Alhamdulillah, kelmarin saya dan isteri selamat menemani Ahmad Aysar, anak ketiga saya yang baru menghadiri kelas ‘Playgroup’ beliau yang pertama di Tadika Masjid Darul Ghufran.
Cuma kali ini, saya tidak ingin bercerita tentang Aysar tetapi ingin berkongsi pengalaman saya memilih tadika serta pengalaman kami sebagai ibu bapa bersama anak kedua saya iaitu Ahmad Yasir yang sekarang ini sudah berada di darjah 1 di salah sebuah sekolah rendah di Tampines. Semoga cetusan pengalaman saya kali ini mampu memberi sedikit sebanyak idea dan buah gambaran bagi para ibu bapa dalam memilih tadika yang sesuai dengan anak-anak mereka.
Baru rasanya 3 bulan lepas saya hadiri majlis Konvokesyen anak saya Ahmad Yasir, sempena tamat tahun akhirnya tadikanya di Kelab Masyarakat Tampines. Buat makluman Ahmad Yasir di ketika itu bersekolah di tadika Masjid Darul Ghufran. Secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan sistem pengajaran tadika masjid ini, saya juga berterima kasih kerana Masjid ini sudi menerima kemasukan Ahmad Yasir ke kelas K2, walaupun kelas sudah berlangsung lebih setengah tahun. Sebenarnya saya dan isteri tiada pilihan kerana sangat terdesak ketika itu, maklum sahaja di Singapura ini…sistem pembelajaran sekolahnya begitu pantas, darjah satu sahaja dah macam-macam yang dipelajari, saya faham sangat hasil pengalaman saya mengikuti perkembangan anak pertama saya, Madihah (8+ tahun) yang sekarang ini berada di darjah 3.
Sebenarnya Ahmad Yasir sebelum berpindah ke tadika Masjid Darul Ghufran, pernah bersekolah di dua tadika (ketika di Nursery & K1-K2) yang lain iaitu di salah sebuah masjid dan satu lagi tadika milik institusi swasta (tidak termasuk Playgroup di Ghufran). Kiasu kan? Apa nak buat, sebenarnya kemahuan saya dan isteri tidaklah tinggi sangat. Asal sahaja Ahmad Yasir boleh mengeja dan membaca itu sudah mencukupi, malah jika kemahirannya mencapai dengan kadar 60% pun kami sudah cukup gembira. Memang kalau nak dibandingkan dengan kakaknya Madihah, Madihah memang lebih cepat dan pantas dalam kemahiran membaca dan mengeja, memang kemahiran anak-anak ini berbeza-beza dan punya keistimewaan tersendiri. Lantaran itu saya tidak berapa bimbang apabila tadika (bukan Darul Ghufran) yang menempatkan Madihah dahulu tidak berapa memberi penekanan kepada kerja sekolah atau akademik berbanding dengan aspek sosial, motor skill atau tahap keyakinan.
Bagi kes Ahmad Yasir ia berbeza. Saya dan isteri cukup bimbang…terlalu kurang dan mungkin langsung tidak ada kerja sekolah di tadikanya yang lama, jika ada ia cukup minimal sahaja. Di sekolah lebih banyak ‘play’ dari belajar,walau saya akur ‘play’ di sini juga belajar, tetapi ia juga perlu seimbang. Ini berbeza dengan sistem darjah 1 yang bakal dihadapi Yasir kelak! Kerja sekolah pasti berlambak! Kurang-kurang kena tahu mengeja dan membaca, kalau tidak alamat ketinggalan lah jawabnya. Kemampuan membaca Yasir ketika itu juga cukup minimal mungkin pada kadar 20-30%? Jika dengan kemahiran minimal kekal begini, pastinya sedikit sebanyak tahap keyakinan beliau di darjah 1 kelak akan berada pada peringkat yang sangat rendah, jatidiri juga mungkin terjejas…dan ini pastinya tidak sihat untuk jangka masa yang panjang.
Di rumah pula, ibunya cuba juga terapkan pembelajaran tambahan tapi Yasir sering mengeluh, sedikit banyak kekurangan kerja sekolah di tadikanya mengakibatkan minat belajar semakin pudar.
Akhirnya keputusan drastik perlu dibuat dan saya dan isteri nekad memindahkan Ahmad Yasir ke tadika barunya sekarang iaitu di Masjid Darul Ghufran. Namun setelah saya membuat penelitian yang mendalam, sebenarnya tiada apa yang silap atau kurang di kedua-dua tadika lama Ahmad Yasir. Setiap sistem ada kekuatan dan kelemahan yang tersendiri. Jika ada yang silap, sebenarnya ia datang dari ibu bapa seperti saya dan isteri yang naif dalam memilih tadika yang terbaik dan bersesuaian dengan kemahuan serta keinginan kami. Sebenarnya bagi setiap tadika ada falsafah pendidikan mereka sendiri, tidak seperti di sekolah nasional yang mempunyai falsafah yang sama, setiap tadika punyai falsafah yang berbeza. Ada yang meletakkan nisbah persediaan darjah satu 50% atau lebih seperti tadika PCF, ada juga yang kurang dari 50% atau mungkin hanya sekadar 20-30% sahaja atau lebih rendah dari itu. Dalam hal ini, selebihnya anak-anak tersebut perlu menghadiri kelas pengayaan atau ‘enrichment class’ untuk meningkatkan kemahiran akademik mereka.
Jadi sebenarnya terpulang kepada kita untuk memilih tadika yang kita inginkan, jangan main fikir semua tadika adalah sama. Lihat juga kemampuan anak sendiri. Buatlah kajian pada tadika yang telah kita kenal pasti. Bagi kes saya, tadika yang tidak berapa meletakkan persediaan darjah satu sebagai prioriti utama mungkin sesuai untuk pertama saya iaitu Madihah tetapi tidak untuk Yasir. Lantaran itu, montessori atau tadika yang canggih-canggih metod pengajiannya mungkin tidak sesuai untuk Yasir, tetapi mungkin sesuai untuk kanak-kanak yang lain. Maknanya, tadika yang mahal tidak semestinya baik dan bagus untuk anak kita, mungkin tadika di masjid kejiranan lebih sesuai atau mungkin tadika milik PCF pun sudah memadai.
Alhamdulillah, di tadika Masjid Darul Ghufran penumpuan dalam persediaan darjah satu semakin meningkat apabila anak tersebut naik ke K1 dan seterusnya intensitinya semakin tinggi apabila di K2. Terdapat sekurangnya workbook dan 2-3 buku kerja yang lain. Terdapat juga ‘spelling’, maklum di sekolah nasional biasanya sekurang-kurangnya 10 perkataan setiap minggu bagi ‘spelling’ bahasa Inggeris dan juga bahasa Melayu!. Ahmad Yasir semakin yakin, kemahiran membacanya juga semakin meningkat ke tahap 70-80%, beliau juga semakin ‘ringan’ apabila diajak untuk melakukan kerja sekolan dan pastinya yang paling utama tahap ‘gabra’ saya dan isteri juga sudah semakin reda!
Sekarang Ahmad Yasir sudah genap sebulan bersekolah di Darjah 1, walaupun beliau mungkin tidak sepantas anak-anak lain, tapi saya dan isteri cukup lega. Sekurang-kurangnya beliau semakin yakin dan tidak terlalu jauh ketinggalan dengan pelajar-pelajar yang lebih bijak dan cerdik, malah di luar jangkaan saya ‘spelling’ pertama Ahmad Yasir di sekolah barunya mencecah markah 8/10…
Tahniah, Ahmad Yasir!