Genap hari ni dah masuk lebih kurang 8 hari, papa saya pulang ke rumah selepas lebih 2 minggu di hospital. Kali pertama terima papa saya rebah di bilik air, perasaan bimbang bukan kepalang. Tuhan sahaja yang tahu. Lebih-lebih lagi terdapat luka di kepala papa saya. Mujur selepas pemeriksaan di hospital, tiada apa yang serius pada luka tersebut. Cuma paru-parunya didapati berair (pneumonia), itupun didapati sembuh dengan berkat Allah.

Apa pun, insiden ini membantu hubungan kami sekeluarga menjadi lebih erat. Masing-masing bersemangat untuk melakukan sumbangan dan ihsan pada papa kami. Sebagai contoh adik saya membeli perkakas bagi kerusi dan peralatan di bilik mandi, ibu, kakak dan saya pula berkongsi membeli ‘railing’ untuk dipasang di bilik air dan juga satu tongkat istimewa bagi membantu papa saya mudah bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Kami juga sepakat berkongsi belanja bagi mendapatkan pembantu rumah khas untuk papaku. Walaupun ia memakan belanja yang tidak kurang banyaknya, tetapi Alhamdulillah kami semua bersatu hati berkorban demi kesenangan papa kami.

Bersama ayah dan bonda ketika upacara konvokasi sarjana di UM pada tahun 2008
Bersama ayah dan bonda ketika upacara konvokasi sarjana di UM pada tahun 2008

Sebenarnya saya bersyukur kerana saya dan adik beradik lain bersatu hati dalam hal ini, begitu juga dengan isteri dan juga ipar saya. Ketika di hospital, ibu saya pernah beritahu di mana terdapat seorang pesakit yang terlantar keseorangan dan sering mengadu dengan ibu dan keluarga yang lain bahawa tiada sesiapa yang datang menjenguknya, bahkan ketika beliau ingin menggunakan ‘medisave’ anaknya, si menantu datang menyerang beliau. Dahsyat kan? Ini sebenarnya hanya satu kes sahaja, terdapat banyak lagi kes lain, di mana adik beradik tidak bekerjasama dengan hanya seorang sahaja antara mereka yang menanggung perbelanjaan ibu atau bapa yang sedang sakit termasuk pembantu bagi menjaga mereka, malah terdapat juga kes di mana anak-anak sukar bagi mengeluarkan sedikit wang sumbangan bulanan untuk ibu bapa, apatah lagi sumbangan tambahan lain, akibat mengamalkan gaya hidup perbelanjaan yang besar seperti punya kereta dan sebagainya.

Malah, terdapat juga kes yang ekstrim di mana ibu bapa tidak dihiraukan dan terumbang-ambing, dan berlaku tolak menolak antara anak-anak sebaik sahaja ibu atau bapa memerlukan mereka, terutamanya ketika apa yang dihajati sudah diperolehi, seperti hasil penjualan rumah (apabila salah seorang meninggal dunia), dan wang keuntungan rumah sudah dibahagikan. Kes-kes yang saya sebutkan di sini bukan satu perkara yang baru, malah saya sendiri sering mendengarnya sendiri terutamanya ketika bertugas sebagai imam di masjid satu ketika dulu. Atas dasar itu saya bersyukur.

Rasanya ketika inilah peluang untuk kami membalas jasa papa kami ini, walaupun ia mungkin tidak setimpal dengan jasa papa kami. Masih terngiang kata-kata nasihat papa saya ketika setiap kali saya dihantar dengan motornya ke madrasah dulu. Pernah sekali, saya mendapat tempat tercorot sedikit ketika darjah 4 dahulu, papa saya tidak bising, dia diam sahaja, tetapi itu sudah cukup untuk buat saya rasa bersalah dan bangkit pada tahun berikutnya. Saya rasa keprihatinan dan kasih sayang papa sayalah, yang membuatkan saya menjadi seorang yang berjaya. Tanpa papa saya, saya tidak ke mana.

Semoga jasa dan pengorbanan kami yang tidak seberapa ini diiktiraf oleh Allah dan mendapatkan keberkaran dan rahmat dari-Nya, dan tidak tergolong di kalangan mereka yang pernah dicela oleh Rasulullah kerana memiliki ibu bapa yang sudah lanjut usia, namun masih tidak mampu untuk memasuki syurga. Baginda pernah bersabda: “Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina!” Baginda ditanya: “Siapakah wahai Rasulullah (yang hina itu)?” Baginda menjawab: “Orang yang mendapati orang tuanya dalam keadaan tua, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak memasuki syurga. Hadith riwayat Imam Muslim.

Semoga Allah memanjangkan usia papaku, diberikan kesihatan yang berpanjangan dan dipermudahkan segala urusan yang dilakukannya. Amin.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

2 responses »

  1. JoeKooL says:

    MasyaAllah Ustaz, thank you for sharing with us this story and lesson as well. May Allah bless us and our parents.

  2. Hasliza Borhan says:

    Sayu membaca artikel ini.Teringat dan memang mengakui “Papa” seorang ayah yg sangat penyayang…Tutur katanya berhemat dan teratur..Sikapnya yg melentur seperti menarik rambut di dalam tepung,rambut tak putus…tepung jua tak berserakan..Walaupun Liza bukan ahli dlm keluarga yg bahagia ini…Tp,rasa”roh” keluhuran hatinya mmg takkan ada galang ganti…Tahniah Abg Yus kerana memiliki “papa” yg sgt sempurna…Smg “papa”sentiasa di bawah naungan kasih syg NYA…Perasaan Ukhuwah ini akan di bawa ke akhir hayat…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s