Syawal semakin hampir menjelang, Ramadan pula semakin meninggalkan kita. Pejam celik, tinggal 2 malam sahaja lagi. Jadi apakah perasaan yang bermain pada fikiran kita? Sedih atau gembiranya kita dengan ketibaan Eid Fitri?
Itulah tajuk yang saya kupaskan semasa kuliah Subuh saya pagi tadi di Masjid Darul Ghufran, Tampines. Alhamdulillah, jemaah sungguh ramai. Bagi muslimin shj saya rasa lebih daripada 10 saf. Masjid Darul Ghufran memang terkenal dengan aktiviti dakwahnya yang memang sentiasa dibanjiri oleh para jemaah yang dahagakan simbahan rohani pada diri mereka.
Ini berkemungkinan daripada kepadatan penduduk Islam di Tampines, Simei dan juga sekitarannya selain daripada kegigihan teman2 saya di masjid ini yang tidak pernah lelah dalam memikirkan sajian yang menarik bagi kemanfaatan jemaah mereka. Oklah, ini puji Ghufran lebih2 nanti, dorang ingat nak suruh jemput lagi pulak : )
Secara ringkasnya, intipati kuliah saya tadi adalah seperti berikut:
1. Ramadan tinggal 2 malam sahaja lagi!
2. Tanya diri kita, apakah prestasi Ramadan kita pada tahun ini. Jika 1 paling lemah, 10 paling cemerlang, berapakah markah kita?
3. Adakah kita puas hati? Gembira atau sedih? Boleh ke kita gembira? Tak salah ke?
– Tak salah gembira, jika kegembiraan kita kerana berjaya menyempurnakan perintah Allah. Ini tidak mengambil kira sama ada amalan kita diterima atau tidak oleh Allah.
– Nabi pernah bersabda: “Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati “
4. Bagaimana pula bagi mereka yang sedih?
– Bagi mukmin yang hakiki, berlalu Ramadan bermakna berlalu juga keistimewaan bulan ini.
– Ini belum ditambah dengan perkiraan sama ada kita berpeluang dapat bertemu lagi atau tidak dengan Ramadan pada tahun akan datang.
– Banyak keistimewaan bulan Ramadan yang tidak ada pada bulan2 yang lain seperti:
a. Puasa bulan Ramadan yang disertai dengan ganjaran keampunan dosa2 kecil.
b. Kenikmatan solat Terawih beramai2 dengan umat Islam atau keluarga.
b. Malam Lailatul Qadar yang lebih baik dari 1000 bulan!
c. Ganjaran ibadah yang berlipat kali ganda.
5. Amalan Eid Fitri yang baik dilakukan antaranya:
a. Memperbanyakkan Takbir
– Tunjukkanlah kegembiraan kita menyambut Eid dengan cara bertakbir, bukan dengan berhibur.
– Takbir mula dibaca selepas matahari terbenam pada Ramadan yang terakhir, berakhir selepas mula melakukan solat Eid Fitri.
– Banyakkanlah bertakbir, termasuk ketika dalam perjalanan pergi ke masjid bagi menunaikan solat Eid.
b. Bersolat Hari Raya (Eid)
– Ramai orang pergi solat hari Raya, tetapi tidak solat Fardu?
– Persepsi bahawa solat hari Raya hanya boleh dilakukan di masjid sahaja?
– Solat hari raya boleh juga dilakukan secara individu atau sendirian dengan tanpa khutbah (tidak wajib seperti mana solat Jumaat). Jadi makcik2 atau kakak2 yang sibuk anyam ketupat atau masak nasi minyak, bolehlah solat di rumah jika tidak dapat ikut suami yer!
c. Menukar jalan ke tempat solat (Pergi dan balik)
– Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya”
– Tujuannya supaya kita dapat bertemu dengan lebih ramai manusia, tetapi kalau dah dekat sampai rumah baru teringat nak tukar jalan lain, tak payah patah balik : )
d. Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain.
– Sebaiknya kita lafazkan “Taqabbalahhu minna wa minkum” ertinya : Semoga Allah menerima amalan ( amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu”.
e. Berpuasa Enam dalam bulan Syawal.
– Berdasarkan hadith: ‘Sesiapa yang berpuasa bulan Ramadan dan diikuti dengan enam hari pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa seperti selama setahun’.
– Para ulama ada yang menafsirkan maksud seolah2 setahun berpuasa disebabkan terdapat ayat Quran yang menyatakan ganjaran kebajikan digandakan 10 kali. Bermakna: 30 hari Ramadan = 300 hari, 6 hari Syawal = 60 hari. Jumlah 360 hari = 1 tahun!
– Puasa 6 ni boleh dimulakan hanya daripada 2 Syawal. Jangan buat 1 Syawal pulak sebab kita diharamkan puasa pada hari raya. Boleh dilakukan selama enam hari berturut-turut daripada 2 Syawal – 7 Syawal atau secara beransur-ansur.
– Tetapi bagi sesiapa yang masih ada puasa yang tertinggal dalam bulan Ramadan yang belum diganti, qadha dahululah puasanya yer.
– Walau sebesar mana pahala puasa sunnat, tetapi terbanding dengan ganjaran yang diberi oleh Allah pada ibadah yang wajib seperti qadha puasa. Qadha puasa adalah ibadah yang wajib.
– Ini berdasarkan hadith: ‘Puasa yang paling afdhal (baik) sesudah Ramadan ialah puasa pada bulan Muharram!’
– Lihat sahaja, ganjaran pahala puasa di bulan Ramadan, diampunkan dosa-dosa yang yang telah lalu!
f. Ziarah ke rumah-rumah (Jalan raya)
– Digalakkan bagi merapatkan hubungan silaturrahim.
– Jangan dilupakan pula, ziarah kaum kerabat dan juga keluarga terdekat seperti ibu bapa. Itu dikira ihsan pada ibu bapa kerana gembirakan hati mereka, dapat pahala juga!
– Dalam masa sibu berziarah, jangan dilupakan pula ibadah solat kita. Ziarah2 juga, solat jangan dilupakan.
Itu sahaja kali ini. Selamat beribadah dan Salam Ramadan dari saya.
Salam.. Tahniah kerana kejayaan yang telah diperolehi,… semoga kita terus berhubungan selalu… ada e-meil kawe post kat demo