Alhamdulillah, baru-baru ini saya dikhabarkan oleh salah seorang pegawai MHA, bahawa salah seorang tahanan JI yang saya berikan kaunseling telah dibebaskan. Ini merupakan satu praktis daripada mereka untuk memberitahu kami, kaunselor bagi para tahanan yang dibebaskan sebelum diumumkan di media.
Gembira saya kerana ini merupakan tahanan yang ketiga dibebaskan, tinggal lagi satu lagi tahanan di bawah kendalian saya…baru beberapa sesi saya dengannya…I.Allah, jika dia menunjukkan respon yang baik, tidak mustahil beliau juga punya harapan yang cerah, segalanya sebenarnya bergantung kepada individu tersebut.
Apa yang dimaklumkan sistem kaunseling agama untuk para tahanan JI ini merupakan yang pertama dilakukan di dunia, banyak negara luar yang menghadapi ancaman pengganasan seperti Amerika, Malaysia, Thailand, Indonesia dan lain2 negara mempelajari dari pengalaman Singapura dalam hal ini.
Bagi posting kali ini, saya kongsi bersama artikel saya yang diterbitkan dalam buku ulangtahun ke 5, Kumpulan Rehabilitasi Keagamaan yang baru-baru ini dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri dalam Negeri, Encik Wong Kan Seng pada majlis Iftar di Masjid Khadijah baru-baru ini.
PENGALAMAN KAUNSELING PARA TAHANAN JI
Apabila diminta untuk menyumbangkan sebuah artikel bagi coffee book table RRG, perkara pertama yang saya terlintas di fikiran ialah untuk berkongsi pengalaman saya dalam memberikan kaunseling kepada para tahanan JI.
Masih terbayang di benak fikiran saya apabila kali pertama berita penangkapan beberapa anggota JI disebarkan melalui media massa pada tahun 2001. Ia ibarat tsunami yang melanda umat Islam di Singapura. Secara tiba-tiba segala amalan masyarakat Islam Singapura menjadi perhatian.
Pada masa yang sama terdengar juga suara-suara tidak percaya di kalangan masyarakat Islam di sini, benarkah peristiwa ini berlaku di negara tercinta kita Singapura? Apakah peristiwa perancangan pengeboman MRT Yishun benar-benar terjadi? Begitu juga dengan rakaman video lokasi strategik bagi tujuan yang sama di beberapa kedutaan asing dan saluran paip air Johor ke Singapura.
Terdetik pula rasa hati ini ingin tahu, bagaimanakah reaksi para pemimpin Islam dan juga guru agama serta ulama akan hal ini? Alhamdulillah, penantian saya tidak lama kerana beberapa bulan kemudian beberapa asatizah telah ke hadapan secara sukarela dan Kumpulan Rehabilitasi Agama atau RRG terbentuk. Bahkan saya juga dijemput untuk sama-sama melibatkan diri secara sukarela, pelawaan ini tidak memerlukan saya berfikir panjang untuk menerimanya.
Apa yang membuatkan saya tidak berfikir dua kali bagi menerima undangan ini ialah kerana perasaan ingin tahu yang menebal, selain merasakan pengalaman sebegini adalah satu perkara yang sukar untuk dilepaskan. Ianya pasti tidak sama dengan pengalaman kaunseling saya sebelum ini dengan para belia, orang dewasa atau dengan pasangan yang telah berumahtangga. Namun pada masa yang sama juga saya berdebar-debar, apakah saya mampu menangani klien yang pastinya berbeza daripada pengalaman saya yang terdahulu.
Sebagai permulaan, kami perlu mengikuti beberapa kursus oleh para psikologi Kementerian Dalam Negeri dan diberikan manual yang telah disiapkan oleh pihak Sekretariat RRG bagi membantu menangani ideologi para tahanan.
Ketika rencana ini ditulis, saya sudahpun terlibat dalam memberikan kaunseling kepada 3 tahanan (Detention Order) dengan setiap seorang di antara 6 hingga 12 sesi. Ini tidak termasuk kaunseling kepada beberapa individu yang mendapat perintah larangan (Restriction Order).
Pengalaman Pertama
Setelah menjalani beberapa siri latihan, maka tibalah giliran saya bagi sesi pertama, untuk sesi ini saya berpasangan dengan Ustaz Hasan Mustakim (Allahyarham). Gementar juga hati ini, masih segar di ingatan saya, pada hari tersebut klien kami pada masa itu membawa tafsiran kitab suci al-Quran. Wah, bukan calang-calang nampaknya.
Melalui pemerhatian saya, saya mendapati beliau mendapat layanan baik, ini jelas daripada wajah ceria klien, pakaian baju kurung lengkap dengan kopiah di kepala, bahkan dalam sesi kaunseling kami ini, terdapat kueh mueh dengan air minuman kopi dan teh untuk kami bertiga.
Bagi sesi pertama ini, lebih kepada sesi kenal-mengenal atau building rapport, kami berpeluang mengenal dengan lebih mendalam klien kami selain mengetahui dengan lebih jelas bagaimana beliau mula terjebak.
Alhamdulillah dengan kemahiran dan pengalaman kaunseling yang pernah dipelajari, kami berjaya jalinkan hubungan kepercayaan dengan klien kami. Ini sangat penting agar segala tunjuk ajar kami dapat dipastikan dan diterima dengan baik.
Selepas mendengar sendiri dari mereka, semakin tidak syak lagi ianya memang benar-benar berlaku. Beberapa individu yang disebutkan oleh klien kami ini memang saya pernah terbaca di dada-dada akhbar dan ada antaranya memang antara individu yang paling dikehendaki oleh pihak antarabangsa pada masa itu.
Ketika kali kedua berjumpa pula, saya keseorangan. Ini kerana pasangan saya Ustaz Hasan tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu. Kali ini beliau membawa cebisan kertas penuh dengan soalan-soalan. Alhamdulillah, dapat saya menjawab segala salah faham beliau seperti pengertian dan konsep jihad yang sebenarnya dan lain-lain isu yang bersangkutan bersesuaian dengan konteks kehidupan masyarakat Islam di sini.
Ini termasuklah keperluan untuk kita berinteraksi dengan sesama rakyat Singapura yang lain termasuk bukan Muslim, selain dari keperluan memberikan prioriti dan keutamaan jihad terhadap pendidikan, memandangkan masyarakat Islam Singapura masih lagi ketinggalan dan terkebelakang berbanding dengan bangsa dan agama lain dalam bidang pelajaran.
Tekanan Perasaan
Selain daripada menangkis ideologi salah para tahanan, sesi kaunseling kami juga bertujuan untuk memberikan sokongan emosi bagi para tahanan selain mempersiapkan diri mereka dengan cabaran di luar selepas bebas nanti.
Tekanan emosi ini antaranya disebabkan kerana para tahanan tidak dapat membantu dalam mencari nafkah untuk perbelanjaan keluarga dan urusan penjagaan anak yang dipikul sepenuhnya oleh isteri.
Biasanya saya akan membantu mereka dalam menangani isu-isu yang dibangkitkan seperti cabaran anak-anak yang semakin meningkat dewasa. Ini dilakukan dengan perbincangan secara bersama tentang strategi yang boleh dilakukan termasuk bagaimana cara terbaik dalam melakukan teguran agar nasihat yang diberikan dapat diterima dengan baik oleh anak-anak.
Dari semasa ke semasa kami juga perlu memberikan mereka semangat dan dorongan agar terus cekal dan mempunyai daya tahan dalam mengharungi kehidupan di dalam tahanan selain terus melakukan perubahan positif dalam diri sehingga mereka dapat dibebaskan.
Kesemuanya ini biasanya diadakan pada fasa kedua selama enam sesi.
Peluang Meningkatkan Kerohanian
Semasa sesi kaunseling dengan sesetengah para tahanan, kadang kala membuatkan saya teruja apabila melihatkan kesungguhan sebahagian dari mereka yang mengambil peluang mendekatkan diri kepada Tuhan dengan melakukan ibadah seperti membaca dan menghafal ayat-ayat suci al-Quran.
Salah satu klien yang saya temui, hanya berehat beberapa jam sahaja dan selebihnya digunakan bagi membaca atau menghafal Quran dan melakukan solat-solat sunnah pada sebelah siang mahupun malam. Malah ada di antara mereka yang sudah menghafal beberapa juz Al-Quran.
Peranan saya di sini ialah terus memberikan mereka kata-kata perangsang dan semangat serta dorongan agar mereka terus dapat melakukan amalan yang terpuji ini.
Langkah Seterusnya
Boleh dirumuskan daripada pemerhatian saya, kebanyakan daripada para tahanan tidak mempunyai asas agama yang kuat dan kefahaman yang betul tentang isu-isu yang bersangkuran seperti jihad dan sebagainya sehingga mudah dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu yang menggunakan ayat-ayat suci al-Quran mengikut penafsiran yang bersesuaian dengan kehendak mereka. Ini lebih diburukkan apabila individu-individu yang didakwa sebagai guru agama ini mempunyai karisma yang tinggi.
Kaedah penyampaian mereka juga jelas mencurigakan kerana ia diajar secara tertutup di rumah para ahli yang tertentu, nota-nota ajaran ini pula disebarkan secara rahsia dan tidak boleh diedarkan kepada orang lain.
Oleh itu langkah Muis mengadakan skim pengiktirafan Asatizah atau ARS adalah tepat pada masanya dan merupakan satu tindakan yang patut dipuji serta merupakan satu langkah ke hadapan. Selain dari itu, pihak RRG juga perlu meneruskan usaha-usaha memberikan kaunseling selain bergerak dengan lebih pro aktif dalam melakukan outreach ke sekolah-sekolah nasional mahupun Madrasah atau juga ke pusat-pusat pengajian tinggi.
Bagi diri saya pula, pengalaman melibatkan diri dalam memberi kaunseling kepada para tahanan merupakan pengalaman sekali seumur hidup, saya menganggap ia sebagai peluang untuk berbakti kepada negara dan juga agama di samping berusaha mengembalikan para tahanan kepada masyarakat.
Tiada yang lebih dapat memberi kepuasan dan bererti pada diri selain daripada melihat para tahanan dibebaskan dan kembali menjalani hidup dengan masyarakat lain seperti biasa.