images

Pada hari Khamis yang lalu giliran saya menyampaikan tazkirah selepas Zohor di Masjid Muhajirin, tajuknya tentang bagaimana Ramadan dapat menyatupadukan masyarakat sekeliling. Sebenarnya pening juga cari idea, adalah berejam juga. Bukan apa, saya cuba cari panduan dan tips yang realistik dan mudah dilaksanakan bersama, dan pastinya ukur taranya ialah saya rasa mampu saya sendiri mampu laksanakan atau pernah saya lakukan.

Untuk kemanfaatan bersama saya cuba ringkaskan isi kandungan tazkirah saya di sini:

1. Antara ajaran Al-Quran, ialah menjaga hubungan kita sesama Allah dan sesama manusia.

2. Alhamdulillah, dari sudut hubungan kita dengan Allah di bulan Ramadan ini, rata-rata ramai umat Islam berpuasa, masjid pula penuh dengan umat Islam membaca Al-Quran, bersolat terawih. Malah, pada 10 malam terakhir juga, masjid-masjid padat dengan kegiatan solat malam atau tahajjud bagi menghidupkan malam dan juga mengejar Lailatul Qadar.

3. Tetapi, bagaimana pula dengan hubungan kita sesama manusia dan masyarakat sekeliling kita? Adakah sama baik dan sempurna dengan amalan kita dengan Allah pada bulan ini? Ini juga perlu diambil kira, takut-takut ia menjadi penyebab penghapusan pahala kita di bulan Ramadan ini. Kan sia-sia itu namanya?

4. Pada masa sama, ia juga mampu memberikan kita peluang untuk melangkah setapak lagi bagi mendapatkan ganjaran tambahan dari Allah, sebagai tambahan dari usaha-usaha ibadah kita seharian di bulan Ramadan ini.

5. Antara perkara yang dapat kita tingkatkan lagi kebajikan pada bulan Ramadan dan yang sempat saya fikirkan di sini ialah:

Pertama: Saling memaafkan dosa antara sesama manusia.

Bagi saya sebenarnya ini adalah langkah paling mudah dalam kita mengejar ganjaran pahala, tapi mungkin bagi sesetengah pihak ia mungkin sukar.  Mengapa tidak kita mulakan dengan kita memaafkan keluarga kita yang terdekat dahulu, adik beradik, saudara mara dan sebagainya, kemudian kita lanjutkan pula kepada teman-teman serta kawan-kawan kita yang lain atau kepada sesiapa yang kita pernah bermusuhan.

Jadikanlah Ramadan kali ini permulaan kita untuk menjadi seorang yang pemaaf. Ada orang dengan teman-teman rapat sangat, tetapi dengan adik beradik saling bergaduhan, tidak bertegur sapa apatah lagi saling menziarahi antara satu sama lain. Mudah-mudahan kita tidak begitu, jika adapun…mulakanlah langkah untuk saling bermaafan, jika kita benarpun…tiadalah ruginya kita sebagai yang kecil atau besar mulakan langkah bermaafan dahulu. Semoga Ramadan kali ini menjadi Ramadan yang menjadi permulaan bagi ikatan kasih sayang kita.

Ingatlah akan firman Allah: “Hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” Surah An-Nur: 22.

Kedua: Memberi makan kepada orang yang berpuasa.

Amalan baik ini sebenarnya adalah satu inspirasi dari hadith Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu, dan pahala orang yang  puasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun” Hadith riwayat Imam Tirmidzi.

Terdapat beberapa cara bagi mengambil kesempatan daripada fadhilat hadith ini antaranya:

– Berkongsi lauk yang kita masak dengan jiran terdekat kita. Cuma isunya, kadang kita masak cukup-cukup je, yelah sekarang barang-barang pasar dah naik. Jadi mungkin ada yang tak mampu. Tapi mengapa tidak kita fikirkan cara lain? Satu cara yang saya terfikir ialah bila kita beratur ambil bubur masjid sebagai contoh…mengapa tidak kita ambil 1 bubur extra untuk jiran sebelah rumah kita? Itukan cara yang mudah bagi kita dapat pahala? Bukan itu sahaja, pastinya perbuatan tak seberapa ini mampu memberi kesan yang berpanjangan dari hubungan kita dengan jiran kita.

Apa perasaan kita bila jiran kita berikan sesuatu pada kita? Pasti kita gembira dan rasa berbesar hati kan? Begitulah juga kalau kita berikan sesuatu sebagai tanda ingatan kepada jiran kita.

– Selain itu, kita juga boleh berikan bubur tersebut kepada orang-orang tua yang memerlukan, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal seorang diri. Bahkan kita juga boleh berikan kepada jiran kita yang bukan Islam. Mengapa tidak? Itukan jiran juga?

Saya sendiri pernah berikan sedikit jamuan untuk jiran saya yang berbangsa India, Alhamdulillah selepas itu hubungan kami menjadi semakin mesra, malah 2-3 hari lepas tu, dia hantarkan jamuan chapati pulak! Kan best tuh!

Tapi apapun, perkara yang paling utama…keluarga kita sendiri jangan lupakan, malah itulah yang patut kita utamakan. Ibu kita, ayah kita, dan juga adik beradik kita. Malah, itulah ganjaran yang paling besar yang dijanjikan Allah. Sebelum kita nak derma atau sedekah pada golongan lain, perhatikan dahulu keluarga kita sendiri.

Sebenarnya apa yang saya kongsi bukanlah suatu perkara yang baru, malah merupakan seruan yang dilaungkan di dalam Al-Quran pada surah

“Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh”. Surah An-Nisaa: 36

Ketiga: Buat kebajikan pada orang miskin, rumah orang-orang tua serta anak-anak yatim.

– Sebagai lanjutan daripada intipati ayat Al-Quran yang saya sebutkan sebelum ini, menjadi satu perkara yang baik juga untuk kita melanjutkan perkara kebaikan kepada golongan fakir miskin dan juga golongan anak-anak yatim.

Malah jika kita tak berikan sumbangan pada merekapun, dengan menggembirakan mereka di kala Ramadan ini pun sudah merupakan amalan yang terpuji. Saya sendiri punya beberapa pengalaman peribadi bersama mereka sejak dari semasa bekerja di masjid lagi, dan yang terbaru semasa aktiviti tahunan Muis dalam program iftar bersama golongan anak yatim. Dengarnya tahun ini ada lagi acara seumpama ini, malah terdapat aktiviti membeli belah di Geylang bersama mereka.

Mengikut pengalaman saya, ia adalah suatu yang cukup indah, timbul rasa keinsafan dan kesyukuran yang teramat sangat. Maka suka saya menggesa agar pembaca budiman blog saya ini juga, dapat melakukan perkara yang sama.

Semoga Ramadan kali ini, menjadi sesuatu yang istimewa yang bukan sahaja mendekatkan diri kita bersama Allah, malah juga sesama hamba-Nya yang lain.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s