Antara persatuan yang menjadi tumpuan kami di sini juga ialah pertubuhan Big Brother Big Sister (BBBS), antara organisasi pembimbing atau mentoring terbesar di Amerika. Hampir setiap negeri di Amerika mempunyai cawangan BBBS.
Kunjungan ke sini begitu membuka mata kami, melihat bagaimana profesionalnya sistem yang dijalankan bagi mentoring, bayangkan mereka mempunyai hampir 40 petugas bagi memastikan semua kegiatan membimbing atau mentoring mereka berjalan dengan lancar. Di sini Pembimbing atau Mentor digelar sebagai Big Brother atau Big Sister manakala klien atau mentee pula dikenali sebagai The Little.
Setiap mentor dipadankan dengan satu klien sahaja, dengan sekurang-kurangnya sejam pertemuan pada setiap minggu di antara mereka dalam tempoh minimum setahun. Terdapat juga sistem mentor sesama rakan sekolah dengan pelajar yang lebih dewasa menjadi mentor kepada pelajar junior. Tujuannya supaya pelajar yang lebih dewasa dapat memberi bimbingan kepada yang lebih muda dengan aktiviti yang dilakukan secara bersama seperti bermain dan melakukan kerja sekolah bersama. Program ini juga diluaskan kepada golongan minoriti Afrika-Amerika dan juga Hispanik dengan Mentor nya juga terdiri daripada bangsa yang sama.
Kami juga dimaklumkan bahawa BBBS mempunyai hubungan yang rapat dengan franchise National Football League (NFL), National Basketball League (NBA) dan juga Major Baseball League (MBL) yang merupakan sukan-sukan utama dan diminati oleh rakyat Amerika termasuk para belia. Kerjasama ini dilakukan dari segi membekalkan tiket-tiket percuma kepada BBBS.
Kami juga sempat berkunjung ke satu kelab belia bernama Youth Advocates, di mana aktiviti break dancing merupakan satu wadah utama mereka dalam menarik para belia. Di sini para belia berpeluang menunjukkan kemahiran masing-masing di samping berpeluang untuk dihantar bertanding dan menunjukkan bakat ke luar negara.
Kami berkesempatan melihat sambil mengambil gambar dan merakamkan video para belia daripada pelbagai latar belakang dan bangsa seperti Hispanik, Afrika-Amerika, Cina dan Eropah (hanya satu sahaja berbangsa Eropah) berkumpul sambil menunjukkan bakat masing-masing sehingga tanpa kami sedari jam di tangan sudah melewati 10 malam!
Di Youth Advocates (YA) mereka mempunyai 12 kakitangan profesional yang bertugas sepenuh masa, menurut Pengarah Eksekutif YA iaitu Charles Rotramel yang berumur dalam lingkungan 40 an, mereka percaya bahawa jalinan hubungan yang baik antara belia dapat mengelakkan daripada terjebak dengan anasir yang kurang sihat. Kami dapat melihat betapa akrab dan rapat Charles dengan para belia, di mana dalam masa beliau sibuk berbicara dengan kami sempat beliau mengangkat tangan kepada setiap belia yang baru tiba di YA.
Ada satu pengamatan yang betul-betul mencuit hati saya. Di Amerika Syarikat, para belia seperti ini, tidak dianggap sebagai beririsiko atau youth at-risk seperti lazimnya di Singapura. Tetapi, mereka dianggap sebagai youth at the brink of success atau belia di ambang kejayaan.
Antara bidang kerja YA ialah mereka menjadi pengantara (advocates) dalam memadankan belia berisiko ini dengan lain-lain badan bantu diri. Selain dari itu mereka akan memastikan setiap remaja ini mempunyai pekerja sosial yang akan membantu mereka kembali ke pangkuan jalan. Selain dari itu, YA juga menguruskan bantuan kewangan daripada badan-badan kebajikan lain bagi para remaja yang menghadapi isu undang-undang dengan mahkamah juvena.
Destinasi berikutnya ialah Seattle yang merupakan bandar terakhir kami di Amerika Syarikat.
Bersambung…
Nantikan pengalaman saya mengunjungi Pike Place Market, aktiviti balingan ikan antara penjual ikan dan pengalaman berjumpa kaki ketam Alaska sebesar lengan!
Nota: Bagi maklumat lebih mendalam berkenaan pertubuhan Big Brothers Bis Sisters & Youth Advocates sila lawati lelaman:
alamak, orang di melbourne ketungguan menanti-nantikan bahagian ke-enam….