Sebagai seorang suami, tiada yang lebih indah selain dari mempunyai seorang isteri solehah, seorang isteri yang dapat bersama-sama kita dalam mentarbiyah anak-anak, seorang isteri yang dapat kita saling berkongsi pandangan, seorang isteri yang mampu menenangkan diri kita di saat kita dalam kemurungan atau kegelisahan. Inilah indahnya pernikahan.

Begitulah pandangan saya setiap kali ditanyakan oleh mana-mana jejaka yang inginkan saya berkongsi ciri-ciri calon isteri yang terbaik.

Lihat sahaja pengalaman junjungan Nabi kita Muhammad s.a.w. Siapakah yang mula-mula sekali memberi perangsang kepada Baginda saat Nabi kegerunan semasa kali pertama menerima wahyu dari Jibril a.s. Begitu juga dengan cadangan agar mendapatkan nasihat dan pandangan daripada Waraqah bin Nawfal ar Rahib ketika Nabi keliru dgn kebenaran wahyu yang diterima. Tidak lain adalah Khadijah, isteri pertama Rasulullah s.a.w.

Lantaran itu, marilah kita kembali kepada anjuran Nabi kita dalam mencari bakal isteri, agar ianya dapat menjadi seorang isteri yang menjadi penyejuk hati dan mata kita. Maka di kesempatan ini, suka saya berkongsi ciri-ciri berikut:

1. Taat beragama

Sebagai permulaan, marilah kita merenung pesanan Rasulullah s.a.w. dalam soal mencari pasangan. Sabda Rasulullah s.a.w.: ‘Perempuan dikahwini atas empat perkara, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya atau kerana agamanya. Akan tetapi pilihlah kerana agamanya agar dirimu selamat.’  (Bukhari & Muslim)

Taat beragama memang sewajarnya menjadi ciri utama dalam memilih pasangan ‘HIDUP’. Kalau yang cantik sahaja yang menjadi kriteria utama, maka dapatlah kita isteri yang cantik, tetapi belum tentu dia bakal menjadi isteri yang baik. Hendak cari bakal isteri yang cantik, pun belum ianya bakal menjadi kerukunan rumahtangga. Malah, tidak mustahil dalam kita berkenalan, atau sesudah berumahtangga pun kita akan jumpa lagi yang lebih cantik lagi selepas itu. Maknanya ia tidak akan selesai.

Namun, jika ketaatan pada agama yang menjadi pilihan utama kita, pilihan inilah yang bakal membuatkan hati kita menjadi tenang. Mentelah lagi, ia juga bakal menjadi ibu yang solehah, seorang ibu yang bakal membimbing anak-anak kita kelak. Saya rasa itulah yang mahu.

2. Sedap di pandang mata   

Bagaimana jika kita ingin mencari isteri yang cantik dan menawan? Ya, boleh juga. Jika tidak masakan Nabi menyebutnya sebagai antara ciri penting dalam memilih pasangan. Mengapa? Sebab Nabi s.a.w. tahu itulah naluri semula jadi manusia, kita sukakan sesuatu cantik, menawan dan indah dipandang mata. Cuma janganlah ia dijadikan sebagai satu-satunya pilihan dalam memilih pasangan. Jika cantik dan taat agama, kenapa tidak, ya kan?

Antara sebab ia diharuskan juga oleh Rasulullah s.a.w., ialah kerana faktor fizikal dan paras rupa yang menarik, cantik atau wajah yang sedap dipandang mata itu mampu menambahkan kemesraan dan membuat hati suami menjadi senang dan kasih. Ini bersesuaian dengan hadis yang bermaksud: “Jika memandangnya, membuat suami senang.” (Abu Daud)

3. Gadis atau Perawan 

Dari Jabir bin Abdillah, ia berkata: ‘Aku baru sahaja bernikah’, lalu Rasulullah bertanya: ‘Dengan siapa engkau bernikah?’. ‘Dengan seorang janda, jawabku.’ ‘Mengapa tidak dengan seorang gadis yang boleh engkau bermain dengannya dan diapun dapat bermain denganmu.’ (Bukhari & Muslim)

Hadis ini merupakan perkongsian Rasulullah s.a.w. bersama Jabir bin Abdillah r.a. yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim.

Rasulullah menganjurkan bahawa sebaiknya bagi seorang lelaki yang bujang hendaklah bernikah dengan seorang perawan. Maklumlah, kalau kita bernikah dengan seorang janda, pastinya mereka mempunya pengalaman dan kenangan tersendiri dengan bakal suami, dan biasanya mereka juga sudahpun mempunyai seorang atau beberapa anak. Ia pastinya bukanlah sesuatu yang mudah, baru sahaja bernikah sudahpun terus sudah punya tanggungjawab tambahan.

Timbul pula persoalan, adakah ibu dan bapa kita merestui dan boleh menerima isteri kita? Jika mereka tidak merestui, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk kita melalui onak ranjau rumahtangga selepas itu.

Namun pada masa yang sama, usah pula kita lupa, ini bukan bermakna Nabi s.a.w. melarang berkahwin dengan seorang janda. Ia hanya merupakan sekadar satu ingatan jujur dari Baginda. Usah kita lupa pula, dalam ramai-ramai isteri Baginda, hanya seorang sahaja yang perawan iaitu Aishah r.a., selainnya tidak. Bahkan terdapat para ulama yang menyatakan bahawa isteri pertama Rasulullah iaitu Khadijah r.a. merupakan isteri yang paling Baginda kasihi, sehingga dicemburui Aishah, walaupun Khadijah sendiri sudah lama wafat.

Dengan ini, Nabi s.a.w. hanya mengingatkan sahaja dan tidak melarang. Maknanya bila hendak bernikah kelak, fikirlah masak-masak antara pro dan kontra kesannya termasuk pandangan dari ibu bapa kita.

4. Mempunyai keturunan yang baik

Pilihlah dari keturunan yang baik-baik. Keluarga yang terkenal dengan kesolehan. Ini kerana pastinya anak-anak yang dibesarkan juga terdidik dengan pentarbiyahan agama sejak kecil, akhlak mulia, keimanan yang tertanam dari asuhan yang mendalam selain mempunyai ilmu pengetahuan. Kesekitaran ini kesemuanya merupakan faktor penting dalam melahirkan seorang wanita Muslimah yang solehah.

Pada masa yang sama, ini bukan bermakna menafikan tiadanya kemungkinan wanita solehah dari keluarga yang tidak menitik beratkan ajaran agama. Tidak semestinya ibu bapa yang tidak baik, anaknya juga semestinya kurang solehah. Malah, terdapat juga isteri Nabi s.a.w. sendiri yang datang daripada keluarga berketurunan Yahudi.

Apa yang penting sebagaimana yang disebutkan pada hadis sebelum ini, jika tidak dapat yang baik keturunanannya pun tidak mengapa, asal yang penting kuat agamanya.

5. Seorang yang punyai sikap malu

Sikap malu pada diri seorang Muslimah perlu menjadi kriteria utama dalam memilih bakal isteri.

Seorang Muslimah solehah pastinya mempunyai sikap malu dalam berinteraksi secara bebas dengan pasangan yang bukan mahram kecuali dalam keadaan dan situasi yang memerlukan komunikasi seperti urusan kerja dan sebagainya.

Muslimah yang solehah juga perlu pandai menjaga diri dan menjaga nama baik suami serta keluarga. Yakni Muslimah tersebut perlu menjaga perilaku serta akhlak dan tidak melakukan perkara yang menjatuhkan aib serta maruah keluarga. Sebagai contoh di tempat kerja, bila makan tengahari, usahlah keluar berdua-duaan dengan teman sekerja lelaki walaupun tiada apa-apa berlaku antara mereka berdua.

Perkara ini perlulah diperhatikan dan sewajarnya menjadi kebiasaan dalam pergaulah seharian seorang Muslimah yang solehah. Perkara yang sama menjadi lebih penting apabila sesudah berumahtangga, ini kerana tindakan sedemikian boleh memalukan suami apabila dilihat oleh kenalan atau saudara suami selain boleh menimbulkan fitnah.

Perkara yang sama juga perlu dititikberatkan dalam aspek pemakaian seorang Muslimah. Bukan sekadar berhijab atau memaki tudung sahaja, tetapi juga perlu menutup aurat dengan sempurna, seperti memakai tudung yang sempurna sehingga menutup bahu dan bahagian dada, tidak memakai pakaian yang terlalu ketat, tidak bertabarruj atau memakai mekap dan lain-lain perkara yang seumpamanya.

Kesemuanya ini memerlukan sikap malu. Tanpa sikap malu, seorang Muslimah terdedah kepada kelakuan yang menonjokan kekurangan akhlak dan perilaku sebagai seorang Muslimah yang solehah. Ingatlah sabda Rasulullah: “Jika engkau tidak malu perbuatlah apa yang engkau sukai.” (Bukhari)

Kesemua ciri-ciri yang dikongsi ini merupakan antara perkara penting yang perlu diberikan penekanan oleh sebarang Muslim yang mempunyai niat untuk mencari pasangan hidup.

Pada masa yang sama, ciri-ciri yang dikongsi ini juga tidak eksklusif terhadap Muslimah sahaja, tetapi juga untuk diri kita sebagai bakal suami atau yang sudah berumahtangga, tidak kiralah bagi perkara taat beragama, mempunyai akhlak terpuji seperti sikap malu dan seumpamanya.

Sebagai langkah terakhir, pohonlah pada Allah s.w.t. jika kita merasa ragu dengan pilihan kita, agar Allah memberikan kita jalan dan pedoman dalam membuat pilihan yang terbaik buat kita, sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w.:

“Jika kalian merasa gelisah terhadap suatu perkara, maka solatlah dua rakaat kemudian berdoalah: ‘Ya Allah, aku beristikharah kepadamu dengan ilmu-Mu’…” (Bukhari)

Semoga ciri-ciri suami dan isteri pilihan yang dikongsi sama pada kali ini dan pada keluaran yang terdahulu dapat dijadikan bimbingan dalam membuat pilihan yang terbaik buat diri kita, selain menjadi pendorong untuk berusaha juga menjadi suami dan isteri pilihan yang menjadi penyejuk mata pasangan-pasangan kita. Amin.

Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 27, terbitan Telaga Biru, Malaysia.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s