Lama tidak kita bersua di sini, bersempena dengan Ramadan kali ini, suka ingin saya berkongsi intipati tazkirah ringkas saya selepas Terawih di Masjid Al-Iman pada Jumaat yang lalu. Di mana saya diminta menyampaikan tajuk ‘Al-Quran Mukjizat – Rasulullah Penyelamat’
Berikut sedutan ringkas apa yang telah saya sampaikan tempohari.
1. Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh berkah, rahmah, pengampunan dan juga merupakan bulan diturunkan padanya Al-Quran.
2. Firman Allah s.w.t.:
“Bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah.” Al-Baqarah: 185
3. Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan, ini merujuk kepada turunnya AL-Quran dari lauh mahfuz ke langit dunia (baitul ‘Izzah), sebelum ia kemudiannya diturunkan secara beransur-ansur kepada Baginda s.a.w. selama 23 tahun.
4. Mungkin timbul persoalan…Mengapa mukjizat teragung kitab? Mengapa tidak tongkat seperti Nabi Musa? Atau nabi2 yang lain.
– Sebagai contoh, Nabi Nuh a.s. dengan mukjizat taufan dan air bah yang hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja. Nabi Saleh a.s. dengan mukjizat unta hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja. Nabi Musa a.s. dengan mukjizat membelah air laut dan hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja. Nabi Isa a.s. dengan mukjizat boleh menghidupkan yang mati atas izin Allah dan hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja.
Bezanya:
– Nabi Muhammad s.a.w. dengan mukjizat al-Quran berlaku untuk dan dirasai seluruh umat manusia ketika dan sesudah Baginda wafat, ia tetap relevan dan sesuai tidak kira masa. zaman dan tempat sehingga sampai hari kiamat.
– Ia juga akan kekal terpelihara
– Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya” (Surah al-Hijr: 9),
– Dengan jaminan Allah ini, terpeliharalah kitab suci al-Quran daripada sebarang perubahan, dan bersinarlah cahayanya ke seluruh dunia.
5. Nabi Muhammad s.a.w., bukan sekadar diutus pada masa zamannya tetapi juga untuk semesta alam!
Firman Allah: “Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam” Al-Anbiya’: 107
6. Bagaimana Baginda menyampaikan ajaran Al-Quran?
a. Melalui tutur kata:
Firman Allah “Dan ia tidak memperkatakan menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.” Surah Al-Najm: 3-4.
– Ini bermaksud segala apa yang disabdakan dan disampaikan Nabi s.a.w. adalah bersandarkan kepada kefahaman Baginda s.a.w. terhadap Al-Quran.
– Memandangkan ketika itu Al-Quran belum selesai diturunkan wahyunya, kadangkala pandangan (ijtihad) Nabi tidak tepat, maka Allah s.w.t. akan membetulkan ijttihad Baginda dengan wahyu atau ayat Al-Quran –> Inilah yang dimaksudkan turunnya Al-Quran kerana sebab terjadi sesuatu peristiwa.
b. Melalui akhlak.
– Ini seperti yang dikatakan oleh Aisyah r.a. “bahawa akhlak Rasulullah adalah Al-Quran.”
– Bermaksud segala budi pekerti dan akhlak Nabi bersumberkan daripada nilai-nilai murni yang dibawakan oleh Al-Quran.
7. Secara dasarnya Al-Quran yang ditinggalkan oleh Rasulullah pada kita, perlu dilakukan melalui beberapa perkara:
a.Baca.
– Hendaklah kita membaca ayat suci Al-Quran, tidak kira secara bertilawah biasa ataupun secara tadarus melalui dua orang atau lebih, dengan seorang membaca dan satu lagi pula mendengar.
– Menurut Ibn Abbas r.a. Nabi s.a.w. itu adalah paling dermawan pada bulan Ramadan, dengan Baginda bertadarus bersama gurunya iaitu Jibril a.s.
– Sekarang kan dan senang nak baca Al-Quran di mana-mana? Ada Blackberry, iPhone dll. Manfaatkanlah teknologi sedia ada bagi mendekatkan diri kita pada Allah.
b. Faham
– Baca sahaja belum mencukupi, untuk mencapai nilai tambah pada amalan kita, kita juga perlu memahami ayat suci Al-Quran.
– Lihat sahaja Rasulullah s.a.w. pada satu ketika, pernah meminta sahabatnya yang bernama Abdullah bin Mas’ud supaya membaca al-Qur’an di hadapannya. Sebagaimana diketahui Ibnu Mas’ud adalah sahabat Nabi yang terkenal dengan qira’ahnya yang bagus dan lagu serta suaranya amat merdu.
Ibnu Mas’ud membaca beberapa ayat dari surat an-Nisa’. Tetapi setelah sampai ayat 41, maka Rasulullah meminta Ibnu Mas’ud supaya berhenti, karena air matanya telah bercucuran terharu.
Ayat an-Nisa’ 41 itu ertinya : “Betapa dahsyatnya keadaan di kala itu (hari akhirat), bila Kami (Allah) menghadirkan seorang saksi bagi setiap ummat, dan engkau (Muhammad) Kami hadirkan juga sebagai saksi bagi mereka.”
Rasulullah s.a.w. tidak menahan sebak mendengar ayat itu. Mengapa tidak? Baginda amat menyayangi umatnya, pasti Bagida akan sedih apabila dia menyaksikan kelak umatnya yang sudah rusak moralnya. Bagaimana pula jika dia dihadirkan sebagai saksi bagi umatnya yang tidak beriman kepada Allah, dan apakah Baginda mampu menyaksikan umatnya yang derhaka itu diheret oleh malaikat ke neraka?
Semuanya itu terbayang di matanya, dan kerana itu Baginda tidak mampu menahan sebak di dada, berguguran air mata berlinangan di kedua pipi Baginda yang putih lagi bersih. Sabdanya: “Cukup, cukup, sampai di sini wahai ibnu Mas’ud” kata Rasulullah kepada sahabatnya yang ahli qira’ah lagi bersuara merdu itu. Ya, Baginda terharu dan hatinya tersentuh.
– Cuba kita bayangkan keadaan kita nanti pada hari akhirat? Bagaimanakah isteri dan anak-anak kita. Begitu juga diri kita? selamatkah kita?
– Melalui hadith ini, dapat juga difahami bahawa mendengar Al-Quran juga satu zikir buat anggota telinga kita, jika suka mendengar perkara yang buruk seperti kata-kata kesat atau umpatan adalah satu dosa, mendengar perkara yang baik juga satu pahala.
c. Penghayatan/Tadabbur
– Bagaimana datangnya penghayatan terhadap Al-Quran? Pastinya dengan memahami isi kandungan Al-Quran.
– Jadi sambil baca, bolehlah renungkan terjemahan sekali, barulah timbul penghayatan seperti yang disebutkan dalam hadith Nabi sebelumnya.
d. Amal.
– Maka selepas membaca, memahami dan menghayati, tidak lengkap jika kita tidak mengamalkannya…Betul tak?
– Oleh itu, amalkanlah apa yang kita baca…mudah-mudahan kita diberikan ganjaran 0leh Allah s.w.t. dan tergolong di kalangan hamba-hamba-Nya yang berjaya di dunia dan akhirat. Ameen.
Terima kasih dgn tazkirah yg bermanfaat ini…Memang benar Al-Quran itu mukjizat yg menjangkaui masa lalu,kini dan hingga ke hari kiamat.Itu mmg tidak dapat disangkal,justeru itu memahami dan menghayati apa yg tersurat &tersirat dr Al-Quran itu sendiri jauh lebih sempurna dr hanya tahu tarannum dan lahjahnya sahaja,walaupun ianya jg baik.Tetapi dr suatu sudut dlm menelusuri isi kandungan Al-Quran,mentadabbur/menghayati Al-Quran itu lbh afdhal.Kerana Al-Quran ibarat cahaya terang yg sangat bermanfaat di dalam kepekatan malam…Sama2 kita beramal kerana-NYA…terima kasih Ustaz Yus..
Alhamdulillah. Moga-moga usaha baik ustaz diberkati Allah. Saya harap kita orang awam dan yang alim lebih merujuk dan berpandukan Kitab AlQuran-ulKarim, wassalam.
bagaimana membaca AlQuaran dikenakan bayaran?