(Bersambung)
3. Kemusykilan Yang Tidak Terjawab
Belia yang saya jumpa ini seperti juga mereka yang lain, mempunyai banyak persoalan yang tidak terjawab tentang agama Islam. Ketuhanan, kenabian, hal-hal ghaib dan lain-lain. Beliau juga antara mereka yang mempercayai segala apa yang ditulis di media massa tentang Islam, iaitu Islam sebagai agama yang menyokong keganasan dan juga agama yang tidak menghormati wanita.
Kesemua isu-isu ini tidak dapat dijawab oleh ibu bapa mereka atau mereka yang rapat dan berada di sekeliling dan persekitaran mereka.
Dengan itu, para ibu bapa perlu memantau anak-anak dan mengenal pasti cara pemikiran mereka, dan jika tidak berupaya menangani atau menjawab kemusykilan mereka, rujuklah kepada para guru agama yang mampu berbicara dalam hal ini bagi membincangkan atau menjawab isu-isu yang menjadi kekeliruan, serta yang masih belum terjawab di benak mereka.
4. Pelajari Daripada Orang-Orang Kristian Yang Telah Memasuki Islam
Apabila beliau berbicara tentang keihsanan agama Kristian dan terdapat orang-orang Islam yang telah memasuki Kristian. Saya tanya beliau, kalau agama Kristian begitu baik dan sempurna. Mengapa terdapat orang-orang Kristian yang murtad juga? Mengapa tidak dipelajari dan ditanya mengapa mereka tinggalkan agama Kristian? Kenapa tidak kita tanya mereka, apakah yang membuatkan mereka tertarik bagi memeluk agama Islam?
Tidakkah rugi kita yang kelahiran Islam tetapi ingin menganut agama lain? Sedangkan orang-orang bukan Islam berlumba-lumba menganut agama Islam.
5. Mengkaji Sirah Rasulullah
Akhir sekali, saya menggesa beliau untuk banyak mengkaji tentang agama Islam. Dalami sejarah hidup Rasulullah, baca kitab-kitab Sirah yang membincangkan perjuangan Rasulullah dalam menegakkan agama Islam. Pelajari keperibadian Rasulullah dan bagaimana Baginda berdepan dengan masyarakat Islam dan bukan Islam, teman mahupun musuh.
Banyak sekali pelajaran yang boleh diambil daripada riwayat hidup Rasulullah. Sebelum ingin dalami agama lain, bacalah dahulu kisah hidup Rasulullah. Saya sudahi sesi saya dengan menghadiahkan buku tentang Sirah yang bertajuk ‘The Messenger’ karangan Tariq Ramadan kepada beliau untuk dibaca.
6. Berdoa, Kekalkan Hubungan dan Usah Singkirkan Mereka
Apapun, kita hanya mencuba. Keputusan akhir adalah daripada individu itu sendiri. Jika beliau tetap dengan pendiriannya, tiada apa yang dapat kita lakukan kecuali berdoa agar mereka diberikan hidayah dan kembali ke pangkal jalan. Dan yang paling penting, usah sesekali kita berputus asa atau lebih berat lagi, sebagai ahli keluarga kita singkirkan mereka mereka.
Contohilah akhlak Baginda. Baginda tidak pernah membuang saudara maranya yang mengkufurinya. Lihat Abu Talib. Atau, mereka yang membencinya, memusuhinya dan memeranginya. Lihat Abu Sufian. Malah, Abu Sufian akhirya menganut agama Islam semasa pembukaan kota Mekah, dan anaknya Muawiyah merupakan penulis wahyu dan merupakan khalifah pertama Dinasti Umawiyyah.
Apa yang saya kongsi di sini, mungkin boleh praktik kan apabila kita bertemu atau berinteraksi dengan teman atau saudara kita yang tertarik dengan agama lain.
Elakkan perbincangan yang sehala sahaja, yakni kita sahaja yang bercakap. Akan tetapi, libatkanlah mereka. Cuba fahami sebab di sebalik keputusan yang diambil untuk mereka keluar agama. Ajaklah mereka berfikir bersama dan persoalkan apa yang mereka fikirkan. Itu adalah usaha yang lebih baik daripada kita bincang isu syurga neraka, dosa besar dan sebagainya.
Dan jika mereka tetap dengan keputusannya, tidak mengapa. Teruskan hubungan dengan mereka. Insha Allah, jika satu hari mereka punyai kesulitan, bercerai dengan suami yang beragama lain sebagai contoh. Mereka pasti tahu dengan siapa yang perlu mereka rujuk. Mereka masih tetap punya teman, saudara, ibu ataupun bapa. Tidak mustahil orang sebegini akan kembali kepada agama asalnya iaitu Islam.
Semoga selepas episod ini, beliau terus mendapat petunjuk daripada Allah dan semakin kukuh keimanannya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 19, terbitan Telaga Biru, Malaysia.