Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff.
Dilahirkan pada 25 Januari 1975 di Kota Singa. Beliau merupakan anak jati Singapura. Selepas menamatkan sarjana muda pengajian Usuluddin dengan pengkhususan dalam bidang Hadis di Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1998, beliau mula bertugas sebagai Pegawai Dakwah di Masjid Al-Falah, Orchard Road di Singapura, sebelum menjawat tugasan sebagai Imam Eksekutif dan seterusnya sebagai Ketua Pembelajaran Islam dan Pembangunan Sosial di masjid yang sama. Semasa bertugas di sana, beliau sempat menamatkan pengajian Sarjana Usuluddin dalam bidang Hadis di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya di Kuala Lumpur, dan juga meraih Diploma Spesialis dalam Psikologi Kaunseling di Academy of Certified Counsellors, Singapura.
Aktif dalam memberikan khidmat kaunseling sejak 2001 hingga 2010 lagi semasa di Masjid Al-Falah, khususnya dalam mengendalikan kes-rumah rumahtangga, perceraian, keibubapaan dan permasalahan peribadi yang lain. Terbabit secara langsung dalam pembentukan pusat kaunseling di Nur @ Orchard Drop in Centre khusus bagi klien belia yang dirujukkan ke sana bermula dari tahun 2007 hingga 2010 di masjid yang sama, selain sebagai kaunselor di pusat yang sama. Kini beliau masih aktif sebagai anggota dan Kaunselor secara sukarela di Kumpulan Rehabilitasi Keagamaan (RRG) bagi tahanan keselamatan dalam negeri seperti Jemaah Islamiah (JI) dan IS sejak tahun 2002 sehingga kini, dan masih lagi giat dalam menangani kes-kes kaunseling sebagai kaunselor bebas (freelance).
Sepanjang penglibatan dakwah kemasyarakatannya pula, beliau juga pernah aktif sebagai Naib Kadi di Pejabat Pendaftar Pernikahan (ROMM), hakam (arbitrator) di Mahkamah Syariah, Ahli Lembaga Rayuan, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), ahli bersekutu Jawatankuasa Fatwa Muis, Setiausaha Kehormat di Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dan juga sebagai ahli lembaga pengarah Yayasan Mendaki, ahli Lembaga Rayuan, Muis dan juga sebagai ahli jawatankuasa pentadbir Madrasah Aljunied Al-Islamiah bermula dari tahun 2015 ini.
Selepas selama 10 tahun bertugas di masjid, beliau kemudiannya berkhidmat sebagai pegawai di Pejabat Mufti, Muis sebelum menjawat tugasannya sekarang sebagai Pengarah Eksekutif di Pergas sejak tahun 2013, dan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pergas sejak tahun 2017.
Selain itu, beliau juga giat menulis sebagai kolumnis bagi ruangan ‘Kaunseling’, Majalah al-Ustaz sejak tahun 2013 hingga sekarang, dan aktif mengelola laman peribadi beliau di abahyasir.com, yang merupakan wadah bagi beliau berinteraksi dengan masyarakat dalam kerja-kerja dakwah beliau khususnya bagi perkongsian dalam isu-isu kekeluargaan dan juga kaunseling sejak dari tahun 2008.
Bagi mengenali saya dengan lebih dekat bolehlah lungsuri melalui page Facebook & Twitter saya. Anda juga boleh langsung ke Facebook peribadi saya di http://www.facebook.com/yusri.yusoff atau ke laman http://instagram.com/abahyasir