Selepas hampir 22 jam penerbangan yang bermula dari Singapura dan transit di Hong Kong dan juga Chicago, akhirnya sampai jua ke destinasi pertama kami di sini iaitu bandar Boston, yang juga merupakan ibu negeri Massachusetts.
Bandar Boston merupakan antara bandar yang tersibuk dan mempunyai kos sara hidup yang antara tertinggi di Amerika. Ia juga dikenali sebagai hab pendidikan tinggi Amerika. Di bandar inilah terletaknya dua pusat pengajian tinggi yang terkenal di dunia iaitu Universiti Harvard dan juga Massachusetts Institute of Technology (MIT).
Ketika kami berada di sini, dapat dilihat bagaimana penduduk bandar Boston sedang meraikan kemenangan pasukan Baseball mereka iaitu Boston Red Sox dalam acara World Series 2007.
Pada masa yang sama juga, bandar tersebut sedang meraikan Halloween. Kami dapat melihat sendiri gelagat pelik golongan muda-mudi berpakaian aneh seperti bertanduk ala iblis dan sebagainya. Amalan berpakaian aneh ini tidak terhenti pada golongan belia sahaja. Malah juga bagi golongan dewasa seperti pekerja-pekerja di hotel, bank dan juga di lapangan terbang.
Bagi teman-teman saya lain pula seperti rusa masuk kampung gelagat mereka. Setiap pemandangan menarik tidak akan terlepas daripada petikan kamera. Ini termasuklah objek popular bagi rombongan kami iaitu bas sekolah berwarna kuning jingga yang muncung di hadapannya, satu pemandangan yang sebelum ini hanya dilihat di kaca TV pada siri televisen atau film keluaran Hollywood.
Ini tidak termasuk senario pemandangan latar belakang yang dipenuhi dengan guguran daun-daun yang berwarna kuning, merah dan oren. Sungguh cantik dan indah. Maklumlah ketika ini sedang dalam musim gugur atau luruh. Selain dari itu, kami juga terpaksa membiasakan diri dengan budaya tip 10-20% bagi perkhidmatan yang diterima termasuklah ketika menaiki teksi!
Kebanyakan masyarakat Amerika ini tidak mengenali sangat negara kita Singapura, kalau adapun yang kenal, mereka akan merujuk kepada peristiwa di mana seorang remaja Amerika bernama Michael Fay yang dihukum sebat dan beberapa bulan penjara pada tahun 1993 dahulu atas kesalahan menconteng kereta atau vandalisme. Ramai rakyat Amerika Syarikat pada masa itu menentang hukuman merotan oleh pemerintahn Singapura ini atas alasan peri kemanusiaan.
Geli hati saya mendengar komen seorang rakyat Amerika yang kami temui dalam salah satu lawatan, beliau berkata “You can kill him but don’t cane him!”
Bersambung…
Ikuti sambungan dalam bahagian ketiga siri lawatan saya ke US. Di mana saya berkongsi pengalaman kami mengunjungi badan-badan Islam serta bukan Islam di Boston termasuk inisiatif ‘Street Worker’. Ingin tahu lebih lanjut? Sila lawati lagi lelaman ini pada hari Jumaat depan.
Wahai Yusri,Saya ingin menyarankan supaya anda mencoretkan pengalaman / lawatan anda ke Amerika Syarikat sekali gus, usahlah anda memperpanjangkan penderitaan saya. Cukuplah saya menderita. Akhirkanlah pernantian saya. Cepatkanlah coretan anda.Yang Benar Dan Ikhlas,Me’on (Irwan Sahrul)
Saya amat memahami perasaan anda, ibarat menyaksikan sinetron Hikmah atau Ikhlas. Harap anda dapat bersabar. Walau bagaimanapun, kami amat menghargai maklum balas anda dan akan mempertimbangkan dengan penuh serius.
Wahai Yusri,Saya merujuk kepada jawapan yang anda berikan bagi maklumbalas saya berkaitan dengan mempercepatkan coretan anda – Lawatan Ke Amerika Syarikat.Haruskah anda membangkitkan isu sinetron yang amat saya minati, dan, dikebelakangan ini amat payah bagi saya menontoninya. Sebagai seorang pengamat sinetron perasaan saya kini terganggu banget. Dengan secara automatis, pikiran saya tertumpu kepada dialog Ibu Eli di dalam sinetron Hikmah Musim Pertama, “Apa Ana, kamu pikir cinta itu bisa mengenyangkan perut kamu?”Akan tetapi, dengan hati yang penuh debaran, dan kepala yang penuh putaran, saya akan meneruskan penantian ini yang amat membingitkan dan memeritkan.Yang Menanti,Irwan Sahrul (Me’on)