Pagi tadi saya punya temujanji sesi hakam di Mahkamah Shariah. Kali ini saya dipilih untuk menjadi hakam kepada plaintiff (isteri).
Bagi yang tidak mengetahui apa itu ‘Hakam’. Hakam ialah pihak yang dilantik oleh pasangan suami dan isteri. Setiap hakam akan mewakili seorang suami (defendant) seorang hakam lagi bagi mewakili isteri. Hakam akan cuba mendamaikan mereka dan jika tidak berjaya juga, hakam boleh menasihati Hakim Mahkamah untuk kedua pasangan dipisahkan, termasuklah jika pihak suami tidak bersetuju, maka hakam boleh menjatuhkan talak bagi pihak suami.
Dengan ini jelas, walau talak tiada di tangan isteri, keadilan dapat dilaksanakan juga dalam agama Islam. Proses hakam ini biasanya dilakukan selepas usaha-usaha kaunseling sebelumnya tidak berjaya, oleh kerana ia merupakan proses terakhir. Maka peratusannya adalah kecil untuk diselamatkan rumahtangga mereka. Setakat ini saya pernah selamatkan dua pasangan sahaja. Alhamdulillah. Kira banyak tau tu!
Kali ini saya berpasangan dengan seorang Ustaz veteran. Pihak isteri rupanya mengenali keluarga saya. Dia biasa mengambil upah jahitan baju untuk ibu, kakak dan juga adik saya. Hmmph..patut nama familiar.
Ini bukan kali pertama plaintiff atau defendant saya kenal atau mengenali saya. Pernah seorang defendant ialah kawan lama kepada bapa saya dan kadang-kadang pula daripada jemaah yang pernah meminta nasihat atau bantuan kaunseling untuk mereka.
Pasangan kali ini telah berumahtangga hampir 25 tahun lamanya. Lamakan? Tapi sayang, akhirnya ia berakhir dengan perceraian. Sepanjang sesi tersebut kedua belah pihak asyik menyalahkan antara satu sama lain.
Memang mudah sebenarnya nak cari kesalahan atau keburukan pasangan, tetapi tidak mudah untuk cari kebaikan pasangan. Contohnya, ada suami punya sifat malas kemas rumah atau bantu isteri buat kerja rumah tapi pada masa yang sama rajin bekerja mencari rezeki atau bijak merancang kewangan keluarga. Juga mungkin isteri kita seorang yang tidak pandai masak tetapi pandai melayan suami dan menguruskan keperluan anak serta keluarga.
Kesimpulannya, cubalah cari kebaikan pasangan kita. Kalau tak jumpa, cari sampai jumpa. Kalau nak tahu, antara kes yang pernah diselamatkan semasa mengendalikan kes hakam ialah apabila seorang isteri dipujuk oleh kami untuk cuba pertimbangkan untuk berikan peluang terakhir kepada suami. (Suami beliau kaki perempuan dan kuat berbohong, Masya Allah!) beliau tiba-tiba terkenang kebaikan dan jasa suami beliau. Nak tahu apa? Suaminya rajin memasak, kemas rumah, jaga anak, basuh dan sidai serta gosok baju! Akhirnya beliau berikan peluang sekali lagi kepada suaminya untuk berbaik-baik semula. Subhanallah…
Seperkara lagi yang perlu diingat bagi setiap pasangan ialah cuba selesaikan isu rumahtangga mereka awal-awal lagi, dapatkan bantuan sebelum parah. Jangan simpan lama-lama. Isteri kadang-kadang sabar, setahun, dua tahun……masuk 7 tahun meletup dan tiba-tiba dan tuntut cerai. Kes begini biasanya susah nak diselamatkan, kerana isteri menyimpan perasaan dan banyak beri peluang, si suami pula tetap tidak berubah ..
Akhirnya kesabaran akan hilang dan paling buruk apabila kasih sayang sudah lenyap. Maka pada masa itu sebarang janji perubahan dari pihak suami tidak akan beri kesan pada isteri. Beginilah yang berlaku kepada kes tukang jahit yang saya alami pagi tadi.
Lain kali, jika Ustaz dilantik oleh pasangan yang Ustaz kenali, beritahu ana dengan segara supaya dapat diperbetulkan dengan segera.Ini untuk mengelak keadaan pasangan tersebut, yang mungkin di lain hari, membuat tuduhan berat sebelah, yang saya yakin, adalah tidak benar. Walaubagaimanapun, ini adalah langkah yang lebih berkesan supaya tidak ada kekecohan terhadap diri Ustaz dan juga bagi pihak ana :)Insya-Allah
Dan syabas di atas khidmat dan ikhtiar Ustaz dapat meng-islahkan kedua pasangan yang lepas … memang ajaib 🙂
Apa yang ajaibnya, dua je daripada ramai-ramai. Ini bergantung kepada suami-isteri itu sendiri. Kita hanya mencuba tapi mereka yang menentukan. Untuk pasangan yang mengenali ana, I.Allah, kalau kita tiada biased, tiada masaalah yang akan timbul.