Pada bulan Ogos yang lalu, saya ditawarkan sebagai penulis bagi ruangan Spektra di Majalah Manja selama 6 bulan. Tugas saya pada setiap bulan ialah menjawab soalan-soalan berbentuk peribadi yang ditanya oleh pembaca majalah Manja. Edisi pertama sudah pun dikeluarkan pada bulan Oktober ini (mula berada di pasaran sejak 21 Sept).
Insha Allah, saya akan menyiarkannya di blog saya ini pada setiap 20 hb bagi keluaran bulan yang terdahulu, agar ianya tidak mengganggu penjualan majalah Manja. Semoga sekalian pembaca dapat meraih faedah darinya. Insha Allah.
Soalan:
Saya seorang wanita berusia 32 tahun dan masih tinggal serumah dengan ibu saya yang berusia lewat 50 tahun. Beliau sudah bersara dan tahap kesihatannya alhamdulillah baik. Kakak saya sudah kahwin tiga tahun lalu dan ada rumah sendiri. Hubungan saya dengan ibu saya boleh dikatakan agak tegang. Walaupun pada usia begini saya tidak diberi kebebasan atau kepercayaan untuk melakukan sesuatu yang saya fikir baik untuk diri saya. Ini tidak bermakna saya akan membuat sesuka hati saya dan ketepikan semua nilai dan pengajaran yang telah ibu saya didik saya.
Masalahnya ialah biarpun sudah besar panjang saya ada curfew – tengah malam perlu ada di rumah dan saya tida boleh sesuka hati jumpa kawan atau pergi dating kerana saya perlu dapatkan izin ibu terlebih dahulu. Saya cuba untuk membahagikan masa di antara tuntutan kerja dan juga berada di rumah. Tapi sebagai seorang wanita berusia 30 tahun yang membesar di bandar moden seperti Singapura, saya ada keinginan dan keperluan untuk meluangkan masa untuk diri saya sendiri, bersama teman, bertemu orang baru, keluar bersama teman lelaki… saya rasa sukar untuk melakukan ini semua tanpa perlu bertekak/bergaduh dengan ibu saya yang mengatakan saya pentingkan diri sendiri.
Saya rasa kecewa kerana saya telah cuba yang terbaik untuk bahagikan masa saya. Sebab kerana inilah saya selalunya tidak kuasa untuk buat sebarang temu janji dengan kawan-kawan atau pun bercampur gaul dengan orang lain. Baru-baru ini saya berkenalan dengan seorang lelaki dan amat sukar untuk saya keluar bersamanya dan membina hubungan kami. Saya selalu mengelak daripada memulakan sebarang hubungan kerana takut ia akan menjadi isu besar dan membuat hubungan saya dengan ibu tegang. Bagaimanapun, lelaki yang saya sedang temui ini amat sabar orangnya. Kalau saya berjumpa dengannya – hanya tiga jam dalam seminggu. Itu pun dengan izin ibu saya.
Saya kini dalam dilema sama ada saya harus teruskan hubungan ini kerana saya semakin stres ekoran pertengkaran berterusan dengan ibu saya dan tekanan daripada teman lelaki saya mengenai hubungan kami. Ia amat melelahkan saya sehingga menjejas kerja dan fikiran saya hinggakan saya mula adakan pertemuan dan pakar terapi. Sebab itulah saya sedang memikirkan untuk cari rumah sendiri agar saya miliki ruang sendiri untuk tumbuh sebagai seorang individu. Bukan untuk memutuskan hubungan dengan ibu saya dan keluarga cuma untuk mendapatkan kebebesan sebaai seorang individu dan insan.
Saya tahu ini akan membuat kecoh besar dengan ibu dan keluarga saya. Tapi haruskah saya lepaskan hak saya untuk hidup dengan ketentuan sendiri apatah lagi pada usia yang sudah menjangkau 30?
Jawapan:
Sebagai seorang yang sudah dewasa dan matang, pastinya merupakan satu cabaran besar apabila setiap tindakan yang ingin kita lakukan, masih lagi perlu mendapatkan kebenaran dari orang tua, serta pada masa yang sama kita sebagai orang dewasa tidak mempunyai kebebasan membuat keputusan yang dirasakan terbaik untuk diri kita sendiri.
Melalui luahan saudari, saya dapat disimpulkan terdapat dua peraturan rumah yang saudari perlu patuhi; iaitu perlu berada di rumah sebelum tengah malam dan perlu mendapat keizinan dari ibu apabila ingin berlibur bersama teman lelaki atau teman-teman yang lain.
Dalam hal ini, saya berasakan permintaan ibu saudari tidaklah keterlaluan atau melampau. Malah, ia merupakan satu perkara yang baik untuk keselamatan dan kesejahteraan saudari sendiri juga. Pastinya merupakan satu perkara yang membimbangkan bagi mana-mana ibu bapa, jika anak-anak tidak kira apa jantina dan umurnya masih belum pulang ke rumah walau selepas lewat tengan malam, apatah lagi jika tidak diketahui keluar dengan siapa dan ke mana destinasi mereka berada.
Saya berpandangan ibu saudari beranggapan bahawa pada usia yang matang seperti umur 32 tahun, perlulah perhubungan tersebut menjurus kepada suatu yang serius yang menjurus ke arah tujuan rumahtangga. Ini dapat dilakukan dengan cara memperkenalkan ibu kepada bakal pasangan, begitu juga hubungan di antara kedua-dua bakal besan iaitu di antara ibu dan orang tua pasangan anda. Dengan cara ini, ia sedikit sebanyak mengurangkan kebimbangan ibu anda dan juga secara tidak langsung menunjukkan keseriusan anda dan pasangan dalam berhubungan.
Saya merasakan inilah yang lebih utama dilakukan, dan bukan sebaliknya seperti langkah berpindah rumah dan tinggal bersendirian, kerana cara ini pastinya akan lebih menambahkan kerunsingan dan kebimbangan ibu serta tidak menyelesaikan masalah saudari, selain menambahkan rasa tidak percaya ibu kepada saudari dan juga pasangan saudari.
Masyarakat Indonesia sepakat bahwa secara yuridis formal, Pancasila sebagai dasar falsafah Negara merupakan salah satu konsensus yang disepakati.