Sebelum ini saya pernah berkongsi pengalaman saya dalam memberi kaunseling kepada beberapa tahanan Jemaah Islamiah (JI) beberapa tahun yang lalu. Kali ini saya akan berkongsi sedikit pengalaman saya semasa sesi kaunseling bersama beberapa golongan muda yang tertarik dan simpati dengan aktiviti ISIS. Sebenarnya pengisian yang sama juga pernah saya kongsi bersama dengan para tahanan JI sedikit masa dulu.
Pendekatan saya kali ini ialah untuk cuba memahami apakah dorongan golongan yang tertarik dengan perjuangan jihad seperti ini, di samping cuba menjelaskan maksud jihad yang sebenar berdasarkan pendapat para ulama.
Antara perspektif jihad sebenar yang perlu difahami adalah seperti berikut:
Pertama – Jihad yang disebutkan dalam Al-Quran
Jihad dalam agama Islam bukanlah bermaksud berjuang dalam peperangan bersenjata semata-mata. Bahkan lafaz jihad juga meliputi berjuang sedaya kita dalam segala perkara termasuklah juga dari sudut jiwa dan harta, bermujahadah menahan godaan hawa nafsu dan syaitan mahupun segala bentuk perjuangan fi sabilillah lain yang dilakukan kerana untuk mempertahankan agama Islam.
Malah jika dikaji, kata ‘jihad’ terulang dalam Al-Quran sebanyak empat puluh satu kali dengan pelbagai bentuk lafaznya, dengan maksud jihad dalam Al-Quran kebanyakannya merujuk kepada makna yang lebih luas dan umum dari sekadar maksud peperangan.
Menurut Prof. Muhammad Quraish Shihab (Phd Al-Azhar), perspektif dan sikap Al-Quran terhadap jihad ialah kita diseru agar sedaya mungkin untuk menghindarinya dan tidak dilakukan kecuali setelah seluruh cara damai ditempuh. Ini berdasarkan maksud firman Allah dalam surah Al-Anfaal ayat 62:
“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka kamu juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakal lah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Al-Quran juga turut menegaskan bahawa setiap peperangan itu juga harus ditamatkan dengan berakhirnya penganiayaan. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 193:
“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim”
Dengan ini jihad dalam Al-Quran menuntut kita dalam banyak keadaan untuk sepanjang masa bersungguh-sungguh dan bermujahadah dalam mencapai tujuan tertentu seperti menahan hawa nafsu dan sebagainya, sedangkan tuntutan untuk berjihad dalam peperangan hanya diperlukan pada saat-saat tertentu sahaja, dan ianya pula punyai punyai syarat-syarat tersendiri yang perlu dipatuhi.
Kedua – Membezakan antara peperangan dan pembunuhan
Jihad dalam Islam tidaklah terhad hanya pada peperangan mempertahankan diri sahaja. Tetapi peperangan dalam sejarah Islam juga berlaku dalam bentuk ofensif, dan ini juga berlaku ketika zaman Nabi s.a.w., para sahabat dan juga kerajaan-kerajaan Islam selepasnya seperti pada zaman dinasti Umawiyyah, Abbasiyah mahupun ketika zaman dinasti Uthmaniyyah.
Beginilah antara contoh-contoh hujjah perbincangan saya bersama mereka.
Tetapi saya juga menjelaskan kepada mereka, perlunya difahami bahawa objektif peperangan bersenjata ini pada dasarnya adalah untuk membebaskan umat manusia dari kegelapan dan kekufuran kepada keimanan, dari kezaliman pemerintah sebelumnya kepada kesejahteraan dan keadilan Islam.
Dan seperti yang saya kongsi pada perkara pertama tadi, jihad bersenjata ini juga perlu mematuhi syarat-syaratnya yang tertentu, dan tidak boleh diisytiharkan sesuka hati, ini kerana jika tidak berhati ia boleh jatuh ke kancah pembunuhan dan bukan jihad peperangan yang menjanjikan ganjaran syahid!
Inilah perkara yang berlaku pada perjuangan ISIS dewasa ini, ia bukanlah peperangan atau ‘Qisas’ (bunuh balas megikut undang-undang Islam) tetapi sudah jatuh kepada pembunuhan dan berunsur jenayah, dan pastinya ia bukanlah jihad yang sebenarnya.
Menurut Sheikh Ahmed El-Tayyib, Sheikhul Azhar, terdapat dua perbezaan nyata antara ‘Al-Qatl’ dan ‘Al-Qitaal’; pembunuhan bermakna upaya membunuh pihak lain dengan senjata yakni ‘Al-Qatl’. Ini berbeza dengan peperangan antara dua pihak yang saling menyerang yang dinamakan sebagai ‘Al-Qitaal’.
Adapun yang merujuk kepada istilah ‘jihad’ adalah Al-Qitaal atau peperangan sahaja, dan tidak Al-Qatl, yakni pembunuhan.
Ketiga – Memahami dan mematuhi etika peperangan
Peperangan dalam Islam juga perlu mematuhi garis pandu dan etika peperangan yang diajarkan agama dan yang dibawa oleh Baginda Rasulullah s.a.w., dan tidak boleh sekali-kali melampaui batas yang telah ditetapkan agama.
Firman Allah: “Dan perangilah dijalan Allah orang-orang yang memerangi kalian, dan janganlah kalian melampaui batas; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Al-Baqarah: 190]
Atas dasar itu, kita melihat Islam bukan sahaja memberi garis pandu yang jelas dalam peperangan daripada larangan membunuh kanak-kanak atau orang tua yang tidak berdaya, tetapi juga dilarang melakukan kerosakan terhadap tanaman dan tumbuh-tumbuhan!
Namun apa yang berlaku sekarang seperti yang dipraktiskan ISIS dewasa ini, nyawa orang bukan Islam menjadi begitu murah dan tidak mempunyai makna apa-apa seperti yang berlaku ke atas kaum Yazidi, kaum Arab yang beragama Kristian dan juga beberapa individu lain. Malah, terdapat juga penyeksaan dan pembunuhan terhadap umat Islam sendiri, baik buat mereka yang tidak mematuhi peraturan Islam ataupun bagi mereka yang bersama dengan puak perikatan barat.
Pastinya apa yang berlaku di sini adalah lebih hampir kepada pembunuhan dari peperangan, jauh sekali dari mematuhi etika dan adab peperangan yang perlu dipatuhi yang telah digariskan dalam Islam.
Keempat – Keperluan berjihad pada hari ini
Saya juga mengajak klien saya dalam sesi kaunseling tersebut untuk turut berfikir, apakah masih ada lagi keperluan untuk berjihad pada hari ini?
Selain dari apa yang berlaku di Palestin atau mana-mana negara yang umat Islam ditindas oleh pemerintah yang zalim, atau dari pendatang yang menjajah dan mengusir warga asal negara tersebut, yang mana pastinya dalam keadaan seperti ini dibolehkan berjihad secara nyata.
Namun pada masa kini, rata-rata umat Islam bebas mengamalkan ajaran agama dan dan hak sebagai warga negara dengan bebas, walaupun hidup dan tinggal di negara sekular atau di negara yang majoritinya penduduk bukan Islam.
Menurut Dr Yusuf Qardawi dalam bukunya Fiqh Al-Jihad, menyampaikan dakwah kepada masyarakat Islam melalui jihad secara ofensif terhadap non Muslim, bukanlah cara yang sesuai bagi menyampaikan dakwah pada masa kini. Ini memandangkan bahawa pada hari ini umat Islam mempunyai pelbagai kaedah yang boleh dilakukan dalam menyampaikan dakwah Islamiah tanpa menggunakan kekerasan atau tindakan tenteraan. Beliau turut menggesa supaya umat Islam memanfaatkan sumber manusia dalam menyampaikan dakwah, dan ini juga merupakan satu jihad.
Dengan wujudnya media sosial, dakwah juga sudah menjadi tiada sempadan dan semakin mudah untuk disebar luaskan. Malah apa yang diperlukan pada hari ini ialah untuk kita melahirkan individu-individu Muslim yang hebat bagi meningkatkan kemajuan masyarakat Islam di samping menjadi seorang Mukmin yang bertakwa. Sebagai contoh, kita perlu melahirkan lebih ramai lagi insan seperti Muhammad Yunus, seorang Muslim warga Bangladesh yang mengasaskan Bank Grameen, di mana antara objektif utamanya ialah memberi pinjaman modal bagi bakal-bakal usahawan dari kalangan mereka yang berpendapatan rendah. Ini juga satu contoh jihad. Ia juga satu dakwah yang hebat bagi menunjukkan kecemerlangan seorang Muslim kepada warga dunia.
Jelas untuk melangkah ke hadapan, jihad yang pertama dan utama ialah untuk memperbaiki mutu kehidupan masyarakat Islam sendiri yang banyak ketinggalan dalam pelbagai bidang utama dalam kehidupan.
Dunia hari ini di kuasai oleh orang bukan Islam. Kebanyakan negara-negara timur tengah masih bergantung kepada kuasa barat dalam memajukan ekonomi. Manakala banyak negara Islam yang miskin dan tidak dapat memberikan pendidikan yang terbaik pada warga mereka. Malah, negara-negara Islam juga bergantung harap kepada negara bukan Islam bagi membeli peralatan tentera dan ini termasuklah ISIS! Di negara kita sahaja dan nusantara ini, banyak lagi usaha yang perlu kita perjuangkan bagi kemajuan ekonomi, pendidikan dan lain-lain bidang yang masyarakat Islam masih ketinggalan.
Pastinya inilah yang perlu difikirkan dan menjadi jihad yang utama oleh masyarakat Islam hari ini, bukannya sibuk mempamerkan bendera hitam dengan lafaz syahadah yang dikaitkan dengan aktiviti keganasan ISIS, atau mempunyai cita-cita berjihad di luar negara, sedangkan jihad yang lebih utama dan wajib untuk kita pada hari ini sebenarnya wujud di hadapan mata kita.
Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 36, terbitan Telaga Biru, Malaysia.