Sambungan…
Ketika dalam pesawat, saya dapat rasakan perbezaan ketara bagi syarikat penerbangan milik syarikat penerbangan Amerika dengan pesawat Singapore Airline (SQ) dari segi pemilihan peramugari mereka..Saya perasan ketika turun naik pesawat mereka ni, pastinya terdapat 4 jenis peramugari. Yang muda dan jelita, muda tetapi tidak jelita dan berbadan besar yakni tidak kurus, juga mereka yang sudah sedikit berusia. Sebenarnya, semasa saya belajar dulu..saya juga pernah ke London daripada Cairo dan menaiki pesawat Balkan Air (milik negara Bulgaria) . Saya juga mendapati perkara yang sama. Seperti tukang masak kata teman saya. Ini mungkin sebab kita sudah streotype dengan peramugari milik SQ.
Saya membuat kesimpulan, ini bukan perkara yang disengajakan. Saya nyatakan pandangan saya ini dengan dengan teman saya yang merupakan ketua delegasi kami iaitu Sazali. Beliau kata memang betul telahan saya. Negara Amerika dan negara Eropah yang lain memang mengamalkan dasar sama rata dan tidak diskriminasi terhadap wanita. Ini bermakna semua wanita tidak kira cantik atau tidak, kurus atau tidak, kesemuanya berpeluang untuk menjadi peramugari. Bayangkan dasar tersebut diaplikasikan pada Singapore Girl!
Di Seattle cuaca kembali dingin, hampir sama dengan cuaca semasa di Boston. Pemandangan di sini adalah cukup indah pada masa ini, dengan berlatar belakangkan teluk serta Pergunungan Rainier yang diseliputi salji di kemuncaknya seperti Gunung Fujiyama di Jepun. Ia jelas kelihatan daripada kapal terbang semasa perjalanan dari Houston.
Hmmph, terfikir pula kalau punya rezeki, ingin pula rasanya di bawa keluarga datang ke sini. Cakap pasal keluarga, alhamdulillah, hotel-hotel penginapan kami di sini kesemuanya punyai kemudahan Wifi, dapat juga digunakan untuk berkomunikasi setiap hari dengan keluarga dan juga teman melalui MSN Messenger.
Bagi mereka yang biasa menonton siri Grey Anatomy atau pernah menyaksikan film Sleepless in Seattle, pasti dapat membayangkan bandar ini. Ia sungguh pesat membangun dan romantik sekali!
Setibanya kami di Seattle, perkara pertama yang perlu kami lakukan ialah terpaksa menukar sekali lagi waktu kami di sini. Hmmph..kali ketiga saya lakukan semasa di US, kali in ditambah sejam pula bersenpena dengan Daylight Saving Time.
Bandar Seattle dikenali sebagai antara bandar yang mempunyai kadar celik huruf yang tertinggi sekali di Amerika dengan 50% daripada penduduknya yang berusia 25 tahun ke atas mempunyai pendidikan sekurang-kurangnya sarjana muda.
Namun bak kata pepatah Melayu, air yang tenang, jangan disangka tiada buaya. Begitulah halnya dengan bandar Seattle. Dengan latar belakang dan persekitaran yang dikelilingi lautan biru dan keindahan tasik yang menghiasinya, tiada siapa menjangka masalah penyalahgunaan dadah adalah antara kesalahan jenayah utama di kalangan belia di Seattle. Ini ditambah pula dengan kebanyakan pesalah tidak mempunyai tempat tinggal yang sempurna. Taman-taman serta bangunan awam dijadikan tempat teduh mereka.
Selepas berehat selama sehari, keesokan paginya kami berkesempatan bersiar-siar ke Pike Place Market yang terkenal dengan hasil tangkapan laut yang segar dan menjadi tumpuan pelancong di sini. Takjub bila melihatkan hasil tangkapan yang sungguh besar, khususnya ketam raksasanya yang dikenali sebagai Alaskan Giant Crab. Bayangkan kaki ketam Alaska ini sahaja sudah sebesar lengan dan berharga US$22! Kami berkesempatan merasa cebisan ketam yang dijual yang sudahpun direbus terlebih dahulu dan rasanya sungguh manis dan lazat. Ketam raksasa ini sungguh mahal memandangkan proses menangkapnya menghadapi risiko dipukul ombak ganas. Terdapat satu rencana dokumentari yang bertajuk Deadliest Catch oleh Discovery Channel yang mengisahkan proses penangkapan ketam raksasa yang sungguh mencabar lagi bahaya ini.
Selain dari menikmati pemandangan hasil tangkapan laut di sini, kami juga terhibur dengan cara proses jual beli yang dilakukan dengan begitu santai sekali. Si jurujual akan melambungkan ikan yang telah dijual kepada temannya yang kemudiannya akan menyambut serta membungkusnya sambil bernyanyi-nyanyi. Aksi ini menjadi tumpuan ramai pelancong yang terhibur melihat telatah mereka. Malah aksi mereka yang bekerja secara sepasukan dengan cara yang santai, ceria dan produktif ini telah dijadikan inspirasi sebagai satu konsep pengurusan yang dinamakan sebagai FISH Philosophy.
Bayangkan jika apek-apel jual ikan lakukan aksi demikian di pasar-pasar kita di Singapura! Pasti gamat dibuatnya.
Bersambung…
Nantikan bahagian terakhir pada Jumaat depan, kisah aktiviti sukarela kami di pusat pengagihan makanan untuk orang2 miskin, kisah lucu bersama George (pegawai yang ditugaskan bersama kami) dan pengalaman homestay di Seattle!