Apakah kesamaan di antara nama-nama seperti Liza, Amalina, Afidah, Siti dan Shahrudin? Orang Melayu? Betul. Islam? Betul. Mat & Minah? Betul juga. Cuma bezanya mereka ini bukanlah Liza, Lina, Siti atau Din yang kita biasa kenali. Mereka ialah antara segelintir generasi moden masyarakat Melayu-Islam dan juga rakyat Singapura yang memilih kerjaya sebagai ‘Research Scientist’. Cakap mudahnya buat kajian dan eksperimen serta duduk berjam-jam dalam makmal dikelilingi oleh bermacam cecair, kimia dan yang seumpama dengannya. Menarik kan?
Sebenarnya saya telah ke Institute of Bioengineering and Nanotechnology (IBN) di Biopolis, program kembara ilmu atau ‘learning journey’ ini adalah salah satu dari aturcara yang perlu saya sertai bersama teman-teman yang lain bagi program ‘Advanced Asatizah Executive Leadership Programme’ atau Advance AEDP anjuran Muis Academy, sebelum itu selama 3 hari penuh minda kami dipadatkan dengan pengisian topik yang menarik dan baru seperti mempelajari isu konteks agama dalam era ‘Industrial society’, isu-isu terbaru dalam era masakini (emerging issues) seperti gender issues dan lain-lain dalam konteks agama, ‘policy making’, isu kepelbagaian masyarakat Islam (diversity), Inter/intra-Faith dan lain-lain lagi. Ianya sungguh padat dengan diskusi, pertukaran idea, pembacaan tambahan (persediaan sebelum hadir kelas).
Biopolis merupakan pusat penyelidikan dan pembangunan bagi ilmu bio perubatan atau bio medical yang terletak di One-North di Buona Vista. Terdapat 7 kompleks bangunan yang dibina dengan kos hampir $500 juta. Kompleks bangunan-bangunan ini diberi nama yang amat ‘complex’ juga seperti: Nanos, Genome, Helios, Chromos, Proteos, Matrix dan Centros. Ia didiami oleh beberapa agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan makmal kajian syarikat-syarikat pharmaceutical dan bio teknologi yang dibiayai kerajaan.
IBN yang kami lawati terletak di tingkat 4-9, bangunan Nanos. Sesampainya di sana, kami di bawa berjumpa dengan saintis Muslim seorang demi seorang, lima orang kesemuanya. Setiap saintis yang kami jumpai ini pula, dengan dibantu slide powerpoint kemudian akan menerangkan kajian yang dilakukan, terus terang saya sendiri berusaha sedaya upaya untuk cuba fokus dengan penerangan yang diberikan, berkerut juga dahi untuk cuba memahami apa yang disampaikan, itu belum lagi singkatan-singkatan formula yang digunakan dalam persembahan powerpoint mereka.
Saya sebenarnya sungguh teruja dengan penyelidikan yang dilakukan, antaranya kajian bagi mengubah bahan CO2 atau karbon dioksida kepada bahan metanol sebagai bio fuel agar ia lebih mesra alam, kajian untuk memastikan ubat (dadah) yang digunakan menjadi lebih efektif dengan menyalurkannya kepada sel-sel tertentu sahaja dan tidak kepada kesemua sel dalam badan seperti mana yang terdapat ubat-ubatan penyakit barah, serta kajian bagi mencipta ‘bio devices’ seperti ginjal tiruan untuk menggantikan ginjal secara sementara sebelum mendapatkan ganti ginjal. Menarik kan? Kalau rujuk kepada newsletter IBN yang diberikan kepada kami, maka akan dijumpai 1001 kajian lain lagi yang pastinya hasilnya akan memberikan manfaat dan rahmat buat sekalian alam.
Dari interaksi bersama para saintis ini, barulah saya faham cabaran yang dialami mereka, kegagalan demi kegagalan dalam hasil kajian mereka rupanya adalah satu perkara biasa dalam dunia penyelidikan. Maka, sebab itu kadangkala sesetengah kajian mereka mengambil masa sehingga 8 hingga 12 tahun! Maka ciri yang paling penting untuk mereka yang ingin ceburi dunia kajian ini selain dari kemahiran, sikap tidak putus asa juga perlu ada dalam jiwa mereka.
Hasil dari lawatan kami ini juga, baru saya sedari terdapat ketidakseimbangan dari segi jumlah penyelidik tempatan, malah majoriti penyelidik di sini adalah dari negara luar, anggapan saya kita hanya kekurangan penyelidik beragama Islam sahaja, ternyata ia silap. Bahkan kesemua penyelia saintis Muslim tadi adalah dari luar negara seperti negara China, India, Amerika Syarikat dan sebagainya.
Terus terang saya cukup kagum dengan kesemua mereka ini, melakukan penyelidikan bagi maslahat dan kebaikan untuk masyarakat dunia, pasti ganjarannya sungguh besar di sisi Allah s.w.t. dan di alu-alukan dalam agama. Malah, jika kajian dilakukan dengan penghayatan seruan Al-Quran yang sebenar-benarnya, pasti ianya akan menambahkan lagi keimanan kita dan lebih mendekatkan diri kita dengan Allah s.w.t.
Bila saya melihat wajah-wajah penyelidik Muslimah di sini yang kebanyakannya berhijab, saya tidak dapat mengelak selain terbayang anak sulung saya Madihah, andai satu hari nanti manalah tahu dia juga menjadi salah seorang saintis di sini : ) Malah, saya pernah berkongsi harapan saya pada Madihah apabila ditemuduga oleh wartawan ST sedikit masa dulu.
Perkara yang sama juga berlaku, bila saya saya berpeluang melawat Universiti Harvard dan Massachusettes Institute of Technology semasa kunjungan saya ke Boston beberapa tahun yang lalu, terbayang di fikiran ‘kalaulah anak-anak aku belajar di sini…’ Tapi apapun, saya redha dengan apa sahaja yang anak-anak saya bakal kecapi, malah saya selalu berpesan bila Madihah tunjukkan kerja sekolahnya, ‘yang penting Dihah punya ‘effort’ dan usaha, kalau tak betul semua pun abah tak kisah, tapi kalau kita berusaha, I.Allah hasilnya akan jadi lebih baik..’
Semoga kita akan dapat melahirkan lebih ramai anak-anak Melayu-Islam yang berjaya dalam bidang-bidang sebegini, bidang yang kurang diberikan perhatian tetapi amat penting dan diperlukan serta mempunyai kesan dalam mengubah kehidupan manusia di dunia.
Salaam Ust Yusri,
InsyaAllah dgn berkat du’a ayah ibunya, Madihah akan berjaya di dlm apa bidang yang ingin diceburi.
We, the young muslim scientists, will not be where we are now without the support and the du’as of our parents 🙂
Terima kasih Siti…teruja saya mendapat komentar anda di blog saya ini. 🙂
Semoga kejayaan anda dan teman-teman yang lain menjadi perangsang kepada anak-anak Melayu-Islam yang lain.
Ada surau di Biopolis?