Image

Pada artikel keluaran al-Ustaz yang telah lalu, saya pernah menyentuh tentang tiga perkara penting bagi kedua ibu bapa dalam mengubah tingkah laku negatif anak-anak iaitu pertama, keperluan mempunyai prinsip yang sama dalam penyemaian nilai-nilai murni. Kedua, bersikap objektif dalam memberi teguran dan ketiga, memuji dan memperakukan ‘acknowledgment’ usaha positif anak.

Saya juga pernah menyentuh tentang ‘9 tips interaksi dengan anak remaja’ pada keluaran yang lalu. Maka kali ini dan akan datang nanti, saya akan cuba berkongsi pula akan bagaimana tips-tips tersebut dapat diterapkan dalam interaksi kita bersama anak-anak.

Saya akan mulakan kali dengan perkongsian tentang pengalaman saya dalam satu sesi kaunseling dengan seorang ibu (Saya namakan sebagai Puan J). Beliau hadir ditemani oleh 2 orang anak lelaki dan perempuan beliau yang berusia 13 dan 16 tahun. Akan tetapi, kehadiran beliau bukanlah berkaitan dua anak ini, tetapi isu tentang anak lelakinya yang berusia 18 tahun.

Isu yang dikemukakan ialah anaknya lelakinya ini gemar pulang lewat malam kerana lepak bersama teman-teman, tidak minat belajar dan juga punyai isu dalam hubungan lelaki dan perempuan atau ‘boy-girl relationship (BGR).

Menjadi cara saya dalam memberikan kaunseling kepada isu remaja dengan memfokuskan juga kepada ibu bapa selain dari remaja itu sendiri. Dalam hal ini, memandangkan klien tidak dapat hadir, maka tumpuan saya terpaksa fokus kepada ibunya sahaja.

Saya mendapati ibunya tersangat garang, bayangkan beliau masih lagi merotan anak-anaknya termasuk anak sulung beliau yang berusia 18 tahun! Ini tidak termasuk cara perbulan beliau yang banyak menengking dan kasar. Perkara ini diakui sendiri olehnya. Beliau juga mengaku bahawa gaya beliau ini pula, jauh berbeza sekali dengan gaya suaminya. Suaminya lebih lembut tuturcara apabila berkomunikasi bersama anak-anak.

Berdasarkan pengamatan saya daripada kes-kes sebelum ini, biasanya bapa yang garang dan tidak mesra dengan anak. Namun, kali ini ia terbalik pula.

Saya juga difahamkan yang suami beliau sudah putus asa dan harapan terhadap anak sulungnya itu, dan tidak ingin ambil tahu lagi dalam apa-apa perkara yang bersangkutan dengannya. Ini disebabkan kerana kerana sudah bosan dan putus asa, kerana si anak tetap tidak mahu berubah dan tetap dengan perangai asalnya.

Komen saya tentang hal ini pada puan J, ia merupakan satu kerugian sekiranya suami beliau mengambil pendekatan ‘dah tak kuasa’. Saya tanya puan J pula, ‘Kalau cik pun mengambil pendirian macam suaminya, apa akan jadi pada anaknya ya?’ Pastinya berkemungkinan besar masalah tersebut akan menjadi lebih meruncing lagi.

Terdapat beberapa perkara yang saya cadangkan supaya beliau dapat ubah dalam pendekatannya dalam berinteraksi atau ketika menegur anaknya nanti, antaranya ialah:

Pertama, bercakap dengan lembut.

Ini bermakna si ibu tidak perlu membentak-bentak dan cuba sedaya upaya mengawal kesabaran dari menjerit atau meneriak apabila berbicara dengan anak.  Dalam kes ini, si ibu sendiri mengaku bahawa anaknya lebih senang dan selesa apabila berbual dengan bapa, dan juga Ustazah tempat beliau belajar agama di madrasah masjid. Bahkan si ibu ini juga mengakui bahawa beliau juga sedarm, bahawa setiap kali beliau berbicara dengan cara yang lembut, dalam banyak keadaan anaknya akan mendengar kata. Jadi, mengapa tidak diteruskan?

Kedua, hentikan merotan anak.

Saya minta beliau buang segala rotan-rotan yang ada di rumah. Bayangkan, beliau punyai 3 jenis rotan!

Saya juga menegur tindakan puan J yang mengejutkan anaknya bangkit dari tidur untuk mendirikan solat dengan rotan. Mungkin tujuannya baik, tapi pernahkah kita terfikir sama ada tindakan tersebut memberikan kesan? Pada saya ia boleh membuatkan anak-anak benci pada solat.

Benar Nabi s.a.w. juga mengajar kita untuk merotan anak-anak. Tetapi disebutkan dalam hadith ianya hanya untuk anak-anak yang berusia 10 tahun, dengan disebutkan bahawa mereka perlu perlu dilatih dan dididik mereka untuk mendirikan solat ketika berusia 7 tahun lagi!

Bagaimana  pula dengan remaja yang berusia 18 tahun, tetapi masih liat lagi untuk bangun mendirikan solat? Adakah mereka juga perlu disebat, bagaimana pula jika sudah 20 tahun masih juga belum mendirikan solat? Jika ingin terus dirotan, persoalannya sampai bila?

Dengan itu, saya meminta beliau untuk cuba ubah pendekatan. Kejutkan anak dengan cara yang lembut. Cakap baik-baik dahulu, goyangkan badan mereka terlebih dahulu. Jika liat juga, barulah boleh dikeraskan sedikit goyangan dan suara kita, tetapi tidak perlulah sampai ke peringkat rotan.


Bersambung…

 

Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 15, terbitan Telaga Biru, Malaysia.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s