Mentua Vs Menantu

Sebagai lanjutan dari kisah ibu mertua dan menantu perempuan pada keluaran yang lalu, kali ini pula, saya akan berkongsi satu sesi kaunseling yang pernah saya kendalikan membabitkan sepasang suami isteri yang menghadapi masaalah rumahtangga akibat konflik si isteri dengan ibu mertua.

Rumahtangga pasangan ini baru berusia kurang dari 5 tahun, dan baru mempunyai seorang anak kecil dan sekarang si isteri sedang mengandungkan anak kedua.

Isterinya mengadu bahawa ibu mertuanya suka berlepas cakap dan memerhatikan segala gerak geri beliau termasuk cara beliau menjaga anak kecilnya. Si ibu mertua akan komen pada anak menantu, jika didapati ada sesuatu perkara yang tidak kena. Katakanlah baju yang dipakai cucunya ronyok. Jika beliau tidak puas hati, si ibu mertua akan langsung menegur pada menantu tanpa beralas.

Akibat kelakuan ibu mertua, si anak menantu merasa tertekan, lebih-lebih lagi dalam keadaan beliau yang berbadan dua dan pernah melahirkan hasrat untuk berpisah dengan suami kerana tidak tahan dengan perangai ibu mertua.

Terdapat beberapa saranan saya pada kedua pasangan ini tentang cara-cara bagi menangani isu perbalahan antara si anak menantu dengan ibu mertua ini. Antara saranan tersebut ialah:

Pertama: Menganggap ibu mertua seperti ibu sendiri

Sebelum saya mencadangkan perkara di atas, saya terlebih dahulu bertanya bagaimana kelakuan ibu mertua dengan anak-anaknya yang lain, adakah sama sebagaimana kelakuan beliau dengan anak menantunya? Jawapan si suami: Ya, memang sama. Macam itulah cari ibunya dengan anak-anaknya sendiri. Beliau suka cakap berlepas dan tidak beralas.

Saya membuat kesimpulan memang itulah cara ibu mertua beliau. Saya berpandangan, beliau sebenarnya tidak berniat untuk menyakitkan hati menantu, tapi lebih kerana beliau suka berterus terang dan tidak pandai berbasah basi. Selain dari itu, mungkin dia berasakan anak menantunya sudah seperti anak sendiri! Saya bertanya sekali lagi pada si suami, adakah ibunya memang suka bercakap lepas dengan orang lain selain dari anak sendiri? Beliau menjawab dengan tegas, ‘tidak’. Hmmph, betullah telahan saya!

Lalu saya ajukan soalan kepada mereka: ‘Mengapa tidak kita anggap ibu mertua macam ibu kita sendiri juga?’ Kenapa saya kata demikian? Cuba bayangkan, jika katakan ibu kita sendiri yang komen baju anak kita selekeh, atau ibu sendiri yang kata kita tak pandai jaga layan anak? Kita marah tak? Paling tidak kita akan katakan, ‘Apalah mak ni!’, dan perkara itu akan selesai begitu sahaja.

Memang betul, berkemungkinan ibu kita tidak akan komen begitu, tapi kalau kita layankan sahaja, dan tidak ambil pusing macam kita layankan ibu kita. Agak-agaknya ada masaalah tak?

Bayangkan, jika anak tegur kelakuan si ibu atau menantu yang tegur sendiri? Si ibu akan rasa merasa kecil hati. Beliau akan mula terpaksa kawal kebiasaan dan tabiatnya yang suka ‘cakap lepas’. Tapi kesiankan? Beliau terpaksa kawal diri dan lidah dengan anak menantu yang mungkin dah dianggap seperti anak sendiri. Sedakan sudah menjadi seperti orang luar pula.

Pasti si ibu akan merasa janggal dan dalam hal ini keadaan akan menjadi lebih rumit dan tegang seterusnya membuatkan hubungan antara pasangan ini dengan ibu semakin renggang.

Kedua: Mengubah Minda Apabila Berhadapan Dengan Mertua

Sebagai langkah untuk kawal rasa marah pada mertua ialah bila kita ‘set’ atau tentukan minda kita sebelum datang rumah mertua untuk menerima apa sahaja komen atau kritikan yang bakal dilemparkan oleh mertua pada kita.

Bila kita dah ‘set’ atau kunci minda kita sebegitu rupa, ini akan membuatkan kita lebih bersedia menerima komen-komen ‘bernas’ mertua kita itu, seterusnya kemarahan tidak meluap-luap seperti mana biasa. Lagipun tidakkah mertua kita itukan seumpama ibu kandung kita juga?

Pada masa yang sama, dengan mengubah minda kita lebih awal, ia secara tidak langsung membantu kita lebih positif dan berfikiran terbuka dengan segala teguran yang kita terima. Tidak mustahil, segala leteran dan kemarahan mertua itu sebenarnya bertitik tolak dari kita juga.

Seperkara lagi, adalah penting sebagai anak menantu dan orang yang jauh lebih muda, untuk bertindak mengalah dan meminta maaf. Malah, tiada salahnya untuk kita meminta maaf walaupun dalam keadaan kita tidak melakukan sebarang kesalahan. Tindakan ini sedikit sebanyak bukan sahaja menyejukkan hati mertua yang sedang membara, tetapi juga sebenarnya meredakan suasana dan membantu keadaan pulih seperti sedia kala.

Ketiga: Sokongan suami dalam membantu isteri mengeratkan hubungan dengan mertua

Peranan suami di sini sangat-sangat genting. Bagi pihak suami perlu seboleh-bolehnya bersikap neutral dan tidak kelihatan terlalu menangkan ibu sendiri walaupun ibu betul.

Cuba letakkan diri kita dalam keadaan isteri agar kita lebih bersimpati. Lebih-lebih lagi dalam keadaan isteri yang sedang hamil, pasti emosinya lebih mudah terganggu. Dengan ini, si isteri akan lihat bahawa kita memahami hatinya, selepas itu barulah cuba nasihatkan dan bincang dengan isteri bagaimana dapat diatasi atau diperbaiki hubungan antara beliau dengan ibu.

Paling penting suami tidak boleh memandang perkara ini sebagai satu isu yang kecil, ianya perlu dipandang serius agar ianya tidak melarat yang akhirnya berkemungkinan boleh berlaku kepada perceraian jika tidak kita berhati-hati.

Apa yang penting bila berdepan dengan hal senario seumpama ini, kita perlu bersikap positif dengan tidak memandang kesilapan orang lain sahaja, tetapi melihat bagaimana kita dapat memperbaiki diri agar dapat mengubah persepsi orang lain yakni mertua pada kita.

Di samping pada masa yang sama bersetuju mengubah minda kita dan menganggap ibu mertua seperti ibu sendiri. Insha Allah, keadaan akan menjadi lebih terkawal dan seterusnya rumah tangga akan menjadi lebih harmoni.

Pada masa yang sama, di kesempatan ini suka saya memberikan sedikit tips bagaimana mertua juga dapat melakukan sesuatu agar hubungan bersama menantu lebih harmoni dan aman.

Pertama: Memberi ruang kepada pada anak dan menantu dalam menentukan kehidupan rumahtangga mereka sendiri

Selaku mertua adalah penting untuk kita mempunyai garis sempadan sebelum kita mencampuri urusan rumahtangga anak dan menantu. Usahlah kita tergesa-gesa ingin membantu mereka, dikhuatiri tindakan kita itu akan mengeruhkan lagi suasana.

Sebaiknya, berikanlah peluang untuk anak kita dan isteri menyelesaikan dahulu segala sengketa dan isu yang ada. Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka mencari jalan keluar mereka sendiri, dan membuktikan bahawa mereka sebenarnya mampu berdikari dan membuat keputusan sendiri tanpa perlu meminta bantuan dan nasihat orang tua pada sesuatu perkara.

Namun begitu, tiada salahnya juga jika kita perasan dan rasa terdapat sesuatu yang tidak kena pada kehidupan rumahtangga anak-anak, sebagai contoh anak dan menantu tidak bertegur sapa dan kita pula perasan bahawa keadaan ini pula berlaku sekian lama, maka lakukanlah sesuatu. Sebaiknya ia dapat dimulakan dengan bertanya kepada anak kita sendiri akan apakah puncanya, dan jika mertua rapat dengan menantu, bolehlah juga ditanyakan pendapat kedua dari menantu agar dapat diketahui punca perbalahan dari kedua belah pihak.

Ibu bapa juga seterusnya boleh menasihati anak mereka, dan meminta pihak besan pula menasihati menantu mereka. Sebagai alternatif, kedua ibu bapa juga boleh mencadangkan anak dan menantu mendapatkan bimbingan kaunseling dan nasihat dari pakar terapi keluarga atau kaunselor.

Kedua: Mertua juga haruslah menghormati keputusan anak dan menantu juga.

Mertua juga seharusnya perlulah menerima hakikat bahawa anak lelaki atau perempuan mereka sudah mempunyai keluarga sendiri, dan setiap apa yang mereka lakukan pastinya adalah adalah untuk kesejahteraan keluarga baru mereka.

Dan dalam hal ini, pastinya sesudah mempunyai keluarga baru, setiap keputusan dan pendapat perlu kemuafakatan antara suami serta isteri dan bukan dari kedua ibu bapa atau mertua mereka, kerana setiap keputusan yang dilakukan bakal memberi kesan secara langsung pada rumahtangga yang dibina bersama.

Atas dasar itu, kedua ibu bapa atau mertua perlu mula belajar bagi memahami kehendak dan keperluan mereka. Berikanlah mereka kebebasan untuk membuat keputusan yang terbaik buat mereka, walaupun mungkin pada kita bukan sesuatu yang bijak. Selagi mana ianya tidak bercanggah dengan hukum dan prinsip Islam, hormatilah keputusan anak dan menantu.

Malah, andai kata keputusan yang mereka lakukan disedari sebagai satu kesilapan sekalipun, sekurang-kurangnya mereka telah belajar satu pengetahuan yang berguna.

Ketiga: Bersangka baik terhadap menantu

Apabila didapati menantu perempuan tidak memasak sesuatu untuk anak lelaki kesayangan, mertua khususnya ibu mertua usah cepat melatah dan berang terhadap menantu perempuan, kerana sebenarnya tindakan itu tidak banyak membantu dan sebaliknya semakin mengeruhkan suasana.

Sebaliknya, sebaiknya mertua cuba bersangka baik terhadap menantu dan bersikap empati pada mereka, lebih-lebih lagi jika menantu perempuan mereka turut sama bekerja dan berkongsi bebanan suami dalam menguruskan perbelanjaan rumahtangga.

Berbeza dengan suri rumahtangga, pastinya menantu sangat letih dan perlukan masa untuk berehat seketika. Malah, terdapat pasangan moden yang tidak kisah jika isteri mereka tidak memasakkan untuk si suami, lantaran keduanya sama-sama bekerja dan pulang lewat, dan lebih selesa keluar makan luar bersama. Ini mungkin satu perkara yang kita kurang senang kerana budaya kita yang berbeza, tetapi jika itu yang menyenangkan keduanya dan kedua anak dan menantu kita ini pula tidak mendapati ianya suatu perkara yang salah, maka mengapa pula kita kesah?

Sebagai pilihan, mungkin ibu mertua jika berkelapangan boleh mencari masa berkualiti bersama anak menantu perempuan mereka ke pasar atau membeli belah atau sama-sama ke dapur di hujung minggu bagi mengajar mereka memasak sebagai contoh. Tidak mustahil, aktiviti ini akan mengeratkan hubungan antara menantu dan mertua, secara tidak langsung dengan kepandaian kemahiran baru mereka dalam memasak, mampu menambah lagi kasih sayang suami, lebih-lebih lahgi jika masakan tersebut adalah kegemaran anak lelaki kesayangan!

Keempat: Melihat kelebihan yang ada pada menantu.

Penting bagi seorang mertua itu untuk tidak hanya melihat sesuatu yang negatif sahaja pada diri menantu. Sebagai contoh, terdapat menantu wanita yang mungkin tidak gemar membuat kerja-kerja rumah, atau menantu lelaki yang sering tidur bila tidak bekerja. Kedua-dua sikap ini mungkin tidak digemari oleh orang tua.

Namun, cubalah kita cari sesuatu sifat yang positif yang wujud dalam diri anak menantu kita. Usah kita terkejut jika kadangkala sifat-sifat positif dan nilai-nilai yang terpuji lebih banyak dari perkara-perkara yang tidak kita gemari.

Mungkin menantu kita seorang yang berat tulang atau suka tidur, tetapi sangat rajin bekerja bagi mencari rezeki. Bagi seorang suami, inilah perkara yang paling mustahak kerana ia merupakan tanggungjawab utama sebagai seorang suami dalam Islam. Manakala, bagi isteri ia merupakan sesuatu yang terpuji apabila si isteri membantu meringankan bebanan suami dalam mencari rezeki.

Kelima: Tidak membeza-bezakan menantu dengan dengan menantu yang lain.


Antara perkara yang perlu dielakkan oleh seorang mertua juga ialah sikap suka membanding-bandingkan antara seorang menantu dengan menantu yang lain, lebih-lebih lagi jika ia sering diulang setiap kali berjumpa dan bertemu.

Sikap ini sebenarnya semakin merenggangkan hubungan antara kedua mertua dan menantu serta tidak membantu keadaan. Jika ini sudah wujud sekian lama, hentikanlah dari ia berlarutan dan menjadi satu kebiasaan.

Insyaallah, andai kata ini dapat dihentikan, saya yakin hubungan menantu dan mertua akan semakin pulih, dan jika ia dapat dilakukan dengan perkara-perkara lain yang disebutkan di atas, saya yakin jalinan hubungan yang lebih mesra akan dapat terjalin.

===

Bagi yang ingin mendapatkan kaunseling secara bersemuka atau secara dalam talian (online) atau bagi sebarang pertanyaan, sila emel, abah.yasir@gmail.com atau whatsapp di talian: 65 8362 0211.

Boleh juga lungsuri link ini bagi latar belakang saya dan testimoni. 

Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 23, terbitan Telaga Biru, Malaysia.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s