Kata Pengarang

Kehidupan ini penuh berwarna sebenarnya. Kadangkala ianya putih, kadangkala pula penuh berwarna-warni, dan tidak kurang pula ada masanya ianya hitam, muram dan kelam.

Malah, bagi sesetengah insan terpilih, kehidupannya ibarat pelangi yang senantiasa mewarnai diri dan penuh keceriaan walau berdepan dengan ujian dan cabaran. Seorang Mukmin contohnya, melihat warna kehidupannya dari lensa yang positif dengan sentiasa bersabar dan bersyukur bagi segala ujian dan nikmat yang diperolehi.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Sungguh hairan dalam urusan orang Mukmin. Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang Mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur, maka kebaikan baginya. Dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar, maka kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim)

Namun usah kita lupa, bahawa setiap insan sebenarnya diberikan Allah ujian sesuai dengan kemampuannya. Allah sama sekali tidak akan membebani seseorang itu dengan sesuatu yang di luar kemampuannya. Firman Allah dalam Al-Baqarah ayat 286:

Ertinya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”

Pada masa yang sama, kemampuan untuk menangani ujian ini kadangkala tidak bergolek begitu sahaja. Ia perlu dicari dan diusahakan solusinya. Dalam banyak keadaan, ia hanya mampu ditangani dengan bimbingan dari seseorang yang punyai hikmah dalam kehidupan termasuk dari ibu bapa kita sendiri. Ada masanya ia hadir melalui pengalaman yang diraih dalam kehidupan. Tidak kurang pula, ada yang meraihnya melalui ilmu pengetahuan yang diperolehi hasil dari pembacaan buku-buku motivasi, sirah nabawiyah mahupun panduan ayat-ayat suci Al-Quran dan juga Sunnah Rasulullah s.a.w.

Sesuai dengan itu, diharapkan buku kedua saya ini yang bertajuk ‘Warna Warni Kehidupan’ mampu dijadikan sebagai antara panduan dalam melayari kehidupan, sebagai tambahan dan pelengkap dari apa yang pernah diperolehi pembaca dari sumber-sumber lain sebelum ini.

Buku ini sebenarnya merupakan kompilasi artikel asal (tanpa suntingan) dari sumbangan penulis untuk majalah al-Ustaz (edisi 12 hingga edisi 49) bagi ruangan ‘Kaunseling’ dan kemudiannya ‘Warna Kehidupan’.

Sebahagian besar himpunan artikel ini pula merupakan karya penulis daripada perkongsian awal dengan cara yang santai di lelaman blog abahyasir.com seawal tahun 2008 lagi. Ia kemudiannya diberikan nafas baru dengan olahan semula yang disesuaikan dengan konteks semasa untuk disiarkan di majalah al-Ustaz.

Perkongsian ini pula kebanyakannya merupakan pengalaman peribadi penulis sendiri semasa mengendalikan sesi kaunseling sepanjang berkhidmat sebagai Imam Eksekutif dan kemudiannya sebagai Ketua, Pembelajaran Islam dan Pembangunan Sosial di Masjid Al-Falah, Orchard Road di Singapura bermula dari tahun 2001 hingga 2009. Selain pengalaman-pengalaman lain sebagai Naib Kadi di Pejabat Pendaftar Pernikahan Singapura (Romm) dari tahun 2004-2010, Lembaga Rayuan, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dari tahun 2009-2010 dan dari tahun 2015 hingga kini, hakam (arbitrator) di Mahkamah Syariah dari tahun 2004-2009, sebagai anggota dan Kaunselor sukarela Kumpulan Rehabilitasi Keagamaan (RRG) bagi tahanan keselamatan dalam negeri seperti Jemaah Islamiah (JI) dan IS sejak tahun 2004 hingga kini dan juga sebagai pelatih kursus rumahtangga.

Selain itu, terdapat juga artikel-artikel baru lain yang ditulis khas berdasarkan tema-tema yang telah ditetapkan atau dari pengalaman peribadi penulis yang dirasakan sesuai untuk dikongsi. Adakalanya, ia asalnya merupakan coretan ringkas penulis melalui wadah media sosial seperti Facebook, hasil dari pengamatan pada isu-isu semasa sebelum dikembangkan sebagai artikel lengkap bagi ruangan ‘Warna Kehidupan’ di majalah al-Ustaz.

Sesuai dengan tajuknya, buku ‘Warna Warni Kehidupan’ ini memaparkan pelbagai panduan dan solusi apabila berdepan dengan situasi dan senario kehidupan bermula dari sebelum pernikahan sehinggalah ke alam berumahtangga dan selepasnya. Dari panduan memilih calon pasangan sehinggalah dalam berkomunikasi antara suami isteri serta berinteraksi dengan mentua. Dari mendidik anak-anak kecil dengan nilai-nilai murni dalam keluarga hinggalah kepada membimbing dan berkomunikasi dengan anak-anak remaja. Dari mula menempuh asam garam dan dilema rumahtangga sehinggalah dalam mengharungi badai perkahwinan seperti konflik rumahtangga, keterlanjuran, perceraian, kehidupan bermadu dan keinginan berpoligami.

Tidak terhad dengan panduan dalam melayari kehidupan rumahtangga, buku ini juga turut berkongsi panduan dalam menempuh krisis kekeluargaan dengan ibu bapa mahupun pendekatan kita dalam menghadapi polemik masyarakat dalam berdepan dengan amalan-amalan dalam bulan-bulan Islam tertentu, sehinggalah kepada gangguan dalam beribadah seperti masalah was-was dan sebagainya. Tidak ketinggalan, ia juga turut menyentuh cabaran masakini seperti gejala ISIS dan kemurtadan mahupun anasir LGBT yang turut mempengaruhi sebahagian masyarakat Islam kita.

Seperti mana karya pertama penulis melalui buku ‘Seindah Solat Nabi’ yang merupakan adaptasi dari disertasi sarjana penulis. Buku ‘Warna Warni Kehidupan’ ini juga turut diolah dengan gaya bahasa yang mudah, santai beserta pengalaman-pengalaman sebenar yang dilalui penulis.

Namun, kesemua ini tidak mungkin dapat menjadi realiti, jika tidak kerana peluang yang diberikan oleh Telaga Biru Sdn. Bhd. khususnya Ustaz Umar Muhammad Noor, yang ketika itu merupakan editor al-Ustaz yang membuka jalan kepada penulis bagi menyumbang artikel buat majalah ini di samping para penulis prolifik lain dari Malaysia. Lantaran itu, penulis ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Telaga Biru Sdn.Bhd. kerana sudi memberi kepercayaan dan peluang kepada penulis untuk penerbitan buku kedua saya ini. Semoga Allah membalas jasa kalian.

Tidak dilupakan juga buat isteri tercinta, Arafah yang sentiasa memahami dan memberikan sokongan serta dorongan kepada penulis sehingga selesainya karya ini, selain pesanan dan ingatan agar penulis sentiasa cuba mempraktiskan apa yang dikongsi, selain dari menjadi contoh kepada keluarga khususnya putera-puteri saya iaitu Madihah, Ahmad Yasir dan Ahmad Aysar.

Perkongian ini, bukanlah juga bermakna diri ini sempurna, tetapi sama seperti insan lain, penulis juga berdepan dengan ujian dan cabaran dalam kehidupan seharian baik dalam melayari alam rumahtangga mahupun dalam mendidik anak-anak.

Semoga buku ini berjaya mencapai tujuannya dalam berkongsi pengetahuan dan pengalaman penulis kepada para pembaca. Mudah-mudahan sumbangan saya ini diterima Allah sebagai amal jariah yang berpandangan, selain dipermudahkan urusan kita semua dalam mengharungi segala ujian yang mewarnai kehidupan kita. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff,

Singapura.

 

 

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

Leave a comment