Bahayakan? Saya hanya bersangka baik mereka mempunyai niat sebenarnya jauh di sudut hati mereka dan solat mereka diterima Allah hendaknya. 

Saya membuat kesimpulan ianya berpunca daripada teks buku2 solat terdahulu yang digunakan oleh masyarakat Islam Singapura menitik beratkan tentang amalan lafaz niat tanpa dijelaskan niat sebenarnya perlu dijatuhkan dalam hati. Ini ditambah pula tiada penekanan daripada asatizah sendiri.

Bagi mengatasi perkara ini saya ada mencadangkan beberapa perkara, antaranya:

1. Disemak dan disunting buku2 teks sedia ada berkaitan pengamalan solat.
2. Diterbitkan buku teks Feqh terkini dengan pengubahsuian berdasarkan sifat solat Rasulullah yang sebenarnya.  
3. Asatizah yang mengajarkan pelajaran Feqh perlu merujuk daripada kitab asal tradisional Feqh atau kitab2 Hadith yang asal. 

I.Allah, di lain masa saya akan berkongsi tentang topik lain pula daripada disertasi saya.

Hari Tua

Gembira saya malam ni, bila balik rumah anak-anak masih belum tidur. Maklumlah, biasanya bila saya pulang kedua-duanya dah nyenyak tidur. 

Bila dah solat dan iftar. Saya bersandar dan baring untuk rehat sekejap. Sebentar kemudian, kedua anak himpit duduk sebelah..mula2 kakak lepas tu adik. Mulalah, si kakak story pasal cerita cartoon kegemaran dia, mula dengan Teen Titan, Ben 10, Power Puff Girl, Naruto, Road Runner, Tom Jerry etc..non stop. Terpaksa layan..hmmph, makinlah seronok dia cerita. Oleh kerana selalu sangat cerita, saya sampai hafal watak2 utama kartun ni. Si kakak terkejut saya tahu cerita pasal Road Runner..haha..zaman abah dah ada dah benda ni semua.. : ) 

Beginilah..bila dah ada anak..tapi saya seronok, walaupun penat layan karenah dorang..kadang2 boleh meletup jugak..geram. Tiba2 berkata hati saya, anak2 abah ni boleh jaga abah dengan mama tak masa tua nanti? 

Teringat saya semasa perjalanan pulang ke rumah tadi, sempat saya singgah ke Mcdonald’s di Tampines Bus interchange, saya beli 1 french fries..sebab masa tu dah masuk waktu berbuka. Tiba-tiba ada seorang makcik, beliau kelihatan tidak berapa terurus (dalam lingkungan umur 50an) tegur saya..’Nak, makcik belum buka..boleh belikan makcik nugget dengan Ice lemon tea! Alamak biar betul makcik ni, tak agak2 menu kiriman dia tu..saya jawab ok. Kemudia dia bersuara lagi..’nak, makcik nak Chicken wing..’ saya tanya makcik taknak nugget? Dia jawab ‘Nak juga, dua-dua nak’. Kuatnya makcik ni makan kata hati saya..mula2, saya ingat dia nak suruh belanja..rupanya dia nak kirim. Tapi di tangan dia ada $5 shj. Takpelah..tak tergamak pulak nak amik duit makcik ni.    

Balik je rumah masa buka dengan isteri saya, saya share cerita ni, dia kata..makcik2 ni mungkin suka jalan2, sebab tak selesa duduk rumah anak. Dorang lebih suka jalan2 daripada duduk rumah, jadi balik je dah malam, kalau di rumah kena marah dan meleter, banyak kes sekarang macam tu..luah isteri saya. Dia kemudian share satu cerita di BH baru2 ni, seorang nenek kena jaga cucu, masak untuk menantu..tapi selalu kena marah dan diherdik, pernah kalau dia gunakan sudu, sudu tu akan dibuang..sebab menantu jijik dengan bekas mertuanya. Teruk kan?

Kes begini kadang2 terjadi bila si suami sbg anak tidak tunjukkan kepimpinan dalam keluarga. Ibu bapa boleh jaga anak..anak cacat dijaga ibu bapa satu perkara biasa. Tapi kes-kes seperti ibu bapa tidak dihirau anak juga satu perkara biasa..anak-anak tolak menolak bila disuruh jaga ibu bapa. Mengira semuanya..kalau satu tak beralah..siapa nak jaga? Perkara sebegini berlaku biasanya bila mak bapa dah jual rumah dan bagikan wang jual rumah pada anak menantu. Mak bapa terpaksa menumpang.. 

Sebab tu penting bagi kita untuk fikirkan persaraan, pastikan simpanan atau insuran mencukupi, ini penting agar kita tak susahkan anak2 kita. Jangan harapkan sangat, ah nanti aku dah tua anak2 aku boleh bagi aku duit..belum tentu..kita tak tahu bagaimana nasib anak2 kita. Tapi jika kita dapat yang membalas budi dan beri sumbangan pada kita tiap bulan,..Alhamdulillah..itu satu bonus. 

Saya sangat percaya, segalanya bermula dari kita sendiri. Kita yang menjadi contoh kepada anak-anak. Cara kita layan isteri atau suami, cara kita layan ibu bapa kita yang sudah tua. Kesemuanya diperhatikan anak-anak kita. 

Cabaran terbesar kita ialah menjaga orang tua apabila mereka sudah tidak berdaya lagi..ada satu hadith menyebutkan yang maksudnya, pahala paling besar dan paling dekat dengan pengorbanan yang dibuat oleh si ibu atau bapa ketika menjaga kita semasa kecil ialah apabila kita menjaga ibu bapa kita yang sudah tidak berdaya lagi..orang tua yang sudah tidak mampu istinjak sendiri, mandi dan sebagainya..itupun belum sama dan terbalas jasa dan pengorbanan ibu bapa kita…persoalannya..mampukah kita buat begitu? Mudahan kita mampu dan dapat menjadi anak yang soleh dan solehah..

Persoalan saya masih belum terjawab..anak2 pun masih kecil. Semoga hari tua saya nanti, saya dan isteri tidak meminta dan menyusahkan orang lain. Bagi memastikan ianya satu realiti,  saya telahpun merancang plan persaraan saya dan isteri 2 tahun yang lalu..dan berharap pada usia pencen saya..saya sudah tidak sibuk bekerja lagi macam sekarang..tapi mudah-mudah an tetap mampu beri sumbangan pada masyarakat dalam kapasiti termampu saya. I.Allah.

Dulu Lain, Sekarang Lain…

Peringatan! Posting kali ini banyak flashback dan kenangan nostalgia…

Semalam sepatutnya giliran saya menjadi Imam Terawih bagi pembukaan malam pertama Ramadan, tetapi akhirnya saya terpaksa jadi makmum terhormat kerana ada Imam jemputan dari Mesir yang dibawa oleh Masjid Ba’ ‘Alwie pada saat2 akhir. Chairman kata, Ustaz relax sudahlah malam ni..Alhamdulillah!. Teruk eh? : )

Apa yang ingin saya ceritakan kali ini ialah ketika saya solat witir di belakang, bersebelahan saya kawan bawah blok saya semasa kecil dulu (ketika umur lingkungan 9-15 tahun). Masa kecik2 pernah satu ketika dia digelar ‘anak bulan’ sebab berfesyenkan skinhead.

Hai, tiba2 teringat pula saya kenangan kita dulu masa bulan Ramadan. Saya ceritakan dengan dia..dia pun masih ingat..kita tergelak..apa taknya. Bayangkan orang solat terawih banyak rakaat, kita solat terawih bawah kolong blok (masa tu Ghufran belum dibina) 2 rakaat jer lepas tu terus cabut! Kain pelikat dicabut, tinggallah seluar short (disclaimer: masa tu belum baligh) kita main bola sampai pukul 10pm..kadang2 main sembunyi2. Undang2 nya, boleh sembunyi sampai tingkat 14! Ya Allah..Lengitlah siapa yang kena cari tu..Nakal kan kita?

Bayangkan, gang2 saya ni masa umur 10 tahun kita dah ramai2 pergi Stadium tengok Malaysia Cup..kalau gol jer..keropok..pap pup pap pup..dalam gang saya tu, saya sorang budak Madrasah..yang lain sekolah nasional.

Masa membesar, dengarnya ada yang kena masuk dalam, ada juga yang masuk poly, masuk U pun ada juga, yang jadi rappers pun ada juga (pernah masuk talentime), yang tak masuk apa2 pun ada juga : ) .

Tapi sejak saya kerja di Al-Falah, saya jumpa hampir 10 orang teman2 saya ni yang dulu nakal macam nak aper..saya sungguh gembira dengan perubahan teman2, termasuklah kawan saya ni..beliau pandu teksi sekarang.

Saya bersyukur sebab mereka tak segan berbual dengan saya, tapi ada juga yang segan. Mereka panggil saya Ustaz, saya cakap tak payahlah, panggil Yus jer, kita kan members. Sampai sekarang saya tak kisah, kalau ada jemaah panggil atau kenalan baru yang panggil saya dengan nama Yusri. Bukan apa, tak panggil Ustaz pun, kita tetap Ustaz kan..

Teringat cerita pasa zaman Nabi, masa baginda nak meterai pernjanjian Hudaibiyyah. Utusan Musyrikin Quraish tidak ingin gunakan nama baginda disertai dengan tulisan ’Rasulullah’. Para sahabat membantah. Baginda cool je. Beliau bersabda antara maksudnya: ’ Kalau tidak ditulis Rasulullah pun, aku tetap seorang Rasul!’

Kembali kepada kisah saya bersama-sama teman lama saya tu, pengajarannya…kita tidak boleh memandang rendah pada seseorang. Walaupun bila kita ternampak seorang yang fasik, banyak buat dosa , minum arak dan sebagainya, kita tidak boleh kutuk mereka sebenarnya..apa yang perlu kita lakukan ialah doakan mereka diberi hidayah dan cegahlah kemungkaran dengan sedaya yang kita ada walaupun dengan hati (rasa benci pada perbuatan mereka bukan orangnya)

Kita juga tidak boleh mendabik dada jika kita baik, pandai atau alim dan banyak buat ibadah. Kita tak pasti penghujung hayat kita bagaimana? Masih baik ke atau jahat.

Berapa ramai kita lihat artis atau penghibur yang dulu-dulu terkinja-kinja, tetapi lepas tu jadi pendakwah atau terus hilangkan diri dari dunia hiburan. Kita lihat sahaja Yusuf Islam dan yang paling dekat dalam dunia melayu ialah saudara Azmil Mustapha.

Semoga Allah kekalkan kita menjadi orang yang beriman sehingga hari Kiamat dan tergolong di kalangan orang-orang yang bakal mendapat syafaat pada hari akhirat kelak. Begitu juga dengan saudara-saudara seislam kita yang masih leka, semoga Allah campakkan Nur di dada dan hati mereka seterusnya disinari hidayah dan menjadi seorang mukmin yang hakiki.

Ramadan Oh Ramadan…

Esok malam umat Islam di seluruh Singapura akan mula bertarawih sebagai menandakan ketibaan bulan Ramadan mubarak.

Sebagai meraikan ketibaan Ramadan, ingin saya berkongsi kepada sekalian pengunjung laman blog perkara-perkara yang boleh kita lakukan dalam menyambut ketibaan bulan yang penuh berkah ini. Sebenarnya apa yang ingin saya kongsi bersama ini, telah saya sampaikan semasa dijemput untuk memberikan ceramah ‘motivasi’ kepada petugas dan tenaga kerja Yayasan Mendaki baru-baru ini.

Sebagai peringatan untuk diri saya dan juga yang lain, saya kongsi bersama kandungan ceramah saya tempohari:

1. Sebelum kita melangkah lebih jauh, cuba tanya diri kita soalan berikut:
– Bagaimana prestasi Ramadan kita pada tahun lalu? Jika scale 1-10 rating anda dengan 10 sebagai cemerlang. Berapa rating anda?
– Sudahkan anda selesai mengqadha puasa anda? Hmmph, jika wanita..kurang2 ada 7 hari puasa yang perlu diqadha atas sebab uzur. Ini tidak termasuk mereka yang hamil..Anda bagaimana? Oopss, kalau lelaki tak perlu jawab yer!

2. Apakah erti Ramadan pada diri anda? Adakah Ramadan di sisi anda sebagai:
– Bulan berpuasa
– Bulan beramal
– Bulan kesabaran
– Bulan pengampunan

Atau
– Bulan buat kueh?
– Bulan shopping?

Tak salah sebenarnya nak buat kueh atau shopping..asal sahaja jangan kita lupa untuk beribadah, sebagai contoh..suri rumah yang sibuk buat kueh tetap boleh lakukan solat Terawih bersendirian di rumah. Ini termasuklah bila tiba Eid Fitri, ibu2 kakak2 sibuk dengan jamuan dan juadah raya, tak sempat pergi masjid solat sunnah Eid..kita masih boleh solat di rumah 2 rakaat. Solat Jumaat je perlu wajib ada khutbah..solat raya tak mengapa cik kak oii.. : )

3. Apakah erti puasa? Tidak makan dan minum sahaja ke?
– Bagaimana menjadikan puasa kita berkualiti? (Lihat perkara no 5)

4. Tingkatan Puasa. Ada pelbagai tingkatan atau martabat puasa sebenarnya..Menurut Imam Ghzali ada 3 tingkatan:

– Puasa Umum
Puasa zahir sahaja. Puasa dengan menahan diri dari makan, minum dan jimak.
– Puasa Khusus
Puasa seluruh anggota. Yakni, jaga anggota badan kita seperti mata, kaki, tangan dan sebagainya daripada melakukan perkara yang dilarang Allah.
– Puasa Khususul-Khusus
Puasa seluruh anggota + Hati – Dunia.
Ini yang paling tinggi…Selain jaga anggota, kita juga perlu jaga hati kita dan elakkan daripada ingatkan perkara2 yang bersangkutan dengan dunia yang boleh melalaikan diri kita dari Allah.

5. Puasa berkualiti:
– Memelihara mata atau pandangan.
Hmmph, ni biasa untuk orang lelaki lah..tapi sekarang pompuan pun boleh tahan juga..tak boleh tengok lelaki hensem.. ; )

– Memelihara lidah.
Bagi mereka yang kerja di ofis atau suri rumah bila sembang2 tu jaga2 yer..tapi sekarang pakcik atau abang2 pun kadang kalah pompuan..mulut laser..ngumpat orang lagi. Ouch..

– Memelihara pendengaran.
Bukan kata mengumpat tak boleh..dengar orang mengumpat pun tak boleh cik abang/cik kak oii!

– Menahan perut dari makanan yang syubhah atau haram.
Ini kena jaga, jangan sia-siakan puasa kita..pastikan gerai yang kita jamu ada sijil halal Muis!

– Elakkan buka dengan makan terlalu banyak
.
Jangan lupa matlamat utama kita puasa..iaitu untuk kurangkan shahwat..kalau puasa lepas tu buka maut punya! Hmph..sia2lah..tak bernafas nanti..bukan kata nak solat Terawih berat..Maghrib pun tak boleh angkat beb!

– Hendaklah hati merasa bimbang dan berharap
Maknanya sesudah kita berpuasa, kita patut merasa bimbang..takut2 puasa kita tidak diterima Allah. Dengan itu kita perlu sentiasa berharap agar Allah menerima puasa kita dan diberikan ganjaran.

6. Ganjaran puasa. (Rujuk slide)

7. Ibadah lain yang boleh dilakukan. Selain dari berpuasa, banyak amal ibadah yang boleh kita lakukan seperti:

– Amal Ibadah ritual

~ Membaca dan menghayati (tadabbur) Al-Quran.
Ini boleh dilakukan dengan bertilawah (baca biasa) atau bertadarus (baca berdua atau lebih dengan seorang baca, yang lain mendengar dan mneyemak bacaan teman). Pastikan kita bukan setakat membaca tetapi menghayati apa yang dibaca. Ini dapat dilakukan dengan melihat terjemahan. Jangan sibuk nak khatamkan hingga tidak sempat kita bertadabbur isi kandungan Quran. Namun, jika dapat khatamkan sekali maka itu dianggap sebagai satu bonus!

~ Beristighfar.
Minta ampun pada Allah, jangan tak minta! Nabi Muhammad satu hari 70-100x beristighfar pada Allah..Kita?

~ Bersedekah.
Ambil kesempatan banyakkan sedekah..

~ Melakukan solat sunnah.
Antaranya solat sunnah malam. Menurut ulama, selepas solat ba’diyyah Maghrib sudah dikira menghidupkan malam atau Qiyamullail. Maknanya jika kita jenis ngantuk awal atau perlu kerja malam hingga pagi..kita dah boleh mulakan amal ibadah spt baca Quran selepas Maghrib.

Begitu juga dengan solat malam..jika dah witir, tidur..bangun semula boleh tahajjud. Kalau tak tidur sampai pagi? Solat apa? Kalau belum witir, niat witir. Kalau sudah witir tapi tak tidur? Niatlah solat malam..Sebenarnya semua tu dikira solat malam. Cuma nama sahaja berbeza2 bergantung kepada keadaan kita.

Nama tahajjud diambil sempena sebutan ayat dalam Quran bagi orang yang bangun malam utk solat.

– Ibadah bukan ritual. Amalan bukan hanya dengan solat je, banyak perkara boleh kita lakukan untuk dapatkan ganjaran Allah, antaranya:

~ Melakukan kerja pejabat dengan tekun.
Hakikatnya, sepatutnya begitulah..lebih2 lagi bagi kita yang bekerja dengan majikan yang bukan Islam, jangan biarkan puasa melemahkan kita..atas sebab itu, sahur lah, janga tak sahur.

~ Mengulangkaji pelajaran sekolah
Bagi pelajar pun sama..belajar jangan tak belajar..Nabi Muhammad dan sahabat boleh perang masa Ramadan..kita takkan baca buku pun lembik?

~ Tolong menolong antara suami isteri.
Ini pun dapat pahala…yang penting ialah niat kita untuk kebaikan dan kesejahteraan rumahtangga dan mengharapkan keredaan Allah..Ni termasuklah tolong isteri buat kueh tat malam2..dapat pahala jugak tu..

~ Melakukan ihsan antara ibu bapa
Ini jangan dilupakan..bagi yang dah kahwin tu, singgahlah seminggu sekali paling kurang..iftar sama2 dgn mak bapak. Bila mak bapak kita gembira..tu dah dikira ihsan. Dapat pahala tau!

~ Berkongsi juadah dengan jiran
Bila masak tu share lah dengan jiran..mana tahu kita hantar nasi goreng dapat satay 20 cucuk!

~ Melakukan kerja kemasyarakatan.
Tolong orang susah, buang paku di tepi jalan, angkat sampah dalam lift..semua tu pahala tau!

8. Jangan lupa bersolat!
Ramai orang, puasa sebulan. No problem. Tapi solat 5 waktu terlepas..Macam mana tu?

Kita sibuk ajar anak puasa, bagus..bukan tak bagus..Bila anak kecil puasa sebulan kita bangga. Tapi ada tak mereka lakukan solat 5? Pada saya, solat 5 waktu lebih patut diutamakan dari segalanya. Kenapa solat penting?

– Solat adalah wajib
– Solat ibadah pertama sekali yang dihisab, maknanya jika solat tak pass, ibadah yang lain tak akan dikira langsung..dengan erti kata lain..
– tanpa Solat, ibadah yang lain akan menjadi sia-sia, termasuklah ibadah puasa kita!
– Solat perlu dilakukan dalam apa jua keadaan. Maknanya sakit demam, pening, kaki patah sebab accident etc. Kita tetap kena solat dan tak boleh qadha..kalau puasa, jika kita sakit kita dikecualikan Allah dari berpuasa, tapi solat tidak. Malahan dalam perang pun wajib solat dengan cara yang tertentu.

Akhir kata, semoga puasa kita nanti diterima Allah hendaknya dan Ramadan kali ini lebih baik dari Ramadan tahun lalu. Amin!

Ibu

Seperti biasa hari Rabu, masa saya sebelah petang dikhususkan bagi sesi kaunseling. Petang semalam saya mempunyai satu klien dengan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang hadir bersama dengan bapanya.

Seperti biasa kalau remaja lelaki yang menjadi klien saya, biasanya ia melibatkan isu-isu seperti merokok, isu persekolahan atau juga pulang lewat. Saya difahamkan akibat daripada beliau, kadangkala jadi pertengkaran antara ibu bapa! Kesian kan?

Pada posting kali ini saya tidak ingin sentuh tentang perkara-perkara ini. Tetapi tentang perang dingin remaja ini dengan ibunya…Hai! Dengan ibu pun boleh perang dingin? Macam mana boleh jadi gini ni? Tapi fikir2, saya dulu pun kadang2 pernah ada rasa kecil hati dengan ibu. Teruk kan? Sehinggalah pada satu hari (masa tu saya belum bernikah lagi) saya pernah ceritakan problem saya dengan seorang sahabat (seorang Ustaz juga), beliau nasihatkan saya.. ‘ Yusri, dengan ibu tak boleh ada rasa kecil hati atau marah.., macam mana silap dia pun, dia ibu kita..’ Cukup mendalam dan terkesan saya dengan kata2 beliau ini. Sehingga hari ni saya masih ingat dan kata2 azimat ini. Kata2 ini pula menjadi satu nasihat dari dari saya bila berdepan dengan teman2 atau remaja yang punyai perselisihan dengan ibu bapa mereka.

Kembali pada klien saya tadi tu, apa yang membuatkan ibu beliau kecil hati ialah sebab dia pernah beritahu ibunya (ketika sedang marah) ‘ You’re not my mom!’ Wah wah wah…patut ibu yang cakap. ‘ You’re not my son! Ini anak pulak!!! Terbalik betul…Selamatlah si Ibu tak sumpah yang bukan2! Hmmph, kalau tak….

Akibat kata-kata beliau ini, ibu beliau kecil hati dan tak bertegur sapa sehingga hari ini, keadaan ini dah berlanjutan sehingga 2 bulan lamanya…

Saya jelaskan pada budak ini, apa yang beliau lakukan telah mengguris hati dan perasaan ibu..saya jelaskan padanya betapa hancur hati ibu bila beliau lafazkan kekata tersebut. Bayangkan ibu mengandung 9 bulan, ke hulu ke hilir dengan perut yang membesar, nak baring pun susah..tak boleh golek sembarangan. Nak bersalin, jangan cakaplah..Masya Allah sakitnya, Allah sahaja yang tahu..Bila dah lahir, ditatang, dijaga dengan penuh kasih sayang. Kita ni pulak, bila masih baby..lapar menangis, haus menangis, berak menangis..sakit pun nangis..nak tidur pun nangis jugak!!! Siapa yang layankan kita semua tu kalau tak ibu kita? (kadang2 bapa). Saya bila part ni, kalau kaunseling dengan remaja cerita pasal pengorbanan ibu bapa, boleh jadi sebak..mata boleh berair..tapi tak nangislah..kalau tak control memang boleh menitis..sekarang ni pun tgh emo…

Entahlah, dah jadi bapak ni, lagilah kita nampak pengorbanan isteri kita yang juga berperanan sebagai ibu..pengorbanan masa mereka mengandung, bersalin..kita lihat sendiri baru kita mengerti..

Saya harap remaja tersebut faham dan masuk ke dalam minda beliau apa yang kita bincangkan tadi..saya cabar beliau untuk guna sebaik mungkin Ramadan yang bakal menjelang ini untuk perbaiki segala perkara yang menjadi kemarahan ibunya..Mudah-mudahan Eidil Fitri pada tahun ini menjadi satu titik tolak perubahan sikap yang berkekalan, seterusnya melembutkan hati ibu untuk mengampunkan segala dosanya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Perkongsian Disertasi: Sejarah Agama Islam Berkembang Di S’pura

Dalam posting terdahulu ada disebutkan yang saya baru menyelesaikan pengajian sarjana saya daripada Akademi Pengajian Islam, UM. Tajuk disertasi atau tesis saya ialah: Kefahaman Dan Pengamalan Solat Berdasarkan Sunnah Rasulullah S.A.W: Satu Kajian Di Kalangan Masyarakat Islam Singapura.

Kajian ini menyelidiki bagaimana kefahaman dan pengamalan solat berdasarkan sunnah Rasulullah dan kemudian mengkaji sejauh mana pula kefahaman dan cara pengamalan solat Masyarakat Islam kita di Singapura menepati dengan apa yang dikehendaki daripada sunnah.

Saya sebenarnya bercadang berkongsi kajian saya ini di Berita Harian dan juga melalui penulisan buku dan diharapkan dapat memanfaatkan masyarakat. Sebagai permulaan saya akan berkongsi melalui wadah media baru topik-topik terpilih daripada tesis saya ini bila saya mempunyai masa. Bagi posting di blog ini saya terpaksa melakukan pengubahsuaian sedikit, ada masanya saya hanya akan mengambil satu tajuk dan lakukan pengubahsuaian sedikit, dan mungkin pada masa yang lain pula saya akan sampaikan dengan cara bercerita.

Saya mulakan dengan satu tajuk kecil berjudul: ‘Sejarah Agama Islam Berkembang Di Singapura’ daripada bab ketiga tesis saya yang bertajuk: Latar Belakang Negara Singapura Dan Masyarakat Islam Singapura.

Sejarah Agama Islam Berkembang Di Singapura

Rekod tentang Islam dan mereka yang beragama Islam pada awal hari di Singapura adalah sukar didapati, walaupun Islam sendiri sudah tersebar luas di rantau Asia Tenggara pada awal kurun 13, di mana peniaga dan juga pendakwah sufi daripada Hadramaut, Yaman memainkan peranan penting dalam menyebarkan Islam melalui perniagaan dan perkahwinan.

Mengikut rekod sejarah, Ernest C.T Chew dalam buku beliau A History Of Singapore, Singapura pada abad ke 14 sebelumnya dipengaruhi oleh budaya Hindu dan Buddha. Namun ketika Sir Stamford Raffles tiba pada tahun 1819, penduduk Singapura yang terdiri daripada orang Melayu sudahpun berada di Singapura, mereka terdiri daripada golongan bangsawan yang diketuai oleh Temenggung Abdul Rahman dan para pegawai Istana serta pengikutnya yang memang sudahpun beragama Islam.

Malah hartanah kepunyaan Temenggung masih kekal sehingga ke hari ini seperti di Masjid Telok Blangah atau lebih dikenali sekarang ini sebagai Masjid Temenggung Daeng Ibrahim yang dibina pada tahun 1823, ini membuktikan sumbangan golongan Melayu yang dipimpin oleh Temenggung kepada perkembangan Islam di Singapura.

Namun hanya pada pertengahan dan akhir kurun ke 19, barulah penduduk Islam di Singapura berkembang dan terus pesat selaras dengan kemajuan pelabuhan Singapura. Faktor kejayaan pelabuhan Singapura ini dan adanya masyarakat Islam di sini telah menarik minat lebih ramai lagi peniaga Islam dari serantau nusantara yang kebanyakannya beragama Islam.

Menurut Dr Hadijah Rahmat dalam buku beliau Kilat Senja Sejarah Sosial dan Budaya Kampung-Kampung Di Singapura, antara peniaga Islam yang membanjiri Singapura pada abad ke 19 ini ialah peniaga-peniaga berbangsa Arab, ini dibantu pula daripada usaha Raffles yang berharap agar Singapura dapat menarik lebih ramai masyarakat peniaga berbangsa Arab.

Selain peniaga bangsa Arab, masyarakat Islam India juga berperanan besar dalam memberi sumbangan kepada penyebaran Islam di Singapura. Kebanyakan golongan Arab dan India Muslim ini pula berkahwin dengan golongan Melayu tempatan. Kesan daripada ini wujud pula masyarakat Melayu-Arab dan juga Jawi-Peranakan iaitu golongan India Muslim yang berkahwin dengan Melayu Muslim dan terus menetap di Singapura.

Golongan peniaga Arab dan India Muslim ini juga terlibat dalam perkembangan Islam dengan membantu membina masjid-masjid seperti Masjid Omar Kampong Melaka pada tahun 1820, Masjid Jamae pada tahun 1827 dan Masjid Al-Abrar pada tahun 1850 serta mengasaskan sekolah agama Madrasah Alsagoff dan Madrasah Aljunied.

Selain dari itu, menurut C.M Turnbull dalam bukunya yang bertajuk History Of Singapore 1819-1975 terdapat penghijrahan daripada golongan pecahan Melayu seperti Bugis, Acheh, Minang, Jawa, Banjar, Bawean dan Madura. Sehingga dikatakan menjelang abad ke 20 terdapat hampir 35,000 golongan pecahan Melayu ini daripada sekitar nusantara termasuk daripada Semenanjung Tanah Melayu. Golongan ini pula sudah terlebih dahulu menganut agama Islam sebelum datang ke Singapura kerana Islam telah tersebar luas terlebih dahulu di Tanah Melayu dan juga kepulauan Indonesia seperti Jawa dan juga Sumatera.

Penghijrahan golongan pecahan Melayu ke Singapura ini dengan tujuan untuk mencari pekerjaan hasil dari kemajuan Pelabuhan Singapura mahupun sebagai jemaah haji, kerana Singapura pada abad ke 19 terkenal sebagai pusat haji serantau yang dikendalikan oleh peniaga Arab Muslim, sehingga dikatakan pada penghujung kurun 19 terdapat lebih kurang 7,000 jemaah daripada kepulauan Indonesia yang pergi menunaikan haji bertolak daripada Singapura.

Ini kerana terdapat sekatan di Indonesia daripada pemerintah Belanda berbanding di Singapura. Sebilangan daripada mereka pula terus kekal di Singapura, ada yang bekerja di Singapura dan terus menetap di sini selepas kepulangan daripada Mekah untuk membayar hutang perbelanjaan haji.

Kesimpulannya perkembangan Islam di Singapura hanya bermula pada awal kurun ke 19 melalui penghijrahan Temenggung Abdul Rahman dan pengikut-pengikutnya yang beragama Islam ke Singapura, agama Islam kemudian semakin berkembang pesat setelah itu pada pertengahan kurun ke 19 dengan kedatangan para saudagar Islam daripada Hadramaut dan juga India yang mengambil kesempatan berniaga di sini hasil kemajuan pelabuhan Singapura dan juga hasil daripada perkahwinan campur di antara saudagar Arab dan juga India dengan penduduk tempatan.

Ini ditambah pula dengan kedatangan tenaga buruh daripada sekitar nusantara iaitu dari kepulauan Jawa dan juga Sumatera seperti kaum Jawa, Bugis, Acheh, Banjar dan sebagainya yang telah terlebih dahulu sudah menganut agama Islam.

3 Perkara Yang Perlu Diingat Sempena Ketibaan Nisfu Sya’ban

syaban
Semalam merupakan malam Nisfu Sya’ban. Seperti biasa masjid-masjid di merata Singapura membaca Yasin 3x dengan niat panjang umur, rezeki yang halal dan hidup dan mati dalam keadaan Islam. Tidak ketinggalan Masjid Al-Falah juga melakukan perkara yang serupa. Cuma bezanya kali ini, pihak pengurusan masjid mencantumkan hari yang sama untuk membaca tahlil arwah beramai-ramai yang biasanya diadakan pada malam Jumaat.Bagi sebilangan masyarakat Islam Singapura, acara sebegini memang ditunggu-tunggu, bagi acara tahlil arwah tahunan yang biasanya diadakan sebelum ketibaan Ramadan memang mendapat sambutan hangat..acara semalam sahaja lebih hampir 500 nama dibacakan.Apa yang ingin saya kongsi bersama pada posting kali ini ialah tazkirah yang saya sampaikan sebelum Maghrib semalam. Maklum saban tahun akan timbul perkara yang sama, iaitu isu bid’ah dan sebagainya. 3 perkara yang telah saya sentuh semalam dan ingin saya kongsi bersama netters ialah:

1. Bacaan Tahlil Arwah

Bacaan tahlil atau doa untuk arwah bukanlah hanya dibaca setahun sekali atau tiap malam Jumaat sahaja. Ia juga tidak terhad pada hari-hari tertentu.

Ia sepatutnya suatu perkara yang perlu kita lakukan sehari-harian. Oleh itu jemaah masjid tidaklah perlu menunggu sehingga malam Jumaat atau tahlil arwah khusus sempena ketibaan Ramadan.

Malah, jika pihak Masjid tidak mengadakan langsung majlis tahlil ini juga tidak menjadi satu kesalahan kerana ia bukannya satu perkara yang menjadi satu kewajipan untuk dilaksanakan.

Namun, pada masa yang sama..majlis yang diadakan oleh masjid ini merupakan satu peringatan dari semasa ke semasa untuk kita mengingati orang yang sudah tiada dan mendoakan mereka. Bertepatan dengan hadith Nabi: ” Jika mati anak Adam, terputus segala amalan kecuali 3 perkara: Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan Doa anak lelaki yang sholeh”. Maksud anak lelaki di sini juga meliputi anak perempuan yang sholehah.

2. Hukum Membaca Yasin

Amalan membaca Yasin sebanyak 3x dengan niat2 yang berbeza sempena ketibaan malam nisfu Sya’ban bukanlah satu perkara yang warid daripada sunnah. Maksudnya tidak pernah dilakukan oleh baginda Rasulullah. Ia merupakan amalan yang dilakukan oleh para ulama terdahulu.

Namun, dalam melakukan perkara yang tidak pernah dibuat oleh baginda juga merupakan satu perkara yang menjadi perbezaan pendapat para ulama. Ini semuanya berpunca daripada penafsiran kekata bid’ah. Ada yang menyatakan jika perkara tersebut walaupun tidak pernah dibuat baginda tetapi bertepatan dengan prinsip sunnah, maka ia tidak mengapa dilakukan. Sebagai contoh membaca surah-surah dalam Quran seperti Surah Yasin adalah perkara yang dianjurkan oleh sunnah.

Perlu ditekankan, yang penting kita menghormati kepelbagaian pendapat, siapa kata bid’ah..kita kena hormat pandangan mereka kerana pendapat tersebut juga mempunyai hujjah yang tersendiri. Kita tak boleh kata, pendapat kita sahaja yang betul, orang lain semua salah, ini boleh menimbulkan perpecahan sesama ummah dan semestinya bukan perkara yang dianjurkan oleh sunnah!

Oleh kerana bacaan Yasin 3x ini tidak warid daripada sunnah, maka tidak menjadi kesalahan jika Imam masjid baca Yasin 1 x sahaja atau kita baca surah selain daripada Yasin. Atau tidak dibaca langsung pada malam nisfu Sya’ban tetapi dibaca pada keesokan harinya : )

Yang paling penting amalan membaca Quran ini tidak hanya terhenti setakat pada malam nisfu Sya’ban sahaja tetapi juga berlanjutan pada bulan-bulan yang lain juga.

3. Amalan Lain Bulan Sya’ban

Terdapat banyak hadith-hadith yang menceritakan tentang fadhilat bulan Sya’ban, namun kebanyakannya bersumber daripada hadith yang dhaif atau lemah. Tetapi jangan salah faham, terdapat juga pandangan ulama yang menyatakan hadith dhaif juga boleh dijadikan hujjah tetapi hanya pada perkara fadhail a’mal atau amalan-amalan yang baik dilakukan.

Bila dikatakan ada terdapat pendapat boleh dijadikan hujjah hadith dhaif, maknanya ada juga pendapat sebaliknya iaitu tidak boleh dijadikan hujjah dalam apa jua perkara termasuk fadhail a’mal.

Apapun para ulama bersetuju bahawa terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan pada bulan sya’ban sebagai satu warm up kepada kita untuk memperbanyakkan amalan sebelum ketibaan Ramadan. Antara amalan-amalan lain yang baik dilakukan dalam bulan ini ialah:

– Berpuasa
Baginda dikatakan paling banyak berpuasa pada bulan Sya’ban berbanding lain2 bulan (tidak termasuk Ramadan). Oleh itu , ada baiknya kita juga perbanyakkan puasa pada bulan ini.

– Memperbanyakkan zikir dan doa.
Hendaklah kita perbanyakkan ingatan kita pada Allah dan juga doa kepadanya. Bukan hanya kita sibuk doakan untuk orang yang sudah tiada tetapi diri kita dilupakan.

– Bertaubat dan beristighfar.
Sebaiknya kita banyakkan bertaubat dan beristighfar pada Allah agar kita bertemu dengan bulan Ramadan dalam keadaan yang suci dan bersih.

Kesimpulannya:

1. Perlu menghormati perbezaan pendapat.
2. Sifat merasakan pendapat kita sahaja yang betul, boleh membawa kepada perpecahan.
3. Amalan seperti bacaan tahlil arwah atau Yasin tidak hanya terhad pada malam2 tertentu.
4. Tiada kewajipan pada cara2 tertentu pada malam nisfu Sya’ban.
5. Hendaklah memperbanyakkan amalan pada lain2 hari dan bulan juga.