Love5

Pernah saya didatangi oleh sepasang suami isteri atas tujuan kaunseling bagi menyelamatkan rumahtangga mereka. Si isteri mengadu yang suaminya kini sudah tidak lagi semesra dulu, tidak gemar mempamerkan keintiman, malah jika bersiar-siar di luar juga tidak lagi berpimpin tangan. Apabila saya bertanya kepada suaminya, mengapa begitu? Beliau menjawab sebab malu.

Saya menjadi hairan, kenapa beliau masih malu menunjukkan kemesraannya kepada isterinya walaupun sudah berkahwin. Saya bertanya lagi, “Jadi dulu bernikah kerana pilihan orang tua”? Beliau menjawab, ‘Tidak’. Saya menjadi bertambah hairan. “Anda malu, jadi macam mana anda dapat berkenalan dengan isteri dan memikat hatinya?”, tanya saya.

Beliau menerangkan lagi, “Saya terpaksa melawan rasa malu saya dan memberanikan diri untuk berkenalan dan memikat isteri saya”. Hmmph, pandai pula lawan perasaan malu dulu ya, kata hati saya. Saya beritahu beliau, jika dahulu dapat hilangkan rasa malu, sekarang adalah lebih perlu untuk hilangkan rasa malunya, kerana kini sudah sah menjadi suami-isteri.

Kisah yang saya kongsi ini merupakan antara perkara yang sering terjadi pada sesetengah pasangan, iaitu kadangkala pasangan tidak suka menzahirkan rasa kasih mereka pada pasangan mereka, walaupun sebenarnya di hati ada rasa cinta, kasih dan sayang. Persoalannya, bagaimana pasangan kita boleh tahu yang kita menyayangi mereka, jika kita tidak mempamerkannya; rasa kasih dan cinta kita?

Jadi isunya bagaimana cara untuk kita menghangatkan perasaan cinta dan kasih kita terhadap pasangan kita? Perkara ini sangat genting, kerana jika rasa cinta, kasih dan sayang semakin pudar, ia boleh mengakibatkan kerenggangan, pergeseran dan pertelingkahan yang akhirnya kadangkala boleh membawa kepada perceraian. Atau bagi kes yang lebih serius, adakalanya boleh mengakibatkan sesetengah pasangan terjebak pada hubungan sulit dan perbuatan zina.

Maka di sini, saya cuba berkongsi beberapa panduan bagi melahirkan rasa kasih dan cinta terhadap pasangan kita, yang boleh dilakukan bersama oleh setiap pasangan suami isteri, antaranya ialah:

Pertama: Luahkan rasa kasih

Antara tanda kasih kita pasangan ialah memanggil isteri atau suami kita dengan nama-nama yang disenangi. Malah, Nabi s.a.w. sendiri menggelarkan isterinya dengan panggilan manja ‘Humaira’ atau ‘yang kemerah-merahan’; merujuk kepada keputihan kulit wajah isterinya Aishah r.a.

Siapakah yang tidak gembira apabila dipanggil dengan nama yang indah? Lebih-lebih lagi yang berbentuk memuji. Hati mana yang tidak teruja?

Perlu untuk kita menzahirkan rasa kasih kita. Tiada salahnya memanggil isteri kita dengan panggilan ‘Cinta’, ‘Kasih’ atau ‘Sayang’. Malah, terdapat suami dan isteri yang memanggil pasangan mereka dengan nama ‘Baby’ sebagai contoh bagi menunjukkan tanda kasih mereka. Jika itu yang dapat menghangatkan rasa kasih antara pasangan, mengapa tidak?

Inilah yang diperlukan. Masing-masing saling memuji dan merakamkan keterujaan pada pasangan masing-masing. Tidakkah itu semua, mampu membangkitkan perasaan kasih dan cinta pada pasangan kita yang pastinya baik untuk kehidupan pasangan suami isteri?

Kedua: Intimasi dengan pasangan

Intimasi di sini bukanlah terhad dari sudut hubungan seksual sahaja, tetapi juga keintiman antara suami isteri ketika setiap kali bersama pasangan.

Baginda Rasulullah s.a.w. sendiri pun sentiasa menzahirkan rasa cintanya kepada para isterinya dengan mengucup mereka ketika bersama mereka, ini jelas melalui hadis Aishah r.a. yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. pernah menciumku ketika Baginda sedang berpuasa dan aku juga berpuasa.” [Abu Daud]

Lihatlah Nabi s.a.w. sendiri sentiasa menzahirkan rasa kasih dan cintanya terhadap isteri dengan mengucup mereka, hatta ketika puasa pun, Nabi tetap menciumi mereka. Maka mengapa tidak kita?

Maka bagi setiap suami dan isteri jika menjadi amalan mereka bersalaman, teruskanlah. Kan indah tatkala ketika isteri mencium tangan suami, dan suami pula membalas dengan mencium dahi isteri. Pasti semakin hangat rasa kasih sesama mereka. Jadikanlah ini satu budaya setiap kali kita meninggalkan rumah atau saat berpisah ke tempat kerja dan sebagainya.

Bukan sahaja ciuman mesra, bersentuhan seperti berpimpin tangan ketika keluar bersama, atau malah bersentuhan tangan ketika berbual bersama atau menonton TV di rumah juga mampu memberi petanda pada pasangan bahawa kita cinta padanya. Tidak hairanlah terdapat pandangan pakar yang menyatakan bahawa bersentuhan selama beberapa saat lebih bermakna dan memberi kesan dari berbicara selama beberapa minit…

Ketiga: Sentiasa cuba memahami perasaan pasangan

Suami dan isteri seharusnya sentiasa perlu menjaga perasaan antara satu sama lain. Sentiasa prihatin dengan perasaan pasangan mereka. Cuba sedaya upaya untuk tidak melakukan suatu perkara yang kita tahu pasangan kita tidak suka.

Dengan cara begini, kita bukan sahaja mengambil berat perasaannya, tetapi juga menunjukkan betapa prihatinnya kita kerana kasihnya kita pada mereka.

Malah, Nabi s.a.w. sendiri amat memahami perasaan setiap isterinya seperti contoh riwayat isterinya Aishah r.a., bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda padanya: “Aku tahu saat kamu senang kepadaku dan saat kamu marah kepadaku.”

Aishah bertanya: “Dari mana engkau mengetahuinya?” Baginda menjawab: “Kalau engkau sedang senang kepadaku, engkau akan menyatakan dalam sumpahmu, ‘Tidak, demi Tuhan Muhammad’. Akan tetapi jika engkau sedang marah, engkau akan bersumpah, ‘Tidak demi Tuhan Ibrahim!’.”

Aishah pun menjawab: “Benar, tapi demi Allah, wahai Rasulullah, aku tidak akan meninggalkan, kecuali namamu saja.” [Bukhari dan Muslim]

Maka cubalah mengenali pasangan kita dengan sebenar-benarnya, kenali apa yang disukainya dan apa pula yang dibencinya. Dengan sentiasa melakukan sesuatu yang digemari dan disukai pasangan kita, pastinya itu memberi isyarat bahawa kita mencintai mereka, hubungan menjadi semakin mekar, dan rumahtangga kita pula semakin harmoni.

Keempat: Saling bantu membantu

Antara cara memupuk dan menunjukkan rasa kasih dan cinta antara pasangan juga ialah dengan bersikap prihatin antara sesama pasangan dengan saling membantu meringankan beban suami atau isteri.

Dalam kehidupan hari ini yang rata-rata pasangan kedua-dua suami isteri bekerja mencari nafkah, keduanya perlu saling menghargai peranan pasangan masing-masing terutamanya para suami. Sebagai contoh dengan peranan isteri kini turut sama bekerja, suami sewajarnya turut membantu kerja rumah, atau masuk dapur membantu isteri dengan membasuh pinggan mangkuk atau paling tidak, memastikan rumah dalam keadaan bersih dan terjaga. Dan jika mempunyai kelebihan dapatkanlah pembantu rumah bagi membantu meringankan bebanan isteri.

Begitu juga dengan sang isteri, walaupun penat bekerja, apabila melihat suami tercinta turut sama ringan tulang membantu, pasti akan lebih bersemangat untuk menyiapkan jamuan dan menyediakan minuman buat suami sebagai tanda cinta, bukan kerana terpaksa atau menganggap ianya sebagai satu tugasan para isteri.

Malah, menjadi satu rutin yang baik juga jika para suami dapat memberikan rehat kepada isteri seumpama cuti 1-2 hari dalam seminggu kepada isteri dari memasak, tetapi sebaliknya suami pula menggantikan tempat isteri dalam menyediakan jamuan buat isteri tercinta atau suami membawa isteri menjamu selera di luar.

Kesemuanya ini pasti mampu mewujudkan rasa cinta dan kasih antara sesama pasangan suami isteri, apabila suami dan isteri bersikap saling memahami dan menghargai pengorbanan masing-masing.

Dengan setiap pasangan masing-masing menunjukkan rasa kasih dan cinta dengan menzahirkannya, baik dalam bentuk luahan perasaan mahupun dari sudut tingkah laku, kesemua ini mampu menghangatkan rasa kasih dan mesra antara pasangan. Malahan, seharusnya ini sewajarnya berkekalan sehingga ke usia senja. Malah semakin lama semakin hangat dan saling memerlukan serta bergantungan dan terus berkekalan sehingga akhir usia kita bersama.

Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 44, terbitan Telaga Biru, Malaysia.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s