Sabtu lepas aktiviti saya padat dengan tugasan menikahkan pasangan-pasangan, bermula dari pagi dan berakhir pada malam hari. Maklum sekarang ni dah musim cuti sekolah.
Apa yang menarik pasangan2 yang saya nikahkan baru2 ni terdiri daripada pelbagai latar belakang. Pasangan yang sama2 bujang, duda dan janda, pasangan muda belasan tahun dan juga pasangan yang berpoligami. Warna-warni kan?
Sebagai seorang kadi, saat yang paling best ialah bila kita nikahkan pasangan yang sama-sama bujang, ramai orang, meriah, gembira, seronok. Semua happy dan ghairah. Suntikan keghairahan tersebut akan terjangkit kepada si Kadi macam saya ni : ) Lebih-lebih lagi bila hadirin penuh sampai kadi nak masuk rumah pun susah.
Perkara sebaliknya berlaku, bila si duda bernikah dengan si janda, suasana sepi. Pernah saya nikahkan pasangan, yang hadir hanya pengantin, 2 saksi dan wali serta beberapa orang teman. Rupanya keluarga suami (bujang) tidak berkenan dan merestui pernikahannya dengan isteri (janda).
Di sinilah faktor keberkatan ibu bapa memainkan peranan. Dalam Islam, berbeza dengan pengantin perempuan yang perlukan wali, pernikahan tetap sah dan boleh diteruskan walaupun keluarga suami tak berikan restu. Namun, pernikahan tanpa restu ibu bapa walau pasangan tersebut saling cinta-mencintai adalah suatu perkara yang tidak digalakkan. Ia biasanya tidak kekal lama kerana faktor kurang keberkatan.
Kenapa dan Mengapa? Ia mudah. Pernikahan yang tiada restu (atau terpaksa direstui) ibu bapa, pastinya ibu dan bapa tidak gemar atau berkenan dengan pasangan kita, bila tak gemar..pastinya susah untuk berkomunikasi dan kurang doa daripada ibu bapa dalam sesetengah keadaan. Dalam jangka masa panjang ia bukanlah sesuatu yang sihat.
Dalam keadaan sebegini, penting bagi anak atau menantu cuba memperbaiki keadaan dan mengambil hati ibu bapa agar lama kelamaan ia mendapat restu dan rumahtangga mendapat keberkatan.
Antara pasangan yang saya nikahkan baru2 ni, pasangan belasan tahun. Yang perempuan baru sahaja 16 tahun, yang si suami umur 20 tahun. Memandangkan ia merupakan pasangan muda maka saya terpaksa improvise khutbah nikah yang perlu dibacakan untuk disesuaikan dengan usia mereka dan saya selitkan tanggungjawab yang boleh dimainkan kedua ibu bapa bagi membantu rumahtangga anak-anak mereka.
Ini penting kerana kebanyakan ibu bapa pasangan muda, jika berlaku sesuatu perkara khususnya jika ‘short gun’, perkara pertama yang difikirkan ingin menutup malu iaitu dengan dikahwinkan anak mereka.
Sebenarnya tidak salah untuk nikahkan anak bagi menuntut malu, namun perancangan jangka pendek dan panjang juga perlu difikirkan. Ini termasuk cabaran2 yang bakal dihadapi oleh anak-anak mereka seperti pendapatan kurang stabil kerana masih dalam perkhidmatan negara, baru bekerja atau dalam keadaan jika mereka mendapat anak pada awal perkahwinan mereka.
Antara perkara yang perlu difikirkan juga (saya sering sentuh perkara ini dalam kursus rumahtangga untuk ibu bapa pasangan bawah usia 21 tahun) ialah plan bertindak secara bersama yang melibatkan anak, menantu dan besan masing2 yang berbentuk dalam sokongan dari segi kewangan dan penjagaan anak.
Isu2 seperti siapa yang perlu menjaga anak jika sang suami pergi bekerja atau NS, siapa yang perlu bantu belikan susu, pampers, jaga anak (jika isteri juga bekerja) perlu difikirkan. Ini penting kerana pasangan muda kurang matang dan pastinya punya kerumitan dari segi kewangan. Ibu bapa tidak boleh tidak perlu membantu.
Bayangkan jika perkara ini dibincangkan dengan teliti termasuk perancangan jangka panjang, contohnya: Anak digalakkan teruskan belajar atau mendalami kursus, mertua yang masih bekerja membantu dari segi kewangan, manakala besan kita yang tidak punyai pekerjaan pula membantu dari segi penjagaan anak. Pastinya pada jangka masa panjang pasangan tersebut dapat berdikari kerana bakal mempunyai pekerjaan yang stabil hasil dari pendidikan yang sempurna.
Selain dari itu, galakan dan bimbingan yang berterusan dari kedua ibu bapa dapat membantu meningkatkan kematangan anak-anak yang berkahwin pada usia muda, ibu bapa juga harus banyak bersabar kerana mereka perlu ingat yang anak-anak muda ini walaupun mungkin sudah dan bakal menjadi ibu atau bapa, pada hakikatnya masih muda dan belum punyai kematangan yang mencukupi.
Namun dengan tunjuk ajar dan sifat tidak putus asa dan doa yang berterusan dari ibu bapa, I.Allah rumah tangga yang dibina pada usia muda ini juga tidak mustahil dapat bertahan sehingga sepanjang hayat.
Nota: Gambar yang disiarkan merupakan gambar hiasan dan tiada kena mengena dengan posting kali ini.
salam..boleh saya tahu apa perbezaan jawatan Kadi dengan Naib Kadi?? mungkin dari segi tugasnya. Harap dapat menjelaskannya jika tidak keberatan.