https://abahyasir.files.wordpress.com/2013/10/d3adf-2.jpg

Soalan:

Saya mempunyai anak lelaki yang berusia 21 tahun dan baru selesai perkhidmatan negara, beliau mempunyai temanita yang masih bersekolah. Lantaran bimbang dengan pergaulan bebas mereka, pihak sebelah perempuan menggesa mereka mendirikan rumahtangga secara ‘nikah gantung’ terlebih dahulu, sedangkan anak saya dan pasangannya masih belum bersedia. Boleh Ustaz jelaskan apakah yang dimaksudkan dengan ‘nikah gantung’ dan adakah ia suatu jalan keluar yang terbaik?

Jawapan

Nikah gantung sebenarnya bermaksud pernikahan di mana pasangan pengantin tidak tinggal serumah dalam satu-satu tempoh yang ditetapkan hasil persetujuan bersama kedua-dua belah pihak.

Dalam kebanyakan keadaan, tanggungjawab pemberian nafkah dari pihak suami kepada isterinya juga diringankan dan kadangkala dilepaskan.

Pada masa yang sama, majlis walimah bagi suami atau isteri juga biasanya ditangguhkan sehingga pada waktu yang telah dijanjikan. Hanya setelah majlis walimah, barulah keduanya disatukan secara rasmi.

Dengan itu, biasanya kedua pasangan ini masih tinggal di rumah kedua ibu bapa masing-masing, sehinggalah tiba masa kedua suami isteri ini disatukan, barulah mereka tinggal bersama.

Sementara tujuan mereka tidak tinggal bersama, biasanya  adalah untuk mengelakkan keduanya dari melakukan intimasi dan seterusnya melahirkan zuriat. Ini supaya majlis walimah yang dinantikan masih lagi berseri dan pasangan wanita pula tidak hamil.

Sebab-Sebab Mengapa Nikah Gantung Dipraktiskan

Timbul pula persoalan, mengapa pula nikah gantung dijadikan sebagai suatu huraian atau jalan keluar?  Antara sebab-sebabnya biasanya dikaitkan ialah kerana ibu bapa yang bimbang dengan keadaan anak-anak mereka yang mempunyai hubungan yang terlalu intim dengan temanita atau teman lelaki masing-masing. Namun, pada masa yang sama kedua ibu bapa menyedari bahawa anak-anak mereka sebenarnya masih belum bersedia untuk berumahtangga, kerana faktor kematangan atas usia yang terlalu muda, atau kewangan yang belum mantap disebabkan keduanya masih belajar, atau yang pasangan lelakinya sedang menjalani perkhidmatan negara, baru bekerja dan sebagainya.

Terdapat juga faktor di mana kedua pasangan sudah mencapai usia yang matang dan bertunang bagi tempoh-tempoh yang tertentu, dan hanya akan berumahtangga pada satu atau dua tahun berikutnya, namun mereka bernikah lebih awal kerana sudah bersedia, dan hanya walimah satu atau dua tahun kemudian.

Nikah Gantung Dari Perspektif Agama

Dari sudut agama pula, memandangkan nikah gantung ini juga menjalani proses yang dituntut syarak seperti memenuhi rukun nikah iaitu cukup saksinya, wali memberikan keizinan dan didaftarkan secara rasmi mengikut prosedur pernikahan tempatan, maka hukumnya adalah sah sama seperti pernikahan biasa.

Maka dengan ini, nikah gantung pada asalnya tiada salahnya dari sisi agama, asal sahaja kedua pasangan dan keluarga tidak sampai kepada peringkat yang mengharamkan hubungan intimasi antara kedua sumai isteri. Ini kerana pada hakikatnya, mereka sebenarnya sudah bernikah dan halal antara satu sama lain.

Pada masa yang sama, tiada salahnya dan hukumnya harus jika mereka bersetuju untuk tidak bersama buat seketika atau pada jangka masa tertentu, walaupun itu jelas bukanlah hikmah asal dari tujuan dan maqasid pernikahan. Di mana pernikahan sebenarnya ialah supaya dapat menimbulkan ketenangan antara kedua suami isteri, belas kasihan serta cinta dan kasih sayang, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (Yakni suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” [Ar-Rum: 21]

Nikah Gantung Sebagai Huraian?

Namun secara peribadi, saya berpandangan nikah gantung bukanlah huraian yang terbaik dari sudut jangka panjang khususnya dalam menangani isu pergaulan bebas dan kebimbangan intimasi antara pasangan muda. Apa yang terbaik ialah kedua ibu bapa menganjurkan pernikahan antara anak-anak mereka apabila tiba masa yang sesuai dan layak untuk mereka berumahtangga, mempunyai pekerjaan yang stabil, kewangan yang mantap dan benar-benar bersedia untuk berkahwin.

Memaksa mereka bernikah pada usia yang terlalu muda juga, belum pasti memberikan hasil yang terbaik, kerana kerap kali pernikahan yang tergesa-gesa ini dalam kebanyakan keadaan berakhir pula dengan kegagalan dan perceraian. Dengan itu, ia bukan satu usaha yang mudah, kerana nikah gantung khususnya bagi pasangan muda jika ingin dilakukan, perlu kepada bantuan usaha dan kerjasama dari seluruh pihak, iaitu dari suami isteri termasuk kedua ibu bapa dari kedua belah pihak dalam menangani isu-isu lain yang timbul selepas mereka berumahtangga kelak.

 
Nota: Artikel kemusykilan agama ini telah diterbitkan dalam ruangan Hidayah Berita Harian Singapura pada 27 September 2013.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s