Beberapa minggu yang lalu di masjid, saya dihadiri 3 orang tetamu dari jemaah Tabligh Singapura. Mereka ini sedang mengadakan sesi perjalanan dari masjid ke masjid di Singapura selama 40 hari. Tetamu saya ni berusia dalam lingkungan 40-50 an. Tujuan mereka berziarah dari masjid ke masjid selain dari beriktikaf juga untuk mendapatkan nasihat dan irsyad dari para orang alim & ulama (kata mereka) yang berada di masjid-masjid yang dikunjungi.
Saya sebenarnya mempunyai sesi lain pada masa tersebut, tetapi memandangkan peluang bertemu dan bermuzakarah dengan sekumpulan jemaah Tabligh ini satu peluang yang jarang-jarang diperolehi, maka saya minta excused buat seketika untuk bertemu mereka. Mentelah lagi memang tujuan mereka hadir ialah untuk bertemu dengan imam masjid.
Segan rasanya bagi saya untuk memberikan sebarang nasihat buat mereka, maklumlah terasa kecil jika hendak dibandingkan usaha dakwah yang mereka lakukan, berpisah dengan keluarga dan anak2 selama 40 hari bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Tapi memandangkan itulah tujuan utama mereka, maka terpaksalah juga saya berikan pandangan serta nasihat bagi peringatan untuk saya sendiri dan juga mereka.
Saya rumuskan di sini beberapa intipati pandangan tersebut:
1. Dakwah satu usaha yang wajib. Tetapi dakwah kepada keluarga sendiri merupakan satu perkara yang perlu didahulukan dan diutamakan.
2. Dalam kesibukan memberikan dakwah kepada orang lain, bimbingan yang disertai kasih sayang kepada isteri dan anak-anak perlu jangan dilupakan. Ini tidak boleh tidak perlu dimulakan dengan hubungan yang erat antara si ayah dengan si anak.
Saya berkongsi cerita sebenar dalam kes kaunseling yang pernah saya kendalikan dengan mereka tentang seorang ayah yang tidak pernah tinggal solat Fardu berjemaah di masjid. Si ayah ni walaupun seorang yang Muslim yang berpegang teguh pada agama, namun hubungan beliau dengan anak lelakinya tidak mesra, tiada pentarbiyahan amalan solat berjemaahbersama keluarga. Didikan agama yang dilakukan juga keras dan tanpa elemen kasih sayang, anak beliau membesar menjadi seorang yang memberontak dan terlibat dalam aktiviti yang kurang sihat seperti merokok, ponteng sekolah dan mencuri.
3. Sebelum kepergian selama 40 hari, pastikan perancangan awal telah dilakukan bagi memastikan nafkah keluarga tidak terjejas. Maklumkah, bercuti lebih daripada sebulan, lebih2 lagi kedudukan jemaah Tabligh yang berjumpa saya ni adalah berdasarkan gaji hari.
Ini kerana memberi nafkah adalah wajib. Jangan kerana kesibukan ingin berdakwah sehingga kita mengabaikan perkara yang lain sehingga kita menanggung dosa pula. Ingatlah, nafkah yang kita berikan kepada keluarga kita itulah yang paling besar pahalanya kerana ia merupakan satu perkara yang wajib.
Sabda Rasulullah: ‘Satu dinar yang diberikan untuk jalan Allah dan satu dinar dibelanjakan untuk memerdekakan hamba dan satu dinar disedekahkan kepada fakir miskin dan satu dinar dinafkahkan kepada ahli keluargamu, yang paling besar pahalanya ialah apa yang engkau nafkahkan kepada ahli keluargamu.’
4. Setiap apa yang dilakukan juga bergantung kepada sokongan ‘orang rumah’ (isteri). Bukan mudah untuk mencari isteri yang sanggup dan rela ditinggalkan dan mengganti tugasan selaku sebagai seorang bapa kepada anak2 menggantikan suami yang jauh di mata.
Jika kita tidak mempunyai isteri yang mempunyai mental yang kuat, pastinya sukar untuk kita berdakwah. Oleh itu lain keluarga lain halnya.
Baginda Rasulullah S.A.W sendiri memberikan jawapan yang berbeza2 kepada para sahabat bagi soalan yang sama bergantung kepada situasi seseorang sahabat tersebut. Sebagai contoh bagi soalan amalan yang paling afdhal, Nabi pernah melarang seorang sahabat daripada berjihad selepas mengetahui beliau masih mempunyai seorang ibu.
Begitu juga dalam bersedekah, Nabi melarang lain2 sahabat daripada berinfaq seluruh harta. Tetapi pada masa yang sama baginda tidak melarang Sayyidina Abu Bakar R.A daripada melakukan perkara demikian.
Ini tidak lain dan tidak bukan di atas kelebihan keimanan dan ketaqwaan Sayyidina Abu Bakar yang luar biasa dan pastinya beliau dapat mentarbiyah isteri dan anak2 nya supaya bersabar, sedangkan baginda tidak pasti perkara yang sama dapat ditanggung oleh sahabat2 yang lain.
Pada kes2 yang lain, Nabi tidak menggalakkan sahabat menderma seluruh harta untuk memastikan isteri dan anak2 mempunyai bahagian harta warisan dan tidak papa apabila ketiadaan suami kelak.
Oleh itu saya juga menggalakkan mereka jika menghadapi perkara yang sama seperti terdapat rakan Tabligh yang mengadu tidak mendapat sokongan isteri. Hendaklah mereka menasihatkan rakan mereka tersebut untuk kembali ke pangkuan keluarga.
Saya juga ingin berkongsi di ruangan ini ‘best practices’ seorang Tabligh yang saya kenali yang juga merupakan seorang peniaga. Beliau sebelum keluar bertabligh akan memastikan segala keperluan makan minum isteri dan anak-anak terjaga. Malah, beliau mempunyai pembantu rumah untuk membantu isterinya.
Semoga kita dapat mengambil iktibar daripada perkongsian kisah yang saya sampaikan kali ini.







