Mas Selamat Lagi…

Tadi pagi lepas driving lesson saya singgah di kedai kopi Jalan Eunos dekat dengan Eunos MRT station. Lepas order Mee Soto and air tebu, saya pergi kedai mama untuk beli Straits Times. Kebetulan hari ni semua front page muka Mas Selamat cerita pasal hasil siasatan panel khas yang dibentuk oleh kerajaan. Bila nampak saya nak beli surat khabar tu, mamak tu kata..ah jangan bacalah ni semua..Cerita kartun tu..Takkanlah toilet tempat tahanan Mas Selamat macam ni! Saya senyum je dan kemudian duduk di meja saya.

Kesian kerajaan, tak ramai percaya cerita dorang..Kemudian tergerak hati saya nak panggil mamak tadi tu. Saya lambai dia datang tempat saya duduk. Bila dia dekat je saya beritahu dia..”Toilet kat sana memang macam nilah. Saya kaunselor kat sana. Saya pernah pergi bilik air ni”. Tak tahulah dia percaya ke tidak. Tapi dia jawab. “Oh yer ke? Tapi macam mana dia boleh panjat pagar pulak. Saya cakap tengoklah sendiri gambar2 tu”

Di masjid pun sama, jemaah2 masjid tanya saya mana boleh toilet macam tu, saya begitahu perkara yang sama. Hmmph..”Saya dah buang air dah dalam toilet tu pun. Memang betul. Tulah toilet yang Mas Selamat gunakan.”

So..nak percaya ke tidak? Tepuk dada tanya selera. : )

YMCA

Pagi tadi saya dan teman-teman dari gang-gang asatizah junior (gabungan dari pelbagai masjid) telah menyertai Community Engagement Games Day bagi acara Futsal anjuran National Council of Churches of Singapore (NCCS). 

Kami menang sekali dan tewas sekali dan tersingkir dari pertandingan. Macam-macam team dari pelbagai organisasi dan agama, Sikh, Kristian, Islam dan lain-lain. Pasukan kami bernama Young Muslim : )

Apa yang menarik perhatian saya pada pertandingan pagi tadi ialah oppornent kami yang pertama yang terdiri kebanyakannya daripada budak-budak melayu. Saya tak perasan nama pasukan tersebut sehingga diberitahu selepas perlawanan, pasukan tersebut ialah YMCA. Terkejut saya..

Saya bagitahu teman-teman yang lain, kenapa tak jumpa dorang? Mereka dah balik, jawab teman-teman saya tu. Alamak, kenapa tak jumpa awal2? Sayang…nilah peluang kita untuk kenal2 dengan mereka. Ketika sedang asyik menonton perlawanan-perlawanan lain. Teman-teman saya tu bagitahu yang mereka dah jumpa dah budak2 YMCA tu, mereka sempat bertanya khabar dan berkenalan. Saya tanya, bagi name card tak? Bagi jawab mereka. Bangga saya dengan tindakan pro aktif ustaz-ustaz muda ni. Mereka dapat maklumat budak-budak ni berpeluang pergi jamming di sana.

Saya tak boleh salahkan YMCA atau mana-mana badan agama lain, mereka memang ada pelbagai facility dan tempat mereka terbuka kepada semua bangsa. Kita tak boleh salahkan orang lain, jika anak bangsa kita jadi begitu. Kita perlu salahkan diri kita sendiri. Keluraga-keluarga Melayu-Islam khususnya perlu bertanggungjawab ke atas ideologi anak-anak mereka. Ini semua tidak dapat diselamatkan jika ibu bapa sendiri mempunyai pengetahuan agama yang rendah dan tidak pula memastikan diri dan anak-anak mereka mendapat bimbingan agama yang secukupnya.

Isu ini lebih ketara di kalangan keluarga pincang. Namun, saya yakin kita telah bergerak pada landasan yang betul, dengan Mendaki dan Muis telah menyasarkan kepada golongan ini, ini termasuklah penglibatan masjid dalam menangani isu keluarga pincang dengan program yang menggabungkan pengagihan sumbangan kewangan dan makanan dengan pembelajaran Islam. Malah di Al-Falah, I.Allah kita akan memulakan program Home Based Islamic Learning melibatkan keluarga-keluarga miskin dan kurang keupayaan. Semoga usaha kami ini berjaya.

Sufiah Yusof

Kesian Sufiah. Itulah rasa hati saya bila pertama kali dengar cerita yang beliau sekarang ini memperdagangkan tubuh badannya bagi menyara hidup. Sebenarnya sebelum keluar berita tersebut, 2 minggu sebelumnya tiba-tiba saya teringatkan gadis ini. Ingin tahu apa beliau buat sekarang sejak melarikan diri dari Universiti dan berkahwin dengan lelaki pilihannya. Saya cuba google dan wikipedia nama beliau untuk dapatkan berita terbaru tentangnya. Tup2..keluar cerita yang menyedihkan.

Tidak perlulah diceritakan apa yang terjadi pada Sufiah, semuanya sudah terpapar di akhbar, apa yang boleh kita pelajari di sini ialah kita tidak boleh lari dari fitrah. Kanak-kanak bagaimana bijakpun, mereka perlu dibiarkan untuk bermain dan berinteraksi dengan rakan sebaya. Tidakkah manusia itu dijadikan untuk berkenal-kenalan? 

Teringat saya kisah seorang kanak-kanak lelaki melayu campuran Inggeris, bernama Ainan tidak silap..beliau juga diharapkan oleh ibu bapanya untuk dapat masuk ke Universiti pada usia yang muda..7 tahun untuk lebih tepat lagi! Ahh! Mudahan ibu bapa beliau terbaca cerita tentang Sufiah ni.

Seperkara lagi cerita tentang Sufiah ialah perihal didikan cara regim yang diketengahkan oleh bapa beliau Farooq. Kesian Sufiah..saya tidak mahu bincangkan kali ini tentang impak yang boleh dimainkan oleh ayah pada anak. Cukup dengan kita lihat kesan-kesan pada anak-anak yang kurang mendapat belaian kasih sayang daripada seorang yang bernama ayah. Kalau ikut kajian mereka inilah yang paling tinggi risiko terdedah kepada isu-isu sosial.

Sebagai bapa kepada dua orang anak, inilah yang paling saya takuti..mudah-an saya dapat menjadi bapa yang penyayang kepada kedua orang anak saya, Madihah & Yasir.

Kepada bapa Sufiah, semoga beliau sedar dengan kesilapan yang telah dilakukan, ibu beliau Halimahton..semoga anda terus tabah, tidak mudah putus asa dan selalu berdoa. Doa saya buat beliau, semoga beliau kembali ke pangkal jalan. Amin!

Sabun!

Ni apa hal pulak ni Ustaz Yusri cerita pasal sabun? Mungkin ada orang yang terfikir begitu bila nampak tajuk entry saya kali ini.  

Sebenarnya ini cerita lucu (bagi saya) daripada salah satu soalan kemusykilan melalui panggilan telefon yang saya terima 2-3 minggu lepas. Pemanggil ini menghubungi saya berulang kali dengan menggunakan nama yang berbeza-beza tapi bentuk soalannya tetap sama iaitu sabun.

Soalan beliau kalau mandi wajib lepas tu kita gunakan sabun, bagaimana hukum mandi wajib kita sah tak? Nak mandi wajib dulu ke atau nak sabun dulu? Nak sabun dulu ke nak mandi wajib dulu? Itulah bentuk-bentuk soalan-soalan beliau. Kadang-kadang baru jawab, lagi 5 minit kemudian beliau akan call lagi untuk dapatkan penjelasan lanjut. Aduuh, pening saya.

Berdasarkan pattern soalan beliau ni, saya dapat rumuskan pemanggil ini sebenarnya jenis orang yang was-was. Saya sempat share dengan teman-teman di lain termasuk di Muis, mereka menyatakan orang yang sama juga pernah bertanyakan isu yang sama. Oh, ooh!

Tension juga kadang-kadang, tengah sibuk-sibuk buat office work..dengar bunyi deringan telefon, bila jawab tanya pasal sabun. Sabun lagi!

Tiba-tiba pada satu hari, saya dapat satu idea jawapan yang cantik jika beliau call saya lagi. Kali ini saya pula yang tak sabar-sabar nak terima panggilan beliau. Maka tibalah hari yang ditunggu-tunggu..si pemanggil ni call saya tanya pasal isu mandi wajib dengan sabun lagi. Ustaz, bagaimana kalau kita mandi wajib lepas tu kita nak sabun badan kita boleh tak? Saya jawab…”Kalau awak nak mandi wajib, jangan gunakan sabun langsung!” Habis tu Ustaz, kalau kita dah selesai mandi wajib, kita sabun macam mana? Tak faham lagi dia : o Saya jawab dengan nada yang lebih tegas ” Tak perlu, kalau awak nak mandi wajib. Jangan gunakan sabun walaupun selepas selesai mandi wajib, lain kali bila petang atau esoknya (masa bukan mandi wajib) awak boleh mandi gunakan sabun. Tapi bila masa mandi wajib, jangan gunakan sabun!”

Alhamdulillah, sampai sekarang beliau serik call saya saya lagi untuk tanya pasal mandi wajib dengan sabun. : )

Murtad

Sebagaimana janji saya pada Dew (Lieja), saya ceritakan kembali pengalaman saya pada 3 tahun yang lalu semasa mengendalikan kes kaunseling bersama dengan seorang wanita (saya sebut selepas ini sebagai W) yang pada masa itu berusia 20 tahun yang hampir murtad selepas bertemu dengan teman lelakinya yang beragama Kristian. Beliau dirujukkan kepada saya 3 tahun yang lalu oleh ibunya yang bimbang kerana anaknya sering ke gereja bersama teman lelakinya dan membaca kitab ‘Bible’. 

Sebelum beliau berjumpa dengan saya, W telah pun berjumpa dengan beberapa guru agama lain untuk membawa beliau ke pangkal jalan. Tetap gagal, kerana pendekatan yang dilakukan ialah sebelah pihak sahaja, lebih banyak bercakap dan lebih kepada desakan supaya W kekal dengan Islam dan lupakan hasrat untuk memasuki agama Kristian kerana boleh mengakibatkan masuk neraka.

Memang betullah, apa yang ustaz tu cakapkan, namun isunya di sini kita berdepan dengan seorang wanita yang tidak mempunyai asas yang kuat dalam agama Islam dan hatinya hampir pasti untuk memeluk agama Kristian. Tindakan ustaz tersebut membuat beliau ‘turns off’. Apa taknya, dah lah dipaksa jumpa oleh ibunya kena ceramah dan bebelan pula.

Bagi sesi ini, saya mengambil pendekatan untuk lebih banyak mendengar dan cuba buka pemikiran beliau semula untuk membuat penimbangan dengan lebih lanjut sebelum memasuki agama lain.

Apabila saya tanyakan apakah sebab beliau tertarik dengan Kristian, beliau jelaskan bahawa terdapat rasa ketenangan adalam agama ini di samping rasa ‘self of belonging’ setiap kali beliau ke gereja dengan teman lelakinya dan menjelaskan yang beliau sedang mengkaji dengan lebih lanjut agama ini dengan membaca ‘Bible’.

Saya cuba bersikap tenang dan memberi komen serta memuji tindakannya, ‘Saya gembira kerana awak membuat ‘research’ bagi memahami dengan lebih lanjut tentang agama ini. Ini yang sepatutnya kita lakukan bila ingin mengetahui sesuatu agama’.

W nampak tersentak kerana saya tidak memarahinya bahkan saya memuji tindakannya itu. Saya bertanya lagi kepada beliau sama ada beliau ada melakukan perkara yang sama pada agamanya sekarang dan sama beliau ada mengkaji Quran sebagai perbandingan dengan Bible? Beliau menjawab tidak.

Saya bertanya lagi sama ada, beliau setuju tak dengan statement saya yang beliau tidak akan dapat buat keputusan yang tepat jika beliau mengkaji hanya satu agama sahaja tanpa mengkaji agama asal beliau. Beliau terpaksa setuju..

Saya jelaskan kepada W bahawa beliau tidak bersikap adil kepada agamanya sekarang. Beliau lahir sebagai Islam tetapi tidak pernah belajar tentang Islam atau mengamalkan ajaran Islam. Bagaimana beliau dapat membuat pilihan yang tepat mana satukah agama yang lebih baik jika kajiannya hanya tertumpu pada satu agama? Sebagaimana Islam, agama Kristian juga mempunyai balasan syurga-neraka, setiap keputusan yang silap boleh memberi kesan yang padah pada diri di kemudian hari.

Di akhir sesi, saya berikan beliau terjemahan Quran dan meminta beliau mengkaji juga Quran di samping mengkaji kita Bible. Beliau terima, Alhamdulillah.

Terus terang saya nyatakan pada ibunya, saya rasa beliau 90% sudah tekad untuk keluar dari agama Islam. Saya sendiri tidak terkejut jika ia belaku. Selepas sebulan saya hubungi ibunya untuk follow up, Alhamdulillah, ibunya beritahu yang W sudah tidak ke gereja lagi. Syukur!

Sebagaimana yang pernah saya katakan pada entry saya yang terdahulu, kita hanya mencuba..keputusan akhir daripada individu itu sendiri. Apa yang saya share di sini, mungkin boleh praktik kan apabila kita bertemu atau berinteraksi dengan teman atau saudara kita yang tertarik dengan agama lain, elakkan perbincangan yang sehala sahaja, yakni kita sahaja yang bercakap, libatkan mereka..cuba fahami sebab di sebalik keputusan yang diambil untuk keluar agama. Ajak mereka berfikir..itu adalah usaha yang lebih baik daripada kita bincang isu syurga neraka, dosa besar dan sebagainya.

Dan jika mereka tetap dengan keputusannya, tak mengapa..teruskan hubungan dengan mereka. Jangan singkirkan mereka. Anggap seperti kawan dau saudara seperti dulu. Pada masa yang sama teruskan sedaya yang boleh seperti usaha di atas. Jangan putus asa. Berdoa pada Allah. I.Allah, jika satu hari mereka punyai kesulitan (bercerai dengan suami yang beragama lain sebagai contoh), mereka tahu dengan siapa yang perlu mereka rujuk. Mereka masih tetap punya teman, saudara, ibu ataupun bapa. Tak mustahil orang sebegini akan kembali kepada agama asalnya iaitu Islam.

Saya juga berharap kita perlu terima dengan terbuka tentang isu murtad ini. Tidak salah untuk prihatin, namun tindakan kita perlu berlandaskan rasional dan tidak emosi sehingga boleh menggugat keharmonian kaum dan juga agama. Perlu kita sedari bukan mereka dari agama kita sahaja yang murtad, tetapi ramai juga mereka dari agama lain seperti Kristian, Hindu, Buddha dan juga Taois yang murtad dan memeluk agama Islam, bahkan jauh lebih ramai dari bangsa kita sendiri.

Semoga kita dapat mengambil iktibar daripada pengalaman saya ini.

Rose Villa

Petang tadi ada case conference di Wisma Mendaki dengan teman-teman lain yang sama-sama mengendalikan kes-kes kaunseling remaja Pusat Persinggahan NUR. Biasanya pada sesi begini kami kami akan bergilir pada tiap bulan untuk bentangkan kes kaunseling pilihan kami dengan tujuan untuk dapatkan feedback daripada teman-teman kaunselor yang lain dan juga dari supervisor kami. 

Saya sempat dapatkan feedback tentang kes kaunseling saya dengan Z yang mana temanita beliau H sedang berada di rumah tumpangan missionary Kristian untuk remaja mengandung. Tepat seperti mana yang ‘Hoopoe’ beritahu, memang mereka tiada paksaan terhadap agama bagi sesiapa yang tinggal di sana, malah amat digalakkan penghuni rumah tumpangan mereka mendapat bimbingan kaunseling dari kaunselor yang seagama. Bahkan saya difahamkan layanan yang mereka berikan amat baik kepada penghuni dan juga pengunjung dan ia patut dicontohi oleh badan-badan Melayu Islam kita, ini kata teman saya tulah.

Memang begitulah sebenarnya yang diajarkan oleh Islam yang dibawa baginda Rasulullah. Melalui akhlak mulia, baginda dapat menarik minat orang-orang yang dahulunya bencikan baginda dan juga Islam. Tetapi kini, akhlak dan tingkah laku kita memburukkan Islam dan mencemarkan nama baik baginda, sehingga diambil kesempatan oleh musuh-musuh Islam seperti yang dilakukan oleh Si Wilders tu.

Kembali kepada cerita si Z tu, plan saya selepas ini ialah hubungi beliau dan buat temu janji untuk berjumpa dengan H di rumah tumpangan tersebut, jika beliau ok dan setuju berpindah ke rumah tumpangan kelolaan badan Islam, maka saya akan cuba uruskan. Jika tidak, sekurang-kurangnya saya dapat pujuk beliau untuk mulakan sesi kaunseling dengan saya.

Mudah-mudahan beliau bersetuju dengan salah satu daripada pilihan di atas. Semoga usaha saya, Amin…

Fitna The Movie

Umat Islam Singapura dikejutkan kelmarin dengan pelancaran video anti Islam keluaran Geert Wilders, pemimpin salah sebuah parti di negara Belanda. 

Sebelum dikeluarkan semalam di seluruh dunia, saya sudahpun dengan ura-ura ingin diterbitkan sebuah film yang menghina Islam. Jadi taklah terkejut sangat bila dikeluarkan semalam.

Alhamdulillah, kali ini ni nampak suasana tenang tanpa respon emosi daripada umat Islam sebagaimana peristiwa kartun Nabi Muhammad oleh akhbar negara Denmark Jyllen Posten sedikit masa dulu.

Saya sendiri dihubungi oleh pihak Berita Harian kelmarin untuk komen tentang film ini, tetapi hanya diterbitkan sebahagian sahaja. Mungkin terdapat kesamaan dengan respon daripada lain-lain pemimpin agama.

Apa yang saya nyatakan pada pemberita tersebut ialah kita perlu sampaikan respon atau reaksi kita dengan tenang, dengan reaksi sebegini secara tidak langsung bertentangan dengan gambaran yang dipaparkan dalam film tersebut, adapun jika umat Islam menyampaikan tentangan secara emosi dan ganas. Ini bermakna perbuatan kita ini membenarkan gambaran ajaran Islam yang terdapat dalam film itu, dan inilah yang ingin dibuktikan oleh Sang Wilders ini.

Seperkara lagi apa yang diketengahkan oleh beliau adalah satu perkara yang juga boleh diketengahkan oleh agama lain. Umat Islam boleh membuat film tentang keganasan sebahagian orang-orang Yahudi, orang Yahudi boleh membuat film tentang Nazis. Malah keganasan tentera Amerika juga boleh dieksploitasikan dalam sebut film.

Di sinilah pentingnya respon tenang yang perlu ditunjukkan oleh masyarakat Islam Singapura, tidak salah untuk marah tetapi yang paling penting bagaimana cara kita luahkan kemarahan kita. Itulah yang menjadi ukuran kesabaran dan kematangan fikiran seseorang.

Sayang Isteri Tinggal-Tinggalkan, Sayang Anak Buang-Buangkan?

Tempohari di masjid, saya didatangi oleh seorang belia lelaki. Beliau ingin dapatkan kaunseling katanya. Saya tanya ada appointment tak? Sebab seingat saya, pada hari tu saya tiada temujanji kaunseling dengan sesiapa. Tepat seperti jangkaan saya beliau menjawab tidak. 

Oleh kerana tiada appt, saya suruh beliau tunggu sebentar sambil saya selesaikan beberapa tugasan saya. Lepas tu barulah saya dapat mulakan sesi dengan beliau.

Saya sebenarnya terkejut beliau datang seorang diri sahaja, maklumlah, para belia tidak seperti orang dewasa, mereka biasanya tidak datang seorang diri tetapi biasanya dirujuk oleh ibu bapa mereka. Ini kerana para belia biasanya merasakan yang mereka tiada masaalah apa-apa. Tetapi ibu bapa mereka yang berasakan mereka bermasaalah. Sebagai contoh hisap rokok atau ponteng sekolah. Bagi para belia, itu bukan satu masaalah. Ini berbeza dengan tanggapan ibu bapa mereka.

Client (saya gelar sebagai Z) saya ini berusia 19 tahun dan sekarang ini bekerja sambilan. Mempunyai latar belakang agama yang kuat juga. Saya tanya dia, apa yang saya boleh bantu. Beliau menjawab yang dia sudah terlanjur dengan gadis (saya gelar sebagai H) berusia 16 tahun! Sekarang ini pula sudah 5 bulan mengandung. Saya buat cool aje..walaupun sebenarnya terkejut beruk juga dibuatnya. Maklum muka budak ni, muka budak baik-baik.

Sebenarnya kalau nak cerita pasal apa yang dibincangkan pada sesi itu mungkin panjang dan sempat untuk dimuatkan di sini. Tapi apa yang saya ingin share di sini ialah ibu bapa budak perempuan tersebut telah memberi pilihan sama ada anak mereka menggugurkan kandungan atau kekalkan kandungan dan dihalau dari rumah. Budak tersebut mengambil keputusan untuk kekalkan kandungan dan beliau dihalau dari rumah serta tidak diterima sebagai anak mereka lagi.

Tahu anak beliau menumpang di mana sekarang? Di rumah tumpangan remaja perempuan kelolaan badan missionary Kristian. Kesian kan? Sekarang ni saya cuba berhubung dengan pihak Pertapis bagi urusan penghantaran H ke sana. Doakan semoga berjaya.

Keadaan ibu H berbeza dengan satu kes yang pernah saya kendalikan baru-baru ini juga. Seorang remaja wanita berusia 18 tahun (saya gelar sebagai S), lari meninggalkan keluarganya untuk mengikut teman lelaki beliau dan tinggal bersama keluarga lelaki tersebut.

Inilah tren sekarang, temanita atau teman lelaki dianggap seolah-olah seperti anak sendiri sehingga sanggup membelakangkan keluarga sendiri.

Apabila saya berjumpa dengan ibu dan ibu saudara serta bapa saudara S, selain daripada beberapa strategi yang dibincangkan di sini dalam ikhtiar kami untuk memujuk keluarga teman lelaki S memulangkan S ke pangkuan keluarga, saya juga meminta supaya ibu S dan bapanya perlu terus berdoa dan jangan berputus asa.

Alhamdulillah, selang dua minggu kemudian. Sang ibu dan dua ibu saudaranya datang berjumpa saya sekali lagi dan kali ini bersama S. Terkejut juga saya. Tapi terkejut bercampur gembira. Pada masa yang sama juga saya turut berasa sedih kerana S sudah mengandung dua bulan.

Pengajaran dan iktibar yang dapat diambil dari kedua kisah ini ialah, tabiat buang anak yang telah mengandung atau murtad adalah satu perbuatan yang memberi keburukan jangka panjang. Malah boleh memberi kesan pada agama anak tersebut.

Tapi pada masa yang sama, jika seorang ibu atau bapa tersebut bersabar dan tidak berputus asa terhadap anak tersebut. I.Allah, anak tersebut mampu berubah dan menjadi seorang yang lebih matang serta mampu mempelajari dari kesilapan lampau mereka. Siapa tahu pada masa akan datang anak tersebut mampu menjadi seorang anak yang soleh atau solehah dan berbakti kepada kedua orang tua.

Sejenak Bersama Pendeta Dr. Ariff Ahmad

Pada hari sabtu lepas semasa penyampaian Anugerah Mas, saya berkesempatan duduk berbual seketika dengan Hj Ariff Ahmad, seorang budayawan terbilang Singapura yang juga terkenal dan diiktiraf serantau nusantara. 

Sambil menjamu selera, saya sempat bertanyakan berapa umur beliau, beliau menjawab 84 tahun. Saya bertanya lagi, masih lagi aktif membaca, bila terlepas soalan tu rasa menyesal pula saya, seorang yang terkenal sebagai budayawan dan digelar sebagai Pendeta takkan tak membaca, mungkin umurnya membuat saya terlupa sebentar.

Beliau mengingatkan saya yang beliau bukan setakat sering membaca bahkan aktif menulis ruangan pojok beliau di Berita Harian. Baru saya teringat..saya pernah membaca tulisan beliau di BH.

Beliau menjelaskan adalah penting untuk terus membaca atau menulis untuk memastikan otak kita sentiasa aktif dan berfikir.

Ah..terasa kerdil dan kecil pula rasa tiba-tiba, terfikir pulak..aku boleh ke macam dia, masih lagi aktif membaca dan menulis? Mudah-mudahan peristiwa ini menjadi titik tolak untuk kita lebih menghargai kesihatan dan akal yang dikurniakan oleh Allah. Lebih-lebih lagi pada peringkat usia yang masih muda dan mengambil dari Pendeta Dr Ariff sebagai iktibar.

Kaunseling Melalui Telefon

Baru-baru ni ada orang telefon saya di ofis bagi khidmat bantuan kaunseling. Beliau seorang Indian-Muslim, masuk kali ini rasanya dah 2 kali dia call. 

Banyak isu yang dikemukakan, antaranya dia depression sebab ayahnya tidak mahu solat walaupun selepas ditegur, baru putus cinta dengan kekasih dan kenapa orang bukan Islam berjaya walaupun tidak solat?

Letih juga nak jawab soalan-soalan tersebut, maklum beliau hanya boleh berbual dalam bahasa Inggeris sahaja. Saya cuba berbincang dengan beliau satu persatu isu yang dikemukakan.

Soalan pertama tentang dia stress sebab ayahnya tidak mahu solat walau selepas ditegur. Dalam hal ini, saya cuba beri semangat pada beliau yang dia telah telah jalankan tanggungjawab sebagai anak sebaik mungkin, seterusnya terpulang kepada ayahnya untuk berubah atau tidak.

Saya jelaskan padanya, rasa bersalah adalah normal, namun yang menjadi masaalahnya jika beliau berasa bertanggungjawab sepenuhnya atas kesalahan ayahnya. Baginda Rasulullah sendiri pernah ditegur oleh Allah kerana berasa dukacita disebabkan masih ramai orang-orang Quraisy yang musyrikin. Allah menjelaskan tugas Nabi hanya menyampaikan seruan, namun pemberi hidayah adalah Allah jua.

Soalan kedua, mengapa orang Islam yang bersolat, namun tetap juga ditimpa musibah, sedangkan orang bukan Islam atau orang Islam yang tidak solat ramai yang berjaya.

Memandangkan ia adalah perbualan di telefon dan saya pada masa tu masih lagi banyak kerja yang belum dibereskan. Saya cuma sempat bagi contoh baginda Rasulullah. Beliau adalah seorang Rasul dan merupakan manusia yang paling dicintai. Namun baginda tetap juga diuji oleh Allah. Ingat tak peristiwa kematian isteri yang dicintai Khadijah dan juga bapa saudaranya Abu Talib? Kedua-duanya meninggal ketika baginda amat memerlukan sokongan mereka.

Begitu juga dengan kematian putera baginda yang bernama Ibrahim, yang meninggal ketika masih kecil. Bayangkan jika kita mempunyai 4 puteri dan anak kelima kita pula dijangkakan seorang putera, apabila lahir meninggal pula ketika masih kecil. Pasti kita akan merasa amat sedih sekali.

Tetapi kenapa ini semua berlaku pada insan yang disayangi oleh Allah? Ini tidak lain dan tidak bukan ialah Allah ingin memberikan peluang untuk mendapatkan pahala dan kebaikan.

Jadi ia bergantung bagaimana kita melihat sesuatu ujian atau musibah, positif atau negatif. Jika positif maka kita akan ganjaran dan pahala yang cukup besar, lagi besar ujian lagi besar pahalanya, begitu jugalah sebaliknya.