Lawatan Ke US (Bahagian Ketujuh-Bahagian Penghabisan)

Sambungan…

Berbeza dengan pengalaman di bandar-bandar sebelum ini, selain daripada berpeluang berkongsi pengalaman, kami berkesempatan merasakan pengalaman menjalankan kerja sukarela di Cherry Street Food Bank, salah sebuah badan sukarela yang dikendalikan oleh Pertubuhan Northwest Harvest yang menguruskan pengagihan makanan percuma kepada golongan fakir miskin di Seattle.

Di Cherry Street Food Bank mereka menerima di antara 1,200 hingga 1,700 penerima bantuan pada setiap Isnin dan Rabu. Menurut Puan Jeri Chonle penyelaras sukarelawan di sini, mereka cuba memastikan pengunjung menerima bantuan semudah mungkin tanpa berasa tidak selesa atau segan. Setiap penerima hanya akan diminta memberikan nama dan maklumat yang asas bagi diri masing-masing bagi memudahkan urusan pemberian bantuan.

Di sini kami berpeluang melakukan kerja sukareladengan membungkus ’snek’ ke dalam plastik untuk diedarkan kepada golongan yang memerlukan. Sungguh menakjubkan apabila melihat bersama-sama dengan kami terdapat seorang sukarela yang lanjut usia dalam pertengahan umur 60 an yang sudah sedikit bongkok serta tidak mampu berjalan dengan baik dan seorang wanita yang mempunyai IQ yang rendah tetapi masih tetap juga bersemangat melakukan kerja sukarela.

Selain dari membungkus snek di dalam gudang, saya juga berpeluang bersama dua teman lelaki yang lain membahagikan barangan kering kepada penerima bantuan. Dengan cuaca sedingin 5C, kami terpaksa menahan kesejukan tangan kerana terpaksa menggunakan sarung tangan plastik sahaja bagi menggantikan sarung tangan biasa untuk tujuan mengagihkan barangan pasar seperti bawang ke dalam plastik sebelum membahagikannya bersama buah-buahan, makanan dalam tin, beras, roti dan juga minuman mineral kepada golongan yang memerlukan.


Kami dapat melihat sendiri bagaimana orang ramai dari pelbagai latar belakang, baik tua mahupun muda, sama ada bangsa Cina, Afrika-Amerika mahupun mereka yang berbangsa Eropah beratur panjang untuk menerima bantuan. Kami difahamkan mereka ini daripada golongan yang tidak mempunyai pekerjaan, pekerja bergaji rendah ataupun mangsa keganasan domestik.
Terdapat juga dari kalangan mereka yang tidak mahukan barangan kering atas alasan tidak dapat memasak. Tidak sangka dalam kepesatan dan keindahan bandar Seattle ini masih lagi terdapat penduduk daripada kalangan yang tidak mempunyai kediaman dan tinggal di jalanan.


Semasa di bandar Seattle, kami juga berpeluang ke University District atau lebih dikenali sebagai U District. Dinamakan sedemikian kerana kampus utama University of Washington terletak di sini, iaitu bandar kediaman bagi penuntut dan juga tenaga kerja University of Washington.


Terdapat pub, perpustakaan utama, pasaraya dan juga cafe yang berselerakkan lengkap dengan wifi bagi kemudahan penuntut. Terbayang pula rancangan kerajaan Singapura yang ingin membina bandar Universiti Kebangsaan Singapura atau NUS University Town yang akan siap pada tahun 2010 yang juga akan menempatkan para pelajar, penyelidik dan juga pensyarah yang saya rasa berkemungkinan besar juga diambil daripada model atau konsep bandar universiti-universiti di Amerika.

Kami juga sempat melawat Seattle Youth Garden Works, pertubuhan yang menjalankan kerja2 belia melalui pendekatan berteraskan ‘taman atau kebun’ di mana para belia akan berkebun dan bercucuk tanam sambil menambahkan pendapatan mereka. Ada antara mereka ini merupakan pesalah muda yang dihantar ke sini bagi menjalani pemulihan. Di sini mereka akan dididik dan diajar cara2 menanam dan menjaga pokok2 dan perlbagai jenis tanaman. Projek mereka ini mendapat sokongan daripada Washington University (WU).

Antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan di sini ialah mereka home visit, di mana saya berkesempatan singgah dan menikmati hidangan jamuan malam di rumah warga negara Amerika. Kami semua dipecah2kan menjadi beberapa kumpulan dan ditetapkan tuan2 rumah masing2.

Tuan rumah bertuah yang menerima kunjungan kami ialah Cik Elizabeth Younger. Beliau sendiri yang mengambil kami daripada hotel penginapan. Bagi lawatan ini kami sekumpulan bersepakat untuk bergaya dengan baju kurung melayu, lagipun pada masa tu masih raya lagikan?

Selepas hampir setengah jam perjalanan tibalah kami di rumahnya yang terletak bersebelahan dengan tasik besar yang memisahkan antara tanah besar Seattle dengan Mercer Island. Fuuh! cantik betul dan nyaman. Sayang, setibanya kami di sama sudah gelap. Tuan rumah kami ni sungguh mesra dan asyik ketawa sahaja, sudah punyai 3 orang cucu tapi masih nampak muda dan ceria, sesuai dengan namanya ‘Younger’.

 

Beliau sebenarnya sering menerima tetamu dari luar bagi program pelawat antarangsa seumpama ini. Sempat beliau menunjukkan barang2 perhiasan rekaannya sendiri yang dibuat daripada batu2 kecil dan diiport ke merata tempat. Hasil niaganya ini telah membawa beliau ke seluruh pelusuk dunia. Power kan? Pada jamuan malam di rumahnya, saya terpaksa makan ‘Asparagus’. Erk..seumur hidup memang saya tak pernah sentuh, tapi apa nak buat..nak sedapkan hati tuan rumah..sental jelah.

Setelah genap 3 hari di Seattle, maka tibalah masa untuk kami berangkat pulang. Banyak sekali perkara yang dapat kami pelajari sepanjang masa kami berada di sini termasuk berkenalan dengan saudara se-Islam di Amerika yang sungguh progresif dan berdiri sama tinggi dengan rakyat Amerika yang lain.

Tak lupa juga saya pada kedua teman atau pegawai dari Amerika iaitu George & Karen yang mengiringi kami sejak dari hari pertama lagi. Jasa dan telatah kalian tidak akan hilang dari ingatan ini, terutamanya gelagat George yang ala watak Monk dalam siri drama ‘Monk’, beliau juga punya darah Arab. Rasa bersalah pula kadang2 bila teringat saya kenakan dia dalam perbualan kami sehingga teman2 yang lain terkekek2 ketawa. Sorry George : )

Hasil dari lawatan ini juga, kami sekumpulan bersepakat untuk terus meneruskan hubungan yang telah terjalin dan menamakan diri kami sebagai Alliance 9 atau Perikatan 9. Alhamdulillah, semangat persaudaraan kami yang terbina di Amerika masih lagi kukuh dan bertahan di Singapura. Semoga dengan pengalaman baru yang diraih ini, kita terus diberikan kekuatan oleh Allah untuk terus bekerja dan mempraktikkan segala amalan terbaik yang boleh diimplikasikan di sini dalam membantu menyusun program preventif dan intervensi baik untuk belia mahupun keluarga.

Sayang Anak Tangan-Tangankan?

Lama rasanya saya tidak update blog kali ni. Maklum bulan Jun, saya bercuti hampir 8 hari ke beberapa tempat menarik di Malaysia, balik pula kerja menimbun. Ini ditambah pula saya diperlukan untuk membuat sedikit pembetulan pada disertasi (thesis) Master saya di UM. Adalah dua minggu lebih masa saya tiap malam dikhususkan untuk perkara ni. Atas sebab inilah sunyi sepi blog ini seketika waktu. 

Apa yang ingin saya kongsikan pengalaman saya kali ini ialah sewaktu sesi kaunseling saya dengan seorang ibu (Puan J). Beliau datang ditemani oleh 2 orang anak lelaki dan perempuan beliau yang berusia 13 & 16 tahun. Tapi kehadiran beliau bukanlah berkaitan dua anak ni, tetapi isu tentang anak lelakinya yang berusia 18 tahun.

Isu yang dikemukakan ialah anaknya suka balik lewat malam sebab lepak dengan kawan, tak minat belajar dan isu BGR.

Menjadi cara saya dalam berikan kaunseling kepada remaja dengan memfokuskan juga kepada ibu bapa selain dari remaja itu sendiri. Dalam hal ini, memandangkan client tidak hadir. Maka saya terpaksa fokus kepada ibunya sahaja.

Saya mendapati ibunya sangat-sangat garang, bayangkan beliau masih lagi merotan anak-anaknya termasuk anak sulung beliau yang berusia 18 tahun! Ini tidak termasuk cara perbulan beliau yang banyak menengking dan kasar. Ini diakui sendiri olehnya. Gaya beliau ini pula katanya bertentangan sekali dengan gaya suaminya. Lembut tuturcara apabila berkomunikasi dengan anak-anak. Berdasarkan pengamatan saya daripada kes-kes sebelum ini, biasanya bapa yang garang dan tidak mesra dengan anak. Tapi kali ini terbalik pula.

Saya juga difahamkan yang suami beliau sudah putus asa dan harapan terhadap anak sulungnya tu dan tidak ingin ambil tahu lagi apa2 perkara berkaitan dengannya. Ini disebabkan kerana anak tetap tidak mahu berubah dan tetap dengan perangai asalnya. Komen saya tentang hal ini pada puan J, ia adalah satu kerugian sekiranya suami beliau mengambil pendekatan ‘dah tak kuasa’. Saya tanya puan J, ‘Kalau cik pun mengambil pendirian macam suaminya, apa akan jadi pada anaknya?’ Pastinya berkemungkinan lebih meruncing lagi.

Ada beberapa perkara yang saya cadangkan untuk beliau ubah dalam pendekatan dengan anaknya:

1. Bercakap dengan lembut.
Iaitu tidak perlu bentak2 atau pekik bila berbual dengan anak. Si ibu sendiri mengaku, anaknya senang bila berbual dengan bapa dan juga Ustazah tempat beliau belajar madrasah di masjid. Bahkan, beliau juga sedar bila beliau cakap lembut anaknya dengar kata. Kenapa tidak teruskan?

2. Hentikan merotan anak.
Saya minta beliau buang segala rotan2 yang ada di rumah. Beliau ada 3 rotan! Pertama sekali saya gesa beliau pertama cuba kejut anak beliau bangun solat tanpa rotan. Mungkin tujuan baik, tapi pernah tak kita terfikir berkesan ke kejut anak bangun subuh dengan cara rotan? Pada saya ia boleh buat anak2 benci pada solat.

Nabi ajar rotan pada usia 10 tahun, 7 tahun sudah perlu diperintah untuk solat. Tapi pentarbiyahan sebenarnya bermula sebelum tu lagi. Tapi usia 18 tahun? Orang dewasa pun susah nak bangun solat subuh, apatah lagi budak2 remaja?

Jadi, saya minta beliau, cuba ubah pendekatan. Kejut anak dengan berlembut. Cakap baik2 dulu, goyang baik2. Jika liat juga, barulah boleh dikeraskan sedikit goyangan dan suara kita, tapi tak perlulah sampai ke peringkat rotan.

3. Pilih masa yang sesuai untuk nasihat anak.
Saya pinta beliau untuk memilih masa yang sesuai bila nak nasihat anaknya. Elakkan ketika sedang beliau tgh marah.

Pastikan juga anak dapat berehat dulu, mandi, makan dan sebagainya. Bila dah fresh, masa tu pun maknya pun dah kurang hot. Kalau anak mengantuk, tunggu sampai esok. Besok baru cakap.

Kenapa saya tekankan perkara ni? Sebabnya, penting bagi kita pastikan message kita clear dan sampai pada diri anak. Tak guna, cakap panjang lebar, meleter macam nak apa. Anak dengar masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Kan penat?

4. Sentuhan atau belaian pada anak.
Perkara ni sangat efektif sebenarnya khususnya bila kita berkomunikasi bersama dengan anak. Saya sendiri bila berbual dengan belia di masjid saya, saya akan cuba sentuh atau pegang bahu dorang, tepuk2 dengan perlahan dan sebagainya. Secara tak langsung remaja tu akan rasa dirinya dihargai, mesra dan bonding dengan kita.

Apatah lagi dengan anak! Tapi perkara tu tak berlaku pada si makcik J ni. Beliau tak setuju bila anaknya complain yang dia sayang anak lelaki sulung ni sebagaimana di sayang adik beradik yang lain. Saya tanya, betul ke? Dia kata taklah. Saya tanya lagi, pernah cium anak, usap dan sebagainya? Dia jawab dengan kedua anaknya yang lain, dia ada buat.

Saya cakap, betullah kata dia yang awak kurang sayang pada dia. Saya cuba beliau perbaiki dan latih untuk sentuh anak. Dia kata segan. Saya kata boleh I.Allah..

Saya minta dia, next time..bila nak tegur atau nasihat. Cuba ikut perkara ketiga di atas (pilih masa yang sesuai) cakap baik2 dan diiringi dengan sentuhan, pegang tangan anak sbg contoh. Dan lihat kesannya.. : )

5. Pujian.
Beliau jarang puji anak. Hmmph, ni yang tak best. Cuba bayangkan bila kita belikan hadiah contoh baju pada isteri, suami atau teman. Si penerima hadiah senyap je tak cakap apa2. apa perasaan kita? Begitu juga dengan anak, anak2 perlu dipuji bila mereka buat satu perkara yang menyenangkan ibu bapa sebagaimana mereka juga perlu ditegur atau dimarahi bila melakukan satu kesilapan. Kita perlu balance dalam perkara ni.

I.Allah, jika kita praktiskan tips di atas, anak akan bertambah sayang dan dengar kata kita. Jika tidakpun, hubungan kita akan bertambah mesra dan untuk jangka panjang ia adalah baik untuk hubungan antara anak dan ibu bapa.

Lawatan Ke US (Bahagian Keenam)

Sambungan…

Ketika dalam pesawat, saya dapat rasakan perbezaan ketara bagi syarikat penerbangan milik syarikat penerbangan Amerika dengan pesawat Singapore Airline (SQ) dari segi pemilihan peramugari mereka..Saya perasan ketika turun naik pesawat mereka ni, pastinya terdapat 4 jenis peramugari. Yang muda dan jelita, muda tetapi tidak jelita dan berbadan besar yakni tidak kurus, juga mereka yang sudah sedikit berusia. Sebenarnya, semasa saya belajar dulu..saya juga pernah ke London daripada Cairo dan menaiki pesawat Balkan Air (milik negara Bulgaria) . Saya juga mendapati perkara yang sama. Seperti tukang masak kata teman saya. Ini mungkin sebab kita sudah streotype dengan peramugari milik SQ.

Saya membuat kesimpulan, ini bukan perkara yang disengajakan. Saya nyatakan pandangan saya ini dengan dengan teman saya yang merupakan ketua delegasi kami iaitu Sazali. Beliau kata memang betul telahan saya. Negara Amerika dan negara Eropah yang lain memang mengamalkan dasar sama rata dan tidak diskriminasi terhadap wanita. Ini bermakna semua wanita tidak kira cantik atau tidak, kurus atau tidak, kesemuanya berpeluang untuk menjadi peramugari. Bayangkan dasar tersebut diaplikasikan pada Singapore Girl!

Di Seattle cuaca kembali dingin, hampir sama dengan cuaca semasa di Boston. Pemandangan di sini adalah cukup indah pada masa ini, dengan berlatar belakangkan teluk serta Pergunungan Rainier yang diseliputi salji di kemuncaknya seperti Gunung Fujiyama di Jepun. Ia jelas kelihatan daripada kapal terbang semasa perjalanan dari Houston.

Hmmph, terfikir pula kalau punya rezeki, ingin pula rasanya di bawa keluarga datang ke sini. Cakap pasal keluarga, alhamdulillah, hotel-hotel penginapan kami di sini kesemuanya punyai kemudahan Wifi, dapat juga digunakan untuk berkomunikasi setiap hari dengan keluarga dan juga teman melalui MSN Messenger.


Bagi mereka yang biasa menonton siri Grey Anatomy atau pernah menyaksikan film Sleepless in
Seattle, pasti dapat membayangkan bandar ini. Ia sungguh pesat membangun dan romantik sekali!

Setibanya kami di Seattle, perkara pertama yang perlu kami lakukan ialah terpaksa menukar sekali lagi waktu kami di sini. Hmmph..kali ketiga saya lakukan semasa di US, kali in ditambah sejam pula bersenpena dengan Daylight Saving Time.

Bandar Seattle dikenali sebagai antara bandar yang mempunyai kadar celik huruf yang tertinggi sekali di Amerika dengan 50% daripada penduduknya yang berusia 25 tahun ke atas mempunyai pendidikan sekurang-kurangnya sarjana muda.

Namun bak kata pepatah Melayu, air yang tenang, jangan disangka tiada buaya. Begitulah halnya dengan bandar Seattle. Dengan latar belakang dan persekitaran yang dikelilingi lautan biru dan keindahan tasik yang menghiasinya, tiada siapa menjangka masalah penyalahgunaan dadah adalah antara kesalahan jenayah utama di kalangan belia di Seattle. Ini ditambah pula dengan kebanyakan pesalah tidak mempunyai tempat tinggal yang sempurna. Taman-taman serta bangunan awam dijadikan tempat teduh mereka.


Selepas berehat selama sehari, keesokan paginya kami berkesempatan bersiar-siar ke Pike Place Market yang terkenal dengan hasil tangkapan laut yang segar dan menjadi tumpuan pelancong di sini. Takjub bila melihatkan hasil tangkapan yang sungguh besar, khususnya ketam raksasanya yang dikenali sebagai Alaskan Giant Crab. Bayangkan kaki ketam Alaska ini sahaja sudah sebesar lengan dan berharga US$22! Kami berkesempatan merasa cebisan ketam yang dijual yang sudahpun direbus terlebih dahulu dan rasanya sungguh manis dan lazat. Ketam raksasa ini sungguh mahal memandangkan proses menangkapnya menghadapi risiko dipukul ombak ganas. Terdapat satu rencana dokumentari yang bertajuk Deadliest Catch oleh Discovery Channel yang mengisahkan proses penangkapan ketam raksasa yang sungguh mencabar lagi bahaya ini.


Selain dari menikmati pemandangan hasil tangkapan laut di sini, kami juga terhibur dengan cara proses jual beli yang dilakukan dengan begitu santai sekali. Si jurujual akan melambungkan ikan yang telah dijual kepada temannya yang kemudiannya akan menyambut serta membungkusnya sambil bernyanyi-nyanyi. Aksi ini menjadi tumpuan ramai pelancong yang terhibur melihat telatah mereka. Malah aksi mereka yang bekerja secara sepasukan dengan cara yang santai, ceria dan produktif ini telah dijadikan inspirasi sebagai satu konsep pengurusan yang dinamakan sebagai FISH Philosophy.

Bayangkan jika apek-apel jual ikan lakukan aksi demikian di pasar-pasar kita di Singapura! Pasti gamat dibuatnya.

Bersambung…

Nantikan bahagian terakhir pada Jumaat depan, kisah aktiviti sukarela kami di pusat pengagihan makanan untuk orang2 miskin, kisah lucu bersama George (pegawai yang ditugaskan bersama kami) dan pengalaman homestay di Seattle!

Ikut Salah, Tak Ikut Pun Salah…

Salam Euro!

Di sana sini sibuk dengan Euro 2008 di Austria/Switzerland. Sebagai fan no 1 England, saya tiada pasukan pilihan kali ini. Biasanya Holland akan menjadi pilihan no 2 saya selepas England. Ntah, saya minat betul dengan Marco Van Basten sejak dulu lagi. Tetapi kali ini pasukan no 1 saya bukan Holland, tetapi Spain. Kenapa? Jawapannya mudah. Ada Torres, Alonso. Reina & Arbeloa. Haha. Fahamkan?

Tetapi posting kali ini bukan pasal bolasepak, itu sebagai intro sahaja. Sebenarnya saya nak share peristiwa perjumpaan saya dengan seorang muslimah bernama H yang berlaku pada hari sabtu lepas. Beliau merupakan bekas aktivis belia di masjid saya bertugas sekarang ni. Sebelum ini beliau ada mengirimkan beberapa email dan sms pada saya bertanyakan tentang orang yang tidak berpegang kepada sebarang mazhab, mereka yang mengaku mengikut Quran dan Sunnah sahaja. Saya tidak akan berbicara bersangkutan hal ini pada posting saya kali ni. (Bagi jawapan saya berkaitan isu ini, sila rujuk laman http://abahyasir.multiply.com)

Sebenarnya soalan beliau ini berkisar tentang keluarga bakal suaminya (juga bekas aktivis belia Masjid Al-Falah). Pokok isu yang menjadi persoalan H ialah pendapat tidak batal wuduk bagi sentuhan antara suami isteri yang menjadi pegangan bakal keluarga suami beliau. Kebetulan juga saya bakal kadi pernikahan mereka, maka pastinya saya perlu berikan perhatian yang lebih serius kepada isu yang ditanyakan ini.

Beliau sebenarnya terkejut kerana bakal suaminya beranggapan bahawa menyentuh isteri adalah tidak batal wuduk. Pendapat ini sebenarnya merupakan pandangan sebahagian ulama yang menyatakan wuduk hanya batal apabila berlaku persetubuhan atau seks antara lelaki dan perempuan.

Respon saya pada beliau, ini isu khilaf ulama. Tiada siapa yang betul atau salah. Isu yang lebih utama ialah kerukunan rumahtangga. Yang penting kita perlu hormati pandangan masing-masing, ini termasuklah dalam isu agama. Tidak perlulah paksa2 supaya ikut pandangan masing2.

Nasihat saya pada beliau, teruskan amalan masing-masing. Maksudnya, jika nanti sudah suami isteri. Jika si suami tersentuh dalam keadaan kedua-dua berwuduk. Maka si isteri ambillah wuduk semula, manakala si suami tidak. Kan senang tak gaduh2? Timbul pula soalan: Abis, sah ke solat kita (suami-isteri)? Kenapa pula tidak? Jika di Mekah, umat Islam yang berjuta-juta serta berbilang mazhab boleh bersolat berjemaah bersama, mengapa tidak kita?

Namun, saya juga menasihatkan beliau agar bakal suaminya dapat meraikan dan menghormati pegangan mazhab isteri dan ahli keluarga isteri. Jika di rumah keluarga mertua, ambillah wuduk bila tersentuh isteri. Jika tidak, ia boleh menimbulkan salah faham keluarga mertua.

Ingat kisah Imam Malik? Beliau pernah meraikan pandangan golongan mereka berpendapat sunnah membaca doa qunut dengan membaca doa tersebut ketika menjadi Imam solat Subuh di kediaman Imam Syafii, padahal beliau tidak pernah qunut sebelumnya. Tindakan tersebut dilakukan tidak lain adalah sebagai penghormatan dan meraikan pandangan Imam Syafii.

Nah, jika seorang ulama besar boleh berbuat demikian mengapa tidak kita? Semoga kita dapat merenung isu dalam posting kali ini dengan satu dialog yang dipetik dari sebuah blogger Indonesia:

Q:”Lho, jadi qunut saat Subuh itu betul?”
A:”Betul, karena dalilnya ada. Qunut itu betul, bagi yg meyakini bahwa qunut subuh itu sunnah.”

Q:”Lantas, yg tidak qunut saat Subuh juga betul?”
A:”Tentu saja betul, karena mereka beranggapan bahwa qunut Subuh tidak sunnah.”

Q:”Lho, kalo begitu, siapa yg salah?”
A:”Yang salah? Yaaa jelas, yg salah adalah yg tidak sholat Subuh. Gitu aja kok repot!”

Lawatan Ke US (Bahagian Kelima)

Sambungan…

Antara persatuan yang menjadi tumpuan kami di sini juga ialah pertubuhan Big Brother Big Sister (BBBS), antara organisasi pembimbing atau mentoring terbesar di Amerika. Hampir setiap negeri di Amerika mempunyai cawangan BBBS.

Kunjungan ke sini begitu membuka mata kami, melihat bagaimana profesionalnya sistem yang dijalankan bagi mentoring, bayangkan mereka mempunyai hampir 40 petugas bagi memastikan semua kegiatan membimbing atau mentoring mereka berjalan dengan lancar. Di sini Pembimbing atau Mentor digelar sebagai Big Brother atau Big Sister manakala klien atau mentee pula dikenali sebagai The Little.

Setiap mentor dipadankan dengan satu klien sahaja, dengan sekurang-kurangnya sejam pertemuan pada setiap minggu di antara mereka dalam tempoh minimum setahun. Terdapat juga sistem mentor sesama rakan sekolah dengan pelajar yang lebih dewasa menjadi mentor kepada pelajar junior. Tujuannya supaya pelajar yang lebih dewasa dapat memberi bimbingan kepada yang lebih muda dengan aktiviti yang dilakukan secara bersama seperti bermain dan melakukan kerja sekolah bersama. Program ini juga diluaskan kepada golongan minoriti Afrika-Amerika dan juga Hispanik dengan Mentor nya juga terdiri daripada bangsa yang sama.

Kami juga dimaklumkan bahawa BBBS mempunyai hubungan yang rapat dengan franchise National Football League (NFL), National Basketball League (NBA) dan juga Major Baseball League (MBL) yang merupakan sukan-sukan utama dan diminati oleh rakyat Amerika termasuk para belia. Kerjasama ini dilakukan dari segi membekalkan tiket-tiket percuma kepada BBBS.

Kami juga sempat berkunjung ke satu kelab belia bernama Youth Advocates, di mana aktiviti break dancing merupakan satu wadah utama mereka dalam menarik para belia. Di sini para belia berpeluang menunjukkan kemahiran masing-masing di samping berpeluang untuk dihantar bertanding dan menunjukkan bakat ke luar negara.

Kami berkesempatan melihat sambil mengambil gambar dan merakamkan video para belia daripada pelbagai latar belakang dan bangsa seperti Hispanik, Afrika-Amerika, Cina dan Eropah (hanya satu sahaja berbangsa Eropah) berkumpul sambil menunjukkan bakat masing-masing sehingga tanpa kami sedari jam di tangan sudah melewati 10 malam!

Di Youth Advocates (YA) mereka mempunyai 12 kakitangan profesional yang bertugas sepenuh masa, menurut Pengarah Eksekutif YA iaitu Charles Rotramel yang berumur dalam lingkungan 40 an, mereka percaya bahawa jalinan hubungan yang baik antara belia dapat mengelakkan daripada terjebak dengan anasir yang kurang sihat. Kami dapat melihat betapa akrab dan rapat Charles dengan para belia, di mana dalam masa beliau sibuk berbicara dengan kami sempat beliau mengangkat tangan kepada setiap belia yang baru tiba di YA.

Ada satu pengamatan yang betul-betul mencuit hati saya. Di Amerika Syarikat, para belia seperti ini, tidak dianggap sebagai beririsiko atau youth at-risk seperti lazimnya di Singapura. Tetapi, mereka dianggap sebagai youth at the brink of success atau belia di ambang kejayaan.

Antara bidang kerja YA ialah mereka menjadi pengantara (advocates) dalam memadankan belia berisiko ini dengan lain-lain badan bantu diri. Selain dari itu mereka akan memastikan setiap remaja ini mempunyai pekerja sosial yang akan membantu mereka kembali ke pangkuan jalan. Selain dari itu, YA juga menguruskan bantuan kewangan daripada badan-badan kebajikan lain bagi para remaja yang menghadapi isu undang-undang dengan mahkamah juvena.

Destinasi berikutnya ialah Seattle yang merupakan bandar terakhir kami di Amerika Syarikat.

Bersambung…

Nantikan pengalaman saya mengunjungi Pike Place Market, aktiviti balingan ikan antara penjual ikan dan pengalaman berjumpa kaki ketam Alaska sebesar lengan!

Nota: Bagi maklumat lebih mendalam berkenaan pertubuhan Big Brothers Bis Sisters & Youth Advocates sila lawati lelaman:

www.bbbs.org
www.youthadvocates.org

Pengalaman Sebagai Naib Kadi

Sabtu lepas aktiviti saya padat dengan tugasan menikahkan pasangan-pasangan, bermula dari pagi dan berakhir pada malam hari. Maklum sekarang ni dah musim cuti sekolah. 

Apa yang menarik pasangan2 yang saya nikahkan baru2 ni terdiri daripada pelbagai latar belakang. Pasangan yang sama2 bujang, duda dan janda, pasangan muda belasan tahun dan juga pasangan yang berpoligami. Warna-warni kan?

Sebagai seorang kadi, saat yang paling best ialah bila kita nikahkan pasangan yang sama-sama bujang, ramai orang, meriah, gembira, seronok. Semua happy dan ghairah. Suntikan keghairahan tersebut akan terjangkit kepada si Kadi macam saya ni : ) Lebih-lebih lagi bila hadirin penuh sampai kadi nak masuk rumah pun susah.

Perkara sebaliknya berlaku, bila si duda bernikah dengan si janda, suasana sepi. Pernah saya nikahkan pasangan, yang hadir hanya pengantin, 2 saksi dan wali serta beberapa orang teman. Rupanya keluarga suami (bujang) tidak berkenan dan merestui pernikahannya dengan isteri (janda).

Di sinilah faktor keberkatan ibu bapa memainkan peranan. Dalam Islam, berbeza dengan pengantin perempuan yang perlukan wali, pernikahan tetap sah dan boleh diteruskan walaupun keluarga suami tak berikan restu. Namun, pernikahan tanpa restu ibu bapa walau pasangan tersebut saling cinta-mencintai adalah suatu perkara yang tidak digalakkan. Ia biasanya tidak kekal lama kerana faktor kurang keberkatan.

Kenapa dan Mengapa? Ia mudah. Pernikahan yang tiada restu (atau terpaksa direstui) ibu bapa, pastinya ibu dan bapa tidak gemar atau berkenan dengan pasangan kita, bila tak gemar..pastinya susah untuk berkomunikasi dan kurang doa daripada ibu bapa dalam sesetengah keadaan. Dalam jangka masa panjang ia bukanlah sesuatu yang sihat.

Dalam keadaan sebegini, penting bagi anak atau menantu cuba memperbaiki keadaan dan mengambil hati ibu bapa agar lama kelamaan ia mendapat restu dan rumahtangga mendapat keberkatan.

Antara pasangan yang saya nikahkan baru2 ni, pasangan belasan tahun. Yang perempuan baru sahaja 16 tahun, yang si suami umur 20 tahun. Memandangkan ia merupakan pasangan muda maka saya terpaksa improvise khutbah nikah yang perlu dibacakan untuk disesuaikan dengan usia mereka dan saya selitkan tanggungjawab yang boleh dimainkan kedua ibu bapa bagi membantu rumahtangga anak-anak mereka.

Ini penting kerana kebanyakan ibu bapa pasangan muda, jika berlaku sesuatu perkara khususnya jika ‘short gun’, perkara pertama yang difikirkan ingin menutup malu iaitu dengan dikahwinkan anak mereka.

Sebenarnya tidak salah untuk nikahkan anak bagi menuntut malu, namun perancangan jangka pendek dan panjang juga perlu difikirkan. Ini termasuk cabaran2 yang bakal dihadapi oleh anak-anak mereka seperti pendapatan kurang stabil kerana masih dalam perkhidmatan negara, baru bekerja atau dalam keadaan jika mereka mendapat anak pada awal perkahwinan mereka.

Antara perkara yang perlu difikirkan juga (saya sering sentuh perkara ini dalam kursus rumahtangga untuk ibu bapa pasangan bawah usia 21 tahun) ialah plan bertindak secara bersama yang melibatkan anak, menantu dan besan masing2 yang berbentuk dalam sokongan dari segi kewangan dan penjagaan anak.

Isu2 seperti siapa yang perlu menjaga anak jika sang suami pergi bekerja atau NS, siapa yang perlu bantu belikan susu, pampers, jaga anak (jika isteri juga bekerja) perlu difikirkan. Ini penting kerana pasangan muda kurang matang dan pastinya punya kerumitan dari segi kewangan. Ibu bapa tidak boleh tidak perlu membantu.

Bayangkan jika perkara ini dibincangkan dengan teliti termasuk perancangan jangka panjang, contohnya: Anak digalakkan teruskan belajar atau mendalami kursus, mertua yang masih bekerja membantu dari segi kewangan, manakala besan kita yang tidak punyai pekerjaan pula membantu dari segi penjagaan anak. Pastinya pada jangka masa panjang pasangan tersebut dapat berdikari kerana bakal mempunyai pekerjaan yang stabil hasil dari pendidikan yang sempurna.

Selain dari itu, galakan dan bimbingan yang berterusan dari kedua ibu bapa dapat membantu meningkatkan kematangan anak-anak yang berkahwin pada usia muda, ibu bapa juga harus banyak bersabar kerana mereka perlu ingat yang anak-anak muda ini walaupun mungkin sudah dan bakal menjadi ibu atau bapa, pada hakikatnya masih muda dan belum punyai kematangan yang mencukupi.

Namun dengan tunjuk ajar dan sifat tidak putus asa dan doa yang berterusan dari ibu bapa, I.Allah rumah tangga yang dibina pada usia muda ini juga tidak mustahil dapat bertahan sehingga sepanjang hayat.

Nota: Gambar yang disiarkan merupakan gambar hiasan dan tiada kena mengena dengan posting kali ini.

Terima Kasih…

Alhamdulillah, dengan izin Allah..Jumlah pengunjung blog ini dah mencapai lebih dari 1400 hit sejak 25 Mac. Bulan ini sahaja sudah mencapai lebih dari 1000 hit. Jumlah pengunjung ada sejauh India, Mesir, Saudi, Australia, UK dan juga USA.

 

Terima kasih kepada pengunjung yang telah memberi sokongan kepada laman blog saya. Sokongan anda membuatkan saya semakin bersemangat untuk berkongsi pengalaman bekerja baik ketika kaunseling, sesi di Mahkamah Shariah mahupun pengalaman seharian ataupun perkara yang berkaitan dengan isu-isu semasa. Sebenarnya, banyak lagi yang ingin saya kongsi cuma tak berkesempatan. 

Semoga usaha dakwah yang tak seberapa ini dapat memberi kemanfaatan kepada semua dan doakan agar Allah memberi saya kekuatan dan kesihatan untuk terus menulis dan berkongsi..

Lawatan Ke US (Bahagian Keempat)

Sambungan…

Selepas beberapa hari di Boston, kami berpindah pula ke destinasi kedua kami iaitu bandar Houston, Texas. Berbeza dengan bandar Boston yang dingin dengan suhu antara 5-9 C, cuaca di Houston adalah lebih hangat serta lebih kurang sama dengan Singapura iaitu sekitar 27C dengan sedikit dingin pada waktu malam. Dah lah tu, masa di Houston pun beza dari Boston! Kurang 1 jam dari Boston. Beginilah besarnya Amerika dari satu bandar ke bandar macam dari satu negara ke negara. Patutlah ada kajian menyatakan bahawa warganegara Amerika antara penduduk yang paling sedikit ke luar negara berbanding penduduk dunia yang lain. Baru saya faham kenapa.

Bandar Houston menggambarkan perubahan terhadap komposisi kaum di Amerika pada masa kini, masyarakat Hispanik kini menggantikan bangsa Afrika-Amerika sebagai kaum minoriti terbesar di Amerika. Malah, bangsa Asia yang kebanyakannya berasal daripada Vietnam dan Hispanik dijangkakan akan mengambil alih tempat sebagai minoriti terbesar dalam jangka masa 10 tahun akan datang. Ini memandangkan saban tahun terdapat ramai pendatang baru baik daripada Asia mahupun Amerika Latin berhijrah dan menetap di Amerika Syarikat.

Setibanya di hotel penginapan kami pula yang pada saya antara yang paling mewah (Holiday Inn Select) sepanjang kami berada di sini, cuma disavantage hotel kami ni, dia jauh sikit dari downtown tidak seperti semasa di Boston. Di hotel kami ni, berjumpalah dengan ramai wanita dalam pertengahan usia yang cukup bergaya dengan baju kaitan yang berwarna-warni. Rupa-rupanya kami diberitahu bahawa bandar Houston sedang menjadi tuan rumah bagi konvensyen Kaitan (Quilt) sedunia yang mengumpulkan pengait-pengait fabrik dari seluruh dunia.

Hmmph, patutlah masing-masing sibuk bergaya dengan beg dan baju yang dikait sendiri. Haha..sungguh unik dan kreatif sekali makcik-makcik di ini.

Memandangkan kami tiba di sini pada waktu petang, maka kami hanya akan mulakan lawatan rasmi kami pada keesokan harinya. Peluang ini tidak dilepaskan oleh teman-teman saya dari kalangan wanita yang diketuai oleh Madam Y, rupa-rupanya mereka punyai misi genting di Houston yang telah dirancang sejak di Singapura lagi. Ingin tahu apa misi mereka? Haha…Beg tangan wanita berjenama ’Coach’. Berdozen mereka beli termasuk kiriman saudara-mara di Singapura. Hmmph, kalau dan perempuan, perempuan juga..Tidak kiralah walau di mana mereka berada…Cakap orang, saya pun sempat potong rambut di salah sebuah saloon di sini, adalah dalam $ 25 terkopak..nak cari barber tak jumpa2. Takpelah, sekali sekala..yang gunting dan shampoo rambut saya ni pun orang Vietnam !

Di Houston, kami sempat berkunjung ke Muslim American Society (MAS) Youth Centre. Dengan saiz sebesar rumah eksekutif HDB, tersedia bilik darjah bagi pembelajaran agama, meja billiard, meja ping pong, mini gymnasium dan lantai getah bagi latihan seni mempertahankan diri Taekwondo khusus untuk para belia. Wah, canggih betul. Bisik hati saya.


Bagi yang tidak mengenali MAS, ia merupakan salah satu organisasi Islam terbesar di Amerika Syarikat. Malah hampir setiap bandar di Amerika mempunyai cawangan MAS.

Semasa di sini, kami sempat berkongsi pengalaman dengan Fady Qaddoura, salah seorang pemimpin muda bagi MAS cawangan Houston, Texas. Beliau keturunan Arab Palestin tetapi dilahirkan dan dibesarkan di Amerika.

Beliau menerangkan bahawa pusat belia ini terbuka kepada seluruh bangsa dan agama, tidak hanya ekslusif bagi mereka yang beragama Islam sahaja. Beliau juga menjelaskan bahawa pusat tersebut merupakan antara cawangan Persatuan Pengakap Amerika atau Scout di Houston. Aktiviti pengakap dipilih kerana terdapatnya ciri-ciri positif seperti sifat kepimpinan, lasak dan jati diri pada diri belia. Malah pusat belia di sini mempunyai bendera Pengakap mereka sendiri.

Beliau juga sempat menayangkan video yang menerangkan informasi aktiviti MAS sambil menjelaskan bahawa walaupun masyarakat Islam di sana tidak bersetuju dengan dasar luar pemerintah Amerika serta marah dengan penglibatan tentera Amerika di Timur Tengah seperti di Iraq, di mana MAS pernah mengetuai perarakan masyarakat Islam Amerika serta melakukan bantahan secara aman terhadap pemerintah Amerika, namun mereka tetap akur kepentingan menjadi rakyat dan Muslim yang baik serta keperluan menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara seperti mengundi agar mereka mempunyai suara dalam menentukan pucuk kepimpinan negara Amerika.

Beliau juga berkongsi tentang hubungan baik di antara masyarakat Islam di sana dengan masyarakat bukan Islam sehinggakan pihak bank dan juga ahli kongres di Houston turut sama membantu dalam projek dana bagi MAS di Houston.

Bersambung…

Nota: Nantikan sambungan pada bahagian akan datang di mana kami lepak sampai malam dengan Mat2 Hip Hop Houston!

Berok

Pagi tadi selepas nikahkan satu pasangan di Restoran Tepak Sirih, saya dihantar pulang ke pejabat oleh teman saya seorang peguam. Beliau ni sering saya jumpa ketika mengendalikan sesi hakam di Mahkamah Shariah. Kebetulan pernikahan ini pun beliau yang recommend kan saya. 

Semasa dalam kereta, beliau dihubungi oleh client nya. Oleh kerana teman saya ni sedang memandu maka beliau pun guna speaker phone. Beginilah dialog client beliau tu: ” Encik, saya ada masaalah lah pasal rumah, rumah saya tu tak boleh jual sebab dah kena transfer pada berok tu..” Begitulah dialognya lebih kurang…

Rupanya si pemanggil ni baru sahaja bercerai dengan bekas suami beliau. Ada ke duda beliau dipanggil berok? Habis tu, kalau duda dia berok, dia apa pulak? Mana ada orang nak kahwin dengan berok, kecuali sama2 berok! : ) Tak patut2..

Beginilah, bila nak kahwin cinta bukan main, bila dah bercerai gelar nama macam2. Dalam Islam, kita bukan sahaja disuruh bersatu dengan baik tetapi juga perlu berpisah dengan baik. Bagi nafkah pada bekas isteri dan juga mut’ah (pampasan) sebagai mengenang jasa bekas isteri. Lebih-lebih lagi jika kita ada zuriat dengan bekas isteri.

Atas alasan itu perceraian diharuskan dalam agama, sebagai satu jalan keluar apabila rumahtangga tersebut sudah tidak dapat diselamatkan lagi akibat tiada persefahaman antara kedua pasangan suami isteri atau sudah hilang kasih sayang antara keduanya atau salah seorang daripada suami isteri tersebut.

Justeru itu, setiap pasangan seharusnya berfikir panjang sebelum memutuskan untuk berpisah, khususnya dalam perkara yang berkaitan dengan anak-anak, tidak kira sama ada anak tersebut masih kecil ataupun sudah besar.

Perkara seperti: Siapakah yang perlu menjaga anak-anak tersebut? Dan jika ibu atau bapa yang diberi kuasa menjaga, bilakah masanya pasangan yang satu lagi diberikan hak untuk melawat dan meluangkan masa bersama anak-anak?

Isu-isu seperti penjagaan anak-anak tidak seharusnya menjadi punca perbalahan yang berpanjangan di antara pasangan yang sudah berpisah. Sikap tolak ansur amat penting dalam hal ini. Segala keputusan perlu mengambil kira hati dan perasaan anak-anak.

Dengan ini pasangan yang sudah berpisah seharusnya perlu berbaik-baik dan membuat perancangan jangka panjang bagi jadual masa untuk memastikan anak-anak tidak akan hilang kasih sayang. Walau pun sudah berpisah atau ibu bapa sudah bernikah semula.

Antara perkara yang boleh dilakukan ialah ibu bapa yang telah berpisah perlu sepakat memberikan mesej yang sama pada anak dalam memupuk nilai positif dalam diri anak. Kerjasama dan kesehaluan dalam tindak-tanduk mengasuh anak adalah penting bagi kebajikan dan perkembangan anak.

Dengan ini anak-anak akan merasakan bahawa kasih sayang kedua ibu bapa terhadap diri mereka tetap utuh dan tidak berubah, bahkan sama sekali tidak terjejas walaupun ibu bapa sudah tidak tinggal bersama.

Cinta

Kelmarin saya baru menonton film Ayat-Ayat Cinta bersama dengan isteri…pada saya film nya baik dan lakonan para pelakonnya mantap. Buktinya isteri saya meleleh air mata kerana kesedihan..Saya? No komen beb…

Cuma isteri saya tak puas hati kerana tak sama 100% dengan cerita dalam novel serta penggambarannya pula bukan di Mesir. Hmmph..Bukan senang cerita film yang diangkat ke layar perak. Bayangkan, novel 400-500 muka surat perlu dilakonkan dalam masa 2 jam? Pasti ada yang perlu disunting.

Cakap pasal film AAC ni, pelakon utama atau hero nya, dalam film ni ramai betul gadis yang terpikat dengannya. Kesemua gadis dalam film tersebut terpikat padanya kerana kemulian peribadi si ‘Fahri’. 

Jatuh cinta pandang pertama dengan ketampanan dan kejelitaan seseorang mungkin adalah satu perkara yang biasa kita dengar. Tapi tidak kurang juga ramai yang akan terpaut dengan sikap lemah lembut, sopan santun, bijak, kelakar, intellectual dan yakin diri! Ini biasanya cinta pandang kelima atau kesepuluh lah kecuali pakej ini complete dengan fizikal yang menarik.

Saya cakap begini kerana kadang kala, ada yang merasakan bahawa untuk mendapat pasangan kita perlulah punyai rupa fizikal yang menarik, tapi kalau kita lihat sekeliling, kita akan melihat teman kita atau saudara mara kita punya rupa tetapi masih belum bertemu jodoh, ada juga yang kurang menarik dari segi rupa dan fizikal tapi punya isteri atau suami yang jelita ataupun tampan. Maknanya, rupa bukan segalanya kan?

Nasihat saya yang belum bertemu jodoh dan masih lagi mencari-cari, seseorang tu perlu yakin dengan apa yang Allah ciptakan pada diri kita, yakin diri dengan kemampuan kita dan perelokkan keperibadian kita. Banyak berdoa juga baik diri sendiri atau dari ibu bapa. Paling penting juga, janganlah menyendiri..cuba aktifkan diri dengan aktiviti kemasyarakat dan sukarela.

Dan kalau perlu sound cik abang yang pemalu dan tak faham2 tu, sound lah..tapi biarlah dengan cara yang beradab dan beretika. Kita akan ada email, chat etc? Atau boleh guna orang tengah? Lambat2 nanti melepas, maklum bukan senang cari pemuda atau pemudi yang beriman dan bertaqwa sekarang ni. : )

Tapi kalau masih belum jumpa? Anggaplah itu satu ujian untuk kita dan jangan putus asa. I.Allah adalah tu…