Sebagai seorang kaunselor, saya tidak dapat lari daripada menerima para pelajar yang dirujukkan oleh para ibu bapa. Jika anak remaja yang dirujukkan pada saya umurnya antara 14-16 tahun terutamanya lelaki. Maka saya dah dapat mengagak isu yang bakal dikemukakan pada saya ialah hal yang berkaitan persekolahan, jika pelajar perempuan berusia 14-16 tahun, maka biasanya ia berkaitan isu BGR dan kadangkala seksualiti. Jika umur 17-21 tahun, maka lain pula isunya dan begitulah seterusnya.

Jika tulisan saya sebelum ini ditujukan kepada para ibu bapa, maka pada kali ini ditujukan khas untuk para pendidik atau pentadbir di sekolah mahupun madrasah.

Melalui ruangan ini, saya tidak ingin mengulas kesalahan para pelajar tersebut atau apa yang telah saya kaunseling pada mereka atau hal-hal berkaitan keibubapaan kerana ini sudah banyak kali saya ulang pada posting saya yang terdahulu.

Saya ingin berkongsi 2 kes:

Kes pertama: Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun (Menengah 3), ditangkap mencuri peralatan sekolah. Dirujuk pada polis tetapi tidak didakwa cuma diberi amaran keras sahaja.

Hukuman pihak sekolah: Digantung persekolahan hingga akhir tahun.

Apakah kesan dan risiko daripada hukuman keras pihak sekolah ini pada pelajar?  Jika digantung beberapa minggu mungkin dapat difahami tetapi jika digantung hingga sampai akhir tahun atas alasan ditakuti kesan dan pengaruhnya terhadap para pelajar lain.  Macam mana tu?

Tidakkah dengan penggantungan sekolah akan memberi kesan yang lebih buruk pada pelajar ini? Tanpa perlu hadir ke sekolah dan hanya duduk di rumah dengan kedua ibu bapa bekerja. Pastinya memberi potensi yang besar untuk pelajar ini terlibat dengan kegiatan atau anasir buruk akibat kebosanan di rumah.

Kedua, tidakkah rugi persekolahan yang terpaksa ditinggalkan? Bagaimana nasibnya dalam peperiksaan akhir tahun akibat tidak menghadiri kelas berbulan-bulan? Tiadakah cara lain yang dapat memberi keuntungan kepada kedua-dua belah pihak? Iaitu pelajar tersebut dan pihak sekolah.

Bagi kes ini, saya rujukkan pada pihak Kementerian Pelajaran (MOE) akan keprihatinan dan kebimbangan saya di atas dan meminta agar pihak sekolah dapat menimbangkan untuk memberi peluang kedua pada pelajar tersebut atas alasan kebimbangan yang saya sebutkan di atas. Selang beberapa hari, saya mendapat panggilan daripada pengetua sekolah.

Beliau mempertahankan tindakannya, saya beritahu beliau..saya tidak memaksanya untuk mengubah keputusan. Terpulang pada beliau sama ada ingin mengekalkan atau tidak. Itu hak pihak sekolah. Cuma saya tegaskan mengapa tidak diberi peluang kedua?

Pelajar sebegini perlukan bimbingan dan perlu dibantu dari segi bagaimana membuat keputusan (decision making), cara memilih kawan dan lain-lain lagi dan bukan terus dihukum dengan keras yang bakal memberi implikasi yang lebih buruk atau tidak terkawal.

Bayangkan akibat kebosanan di rumah, pelajar ini mungkin melepak dan berpeluang berkenalan dengan remaja-remaja bawah blok yang tidak bersekolah atau dengan mereka yang lebih berusia dan kemudian terlibat pula dengan kegiatan haram seperti gang atau pemungut hutang bagi tailong?

Alhamdulillah, pengetua tersebut akhirnya bersetuju untuk memberikan peluang kedua pada pelajar ini untuk pulang ke sekolah dengan syarat beliau terus menghadiri sesi kaunseling bersama saya.

Kes kedua: Seorang pelajar perempuan berusia 12 tahun (Darjah 6), ditangkap (dirakam oleh penumpang lain) bercumbu di dalam bas dengan lengkap beruniform sekolah.

Hukuman pihak sekolah: Dirotan di hadapan para pelajar perempuan sekolah (public canning).

Saya tidak ingin mengulas pada kali ini kesalahan yang beliau lakukan atau bentuk hukuman tersebut sama ada wajar atau tidak. Ia pastinya memang serius dan perlu diambil tindakan yang tegas.

Cuma saya terkesan dengan keputusan melulu sekolah ini, lebih-lebih lagi difahamkan ianya dilakukan tanpa dilakukan sebarang tindakan kaunseling.

Mengapa penting kaunseling? Ini kerana kita perlu melihat isu ini dengan lebih meluas. Mengapa ia jadi begitu? Adakah ibu bapa menjangkakan perkara sebegini? Apakah kesilapan ibu bapa dalam hal ini dari segi perspektif keibubapaan? Apakah langkah-langkah yang dapat dilakukan agar dapat memastikan pelajar ini serik serta menyesal untuk mengulangi perbuatan ini? Maka tidak boleh tidak, beliau perlu diterangkan tentang isu-isu BGR atau seksualiti agar dapat dijadikan panduan.

Bagaimana pula dengan persediaan pelajar ini dalam menghadapi peperiksaan PSLE yang bakal menjelang dengan hukuman sentiasa terbayang-bayang di depan mata?  Tidakkah, perlu beliau diberi sedikit motivasi bagi menghadapi peperiksaan selain persedian menghadapi hukuman?

Mujur ibu bapa pelajar ini bersikap pro aktif, dapat juga saya membantu memberikan sedikit tunjuk ajar seperti mana perkara-perkara yang saya sebutkan di atas.

Saya juga perlu memberikan sokongan emosi dan minda, andaikata keputusan pihak sekolah ini dikekalkan, pelajar ini dapat cekal menghadapi segala hukuman akibat kesilapan lalu dan tidak menjadi satu trauma atau igauan pada beliau untuk meneruskan tanggungjawab sebagai pelajar, bahkan mampu menjadi pelajar yang lebih baik dan cemerlang daripada pelajar yang tidak pernah melakukan sebarang kesalahan disiplin.

Pelajar ini juga perlu dibantu untuk bersedia respon dalam menghadapi kata-kata cemuhan yang mungkin timbul atau rasa rendah diri akibat hukuman yang dijalankan.

Bagi kes ini, saya membantu ibu tersebut membuat draf surat bagi rayuan pada pihak sekolah. Saya juga berharap agar pada sesi kaunseling akan datang anak beliau dapat turut sama hadir begitu juga dengan bapanya. Ini kerana banyak perkara yang perlu dibincangkan baik dari kesilapan si anak mahupun dari segi perspektif keibubapaan seperti mana yang telah saya sebutkan di atas.

Pada masa yang sama, saya juga akan menyampaikan kepada pihak sekolah keprihatinan saya dan berharap mereka dapat bersetuju dengannya dan mempertimbangkan segala alternatif yang dapat menguntungkan kedua belah pihak selain cadangan memuatkan terapi kaunseling sebagai satu keadah rehabilitasi selain hukuman dalam memulihkan pelajar menjadi lebih positif dan cemerlang pada masa akan datang.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

4 responses »

  1. Hasanah says:

    Assalamualaikum,
    Bagi saya, kesalahan pelajar perempuan 12 tahun bercumbuan itu memang serius, tetapi tidak wajar dikenakan hukuman public canning.
    Sebab, ia akan menjejaskan kehidupan sosial dia sebagai seorang pelajar terutama bila dihina oleh seluruh rakan sekolah. Emosi akan jatuh, semangat untuk belajar jatuh. Dia juga akan benci untuk ke sekolah. Erm… saya dah biasa jumpa kes pelajar yang dikenakan hukuman yang memalukannya di khalayak ramai, kesannya ialah, dia makin teruk disiplin sebab semua orang menyisihkannya…

    Kaunseling ialah satu opsyen, tapi, maruah pelajar tu?

  2. hmm…berdepan dgn masalah seks bebas adik2 pelajar di sekolah dan diluar sekolah..lebih mengerikan..ade yang bermula semenjak umur 10 tahun..bermula apabila si lelaki yang berumur 14 tahun pandai menjerat..apa nak jadi dgn anak akan dtg ye???harap2 usaha2 kita semua x banyak sedikit mengurangkan masalah sosial..bukan sahaja di bandar…malah dikampung2 yang boleh dikatakan lebih teruk dr kawasan bandar..hmm…seorang islam tidak boleh lari dr tanggungjawab mengubah sesuatu ke arah kebaikan..wajiblah keatas semua.. semoga dipermudahka..

  3. Nur Hidayah says:

    Syukran Ustaz atas perkongsian ini.
    Harap Ust dapat beri lagi tips-tips atau cara yang terbaik menangani masalah remaja di sekolah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s