Beberapa bulan yang lepas saya mempunyai beberapa sesi kaunseling yang bertimpa-timpa berkaitan dengan kes-kes belia yang ingin menganut agama Kristian. Walaupun tak sebanyak kes-kes lain tetapi bagi saya ia tetap membimbangkan. Terdapat kepelbagaian bagi kes ini, ada yang mak bapa terjumpa ‘bible’ dalam beg, ada pula yang baru mula ikut kawan-kawan pergi ke gereja dan ada juga yang dah menganut agama tersebut.

Berbeza dengan anggapan ramai, saya melihat penularan agama Kristian ini bukanlah berpunca daripada usaha dakwah secara agresif  golongan puak gereja tetapi kepada minat atau rasa ingin tahu segelintir orang Islam lantaran melihat agama Kristian sebagai agama yang ‘penyayang’ dan ‘ihsan’ kepada manusia. Pada masa yang sama, saya tidak menolak ia juga lantaran ketiadaan asas yang kukuh pada agama asal mereka iaitu Islam juga memainkan peranan besar ke arah penularan tren ini.

Sebagai contoh, terdapat seorang pelajar pra universiti yang dirujukkan kepada saya oleh bapanya. Alhamdulillah, tidak seperti klien yang lain. Beliau telahpun kembali ke pangkuan Islam semula sebelum berjumpa dengan saya lagi. Tetapi sebagai langkah berjaga-jaga bapanya membawa beliau berjumpa dengan beberapa asatizah termasuk saya bagi memberikan sedikit panduan dan nasihat kepada anaknya. Walaupun beliau sudah kembali Islam, namun saya yakin terdapat beberapa persoalan masih bermain-main di benak pemikirannya.

Saya kongsi bersama beberapa isu pada perbincangan kami di sini untuk kemanfaatan ramai, semoga kita mendapat faedah daripadanya:

1. Membuat Perbandingan Antara Agama.

Seperti mana yang pernah saya kongsi bersama pada posting yang bertajuk ‘Murtad‘ sedikit masa dulu. Perkara pertama sekali yang saya sentuh ialah sudahkah beliau mempunyai kefahaman yang mendalam terhadap agama Islam sebelum mendalami agama Kristian? Cukupkah kefahaman terhadap ilmu Tauhid sebelum ingin mendalami konsep ketuhanan dalam agama baru? Bagaimana pula dengan Quran, sudahkah beliau selesai membaca dan memahaminya sebelum ingin mendalami ‘Bible’?

Jawapan beliau adalah tidak. Jika tidak faham Islam, begaimana dapat membuat perbandingan antara Islam dan Kristian? Jika dibuat perbandingan sekalipun, pastinya ia bukanlah satu keputusan yang tepat lantaran kecetekan kefahaman agama. Apa terjadi jika keputusan beliau adalah satu kesilapan?

2. Kristian agama ‘rahmah’ dan kasih sayang, Islam tidak?

Agama Kristian agama kasih sayang, agama Islam tidak. Betul ke? Inilah soalan saya apabila beliau menyatakan sebab mengapa dia tertarik dengan agama Kristian. Saya jelaskan pada beliau, saya tidak dapat nafikan ini berpunca daripada cara kita menyampaikan agama Islam itu sendiri. Islam hanya dikaitkan dengan halal-haram, syurga-neraka. Ada di kalangan pendakwah kita sendiri suka berbicara tentang hal ini sehingga ia sinonim dengan para asatizah kita.

Sedangkan Islam tidak sedemikian, banyak lagi yang ditonjokan selain dari halal-haram atau dosa-pahala. Cuba kita lihat dakwah Rasulullah? 13 tahun di Mekah, Nabi banyak menumpukan dakwah dari segi pengukuhan Aqidah dan pembentukan Akhlak. Memperkukuhkan aqidah umat Islam pada masa itu menjadi agenda utama dakwah baginda. Begitu juga dengan akhlak. Masyarakat Arab pada masa itu cukup tenggelam dengan kemunduran dari akhlak mahupun budi pekerti. Tidakkah Nabi pernah menyatakan beliau diutus tidak lain adalah untuk menyempurnakan akhlak?

Masyarakat kita ada yang rajin bersolat, tetapi ada antaranya bila berdepan dengan mereka yang baru berjinak-jinak dengan masjid atau ingin bersolat, mereka diherdik! Berpakaian tidak menutup aurat memasuki masjid (walaupun pelajar sekolah atau beruniform) akan dipandang serong sedemikian rupa hingga membuatkan orang mungkin serik datang ke masjid lagi! Mengapa demikian? Tidakkah kita pernah mendengar bagaimana tingkah laku Rasulullah terhadap orang Arab badwi yang kencing di dalam masjid. Rasulullah tidak mengherdik atau menghalau, tetapi menegur dan berbicara dengan lembut dan sopan sebagai ajaran kepada sahabat-sahabat yang lain dan juga kepada kita umat baginda.

Saya bertanya lagi kepada remaja tersebut, apakah ayat pertama sekali yang tertulis di dalam Quran. Beliau menjawab. Iqra’? Tidak. Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin? Tidak. Kali ketiga baru beliau menjawab dengan betul. ‘Bismillah…’ Saya tanya beliau apa ertinya? Dia menjawab ‘Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang’. Tidakkah itu membuktikan Islam agama kasih sayang? Tidakkah tindakan baginda terhadap orang Arab badwi tadi lantaran sifat kasih sayang yang ada pada baginda? Beliau mengangguk-angguk tanda setuju.

Saya menyambung lagi dengan kisah dakwah baginda terhadap orang-orang Taif, bagaimana orang-orang Taif baik miskin ataupun kaya, golongan bangsawan mahupun hamba abdi, orang tua mahupun kanak-kanak. Kesemuanya mengherdik, mencela, meludah, melontar dengan dengan batu sehingga luka-luka tubuh badan baginda, datang para malaikat menyampaikan tawaran Allah untuk dihempap orang-orang Musyrikin ini dengan gunung-ganang. Baginda bukan sahaja menolak malah berdoa kepada Allah agar mereka diberi petunjuk dan keturunan mereka ini diberikan hidayah oleh Allah.

Tidakkah kesemua ini menunjukkan akhlak terpuji baginda selaku contoh kepada kita golongan pendakwah? Paling penting, tidakkah ini membuktikan Islam agama ‘rahmah’ dan kasih sayang?

3. Kemusykilan Yang Tidak Terjawab…

Belia yang saya jumpa ini seperti juga mereka yang lain, mempunyai banyak persoalan yang tidak terjawab tentang agama Islam. Ketuhanan, kenabian, hal-hal ghaib dan lain-lain. Mereka juga mempercayai segala apa yang ditulis di media massa tentang Islam iaitu Islam sebagai agama yang menyokong keganasan dan juga agama yang tidak menghormati wanita. Kesemua isu-isu ini tidak dapat dijawab oleh ibu bapa mereka atau mereka yang rapat dan berada di sekeliling dan persekitaran mereka.

Kebanyakan daripada golongan belia ini pula yang lebih selesa dengan bahasa Inggeris, sedangkan medium utama penyampaian agama di masjid-masjid kita adalah dalam bahasa Melayu. Sama ada suka atau tidak, kita perlu mengambil kira dan perhatian pada isu ini.

Para ibu bapa perlu memantau anak-anak dan mengenal pasti cara pemikiran mereka dan merujukkan kepada para asatizah yang mampu berbicara dalam hal ini bagi membincangkan atau menjawab isu-isu yang menjadi kekeliruan yang masih belum terjawab di benak mereka.

Pihak masjid (terutamanya masjid satelit kejiranan) juga perlu mengambil langkah pro aktif dengan lebih banyak menyediakan platform bagi pengajian agama dalam bahasa Inggeris, saya beranggapan kuliah dan juga kelas-kelas bermodul perlu diperuntukkan sekurang-kurangnya 10% dalam bahasa Inggeris (tidak termasuk khutbah) untuk kemanfaatan golongan ini.

Kita perlu sedar golongan muda lebih selesa berbahasa Inggeris, masyarakat Islam kita bukan hanya eksklusif bagi bangsa Melayu sahaja, hasil daripada perkahwinan campur dan Islamisasi mengakibatkan banyak bangsa-bangsa lain yang menganut agama Islam. Pengaruh globalisasi juga mengakibatkan lebih ramai masyarakat Islam berbangsa lain datang ke Singapura. Jika kita tidak menyediakan platform ini, siapa lagi?

4. Pelajari Daripada Orang-Orang Kristian Yang Telah Memasuki Islam

Apabila beliau berbicara tentang keihsanan agama Kristian dan terdapat orang-orang Islam yang telah memasuki Kristian. Saya tanya beliau, kalau agama Kristian begitu baik dan sempurna. Mengapa terdapat orang-orang Kristian yang murtad juga? Mengapa tidak dipelajari dan ditanya mengapa mereka tinggalkan agama Kristian?  Kenapa tidak kita tanya mereka, apakah yang membuatkan mereka tertarik memeluk agama Islam?

Tidakkah rugi kita yang kelahiran Islam tetapi ingin menganut agama lain? Sedangkan orang-orang bukan Islam berlumba-lumba masuk Islam. Saya bagitahu beliau, di Masjid Al-Falah ini, anda akan jumpa orang Cina, India, Serani, Inggeris, Afrika dan banyak lagi bersolat di sini. Anda boleh tanya salah seorang daripada mereka dan pelajari mengapa terbuka hati mereka memeluk Islam.

5. Mengkaji Sirah Rasulullah…

Akhir sekali, saya menggesa beliau untuk banyak mengkaji tentang agama Islam. Dalami sejarah hidup Rasulullah, baca kitab-kitab Sirah yang membincangkan perjuangan Rasulullah dalam menegakkan agama Islam. Pelajari keperibadian Rasulullah dan bagaimana baginda berdepan dengan masyarakat Islam dan bukan Islam, teman mahupun musuh.

Banyak sekali pelajaran yang boleh diambil daripada riwayat hidup Rasulullah. Sebelum ingin dalami agama lain, bacalah dahulu kisah hidup Rasulullah. Saya sudahi sesi saya dengan menghadiahkan buku tentang Sirah yang bertajuk ‘The Messenger’ karangan Tariq Ramadan kepada beliau untuk dibaca.

Semoga selepas episod ini, beliau terus mendapat petunjuk daripada Allah dan semakin kukuh keimanannya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

2 responses »

  1. Syamz says:

    Does it lie in our islamic education for the SG Muslim society that we are fast losing otherwise lacking the fundamentals of Islam?

  2. Abah Yasir says:

    Not sure, but to me parent plays a big factor too. The upbringing factor, role model etc.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s