Bagi keadaan sesetengah individu yang mempunyai masalah was-was yang ketara khususnya ketika ingin melakukan ibadah, sebagai contoh amalan membaca takbiratul ihram ketika solat, sehingga kadangkala ada yang sampai terpaksa berulang-ulang kali takbirnya.

Saya sendiri pernah melihat situasi seperti ini, sehingga 7-8 kali takbirnya, barulah berjaya. Mengapa ya?

Ramai yang menganggap ini sebagai hasutan dan godaan syaitan dalam mengganggu manusia dari melaksanakan ibadah kepada Allah s.w.t.

Namun bagi saya selain dari berserah dan mengganggap ia sebagai hasutan syaitan semata, kita juga perlu menangani sendiri isu ini dan melawannya bersungguh-sungguh agar tidak mudah tewas dengan godaan syaitan ini.

Saya sendiri semasa mula bertugas di masjid dahulu, pernah seorang pemanggil ini menghubungi saya berulang kali dengan menggunakan nama yang berbeza-beza tapi bentuk soalannya tetap sama; iaitu berkisar tentang mandi wajib dan sabun.

Antara soalan yang ditanyakan seperti, ‘kalau mandi wajib lepas tu, boleh kita gunakan sabun tak?’, ‘bagaimana hukum mandi wajib, kita sah tak?’, ‘Nak mandi wajib dulu ke atau nak sabun dulu?’, ‘Nak sabun dulu ke atau nak mandi wajib dulu?, Perlu ulang balik tak?

Itulah antara bentuk soalan-soalan beliau.

Kadangkala baru sahaja saya menjawabnya, selang lagi 5 minit kemudian, beliau akan telefon lagi untuk dapatkan penjelasan lanjut dengan soalan yang hampir sama.

Memang pening dibuatnya.

Berdasarkan trend soalan beliau ni, saya dapat rumuskan pemanggil ini sebenarnya jenis orang yang punya masalah was-was. Rupanya saya diberitahu, pemanggil yang sama juga menghubungi beberapa masjid dan majlis agama bagi bertanyakan soalan yang sama.

Tiba-tiba pada satu hari, saya dapat satu idea bagi menjawab kemusykilan beliau dan seterusnya menangani isu si pemanggil ini jika beliau menghubungi saya lagi.

Kali ini saya pula yang tak sabar-sabar nak terima panggilan beliau.

Maka tibalah hari yang ditunggu-tunggu, si pemanggil ini menghubungi saya bertanya dengan soalan yang sudah lama saya jangkakan iaitu hal mandi wajib dan sabun lagi. Beliau bertanya, ‘Ustaz, bagaimana kalau kita mandi wajib lepas tu kita nak sabun badan kita, boleh tak?

Saya jawab: “Kalau awak nak mandi wajib, jangan gunakan sabun langsung!”

Beliau tidak berpuas hati dan bertanya lagi. “Habis tu Ustaz, kalau kita dah selesai mandi wajib, kita hendak sabun macam mana?”

Saya jawab dengan nada yang lebih tegas: “Tidak perlu, kalau awak nak mandi wajib, usah gunakan sabun walaupun selepas selesai mandi wajib, lain kali bila petang atau esoknya (masa bukan mandi wajib), awak bolehlah mandi dengan menggunakan sabun. Tapi bila masa mandi wajib, jangan gunakan sabun!”

Itulah panggilan beliau yang terakhir selepas itu.

Jelas sebenarnya cara bagi menangani isu ini, seseorang itu perlu melawan hawa nafsunya dari mengikut tuntutan jiwanya. Sebagai contoh, dalam isu si pemanggil tadi, sebenarnya beliau sudahpun mandi dengan bersih dan sempurna mandi wajibnya, namun kerana selepas selesai mandi wajib dan menggunakan sabun, beliau akan menjadi was-was dan terganggu dari mengerjakan ibadah.

Menurut pakar psikologi atau psikiatri, mereka menganggap masalah was-was ini adalah antara simtom ‘Kecelaruan Obsesif Kompulsif (OCD)’ Namun, tidak kiralah sama ada ia isu was-was atau OCD, sesuatu perlu dilakukan dari sudut mendapatkan bantuan perubatan moden (seperti psikologi) dan juga dengan cara berdoa kepada Allah serta yang paling penting ialah perubahan sikap.

Antara tips-tips atau langkah-langkah yang boleh dicuba bagi membantu menangani permasalahan ini; yang merangkumi usaha pesakit dan juga pertolongan daripada Allah ialah:

Pertama: Menjaga Hubungan dengan Allah s.w.t.

Menjaga solat Fardu pada setiap waktu dan sentiasa mengamalkan zikrullah sama ada dengan bertasbih, bertahmid atau dengan memperbanyakkan bacaan Al-Quran dan menyelami maksudnya. Hal tersebut dapat meningkatkan keimanan selain mampu menghilangkan keraguan dan menjawab setiap pertanyaan dan rasa keluh resah kita.

Firman Allah s.w.t.:

“Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan, ia berkeluh kesah. Dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir. Kecuali orang yang mengerjakan solat.”     [Al-Ma’arij: 19-22]

Selain itu, penting juga mereka yang mempunyai gangguan sebegini dapat mengukuhkan lagi pengetahuan Fardu Ain mereka dengan pempelajari agama, apatah lagi bagi punca permasalahan yang dihadapi adalah perkara yang bersangkutan agama, seperti cara wuduk yang terbaik dan larangan dalam pembaziran. Juga memahami maksud suci tubuh badan dan tempat ibadah yang sebenarnya dalam perspektif Islam atau Fiqh.

Kedua: Memohon perlindungan Allah

Dalam apa jua perkara, sama ada ketika masuk atau keluar rumah, sebelum masuk ke dalam bilik air atau keluar darinya, ketika makan dan sebagainya, hendaklah kita memohon perlindungan dari Allah dengan doa-doa dan zikir-zikir yang diajarkan Rasulullah s.a.w.

Bagi mereka yang mempunyai masalah was-was ketika dalam solat; sebelum memulakan takbir, perbanyakkanlah doa dan bacaan surah An-Nas agar Allah s.w.t. membantu kita dan menjauhkan dari penyakit was-was dan gangguan syaitan yang sentiasa ingin menimbulkan rasa keraguan dalam beribadah kepada Allah.

Begitu juga sebelum melakukan sesuatu pekerjaan atau ibadah, selepas setiap solat dan sebelum tidur termasuk bacaan ayat Kursi atau pada bila-bila waktu yang terluang sebagai zikir basahan lidah.

Ketiga: Mengukuhkan Ketahanan Mental dan Tidak Mudah Berputus Asa

Melawan tuntutan jiwa untuk mengulangi sesuatu perkara, tidak kiralah dalam ibadah atau membersihkan tubuh badan. Jika amalan biasa dalam wuduk sebagai contoh sunnah diulangi 3 kali, usahlah diikuti tuntutan hati untuk melakukannya sehingga 4 kali. Seseorang itu perlu teguh dan kuat untuk tidak mendengarkan kata hatinya.

Saya percaya bahawa apa yang paling penting ialah kesedaran dan ketekunan diri yang bersungguh-sungguh bagi melawan pemikiran kesempurnaan atau kejijikan yang tidak bertempat ini, dan memohon perlindungan dan pertolongan daripada Allah.

Perlu juga wujud perasaan untuk tidak berputus asa, dan terus berusaha merubah dan melawan bisikan hati dan syaitan. Jika ia masih berulang, cuba laksanakan pada waktu yang berikutnya pula.

Gagal sekali, bukan bermakna seterusnya juga gagal.

Keempat: Mendapatkan Teman Pendamping

Mencari teman yang boleh membantu mengingatkan kita untuk melawan tuntutan jiwa dan bisikan syaitan juga dalam membantu kita dan mengamati ibadah kita seperti solat dan sebagainya selain sebagai teman yang dapat membantu mengingatkan kita kepada Allah.

Ini tidak kiralah sama ada ia merupakan suami atau isteri kita, teman atau kenalan kita, yang dapat menegur dan memberikan perangsang serta motivasi untuk mengikis sikap was-was ini.

Seperti mana kita, pendamping kita ini juga perlu maklum bahawa usaha yang dilakukan memerlukan masa untuk pulih dan berjaya, dan kejayaan tidak datang sekelip mata.

Kelima: Berdoa dan Terus Berusaha Sehingga Berjaya

Berdoa dan terus berdoa, dan mengulangi tips-tips di atas sehingga berjaya.

Sentiasa berdoa dan meminta pertolongan daripada Allah pada setiap ketika. Boleh juga mengamalkan doa yang diajarkan Baginda Rasulullah s.a.w.:

“Allahumma A’innii ‘Alaa Dzikrika Wa Syukrika Wa Husni ‘Ibadatik”

Ertinya: ‘Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu dan bersyukur kepada-Mu, serta agar dapat beribadah dengan baik kepada-Mu’.

InshaAllah, dengan berkat ketabahan kita, azam untuk berubah dan melawan sikap was-was yang ada dalam diri. Ini ditambah pula dengan perdampingan kita kepada Allah s.w.t. dengan solat dan doa kita kepada-Nya. Insha Allah, suatu hari nanti kita pasti berjaya jua.

Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 34, terbitan Telaga Biru, Malaysia.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s