Dalam kehangatan isu ISIS atau IS, terkenang pula kisah pengalaman saya apabila berdepan dengan beberapa anggota kumpulan Jemaah Islamiah atau JI bagi sesi rehabilitasi keagamaan sedikit masa dulu. Kali pertama sesi saya bersama mereka, berdebar juga hati ini sedikit sebanyak. Mana tidaknya klien pertama yang saya diminta untuk bersemuka hadir dengan membawa kitab suci Al-Quran!
Tetapi selepas beberapa sesi kaunseling dengan mereka, saya dapati apa yang membuatkan sebahagian dari golongan ini mudah terpengaruh dengan gejala sebegini ialah kerana kurangnya ilmu pengetahuan ajaran Islam yang sebenar-benarnya. Juga antara faktor lain ialah kerana keghairahan mereka bagi meraih ganjaran pahala syahid serta pengampunan dari Allah, khususnya bagi mereka yang dahulunya leka dan lalai dalam melaksanakan perintah Allah s.w.t.
Dalam hal ini, adalah penting bagi mereka yang tertarik untuk menyertai sebarang perjuangan jihad bersenjata di luar negara dengan pihak-pihak tertentu sama ada seperti IS atau sebagainya, perlu sedar beberapa perkara yang perlu mereka pertimbangkan terlebih dahulu serta diberi keutamaan. Antara perkara-perkara tersebut ialah:
Pertama – Mengenal pasti keabsahan jihad yang ingin disertai.
Ini dapat diketahui melalui penelitian fatwa dan pandangan para ulama sama ada individu mahupun institusi fatwa sedunia.
Seperti isu perjuangan senjata ISIS atau IS, kita dapati bahawa ulama sedunia telah menolak dan menentang IS. Merujuk kepada senarai terkini, seramai 126 ulama serta para akademik Islam telah menolak IS. Antaranya Mufti besar Mesir, Sheikh Shawqi Abdel-Karim Allam dan juga Kesatuan Antarabangsa Ulama Islam yang berpangkalan di Qatar yang diterajui oleh Sheikh Yusuf Al-Qaradawi.
Jika majoriti para ulama berpendapat sesuatu kumpulan itu sebagai bertentangan dengan ajaran Islam dan patut ditentang, maka sewajarnya kita menjauhi kumpulan ini, apatah lagi menyertai perjuangan bersenjata mereka, kerana dikhuatiri bukan sahaja tidak mendapat pahala jihad, tetapi jatuh kepada perkara yang bersalahan dengan agama seperti membunuh tanpa hak dan sebagainya.
Kedua – Mengenal pasti keutamaan atau prioriti kita
Penting bagi mereka yang berura-ura untuk menyertai perjuangan bersenjata seperti ini mengenal pasti keutamaan atau awlawiyyat mereka.
Kita lihat sahaja contoh peristiwa yang dilaporkan oleh Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘As yang meriwayatkan bahawa terdapat seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w. meminta izin untuk pergi berperang, kemudian Nabi s.a.w. bertanya: “Apakah kedua orang tuamu masih hidup?” Dia menjawab: “Masih.” Maka sabda Nabi s.a.w.: “Berjuanglah untuk kedua orang tuamu itu.” [Sahih Bukhari]
Dalam hal ini, para ulama menyatakan bahawa peperangan yang ingin disertai oleh para sahabat tersebut hanyalah sebatas fardu kifayah sahaja, ini berbeza peperangan dengan tujuan mempertahankan agama dan negara dari serangan musuh, maka keizinan ibu bapa tidak lagi diperlukan kerana ia sudah sampai kepada kewajipan fardu ain.
Pertimbangan yang sama juga berlaku bagi mereka yang sudah berkeluarga, tetapi bercita-cita untuk menyertai perjuangan di perantauan. Sedangkan dengan kepergian kita itu bakal mengakibatkan pengabaian nafkah kepada isteri dan anak-anak. Pada hal tanggungjawab kita terhadap mereka juga satu kewajipan, malah dalam hal ini patut kita utamakan berbanding dengan lain-lain kewajipan.
Tidakkah Nabi s.a.w. pernah bersabda: “Satu dinar yang kamu keluarkan di jalan Allah, lalu satu dinar yang kamu keluarkan untuk memerdekakan seorang budak, lalu satu dinar yang kamu keluarkan untuk seorang miskin, dibandingkan dengan satu dinar yang kamu nafkahkan untuk keluargamu, maka pahalanya (Yakni nafkah untuk keluarga) lebih besar. [Bukhari]
Ketiga – Menguruskan kewajipan Allah yang lain
Dalam menguruskan keutamaan atau prioriti juga, perlu diingat bahawa dalam perkara yang wajib pun ada yang lebih utama dari yang lain, bergantung kepada individu Muslim tertentu.
Pertama sekali, pastinya sebagai seorang Muslim kita perlu terlebih dahulu menjaga ibadah solat lima waktu kita. Ini barulah diikuti dengan kewajipan-kewajipan yang lain. Sebagai contoh bagi seorang pemimpin rumahtangga, selain dari memberikan nafkah, beliau juga perlu memastikan keluarganya mendapat pendidikan yang sempurna, dan ini termasuklah pengetahuan agama.
Bagaimana seseorang bapa itu tega untuk berjuang mempertahankan agama di luar negara, sedangkan kewajipan di depan mata belum dilaksanakan? Tidakkah Allah mengingatkan kita untuk menjaga diri kita dan ahli keluarga kita dari api neraka?
Malah, menjaga keutamaan dalam melaksanakan kewajipan Allah ini juga tidak terhad kepada lelaki sahaja, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. Dia berkata: “Ya Rasulullah, kita mengetahui bahawa jihad adalah sebaik-baik amalan. Oleh itu apakah kami kaum wanita boleh ikut berjihad?” Baginda terus menjawab: “Bagi kamu semua (kaum wanita), jihad yang paling afdhal ialah mendapatkan haji mabrur.” [Bukhari]
Keempat – Usah memandang rendah kebajikan yang lain
Dalam kita ghairah untuk mengejar kehebatan ganjaran pahala yang dijanjikan Allah seperti jihad bersenjata. Usah sekali-kali kita memandang rendah ibadah atau bersikap ambil mudah pada ibadah-ibadah yang lain. Bukan maknanya, saya cuba mengajak kita semua untuk bersikap mudah berpuas hati, tetapi sekadar untuk membakar semangat kita untuk lebih komited dan menghargai setiap kelebihan amalan yang kita kerjakan, lebih-lebih lagi ibadah-ibadah yang fardu.
Lihat sahaja ganjaran solat fardu yang kita lakukan sehari-harian seperti yang diriwayatkan dalam sepotong hadis Qudsi yang bermaksud: “Allah s.w.t. berfirman: ‘Aku telah mewajibkan atas umatmu lima waktu solat dan Aku telah membuat janji di sisi-Ku bahawa barangsiapa yang memelihara lima waktu ini, maka dia akan Aku masukkan ke dalam syurga, dan barangsiapa yang tidak menjaganya, maka tiada ada baginya janji-Ku. [Ibnu Majah]
Begitu jugalah janji-janji Allah pada ibadah-ibadah fardu yang lain seperti ibadah puasa, zakat, haji dan lain-lain juga mampu menebus dosa kita yang terdahulu. Malah banyak hadis-hadis yang menerangkan betapa ibadah-ibadah ini juga mampu menghapuskan dosa-dosa yang lampau, ini termasuklah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar Al-Ghifari r.a. yang bermaksud:
“Bertakwalah kepada Allah dimanapun kamu berada, dan ikutilah perbuatan yang buruk dengan perbuatan baik, maka ia akan menghapusnya, dan bergaullah dengan manusia dengan sebaik-baik pergaulan” [Tirmidzi]
Pada masa yang sama, kita juga diseru untuk tidak lupa dalam menjaga hubungan antara sesama manusia, kerana itu juga peluang mudah untuk kita meraih ganjaran pahala dari Allah dan juga menebus dosa kita. Contohnya ibadah sedekah. Malah Nabi s.a.w. mengajarkan kita langkah-langkah untuk bersedekah dari mereka yang mempunyai wang sehinggalah kepada mereka yang tidak berwang.
Dalam hadis Abu Musa Al-Asy’ari r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Tiap Muslim wajib bersedekah. Para sahabat bertanya: “Bagaimana kalau dia tidak memiliki sesuatu?” Nabi s.a.w. menjawab: “Bekerja dengan kedua tangannya untuk kemanfaatan bagi dirinya lalu bersedekah.” Mereka bertanya lagi: “Bagaimana kalau dia tidak mampu?” Nabi menjawab: “Menolong orang yang memerlukankan yang sedang teraniaya” Mereka bertanya: “Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?” Nabi menjawab: “Menyuruh berbuat ma’ruf.” Mereka bertanya: “Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?” Nabi S.a.w. menjawab, “Mencegah diri dari berbuat kejahatan itulah sedekah.” [Bukhari dan Muslim]
Kelima – Menuntut ilmu Pengetahuan Agama
Bagi membolehkan seseorang Muslim itu tidak mudah terpengaruh dengan gejala-gejala yang kurang sihat atau sebarang dakyah yang mengajak kita menyokong dan berjuang dengan kumpulan yang membawa ajaran yang jauh dari ajaran Islam, seseorang itu perlulah mempelajari ilmu agama.
Dari situ barulah dapat kita membezakan antara yang hak dan yang batil, yang benar mahupun yang salah, serta mengetahui mana satu yang wajib serta mana satu yang sunat. Malah bagi yang fardu pula dapat kita memilih keutamaan dalam kewajipan yang perlu kita dahulukan dalam diri kita dan keluarga.
Kita perlu sedar bahawa pengetahuan agama tersangatlah penting agar apa yang kita lakukan tidak menjadi sia-sia dan diterima Allah, kerana itulah yang membezakan antara mereka yang berpengetahuan ataupun tidak. Hayatilah firman Allah s.w.t.:
“Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” [Az-Zumar: 9]
Dengan pengetahuan agama juga, seseorang itu lebih jelas dalam memahami ayat-ayat seruan dalam berjihad. Mengelakkan dari mereka yang mengambil kesempatan dalam memanipulasi ayat-ayat Quran untuk kepentingan diri sendiri mahupun dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin merosakkan imej islam.
Ingatlah, dalam usaha kita mencari keredhaan Allah, usah pula pilihan kita itu menjadi amalan yang sia-sia, dan lebih malang lagi jika pilihan yang ambil itu semakin menjauhkan diri kita dari Allah s.w.t.
Semoga Allah memelihara kita dan membantu kita dalam membuat pilihan yang terbaik bagi diri kita dan Islam.
Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 33, terbitan Telaga Biru, Malaysia.