Selamat menyambut tahun baru Islam saya ucapkan kepada seluruh umat Islam khususnya sesiapa yang melayari laman saya ini di mana sahaja mereka berada.
Seperti mana masjid-masjid lain, masjid tempat saya bertugas juga tidak terkecuali ada mengadakan majlis bacaan doa awal tahun dan akhir tahun sempena ketibaan tahun hijrah 1430. Alhamdulillah, walaupun majlis tahun ini jatuh pada hari Ahad, namun terdapat lebih kurang 500 lebih jemaah hadir pada malam ini dengan kebanyakannya terdiri daripada para pelancong serta pengunjung Muslim yang singgah ke sini selepas membeli belah di Orchard Road.
Majlis pada malam ini juga diselang selikan dengan tazkirah ringkas bertajuk Hijrah Membentuk Perubahan Mentaliti Mukmin yang diadakan sejurus selepas bacaan doa akhir tahun sementara menantikan waktu Maghrib. Suka saya kongsikan di sini intipati yang disampaikan pada ceramah saya malam tadi.
1. Pengertian Hijrah.
– Hijrah secara kontekstualnya ialah satu usaha mengubah nasih atau keadaan sedia ada kepada keadaan yang lebih baik.
– Dengan usaha, kesungguhan dan penyerahan kepada Allah, segala perubahan yang dilakukan bakal dijanjikan ganjaran oleh Allah.
– Hijrah seperti mana pada zaman Nabi sudah tiada lagi, seperti mana sabda Rasulullah ‘Tiada hijrah selepas pembukaan kota Mekah kecuali niat dan jihad’ Dengan ini bermakna kita masih lagi mempunyai peluang untuk mendapatkan pahala dengan cara berniat melakukan perkara yang baik serta berjihad dalam menegakkan kalimah Allah.
– Walaupun tiada pahala hijrah seperti mana pada zaman Rasulullah, namun jika kita berdepan dengan keadaan di mana umat Islam tidak dapat mengerjakan perintah Allah dan mengamalkan suruhan Tuhan dengan aman, maka kita diwajibkan berhijrah seperti mana yang berlaku pada masa zaman pemerintahan komunis di negara-negara Eropah Timur. […]