BH Kemusykilan

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Soalan:

Baru-baru ini suami saya mula berjinak-jinak dengan hobi memelihara binatang peliharaan iaitu seekor burung dan ikan arowana lengkap dengan tankinya sekali. Saya kurang bersetuju dengan hobinya ini kerana ia menyebabkan suami saya leka dengan hobinya, menambah kerja saya di rumah dan menyalurkan wang kepada perkara yang tidak bermanfaat. Di samping itu, saya berasa kasihan dengan binatang berkenaan. Apabila saya meluahkan pendapat saya, beliau kata ia bertujuan untuk merehatkan dirinya dan melawan stres kerja. Saya mohon penjelasan ustaz:

  1. Apakah pandangan Islam mengenai hobi sedemikian di sisi agama?
  2. Apakah nasihat ustaz kepada para suami yang mempunyai hobi sedemikian?”

Jawapan:

Membela binatang peliharaan tiada salahnya jika kita mematuhi adab dan etika seperti yang dianjurkan oleh agama. Seperti mana kita diperintahkan untuk berbuat baik terhadap manusia, begitulah juga terhadap haiwan.

Dengan itu, mempunyai hobi memelihara burung atau membela ikan di dalam tangki tidaklah berdosa atau menjadi kesalahan, selagi mana kita tidak berlaku zalim dan menjaga haiwan peliharaan kita dengan penuh kasih sayang, ini termasuklah dengan memastikan binatang tersebut dijaga makan dan minumnya serta dipastikan keadaan sangkar atau tangkinya dalam keadaan baik dengan dibersihkan tempat mereka dipelihara dari semasa ke semasa.

Menjaga Binatang Pemeliharaan Dari Sudut Pandangan Sunnah

Hobi memelihara binatang ini bukanlah satu perkara yang baru di sisi agama, malah salah seorang sahabat Nabi s.a.w. yang tersohor iaitu Abdul Rahman Bin Sakhr r.a., yang juga salah seorang yang paling banyak meriwayatkan hadis-hadis Rasulullah s.a.w., merupakan seorang yang sangat cinta dan kasih kepada kucing sehingga digelarkan oleh Baginda s.a.w. sebagai Abu Hurairah r.a. atau ‘bapa kucing’ sempena nama haiwan peliharaannya, nama gelaran ini kekal dan sebati sehingga ke akhir hayatnya.

Antara bukti lain yang menunjukkan menjaga haiwan pemeliharaan merupakan salah satu perkara yang tidak salah di sisi agama dapat juga dilihat dalam sepotong hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. katanya:

Rasulullah s.a.w. sering menjenguk kami, dan aku mempunyai seorang adik lelaki kecil yang dipanggil Abu ‘Umayr. Dia mempunyai seekor burung kecil dan selalu bermain dengannya. Suatu ketika burung itu mati. Maka suatu hari Rasulullah s.a.w menjenguknya dan melihatnya sedang bersedih. Lalu Baginda bertanya:”Apa hal dengannya?

Orang-orang menjawab: “Burung kecilnya telah mati. Lalu Baginda bertanya kepadanya: “Wahai Abu ‘Umayr, apa yang dibuat oleh si ‘Nughayr’ (si burung kecil)?”. Hadis riwayat Imam Bukhari.

Hukum Menjaga Binatang Pemeliharaan

Imam Ibnu Hajar Al-‘Asqalani dalam kitabnya ‘Fathul Bari’ ketika menerangkan hadis ini, ia menyebutkan bahawa antara pengajaran dari hadis ini menunjukkan bahawa bolehnya kita memelihara burung di dalam sangkar.

Dalam riwayat hadis yang lain pula disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Seorang wanita disiksa Allah pada hari kiamat kerana dia mengurung seekor kucing sehingga kucing itu mati. Oleh kerana itu, Allah s.w.t. memasukkannya ke neraka. Kucing itu dikurungnya tanpa diberi makan dan minum dan tidak pula dilepaskannya supaya ia dapat menangkap serangga-serangga bumi.” Hadis riwayat Imam Muslim.

Dari huraian di atas dapat dibuat kesimpulan bahawa memelihara burung itu hukumnya adalah harus dan diperbolehkan. Asal sahaja pemiliknya menjaga haiwan tersebut dengan penuh kasih sayang, serta menjaga segala keperluannya termasuk dalam hal keperluan makanan dan minumannya.

Adapun dengan permintaan puan untuk dinasihati suaminya, atas alasan kerana ia menyebabkan suami puan leka dengan hobi barunya ini serta membawa kepada penyaluran wang kepada perkara yang tidak bermanfaat dan sampai  ke peringkat membazir.

Saya melihat ia sebenarnya perlu ditangani sendiri oleh puan dan puan perlu berbincang dengannya. Antara perkara yang puan boleh lakukan dalam hal ini ialah:

Pertama, meluahkan keprihatinan terhadap hobi terbaru suami

Sebagai langkah seterusnya, penting bagi puan untuk meluahkan segala keprihatinan yang terkandung di sanubari puan. Ini adalah bagi memastikan suaminya jelas bahawa hobi tersebut walaupun secara dasarnya tiada salahnya dan mampu memberikan manfaat kepadanya seperti dapat menghilangkan stress, tetapi ia sebenanrnya menimbulkan isu-isu yang lain pula.

Keprihatinan ini boleh diluahkan pada masa yang sesuai seperti ketika suami sudah pulang kerja dan mendapat rehat secukupnya. Ini bagi memudahkan puan menyampaikan mesej yang ingin diluahkan, semoga dengan cara ini ia dapat membantu suami mendengar dan memahami keluhan puan.

Kedua, mencari titik persetujuan bersama

Penting dalam perbincangan ini untuk terlebih dahulu mencari titik persetujuan bersama bagi memastikan perkara tersebut menguntungkan dan menyenangkan hati kedua-dua belah pihak.

Antara perkara yang saya rasa kedua puan dan suami perlu bersetuju terlebih dahulu ialah hobi tersebut jangan sampai kepada peringkat yang membebankan dan membazirkan dari sudut perbelanjaan rumahtangga, serta menjadi penyebab kepada kekeruhan rumahtangga antara anda berdua kerana si suami terlalu leka dengan hobi terbarunya.

Saya dapat membayangkan kos yang mahal bagi membelikan seekor ikan Arowana ini, ini belum termasuk lagi dari sudut kos penjagaannya, peralatan tangki, makanan ikan dan sebagainya.

Puan dan suami perlu berbincang, adakah terdapat prioriti dan keutamaan lain yang perlu dititikberatkan? Adakah keperluan-keperluan lain yang jauh lebih penting sudah ditunaikan seperti perbelanjaan rumah atau anak-anak sudah dibereskan? Atau, adakah sejak adanya hobi baru ini ia menjejaskan dari sudut tanggungjawab suami terhadap keluarga terutamanya dari sudut kewangan?

Jika Ya, apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan? Bagi membantu dalam perbincangan, pastikan segala huraian-huraian tersebut tidak lari dari titik persetujuan bersama yang telah ditetapkan pada awal perbincangan.

Ketiga, memikirkan tanggungjawab bersama 

Penting bagi suami puan untuk diingatkan tentang tanggungjawab bersama. Lebih-lebih lagi jika ia merupakan milik peribadi seseorang, dan dalam hal ini penjagaan binatang peliharaan suami.

Memandangkan bahawa ini merupakan pilihan suami, maka tugasan tanggungjawab dari sudut penjagaan perlulah dipikul oleh yang empunya hobi, kecuali jika puan secara sukarela bersetuju bagi urusan tersebut. Puan perlu jelaskan secara baik, bahawa suami puan perlu memikul tanggngjawab tersebut jika beliau ingin meneruskan hobi tersebut, dan puan tidak akan bertanggungjawab ke atasnya.

Walaupun menjaga binatang peliharaan itu hukumnya harus seperti yang dijelaskan sebelum ini. Namun memandangkan hobi suaminya tidak menyenangkan puan, dan mempunyai kesan kepada isteri terutamanya dari sudut penjagaan, di mana ia menambahkan pula kerja puan di rumah seperti perlu membersihkan tangki ikan peliharaanya sebagai contoh, maka adalah wajar perasaan tidak senang puan ini perlu disampaikan kepada suami.

Dengan ini, suami puan lebih jelas dengan apa yang menjadi kerunsingan dan keprihatinan puan, serta rasa tidak senang hati puan terhadap hobi terbarunya ini. Mudah-mudahan dengan perbincangan secara harmoni, meluahkan segala rasa hati demi mencari penyelesaian dalam konflik yang berlaku, ia mampu memahamkan suami dan seterusnya dapat membantu menyelesaikan isu rumahtangga puan.

 

Nota: Artikel kemusykilan agama ini telah diterbitkan dalam ruangan Hidayah Berita Minggu Singapura pada 15 November 2013.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

6 responses »

  1. Zulaikha says:

    Salam.. sy ada memelihara arnab.. 3 hari lepas arnab sy beranak.. tp sy tak tahu dia nak beranak.. jadi sy x sediakan bekas utk bersalin..keesokan pagi nya,msa nak bagi makan, anak2 dia terjatuh drpd sangkar.. 5 ekor mati masa tu..esoknya seekor lg mati..jadi ada 2 yg ekor hidup..

    sebelum tidur.. sy ada pg tgk sangkar,takut si ibu x bagi susu.. alhamdulilah,mereka kenyang dah.. tp sy tgk seekor anak arnab,badan dia sejuk.. sy bwk msuk rumah kejap utk tgk keadaan dye.. lepas tu sy hantar ke sangkar balik..

    Dalam pkul 2 pagi,sy terjaga sebab hujan lebat.. sy pg tgk sangkar arnab sbb risau..tapi baby arnab yg sejuk td dah mati kesejukan..

    Saya rasa terkilan dan berdosa sgt2 sbb tak dpt sediakan tempat bersalin si ibu menyebabkn ank2 dia jatuh dari sangkar, dan pg hantar balik anak arnab tu ke sangkar, cuaca sejuk kat luar,tapi langsung tak terpikir nak letak dalam bilik supaya tak sejuk sgt..

    Soalan
    berdosa ke saya ustaz? Sy tak sengaja..tapi dalam masa yg sama,cuai..

  2. hamba allah says:

    Assalamualaikum ustaz,sy ade bela kucing dlam rumah..siang malam mmang dlam rumh,tpi ade la jgak kluar kn kucing tu..die buang ‘hajat’ dlam rumah,dlam bilik air,makan dan tido pon dlam rumah..lgi pon klau kucing tu klua rumah pon skejap je..sbab nnti bergaduh..

    Soalan
    1.apakah hukum kite pelihara kucing dlam rumah ? salahkah sy pelihara kucing itu dlam rumah ?

  3. rezal says:

    asalamualaikum..sy nak bertanya kepada yg arif emm..apa hukum bela arnab dalm rumah..dan hukum najis-najis arnab…yg berada didalam rumah…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s