Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Saudara yang dikasihi sekalian,

Izinkan saya mulakan khutbah ini, dengan berkongsi sedikit pengalaman peribadi yang pernah ditempuh sendiri oleh khatib sedikit masa dulu. Mudah-mudahan ia mampu dijadikan sebagai sandaran dan pengajaran.

Pernah satu ketika dulu, saya dihubungi oleh seseorang dan mengadu akan nasib malang yang menimpanya. Yang bertanya ini, merasakan bahawa dirinya tidak dikasihi oleh Allah s.w.t.

Masakan tidak baginya…Setelah segala perintah Allah dilaksanakan, bersolat lima waktu pun sudah,  bertahajjud pun sudah, malah segala larangan Allah juga sering dipatuhinya. Namun, beliau tetap juga tidak mendapat apa yang dihajatkan selama ini. Rupanya selepas saya selidiki, sebab kekecewaan ini kerana pinangan beliau terhadap seorang gadis ditolak. Keputusan ini sukar diterima, sehingga beliau ingin membunuh dirinya kerana merasakan Allah tidak adil, rasa diri tidak berguna dan tidak dikasihi Allah…

Lalu saya jelaskan padanya, sedangkan Nabi Muhammad s.a.w., makhluk yang paling dikasihi dan dicintai Allah sekalipun, tidak lari dari ujian Allah. Apatah lagi kita?

Tidakkah Nabi kita juga pernah jatuh sakit? Malah sakitnya Baginda juga tidak sama dengan kita. Di mana Allah timpakan berkali ganda sakitnya Baginda berbanding kita semua.

Dari Ibnu Mas’ud r.a katanya, Aku masuk ke dalam rumah Nabi s.a.w sewaktu Baginda sedang diserang demam panas. Kemudian saya menyentuh tubuh Baginda dan berkata: “Tubuh Tuan sangat panas sekali.” Lalu dijawab oleh Baginda, “Ya, aku menderita demam panas dua kali ganda berbanding orang-orang seperti kamu.” [Bukhari]

Saya menyambung lagi, adakah dakwah Nabi diterima semua orang pada mulanya? Bukankah Baginda ditentang dengan hebat sekali oleh kaumnya sendiri di Mekah? Tidakkah Nabi kita pernah dicerca, dicela, diejek, diludah dan dilontar batu oleh penduduk Taif termasuk kanak-kanak, orang tua dan hamba abdi sehingga pecah-pecah kakinya? Tidakkah Nabi kita sendiri dihalau oleh kaumnya sendiri dan terpaksa meninggalkan kampung halaman dan tanah air yang dicintainya?

Tidakkah Nabi kita kita kehilangan dua insan yang paling dikasihinya; iaitu isterinya Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib, yang merupakan tulang belakang kepada perjuangan Nabi kita! Dan lebih mengharukan lagi, Allah menguji Baginda dengan mengambil nyawa keduanya pada saat-saat Baginda memerlukan mereka!

Bukan itu sahaja, Baginda juga diuji dengan kehilangan ketiga-tiga putera Baginda; iaitu yang pertama Qasim, dilahirkan sebelum kenabian, dan wafat saat berusia 2 tahun. Yang kedua Abdullah, setelah kenabian. Manakala putera yang ketiga iaitu Ibrahim, dilahirkan di Madinah, wafat saat berusia 17 atau 18 bulan.

Bayangkan saudara, bagaimana pilunya hati seorang ayah, mempunyai empat orang puteri. Saat dikurniakan putera, satu demi satu ditarik pula nyawanya oleh yang Maha Pencipta. Cuba kita bayangkan saudara…

Maka soalan saya pada yang bertanya (yakni lelaki) tadi, adakah ini bermakna Allah tidak kasih kepada nabi kita, Muhammad s.a.w.? Tidakkah Nabi kita, insan yang paling dikasihi Allah di muka bumi ini, dan setiap pelusuk langit sehingga kini dan sampai bila-bila?

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Begitu juga dengan kisah kesabaran Nabi Ayub a.s. Allah s.w.t. menyebut tentangnya di dalam Al-Quran surah Al-Anbiya, 83-84 dan bagaimana Baginda diuji dengan penyakit yang menimpa tubuhnya.

Yang bermaksud: “Dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika ia menyeru Tuhannya: “(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang. Maka Kami pun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah.

Saudaraku,

Kisah Nabi Ayub a.s. memberi pengajaran kepada kita, akan erti dan maksud sebenar ujian dan juga kesabaran. Kadangkala ketika diuji tuhan, sebahagian individu mula mengeluh, bahkan mungkin ada juga yang menyalahkan takdir dan sebagainya. Ada juga yang menyangka, bahawa dirinya diuji kerana tidak berjaya mendapat kasih sayang dan keredaan Allah s.w.t.

Saudaraku, apalah sangat ujian saudara yang saya kongsikan tadi, dengan ujian Allah terhadap para Anbiya’. Bahkan Nabi Ayub a.s. diuji sedemikian rupa, dengan kesihatan tubuhnya dan ujian terhadap ahli keluarganya. Kekasih kita, Baginda s.a.w. juga diuji…Begitu juga dengan para Nabi yang lain, ulama, orang soleh dan sebagainya.

Malah lebih hebat iman dan takwanya, maka lebih dahsyat lagilah ujiannya. Nabi Muhammad s.a.w. pernah ditanya: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling hebat cobaannya?” Nabi menjawab: “Para Nabi, kemudian mereka yang selanjutnya (iaitu lebih utama) dan selanjutnya. Seorang hamba akan diuji sesuai kadar agamanya (keimanannya). Jika keimanannya kuat maka cobaannya pun akan semakin berat. Jika keimanannya lemah maka ia akan diuji sesuai dengan kadar imannya.” [Hadith riwayat Ibnu Majah]

Oleh itu saudaraku, ujian Allah tidak bererti bahawa Allah s.w.t. membenci. Kadangkala seseorang itu diuji sedangkan dia merupakan insan yang dikasihi Allah s.w.t. Dia diuji sebagai kaffarah (yakni penghapus) bagi dosa-dosanya yang silam.

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Tidaklah seorang Muslim tertimpa kecelakaan, kemiskinan, kegundahan, kesedihan, kesakitan maupun kedukaan, bahkan tertusuk duri sekalipun, nescaya Allah akan menghapus dosa-dosanya dengan apa yang menimpanya itu.” [Hadith riwayat Imam Al-Bukhari]

Begitu juga firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 2-3:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”

Saudaraku,

Sepertimana kesabaran itu diperlukan ketika berhadapan dengan ujian yang getir, kesabaran juga diperlukan dalam mencapai apa-apa impian dan harapan, sama ada bagi kehidupan dunia mahupun di akhirat.

Teruslah berusaha dengan tekun dan sabar. Tanamkan azam bahawa suatu hari nanti kita akan dapat mencapai apa yang diinginkan itu. Dan setiap kali kita diuji bukan bermakna Allah lupa atau benci kita, tetapi ia sebenarnya merupakan satu ujian dan peluang bagi meninggikan darjat kita di sisi Allah. Yakinlah dan yakinlah,  bahawa Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang bersabar. Amin.

 

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s