Setiap pasangan suami isteri pastinya mengimpikan rumahtangga yang berkekalan sehingga ke akhir hayat. Namun sebelum itu berlaku, pastinya ia memerlukan proses bagi mencari calon suami atau isteri yang sesuai lagi beriman.

Bagi perkongsian bulan ini, saya akan mulakan dahulu dengan kriteria pilihan dalam mencari suami. Perkongsian ini pula hanyalah sekadar satu panduan sahaja, kerana dalam alam perkahwinan memerlukan kerjasama, kesabaran dan tolak ansur dalam setiap pasangan.

Begitu juga dengan jodoh perkahwinan, ia juga bergantung kepada sikap suami isteri itu sendiri termasuk dalam melaksanakan segala tanggungjawab yang diamanahkan Allah.

Sebagai permulaan, berikut adalah ciri-ciri suami pilihan yang perlu wujud dalam diri bakal pasangan kita:

1. Beragama

Beragama merupakan ciri yang paling penting serta genting dalam memilih calon suami. Ia sewajarnya dijadikan sebagai prioriti utama. Malah kepentingan ini jelas diakui dalam agama Islam melalui amaran Nabi s.a.w. dalam sepotong hadis yang bermaksud:

‘Bila datang seorang lelaki yang kamu redhai agama dan akhlaknya, hendaklah kamu nikahkan dia kerana kalau kamu tidak menikahkan dia, nescaya akan terjadi fitnah di muka bumi dan dan kerosakan yang besar.’ (Tirmidzi)

Jelaslah mempunyai pegangan agama yang kukuh merupakan ciri utama dalam mencari calon suami.

Namun, mungkin timbul pula persoalan, bagaimana untuk kita mengenal calon suami yang beragama?

Jawapannya; carilah calon suami yang tidak tinggal solat 5 waktunya. Dan apabila kita ingin cari bakal suami yang solat 5 waktu pula, hendaklah kita pun sendiri jenis mereka yang tidak tinggal solat juga. Jika tidak, bagaimanalah seorang jejaka yang beragama itu akan memilih kita sebagai calon isterinya? Betul tak?

Pada masa yang sama, hadis ini juga sebagai satu peringatan kepada para wali (Yakni bapa, datuk, saudara lelaki mengikut susunan keutamaan), agar memilih anak menantu yang kuat agamanya dan punyai pemahaman agama yang betul agar rumah tangga puterinya bahagia serta diberkati Allah.

2. Bertanggungjawab

Aspek tanggungjawab yang boleh dilihat secara zahir ialah sikap rajin bekerja dalam mencari rezeki bagi membantu keluarga.

Sikap ini juga dipuji oleh Allah s.w.t. dalam diri Nabi Musa a.s. yang dikagumi oleh kedua-dua puteri Nabi Syu’aib a.s. yang dirakamkan dalam surah Al-Qashas ayat 26:

‘Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: Wahai bapaku, ambillah dia sebagai seorang yang bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dipercayai.’

Maka dengan itu, carilah pasangan yang rajin bekerja, bijak mencari rezeki dan pandai pula merancang kewangan peribadi.

Cubalah bertanya bagaimana pasangan kita menghabiskan duit gaji mereka? Ada tak simpanan untuk masa depan selain dari simpanan untuk berkahwin?

3. Mempunyai kemampuan

Mempunyai kemampuan dalam berumahtangga juga merupakan satu elemen penting bagi suami pilihan. Hayatilah akan pesanan Nabi s.a.w. buat golongan Muslimin:

‘Wahai golongan pemuda, barangsiapa di antara kamu yang mampu berkahwin, hendaklah dia berkahwin. Kerana kahwin itu akan lebih menjaga pandangan dan memelihara kemaluan. Dan barangsiapa yang belum mampu berkahwin, hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu perisai.’  (Bukhari & Muslim)

Hadis ini jika diperhatikan dengan teliti, walaupun Nabi s.a.w. menggalakkan nikah buat para pemuda, tetapi pada masa yang sama, Nabi juga menyebut jika tidak mampu hendaklah kita berpuasa.

Ini bermakna kita diseru untuk tidak bernikah sehinggalah mempunyai kemampuan. Andai kata seseorang itu bernikah juga, sedangkan si suami tidak mempunyai kemampuan kerana pekerjaan yang tidak stabil atau tiada pekerjaan contohnya, maka tidak mustahil akan timbul di kemudian hari isu-isu lain seperti berhutang, suami yang berharap kepada pendapatan isteri semata serta pengabaian nafkah dan sebagainya.

Jadi, jika sebelum berkahwin lagi si wanita sudahpun menanggung segala perbelanjaan bakal suami atau sering dipinjam duit untuk berhutang dari pasangan, apatah lagi jika sudah berkahwin kelak?

4. Taat Kepada Orang Tua

Kadangkala bagi sesetengah wanita, ciri ini dipandang serong sebagai ‘anak bapak’ atau ‘anak mak.’

Sebagai contoh, adakah seorang jejaka Muslim yang memberikan keutamaan kepada ibunya dan mengabaikan permintaan ‘temanita’ atau ‘tunang’nya wajar digelarkan sebagai ‘anak mak’?

Saya berpendapat ia tidak wajar.

Memang kewajaran seorang wanita untuk khuatir mendapat seorang bakal suami yang ‘anak mak’ tidak dapat ditolak, terutamanya jika bakal suami tidak dapat membuat keputusan sendiri dan terpaksa meminta nasihat ibu walaupun bagi isu yang ‘mudah’ atau ‘remeh’.

Tetapi bagi saya, kita tidak boleh terlalu cepat menghukum seseorang itu sebagai ‘anak mak’ semata-mata kerana beliau mengikutkan pandangan ibunya. Ini kerana selagi mana seseorang anak lelaki itu belum berkahwin, maka sewajarnyalah ibunya dijadikan sebagai prioriti dan keutamaan.

Malah, sesuatu yang kurang sihat jika kita mendapat teman lelaki yang utamakan ‘dating’ daripada berkhidmat atau berlaku ihsan dengan ibu atau bapa.

Sedangkan ber’dating’ atau berdua-duaan itu pastinya merupakan sesuatu yang dilarang, manakala berbuat baik dengan ibu bapa pula merupakan satu ibadah!

Bagi calon-calon isteri, ingatlah pesanan Baginda s.a.w. yang ditujukan buat para suami: ‘Berbaktilah kepada orang tua kalian dan peliharalah kehormatan isteri-isteri, nescaya kehormatan isteri kalian akan terpelihara.’ (Tabarani)

Carilah bakal suami yang hormat dan taat kepada orang tua. Yakni yang tidak derhaka dan berlaku kasar atau kurang ajar kepada kedua orang tua termasuk bakal mertua. Jika mereka hormat kepada orang tua sendiri, Insya Allah, zuriat yang bakal dilahirkan juga besar kemungkinan akan mentaati kedua orang tuanya lantaran menuruti jejak langkah keperibadian ibu bapanya.

5. Melayan Wanita (isteri) Dengan Baik 

Sebagai seorang Muslim yang berhemah dan beretika, alangkah hinanya diri ini jika kita mengaku sebagai patuh pada Allah, tetapi tidak melayan seorang Muslimah dengan baik dan lebih-lebih lagi jika Muslimah tersebut merupakan isteri kita.

Sabda Rasulullah: ‘Orang Mukmin yang paling baik imannya ialah yang paling paling akhlaknya. Dan orang yang paling baik di antara kamu ialah orang yang berbuat baik dengan isterinya.’ (Bukhari)

Inilah antara kes yang biasa terjadi setelah berumahtangga. Sesudah bernikah isteri dimaki dan dicela dengan sebutan yang kurang enak ‘bodoh’ dan lain-lain lagi perkataan yang tidak sesuai dilafazkan kepada seorang isteri yang kita akui insan yang paling kita cintai.

Mungkin ada yang bertanya, bagaimana hendak kenali suami yang melayan isteri dengan baik? Sebab rata-rata semasa bercinta atau sebelum berkahwin mereka sangat menghormati dan melayan bakal isteri dengan baik.

Sebenarnya usah terkejut. Sifat berang atau sikap gemar mencela dan menyebut perkataan yang kurang baik ini biasanya tidak datang dengan tiba-tiba. Mengikut pengalaman saya sendiri semasa kaunseling dengan pasangan-pasangan berumahtangga, rata-rata ia sudahpun bermula sejak pasangan tersebut berkenalan sebelum bernikah lagi. Tapi oleh kerana kasih atau lembut hati dek dipujuk pasangan, pasangan wanita biasanya akan mudah lupa dan berharap sikap buruk ini akan berubah selepas berkahwin nanti. Namun, tidak juga saya nafikan terdapat juga wanita yang suka mencela pasangan atau saling berbalas celaan.

Nasihat saya, jika dari sekarang kita sudah lihat simtom suka mencela dan menyatakan sesuatu yang hina pada diri kita setiap kali pasangan tersebut bertengkar, maka pastikan pasangan kita itu dapat berjanji untuk mengubah sikap tersebut dari sekarang.

Bukan sikap mencela sahaja, apa sahaja sikap negatif lain termasuk liat dalam mendirikan solat fardu, maka pastikanlah pasangan atau tunang kita mengubah sikap negatif ini dari sekarang dan usah mengambil risiko dengan harapan mereka akan berubah selepas bernikah kelak. Ini kerana jika tiada perubahan dilakukan, maka berkemungkinan besar sikap negatif tersebut akan berkekalan walau sesudah berkahwin, dan ini pastinya bakal menjejaskan keharmonian rumahtangga pasangan tersebut.

Semoga ciri-ciri suami pilihan yang dikongsi sama pada kali ini dapat dijadikan panduan dalam ikhtiar kita membina rumahtangga yang mawaddah, sakinah dan rahmah. Dan usah juga dilupa, dalam kita berusaha mencari suami pilihan, kita sebagai Muslimah juga perlu mewujudkan terlebih dahulu ciri-ciri isteri pilihan dalam diri kita.

Inshallah di keluaran hadapan akan saya kongsi pula kriteria dan ciri-ciri isteri pilihan.

Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 26, terbitan Telaga Biru, Malaysia.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s