Soalan:
Saya seorang isteri yang sudah bernikah hampir 7 tahun, sejak akhir-akhir ini saya mengesyaki bahawa suami saya sudah pandai berbohong, ia mula saya kesan apabila wang milik saya sering lesap dan apabila ditanya beliau menafikan mengambilnya. Namun setelah didesak, beliau akhirnya mengakuinya dan menyatakan tiada salahnya beliau berbohong selama ini kerana ini termasuk perbuatan ‘bohong sunat’ dan ada dalilnya.
Soalan saya, adakah benar dakwaan suami saya itu? Adakah wujudnya ‘bohong sunat’ dalam agama? Harap Ustaz mampu membantu saya, kerana saya jelas keliru.
Jawapan:
Berdusta atau berbohong merupakan suatu perbuatan yang dibenci dan dikeji oleh Allah s.w.t. Malah dikatakan amalan berdusta atau berbohong merupakan perbuatan yang membawa seseorang itu hampir ke neraka.
Dari Ibnu Mas’ud r.a., ia bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kebenaran itu membawa kebaikan dan kebaikan itu membawa ke syurga, dan sesungguhnya orang yang membiasakan dirinya benar akan dicatat oleh Allah sebagai siddiq (Yakni orang yang selalu benar); sedang kedustaan itu membawa kepada penyelewengan dan penyelewengan itu membawa ke neraka, dan orang yang membiasakan berdusta itu akan dicatat oleh Allah sebagai pendusta.” [Bukhari dan Muslim].
Perbuatan berdusta atau bohong juga disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai merupakan tanda-tanda atau ciri-ciri orang yang Munafik. Ini jelas menerusi sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Tanda orang munafik itu ada tiga: Apabila berbicara berdusta,apabila berjanji ia mungkiri dan apabila diberi kepercayaan ia khianat.” [Bukhari dan Muslim].
Bahkan, mereka yang tidak suka berdusta dan gemar berkata benar diberi kedudukan yang tinggi di sisi Allah, ini jelas disebutkan dalam Quran, menerusi firman-Nya:
“….Dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah) dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” [Al-Ahzab, 3: 35]
Pengecualian Dalam Berdusta
Namun pada masa yang sama, memang benar terdapat pengecualian dalam berdusta atau berbohong, tetapi bukanlah bermakna ianya sunat dilakukan atau sangat digalakkan sehingga mendapat pahala atau ganjaran. Ia sebenarnya lebih merupakan suatu keharusan dalam keadaan tertentu. Pengecualian untuk berdusta atau berbohong dalam keadaan ini disebutkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. dalam sepotong hadith yang bermaksud:
“Tidaklah halal berdusta kecuali pada tiga perkara, seorang suami berbohong kepada isterinya untuk membuat isterinya redha, berdusta ketika perang, dan berdusta untuk mendamaikan (Yakni memperbaiki hubungan) di antara manusia” [Sunan Tirmidzi].
Dalam hal ini, disebutkan dalam kitab Fathul Bari karangan Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani, bahawa para ulama berbeza pendapat tentang makna dusta yang dibolehkan. Ada yang berpendapat bahwa dusta tersebut adalah dusta yang hakiki. Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan dusta yang diperbolehkan di sini adalah ‘tauriyah’, iaitu mengucapkan perkataan yang benar dan bukan dusta, namun dengan tujuan agar sang pendengar memahami makna yang lain, dan dengan ini ia bukanlah dusta yang hakiki.
Sama ada ianya merupakan dusta secara hakiki atau tidak, para ulama bersetuju bahawa dusta dalam hal bagi mengeratkan hubungan suami isteri dan bagi tujuan menjalinkan kasih sayang antara keduanya adalah dibolehkan seperti yang disebutkan dalam hadith sebelumnya.
Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith berkaitan bohong antara suami isteri dalam kitab Syarah Sahih Muslim menyebutkan, “Maksud dusta suami kepada isteri dan sebaliknya adalah dusta ketika menampakkan cinta kasih dan ketika berjanji pada perkara yang tidak wajib atau sejenisnya. Adapun dusta di antara suami dengan maksud menipu untuk mendapatkan perkara yang bukan haknya, maka dusta seperti ini hukumnya haram berdasarkan ijma’ Muslimin.”
Tujuan Utama Perkahwinan Bagi Mengukuhkan Rasa Kasih dan Sayang
Jelas di sini, syariat Islam sangat mementingkan kerukunan rumahtangga dan keutuhan perkahwinan. Masakan tidak, antara tujuan utama dan maqasid pernikahan itu sendiri adalah bagi mencapai ketenangan dalam hubungan suami isteri, mengeratkan rasa cinta dan kasih sayang antara kedua pasangan suami isteri, sehingga terdapat saat-saat dan keadaan di mana syariat membolehkan seorang suami atau isteri berdusta kepada pasanganya, selama mana masih dalam batasan-batasan yang dibolehkan bagi demi untuk menjaga ikatan kasih sayang di antara pasangan suami isteri.
Sebagai contoh bagi memberikan kefahaman yang lebih jelas, misalnya dalam keadaan suami yang dalam keletihan kerana baru pulang dari kerja, tetapi apabila ditanya oleh si isteri sama ada letih atau tidak untuk keluar bersama bagi menemaninya ke majlis keramaian, si suami menafikan yang beliau letih dan bersedia menemankan isterinya yang sangat dicintainya.
Ini tidak lain, kerana jika si suami bercakap benar, maka sudah pasti akan menghampakan si isteri yang amat berharap suami yang dicintai dapat menemaninya. Pastinya si suaminya juga bersedia untuk menafikan keletihan tersebut, lantaran kerana rasa kasih terhadap isteri dan bagi menceriakan si isteri. Jelasnya perbuatan ‘dusta’ si suami tersebut atau isteri (jika perkara yang sama berlaku sebaliknya) semakin mengeratkan kasih sayang keduanya dan bukan sebaliknya.
Batasan Berdusta Antara Suami Isteri
Pada masa yang sama, bolehnya dusta antara suami dan isteri ini tetap ada batasannya, iaitu dengan syarat tidak boleh sampai kepada peringkat menafikan hak salah seorang dari keduanya. Ini seperti penipuan dan pembohongan untuk menghalangi hak suami atau isteri bagi mengambil apa yang bukan haknya, maka dalam hal ini adalah haram dan dilarang berdasarkan kesepakatan para ulama. Maka dengan demikian, perbuatan suami puan jelas termasuk dalam dusta yang dilarang Allah, walau dilakukan dengan tujuan ‘kasih sayang’, kerana beliau jelas telah mengambil hak puan, atau dalam erti kata lain beliau telah mencuri wang kepunyaan isterinya sendiri.
Juga suka saya tekankan di sini, walaupun berbohong dibenarkan agama dalam beberapa keadaan yang disebutkan sebelum ini, pesan saya agar usah sampai suami atau isteri menjadikan dusta kepada pasangan masing-masing sebagai satu kebiasaan, akan tetapi hendaknya hanya ketika saat ia benar-benar diperlukan dan jelas kemaslahatannya.
Ini kerana jika kebohongan tersebut dilakukan secara berulang sehingga akhirnya berjaya dikesan si isteri atau suami bahawa ia telah dibohongi oleh pasangannya. Maka tiadalah mustahil, bahawa dusta yang pada asalnya bertujuan bagi kebaikan mampu membawa kesan sebaliknya pula, seperti melahirkan rasa tidak percaya pada perkataan-perkataan pasangan di kemudian hari, seterusnya lahir rasa curiga dan sikap prasangka pada pasangan masing-masing sampai bila-bila.
Wallahu A’lam.
Nota: Artikel kemusykilan agama ini telah diterbitkan dalam ruangan Hidayah Berita Minggu Singapura pada 6 Oktober 2013.