Dalam posting terdahulu ada disebutkan yang saya baru menyelesaikan pengajian sarjana saya daripada Akademi Pengajian Islam, UM. Tajuk disertasi atau tesis saya ialah: Kefahaman Dan Pengamalan Solat Berdasarkan Sunnah Rasulullah S.A.W: Satu Kajian Di Kalangan Masyarakat Islam Singapura.

Kajian ini menyelidiki bagaimana kefahaman dan pengamalan solat berdasarkan sunnah Rasulullah dan kemudian mengkaji sejauh mana pula kefahaman dan cara pengamalan solat Masyarakat Islam kita di Singapura menepati dengan apa yang dikehendaki daripada sunnah.

Saya sebenarnya bercadang berkongsi kajian saya ini di Berita Harian dan juga melalui penulisan buku dan diharapkan dapat memanfaatkan masyarakat. Sebagai permulaan saya akan berkongsi melalui wadah media baru topik-topik terpilih daripada tesis saya ini bila saya mempunyai masa. Bagi posting di blog ini saya terpaksa melakukan pengubahsuaian sedikit, ada masanya saya hanya akan mengambil satu tajuk dan lakukan pengubahsuaian sedikit, dan mungkin pada masa yang lain pula saya akan sampaikan dengan cara bercerita.

Saya mulakan dengan satu tajuk kecil berjudul: ‘Sejarah Agama Islam Berkembang Di Singapura’ daripada bab ketiga tesis saya yang bertajuk: Latar Belakang Negara Singapura Dan Masyarakat Islam Singapura.

Sejarah Agama Islam Berkembang Di Singapura

Rekod tentang Islam dan mereka yang beragama Islam pada awal hari di Singapura adalah sukar didapati, walaupun Islam sendiri sudah tersebar luas di rantau Asia Tenggara pada awal kurun 13, di mana peniaga dan juga pendakwah sufi daripada Hadramaut, Yaman memainkan peranan penting dalam menyebarkan Islam melalui perniagaan dan perkahwinan.

Mengikut rekod sejarah, Ernest C.T Chew dalam buku beliau A History Of Singapore, Singapura pada abad ke 14 sebelumnya dipengaruhi oleh budaya Hindu dan Buddha. Namun ketika Sir Stamford Raffles tiba pada tahun 1819, penduduk Singapura yang terdiri daripada orang Melayu sudahpun berada di Singapura, mereka terdiri daripada golongan bangsawan yang diketuai oleh Temenggung Abdul Rahman dan para pegawai Istana serta pengikutnya yang memang sudahpun beragama Islam.

Malah hartanah kepunyaan Temenggung masih kekal sehingga ke hari ini seperti di Masjid Telok Blangah atau lebih dikenali sekarang ini sebagai Masjid Temenggung Daeng Ibrahim yang dibina pada tahun 1823, ini membuktikan sumbangan golongan Melayu yang dipimpin oleh Temenggung kepada perkembangan Islam di Singapura.

Namun hanya pada pertengahan dan akhir kurun ke 19, barulah penduduk Islam di Singapura berkembang dan terus pesat selaras dengan kemajuan pelabuhan Singapura. Faktor kejayaan pelabuhan Singapura ini dan adanya masyarakat Islam di sini telah menarik minat lebih ramai lagi peniaga Islam dari serantau nusantara yang kebanyakannya beragama Islam.

Menurut Dr Hadijah Rahmat dalam buku beliau Kilat Senja Sejarah Sosial dan Budaya Kampung-Kampung Di Singapura, antara peniaga Islam yang membanjiri Singapura pada abad ke 19 ini ialah peniaga-peniaga berbangsa Arab, ini dibantu pula daripada usaha Raffles yang berharap agar Singapura dapat menarik lebih ramai masyarakat peniaga berbangsa Arab.

Selain peniaga bangsa Arab, masyarakat Islam India juga berperanan besar dalam memberi sumbangan kepada penyebaran Islam di Singapura. Kebanyakan golongan Arab dan India Muslim ini pula berkahwin dengan golongan Melayu tempatan. Kesan daripada ini wujud pula masyarakat Melayu-Arab dan juga Jawi-Peranakan iaitu golongan India Muslim yang berkahwin dengan Melayu Muslim dan terus menetap di Singapura.

Golongan peniaga Arab dan India Muslim ini juga terlibat dalam perkembangan Islam dengan membantu membina masjid-masjid seperti Masjid Omar Kampong Melaka pada tahun 1820, Masjid Jamae pada tahun 1827 dan Masjid Al-Abrar pada tahun 1850 serta mengasaskan sekolah agama Madrasah Alsagoff dan Madrasah Aljunied.

Selain dari itu, menurut C.M Turnbull dalam bukunya yang bertajuk History Of Singapore 1819-1975 terdapat penghijrahan daripada golongan pecahan Melayu seperti Bugis, Acheh, Minang, Jawa, Banjar, Bawean dan Madura. Sehingga dikatakan menjelang abad ke 20 terdapat hampir 35,000 golongan pecahan Melayu ini daripada sekitar nusantara termasuk daripada Semenanjung Tanah Melayu. Golongan ini pula sudah terlebih dahulu menganut agama Islam sebelum datang ke Singapura kerana Islam telah tersebar luas terlebih dahulu di Tanah Melayu dan juga kepulauan Indonesia seperti Jawa dan juga Sumatera.

Penghijrahan golongan pecahan Melayu ke Singapura ini dengan tujuan untuk mencari pekerjaan hasil dari kemajuan Pelabuhan Singapura mahupun sebagai jemaah haji, kerana Singapura pada abad ke 19 terkenal sebagai pusat haji serantau yang dikendalikan oleh peniaga Arab Muslim, sehingga dikatakan pada penghujung kurun 19 terdapat lebih kurang 7,000 jemaah daripada kepulauan Indonesia yang pergi menunaikan haji bertolak daripada Singapura.

Ini kerana terdapat sekatan di Indonesia daripada pemerintah Belanda berbanding di Singapura. Sebilangan daripada mereka pula terus kekal di Singapura, ada yang bekerja di Singapura dan terus menetap di sini selepas kepulangan daripada Mekah untuk membayar hutang perbelanjaan haji.

Kesimpulannya perkembangan Islam di Singapura hanya bermula pada awal kurun ke 19 melalui penghijrahan Temenggung Abdul Rahman dan pengikut-pengikutnya yang beragama Islam ke Singapura, agama Islam kemudian semakin berkembang pesat setelah itu pada pertengahan kurun ke 19 dengan kedatangan para saudagar Islam daripada Hadramaut dan juga India yang mengambil kesempatan berniaga di sini hasil kemajuan pelabuhan Singapura dan juga hasil daripada perkahwinan campur di antara saudagar Arab dan juga India dengan penduduk tempatan.

Ini ditambah pula dengan kedatangan tenaga buruh daripada sekitar nusantara iaitu dari kepulauan Jawa dan juga Sumatera seperti kaum Jawa, Bugis, Acheh, Banjar dan sebagainya yang telah terlebih dahulu sudah menganut agama Islam.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite!

3 responses »

  1. alfaqeer says:

    Ustaz! Thanks so much for sharing.🙂 Cannot wait for the other chapters to be posted here and insyaAllah, the book itself.

  2. Abah Yasir says:

    Thanks Ameera for ure support. I.Allah I’ll will be sharing other topics next time.

  3. mad says:

    salam ust,nak ,kt mana saya nak carik buku sejarah islam di singapura?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s