Islam merupakan agama yang sempurna dan ajarannya pula merangkumi segala bentuk aspek kehidupan manusia, dan ini tidak terkecuali dalam mendidik kita supaya merancang kewangan sebagai persediaan dalam mengharungi kehidupan seharian.

Lihatlah pengajaran daripada peristiwa yang dikisahkan dalam Al-Quran, ketika mana seorang raja meminta Nabi Yusuf a.s. menafsirkan mimpinya. Ini terakam dalam surah Yusuf ayat 47-48 yang bermaksud:

“(Nabi) Yusuf menjawab: ‘Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan (untuk masa susah) baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).”

Dalam kehidupan hari ini yang banyak sekali urusan-urusan seharian kita melibatkan wang, maka semakin genting keperluan bagi umat Islam untuk membuat perancangan jangka panjang demi kepentingan diri dan keluarga.

Pastinya segala perkara ini wajar dan sangat relevan untuk kita fikirkan bersama. Maka sebagai panduan, suka saya berkongsi beberapa tips yang boleh kita amalkan sebagai peringatan kita bersama. Antaranya:

Pertama: Menyusun semula dasar kewangan

Setiap individu mahupun pemimpin keluarga atau pasangan suami isteri yang bekerja, sewajarnya perlu merenung semula perbelanjaan dan gaya hidup yang telah ditetapkan, sama ada gaya hidup yang dipilih bersesuaian dengan kemampuan diri atau keluarga.

Adakah selepas ditolak campur, kita mampu mengagihkan wang untuk simpanan? Bagaimana pula dengan perancangan tambahan bagi masa depan diri sendiri dan keluarga, sama ada bagi persediaan di hari susah atau untuk persekolahan anak-anak jika berhasil ke universiti kelak?

Jika jawapannya adalah negatif, maka kita perlu merombak kembali dasar perbelanjaan diri atau keluarga.

Catitlah segala apa yang biasa dibelanjakan pada tiap bulan. Fikirkan bersama dengan isteri jika sudah berkeluarga, supaya dapat dilakukan sesuatu untuk mengurangkan segala perbelanjaan agar agihan dapat diperuntukkan bagi simpanan wang dan perancangan masa depan.

Kedua: Hidupkan amalan menabung

Bagi memastikan kita dapat menabung, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah memastikan perbelanjaan tidak melampaui wang pendapatan bulanan.

Oleh yang demikian, golongan yang berpendapatan tinggi tetapi mempunyai gaya hidup yang tinggi, berbelanja boros sehingga menyamai atau melebihi pendapatan, pastinya tidak dapat mampu menabung.

Ini bermakna bagi menabung, bukan gaji besar atau kecilnya, atau seseorang itu berpelajaran atau tidak yang menjadi ukuran, tetapi komitmen dan disiplin lah yang menjadi penentu dalam memastikan seseorang itu berjaya dalam urusan menabung atau menyimpan sebahagian pendapatan bulanan yang diperolehinya.

Bahkan mengikut pakar kewangan, ada yang menetapkan sehingga 20% hingga 30% bagi peruntukan untuk simpanan dari gaji bulanan. Kita juga dinasihatkan untuk sekurang-kurangnya mempunyai simpanan sehingga 6 bulan gaji untuk tujuan kecemasan.

Apa gunanya jika seseorang itu bergaji besar sehingga RM8,000-RM10,000 jika beliau tidak dapat menabung sesenpun, berbanding dengan seorang yang bergaji kecil contohnya RM1,500 sebulan tetapi mampu menabung sehingga RM50 sebulan!

Selain dari keperluan untuk menabung, kita juga perlu memikirkan dari sekarang bagi keperluan takaful atau insuran. Ini penting selain sebagai simpanan, ia juga dapat menampung perbelanjaan andaikata seseorang itu ditimpa penyakit yang kronik atau kemalangan yang mengakibatkan kelumpuhan yang menyebabkan kesukaran untuk bekerja. Wal ya’izu billah…

Ketiga: Amalan berjimat cermat dan tidak membazir.

Bagi memastikan kita dapat memperuntukkan wang untuk simpanan, maka sewajarnya kita perlu menghidupkan amalan berjimat cermat dan tidak boros dalam berbelanja atau membazir.

Ini dapat dilakukan seperti dengan mengawal penggunaan air dan elektrik di rumah. Amalan yang kurang sihat seperti tabiat merokok juga seharusnya dikurangkan dan seterusnya dibuang.

Bayangkan jika kita dapat mengurangkan tabiat merokok daripada sekotak kepada separuh kotak sahaja dalam sehari. Kita telah dapat menjimatkan wang perbelanjaan merokok sebagai contoh sebanyak lebih kurang RM5 sehari atau hampir RM2,000 setahun!  Bayangkan jika jumlah RM2,000 boleh digunakan untuk pelbagai manfaat diri dan keluarga. Tidakkah kita mahu merebutnya?

Tabiat-tabiat lain yang boleh dikurangkan ialah seperti amalan sering makan luar atau bersembang bersama teman-teman di cafe atau restoran dan sebagainya, mahupun kepada amalan melancong ke luar negara, sedangkan amalan yang lebih penting seperti simpanan untuk diri sendiri dan keluarga diabaikan.

Ingatlah firman Allah yang bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila berbelanja, dia tidak melampaui batas dan tidak bakhil. (Sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah benar-benar sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Al-Furqaan: 67)

Keempat: Elakkan berhutang.

Elakkan seberapa daya daripada memulakan hutang yang baru kecuali dalam perkara yang betul-betul memerlukan. Kita juga perlu bijak menilai dan mengutamakan ‘keperluan’ atau ‘needs’ berbanding dengan ‘kemahuan’ atau ‘wants’. Sebagai contoh, adakah membeli atau menukar kereta yang baru sebagai satu keperluan atau kemahuan? Begitu juga dalam menukar perabut, permaidani atau TV baru, adakah ianya memang satu keperluan? Atau sekadar kehendak dan kemahuan kita sahaja.

Ingatlah, perancangan kewangan yang bijak dalam berhutang ialah hanya memperuntukkan tidak lebih dari ¼ sahaja pendapatan bulanan kita untuk hutang atau bayaran ansuran.

Fikirlah berulang kali sebelum memulakan ansuran baru dan patuh pada perancangan yang telah dilakukan dengan mencatit segala perbelanjaan keluar dan masuk.

Seberapa boleh elakkanlah dari berhutang terutamanya dalam perbelanjaan yang menggunakan kad kredit kecuali jika kita memang mempunyai wang bagi transaksi tersebut, dan memang mempunyai pelan untuk membayarnya semula pada jangka masa yang ditetapkan oleh pihak bank.

Kelima: Menderma dan membuat kebajikan

Dalam kita sibuk berjimat cermat, usah pula sehingga ke peringkat terlalu mengira dan sampai ke peringkat bakhil pula.

Rancanglah kewangan dengan bijak dan peruntukkanlah sejumlah wang yang tertentu bagi urusan kebajikan seperti menderma serta bersedekah, dan ini pastinya tidak termasuk dalam menunaikan zakat harta yang merupakan satu kewajipan bagi setiap umat Islam.

Dalam pada kita ghairah bersedekah, usahlah dilupa bahawa tiada ganjaran yang lebih hebat dari kita membantu kaum kerabat kita yang terdekat terlebih dahulu, dan ini termasuklah ibu bapa kita atau adik beradik kita yang dalam kesusahan dan memerlukan seperti saudara wanita kita yang kematian suami dan sebagainya.

Hulurkan sedikit bantuan buat ibu bapa kita, walaupun tidak diminta. Alangkah hinanya diri ini, jika kita mampu untuk sering bercuti ke luar negara, membayar wang bulanan kereta, mempunyai amah atau rumah yang besar. Akan tetapi pada masa yang sama tidak mampu menghulurkan walau sesenpun untuk kedua ibu bapa kita, atau hanya sekadar puluhan RM sahaja berbanding ribuan gaji yang diperolehi.

Ingatlah, sebarang sumbangan yang menggembirakan hati kedua ibu bapa kita itu merupakan satu keihsanan dari kita buat keduanya, dan doa kegembiraan mereka merupakan satu keberkatan buat harta yang kita belanjakan. Insha Allah, dengan berkat wang yang tidak seberapa yang dihadiahkan buat mereka, rezeki yang kita perolehi akan sentiasa mencukupi dan memadai buat sepanjang perjalanan hidup kita.

Sebagai penutup kata, perbanyakanlah berdoa dan memohon perlindungan daripada Allah dari segala belenggu hutang dan rasa bakhil dalam diri seperti mana doa yang diajarkan Rasulullah s.a.w. dalam sepotong hadis yang bermaksud:

“Ya Tuhanku! Aku berlindung diri dengan-Mu dari perkara yang menyedihkan dan menyusahkan, aku berlindung diri dengan-Mu dari rasa lemah dan malas, aku berlindung diri dengan-Mu dari rasa gentar dan bakhil, dan aku berlindung diri dengan-Mu dari segala belenggu lilitan hutang dan penindasan orang.” (Riwayat Abu Daud)

Semoga panduan yang dikongsi bersama di sini dapat memberi kita kemahiran perancangan kewangan yang berkesan, seterusnya kita akan lebih mampu berjimat dan mengelakkan daripada melakukan pembaziran yang berterusan dan berhasil memperuntukan sebahagian pendapatan kita bagi simpanan di hari muka.

Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 25, terbitan Telaga Biru, Malaysia.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s