Apabila kecoh baru-baru ini tentang isu penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja di Malaysia. Saya melihat kebimbangan yang ketara pada masyarakat Islam setempat. Ini dapat difahami kerana perkara aqidah, bukanlah satu perkara yang enteng. Pada masa yang sama, kadangkala kita akan kedengaran dari semasa ke semasa, isu murtad di kalangan masyarakat Islam, terutamanya ke agama Kristian.
Kita bimbang dengan fenomena ini. Kita bimbang dengan penggunaan kalimah Allah yang mungkin disalahgunakan. Namun, apakah peranan kita dalam memperkukuhkan aqidah kita, keluarga kita, atau umat Islam di sekeliling kita? Sudahkah kita benar-benar faham tentang ajaran Islam yang sebenarnya?
Berbeza dengan tanggapan ramai, saya melihat penularan agama Kristian ini bukanlah berpunca daripada usaha dakwah secara agresif golongan puak gereja, tetapi kepada minat atau rasa ingin tahu segelintir orang Islam, lantaran melihat agama Kristian sebagai agama yang ‘penyayang’ dan ‘ihsan’ kepada manusia.
Pada masa yang sama, saya tidak menolak ia juga lantaran ketiadaan asas yang kukuh pada agama asal mereka iaitu Islam juga memainkan peranan besar ke arah penularan tren ini.
Sebagai contoh, terdapat seorang pelajar pra-universiti yang pernah dirujukkan kepada saya oleh bapanya. Alhamdulillah, beliau sebenarnya telahpun kembali ke pangkuan Islam semula sebelum berjumpa dengan saya lagi. Tetapi sebagai langkah berjaga-jaga, bapanya membawa beliau berjumpa dengan beberapa asatizah termasuk saya bagi memberikan sedikit panduan dan nasihat kepada anaknya. Walaupun beliau sudah kembali Islam, namun saya yakin terdapat beberapa persoalan yang masih bermain-main di benak pemikirannya.
Saya kongsi bersama beberapa isu pada perbincangan kami di sini untuk kemanfaatan ramai, semoga ia dapat digunakan oleh kita apabila berhadapan dengan individu Muslim yang tertarik kepada agama lain, agar mereka seterusnya dapat kembali kepada ajaran agama Islam yang sebenarnya.
Isu-isu tersebut ialah:
Pertama: Membuat Perbandingan Antara Agama.
Perkara pertama sekali yang saya sentuh ialah, sudahkah beliau mempunyai kefahaman yang mendalam terhadap agama Islam sebelum mendalami agama Kristian?
Cukupkah kefahaman terhadap ilmu Tauhid sebelum ingin mendalami konsep ketuhanan dalam agama baru?
Bagaimana pula dengan pemahaman terhadap Al-Quran, sudahkah beliau selesai membaca dan memahaminya sebelum ingin mendalami ‘Bible’?
Kesemua jawapan beliau adalah tidak. Jadi, saya persoalkan padanya, jika tidak faham Islam, begaimana dapat beliau membuat perbandingan antara agama Islam dan Kristian?
Saya jelaskan kepadanya bahawa beliau tidak bersikap adil kepada agamanya sekarang. Beliau lahir sebagai Islam tetapi tidak pernah belajar tentang Islam atau mengamalkan ajaran Islam. Bagaimana beliau dapat membuat pilihan yang tepat, mana satukah agama yang lebih baik jika kajiannya hanya tertumpu pada satu agama sahaja?
Jika dibuat perbandingan sekalipun, pastinya ia bukanlah satu keputusan yang tepat, lantaran kecetekan kefahaman agama. Apa yang akan terjadi jika keputusan beliau merupakan satu kesilapan?
2. Kristian agama ‘rahmah’ dan kasih sayang, Islam tidak?
Agama Kristian agama kasih sayang, agama Islam tidak. Betul ke? Inilah soalan saya apabila beliau menyatakan sebab mengapa dia tertarik dengan agama Kristian.
Saya jelaskan pada beliau, saya tidak dapat nafikan ini berpunca daripada cara kita menyampaikan agama Islam itu sendiri. Islam hanya dikaitkan dengan halal-haram, syurga-neraka. Ada di kalangan pendakwah kita sendiri, suka berbicara tentang hal ini sehingga ia sinonim dengan para agamawan kita.
Sedangkan Islam tidak sedemikian, banyak lagi yang ditonjokan selain dari halal-haram atau dosa-pahala. Cuba kita lihat dakwah Rasulullah? Semasa Baginda berada selama 13 tahun di Mekah, Nabi s.a.w. banyak menumpukan dakwah dari sudut pengukuhan aqidah dan pembentukan akhlak.
Memperkukuhkan aqidah umat Islam pada masa itu menjadi agenda utama dakwah Baginda. Begitu juga dengan akhlak. Masyarakat Arab pada masa itu cukup tenggelam dengan kemunduran dari akhlak mahupun budi pekerti. Tidakkah Nabi s.a.w pernah menyatakan bahawa Baginda diutus tidak lain adalah untuk menyempurnakan akhlak?
Tidakkah kita pernah mendengar bagaimana tingkah laku Rasulullah terhadap orang Arab badwi yang kencing di dalam masjid. Rasulullah tidak mengherdik atau menghalau, tetapi menegur dan berbicara dengan lembut dan sopan sebagai ajaran kepada sahabat-sahabat yang lain dan juga kepada kita umat Baginda.
Saya bertanya lagi kepada remaja tersebut, apakah ayat pertama sekali yang tertulis di dalam Quran. Beliau menjawab. Iqra’? Tidak. Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin? Tidak. Kali ketiga baru beliau menjawab dengan betul. ‘Bismillah…’
Saya kemudian tanya beliau apa ertinya? Dia menjawab ‘Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang’. Tidakkah itu membuktikan Islam agama kasih sayang? Tidakkah tindakan Baginda terhadap orang Arab badwi tadi, lantaran sifat kasih sayang yang ada pada diri Baginda? Beliau mengangguk-angguk tanda setuju.
Saya menyambung lagi dengan kisah dakwah Baginda terhadap masyarakat Taif, bagaimana orang-orang Taif baik miskin ataupun kaya, golongan bangsawan mahupun hamba abdi, orang tua mahupun kanak-kanak, kesemuanya mengherdik, mencela, meludah, melontar dengan batu sehingga luka-luka tubuh badan Baginda.
Kemudian datang para malaikat menyampaikan tawaran Allah untuk dihempap orang-orang Musyrikin ini dengan gunung-ganang. Baginda bukan sahaja menolak, malah berdoa kepada Allah agar mereka diberi petunjuk dan keturunan mereka ini diberikan hidayah oleh Allah.
Tidakkah kesemua ini menunjukkan akhlak terpuji Baginda selaku contoh kepada kita golongan pendakwah? Paling penting, tidakkah ini membuktikan Islam agama ‘rahmah’ dan kasih sayang?
(Bersambung)
Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 19, terbitan Telaga Biru, Malaysia.