Image

Berikut adalah jawapan penuh saya bagi pandnagan saya yang tersiar di Berita Harian bertarikh, 25 Januari 2014 yang bertajuk ‘Petua Hindari Masalah Menurut Islam’ dari rencana yang sama bertajuk ‘Kecelaruan Obsesif Kompulsif (OCD)’

Pertama sekali suka saya mengingatkan kepada pesakit OCD yang sudah dikenal pasti atau pelaku yang mempunyai simtom-simtom OCD ini untuk meneruskan atau mendapatkan rawatan dari pakar mental atau Psikiatri di IMH atau pusat perubatan swasta.

Antara kaedah terapi yang biasa digunakan oleh Psikiatri dalam menangani OCD ialah ‘Cognitive-Behavioral Therapy (CBT) yang berpusat kepada membanteras punca asal yang membawa kepada amalan obsesi atau kompulsi sebagai contoh. Kaedah ini percaya fisiologis dari otak dapat diubah oleh pemikiran.

Selain dari CBT, saya percaya bahawa apa yang paling penting ialah kesedaran dan ketekunan diri yang bersungguh-sungguh bagi melawan pemikiran kesempurnaan atau kejijikan yang tidak bertempat ini, dan memohon perlindungan dan pertolongan daripada Allah.

Antara tips-tips yang boleh dilakukan yang sempat saya fikirkan di sini yang merangkumi usaha pesakit dan juga pertolongan daripada Allah ialah:

1. Menjaga solat Fardu pada setiap waktu

2. Sentiasa berdoa dan meminta pertolongan daripada Allah pada setiap ketika. Boleh juga mengamalkan doa yang diajarkan Baginda Rasulullah s.a.w.:

“Allahumma A’innii ‘Alaa Dzikrika Wa Syukrika Wa Husni ‘Ibadatik”

Ertinya: ‘Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu dan bersyukur kepada-Mu, serta agar dapat beribadah dengan baik kepada-Mu’.

3. Sentiasa mengamalkan zikrullah sama ada dengan bertasbih, bertahmid atau dengan memperbanyakkan bacaan Al-Quran dan menyelami maksudnya. Hal tersebut dapat meningkatkan keimanan selain mampu menghilangkan keraguan dan menjawab setiap pertanyaan kita.

Antara surah-surah yang baik dibaca dan diamalkan bagi membantu menghindari penyakit ini ialah surah Al-Falaq dan surah An-Nas sebelum sesuatu pekerjaan atau ibadah, selepas setiap solat dan sebelum tidur termasuk bacaan ayat Kursi atau pada bila-bila waktu yang terluang sebagai zikir basahan lidah.

4. Mempelajari agama bagi punca permasalahan yang dihadapi adalah perkara yang bersangkutan agama, seperti cara wuduk yang terbaik dan larangan dalam pembaziran. Juga memahami maksud suci tubuh badan dan tempat ibadah yang sebenarnya dalam perspektif Islam atau Fiqh.

5. Melawan tuntutan jiwa untuk mengulangi sesuatu perkara, tidak kiralah dalam ibadah atau membersihkan tubuh badan. Jika amalan biasa dalam wuduk sebagai contoh adalah diulangi 3 kali, usahlah diikuti tuntutan hati untuk melakukannya 4 kali.

6. Mencari teman yang boleh membantu mengingatkan kita untuk melawan tuntutan jiwa dan bisikan syaitan juga dalam membantu kita dan mengamati ibadah kita seperti wuduk selain sebagai teman yang dapat membantu mengingatkan kita kepada Allah.

7. Memohon perlindungan Allah dalam apa jua perkara sama ada masuk dan keluar rumah, sebelum masuk ke dalam bilik air dan keluar darinya, ketika makan dan sebagainya dengan doa-doa dan zikir-zikir yang diajarkan Rasulullah.

8. Tidak berputus asa, dan terus berusaha merubah dan melawan bisikan hati dan syaitan. Jika ia masih berulang, cuba laksanakan pada waktu yang berikutnya pula. Gagal sekali, bukan bermakna seterusnya juga gagal.

9. Percaya bahawa usaha yang dilakukan memerlukan masa untuk pulih dan berjaya. Kejayaan tidak datang sekelip mata.

10. Berdoa dan terus berdoa, dan mengulangi tips-tips di atas sehingga berjaya.

Pandangan ini telah disiarkan pada artikel BH, 25 Januari 2014 yang bertajuk ‘Petua Hindari Masalah Menurut Islam’ dari rencana yang sama bertajuk ‘Kecelaruan Obsesif Kompulsif (OCD)’

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

One response »

  1. arjunasetia says:

    Assalamualaikum ustaz, terimakasih atas perkongsian ini, untuk sesiapa yg ingin berikhtiar untuk mengatasi masalah OCD/was-was ini, boleh juga cuba semak di link ini:

    http://husnuzzonloa.blogspot.com/p/rawatan-ocd.html

Leave a comment