Sambungan…
Berbeza dengan pengalaman di bandar-bandar sebelum ini, selain daripada berpeluang berkongsi pengalaman, kami berkesempatan merasakan pengalaman menjalankan kerja sukarela di Cherry Street Food Bank, salah sebuah badan sukarela yang dikendalikan oleh Pertubuhan Northwest Harvest yang menguruskan pengagihan makanan percuma kepada golongan fakir miskin di Seattle.
Di Cherry Street Food Bank mereka menerima di antara 1,200 hingga 1,700 penerima bantuan pada setiap Isnin dan Rabu. Menurut Puan Jeri Chonle penyelaras sukarelawan di sini, mereka cuba memastikan pengunjung menerima bantuan semudah mungkin tanpa berasa tidak selesa atau segan. Setiap penerima hanya akan diminta memberikan nama dan maklumat yang asas bagi diri masing-masing bagi memudahkan urusan pemberian bantuan.
Di sini kami berpeluang melakukan kerja sukareladengan membungkus ’snek’ ke dalam plastik untuk diedarkan kepada golongan yang memerlukan. Sungguh menakjubkan apabila melihat bersama-sama dengan kami terdapat seorang sukarela yang lanjut usia dalam pertengahan umur 60 an yang sudah sedikit bongkok serta tidak mampu berjalan dengan baik dan seorang wanita yang mempunyai IQ yang rendah tetapi masih tetap juga bersemangat melakukan kerja sukarela.
Selain dari membungkus snek di dalam gudang, saya juga berpeluang bersama dua teman lelaki yang lain membahagikan barangan kering kepada penerima bantuan. Dengan cuaca sedingin 5C, kami terpaksa menahan kesejukan tangan kerana terpaksa menggunakan sarung tangan plastik sahaja bagi menggantikan sarung tangan biasa untuk tujuan mengagihkan barangan pasar seperti bawang ke dalam plastik sebelum membahagikannya bersama buah-buahan, makanan dalam tin, beras, roti dan juga minuman mineral kepada golongan yang memerlukan.
Kami dapat melihat sendiri bagaimana orang ramai dari pelbagai latar belakang, baik tua mahupun muda, sama ada bangsa Cina, Afrika-Amerika mahupun mereka yang berbangsa Eropah beratur panjang untuk menerima bantuan. Kami difahamkan mereka ini daripada golongan yang tidak mempunyai pekerjaan, pekerja bergaji rendah ataupun mangsa keganasan domestik. Terdapat juga dari kalangan mereka yang tidak mahukan barangan kering atas alasan tidak dapat memasak. Tidak sangka dalam kepesatan dan keindahan bandar Seattle ini masih lagi terdapat penduduk daripada kalangan yang tidak mempunyai kediaman dan tinggal di jalanan.
Semasa di bandar Seattle, kami juga berpeluang ke University District atau lebih dikenali sebagai U District. Dinamakan sedemikian kerana kampus utama University of Washington terletak di sini, iaitu bandar kediaman bagi penuntut dan juga tenaga kerja University of Washington.
Terdapat pub, perpustakaan utama, pasaraya dan juga cafe yang berselerakkan lengkap dengan wifi bagi kemudahan penuntut. Terbayang pula rancangan kerajaan Singapura yang ingin membina bandar Universiti Kebangsaan Singapura atau NUS University Town yang akan siap pada tahun 2010 yang juga akan menempatkan para pelajar, penyelidik dan juga pensyarah yang saya rasa berkemungkinan besar juga diambil daripada model atau konsep bandar universiti-universiti di Amerika.
Kami juga sempat melawat Seattle Youth Garden Works, pertubuhan yang menjalankan kerja2 belia melalui pendekatan berteraskan ‘taman atau kebun’ di mana para belia akan berkebun dan bercucuk tanam sambil menambahkan pendapatan mereka. Ada antara mereka ini merupakan pesalah muda yang dihantar ke sini bagi menjalani pemulihan. Di sini mereka akan dididik dan diajar cara2 menanam dan menjaga pokok2 dan perlbagai jenis tanaman. Projek mereka ini mendapat sokongan daripada Washington University (WU).
Antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan di sini ialah mereka home visit, di mana saya berkesempatan singgah dan menikmati hidangan jamuan malam di rumah warga negara Amerika. Kami semua dipecah2kan menjadi beberapa kumpulan dan ditetapkan tuan2 rumah masing2.
Tuan rumah bertuah yang menerima kunjungan kami ialah Cik Elizabeth Younger. Beliau sendiri yang mengambil kami daripada hotel penginapan. Bagi lawatan ini kami sekumpulan bersepakat untuk bergaya dengan baju kurung melayu, lagipun pada masa tu masih raya lagikan?
Selepas hampir setengah jam perjalanan tibalah kami di rumahnya yang terletak bersebelahan dengan tasik besar yang memisahkan antara tanah besar Seattle dengan Mercer Island. Fuuh! cantik betul dan nyaman. Sayang, setibanya kami di sama sudah gelap. Tuan rumah kami ni sungguh mesra dan asyik ketawa sahaja, sudah punyai 3 orang cucu tapi masih nampak muda dan ceria, sesuai dengan namanya ‘Younger’.
Beliau sebenarnya sering menerima tetamu dari luar bagi program pelawat antarangsa seumpama ini. Sempat beliau menunjukkan barang2 perhiasan rekaannya sendiri yang dibuat daripada batu2 kecil dan diiport ke merata tempat. Hasil niaganya ini telah membawa beliau ke seluruh pelusuk dunia. Power kan? Pada jamuan malam di rumahnya, saya terpaksa makan ‘Asparagus’. Erk..seumur hidup memang saya tak pernah sentuh, tapi apa nak buat..nak sedapkan hati tuan rumah..sental jelah.
Setelah genap 3 hari di Seattle, maka tibalah masa untuk kami berangkat pulang. Banyak sekali perkara yang dapat kami pelajari sepanjang masa kami berada di sini termasuk berkenalan dengan saudara se-Islam di Amerika yang sungguh progresif dan berdiri sama tinggi dengan rakyat Amerika yang lain.
Tak lupa juga saya pada kedua teman atau pegawai dari Amerika iaitu George & Karen yang mengiringi kami sejak dari hari pertama lagi. Jasa dan telatah kalian tidak akan hilang dari ingatan ini, terutamanya gelagat George yang ala watak Monk dalam siri drama ‘Monk’, beliau juga punya darah Arab. Rasa bersalah pula kadang2 bila teringat saya kenakan dia dalam perbualan kami sehingga teman2 yang lain terkekek2 ketawa. Sorry George : )
Hasil dari lawatan ini juga, kami sekumpulan bersepakat untuk terus meneruskan hubungan yang telah terjalin dan menamakan diri kami sebagai Alliance 9 atau Perikatan 9. Alhamdulillah, semangat persaudaraan kami yang terbina di Amerika masih lagi kukuh dan bertahan di Singapura. Semoga dengan pengalaman baru yang diraih ini, kita terus diberikan kekuatan oleh Allah untuk terus bekerja dan mempraktikkan segala amalan terbaik yang boleh diimplikasikan di sini dalam membantu menyusun program preventif dan intervensi baik untuk belia mahupun keluarga.