Bulan puasa merupakan bulan pengampunan. Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan kepada Allah, maka sesungguhnya telah diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” [Muslim]
Pada hal ketika inilah peluang untuk kita mengeratkan hubungan antara satu sama lain, selain saling memperingatkan keluarga kita bagi memanfaatkan kelebihan pada bulan Ramadan ini.
Banyak wadah yang boleh kita lakukan bagi mencapai usaha ini, yang sebenanrnya tiada pada bulan2 lain, antaranya:
1. Ibadah Sahur
Sahur ni sebenarnya penuh dengan keberkatan, Nabi pernah bersabda: “Bersahurlah kamu, bahawasanya sahur itu berkata”.
Para ulama menyatakan selain dari membezakan dari amalan puasa orang-orang bukan Islam, ia juga memberi peluang kepada kita untuk memperolehi rahmat dan kebaikan selain ganjaran pahala dari Allah, mentelah lagi waktu sahur juga merupakan peluang untuk kita turut sama beribadah kepada Allah.
Pada masa yang sama juga, dengan bersahur ia mampu memberi tenaga tambahan bagi kita mengharungi ibadah puasa selepas itu.
2. Membaca Al-Quran
Di kesempatan Ramadan ini, adakah kita sering membaca Al-Quran, jika Ya…bagaimana pula dengan isteri dan anak-anak kita? Mengapa tidak kita membaca bersama atau bertadarus?
Atau, paling tidak kita saling ingat mengingatkan antara satu sama lain. Malah, lebih bermakna lagi dapat kita renungkan maksud ayat yang dibaca dan dikongsi bersama keluarga. Alangkah, indahnya jika ini dapat menjadi realiti dan amalan kita sekeluarga?
3. Iftar
Iftar adalah satu peluang yang tidak patut dilepaskan untuk kita berbuka bersama-sama keluarga. Selain berbuka bersama anak isteri. Menjadi satu amalan yang baik juga untuk turut sama berbuka bersama orang tua kita sendiri, mahupun bersama mertua. Malah, inilah peluang untuk kita menggembirakan kedua ibu bapa kita serta melahirkan keihsanan pada diri mereka. Lebih-lebih lagi jika kita tidak lagi tinggal bersama kedua ibu bapa.
Saya kira, ini antara perkara yang paling mudah untuk kita lakukan bersama di bulan Ramadan yang mulia ini. Tidak begitu?
4. Solat terawih berjemaah
Solat terawih juga merupakan satu peluang besar untuk kita turut sama meraih ganjaran pahala bersama keluarga. Bagi yang berkesempatan ke masjid bersama keluarga. Alhamdulillah, teruskanlah. Bagi yang ke masjid seorang diri, usah dilupa keluarga di rumah. Rugi, kalau kita je sorang2 dapat pahala, tetapi yang di rumah tidak dididik sama.
Tiada salahnya solat di rumah bersama keluarga, jika itu mampu mendidik isteri dan anak-anak yang masih kecil. Malah, dengan kita sendiri yang menjadi imam, kita mampu mengawal kadar kelajuan solat yang bersesuaian untuk anak-anak kecil kita yang turut sama bersolat.
Begitu juga, mengapa tidak sekali-sekali kita berkumpul bersama ibu bapa, adik beradik serta ipar duai untuk iftar sambil berterawih bersama?
Ini juga pastinya dapat juga mengeratkan hubungan kekeluargaan di samping mengukuhkan kerohanian kita bersama. Malah, ini menjadi lebih genting, jika usaha ini dapat menghidupkan amalan ibadah pada anggota keluarga yang mungkin jarang-jarang melakukan solat terawih.
5. Solat malam
Berkaitan ibadah solat malam, ingin saya kongsi bersama sepotong hadith yang meriwayatkan tentang amalan Rasulullah s.a.w. pada 10 malam terakhir. Hadith tersebut berbunyi: “Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadah.”
Maka contohilah amalan mulia Baginda s.a.w. ini, jika kita bersolat malam, usah dilupa pada keluarga kita terutamanya isteri kita. Kejutlah mereka agar ganjaran ibadah solat malam terutama pada 10 malan terakhir ini dapat kita raih bersama.
6. Doa
Sebagai penutup, ingin saya kongsi bersama juga doa yang diajarkan Baginda buat isterinya Aishah r.a. Diriwayatkan dari Aishah r.a, dia berkata: “Wahai Rasulullah, beritahukan kepada saya, apabila saya mengetahui pada malam apa Lailatul Qadr itu, apakah yang harus saya ucapkankan di dalamnya?
Baginda bersabda: “Ucaplah “Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’ fu’anni (Ya Allah, Engkau adalah Maha Pemaaf, suka memaafkan, maka maafkanlah aku).”
Nota: Transkrip ini telah dirakamkan bagi siaran radio Warna FM 94.2 pada 15 Julai 2013.