Segala puja dan puji milik Allah yang menghadiahkan kita dengan solat melalui Nabi-Nya semasa kembara Israk dan Mikraj. Selawat dan salam yang berkekalan daripada Allah buat kekasih-Nya, pendidik umat bertuah ini, juga buat keluarga, zuriat, sahabat dan umatnya hingga hujung kehidupan dunia ini.
Bersyukur kepada Allah dengan izin-Nya, Dia memberikan kesempatan buat pihak penerbit untuk menambah lagi koleksi bacaan berkualiti dengan terbitnya buku, Sahaja Aku Sembahyang. Buku ini menyasarkan kepada nilai kefahaman yang lebih mendasar terhadap solat dan inti pati penting dalam ibadah ini.
Kebanyakan kita mungkin beranggapan solat sebagai suatu bebanan dan tanggungjawab semata-mata yang mahu dilepaskan untuk mengelakkan diri daripada dosa. Sebaliknya, persepsi yang sebenar ialah solat merupakan sebuah hadiah yang paling berharga daripada Tuhan untuk kita bermunajat dengan-Nya.
Anas bin Malik r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w.: bersabda:
“Dijadikan penyejuk mata hatiku (sumber ketenanganku) dalam solat.” (Riwayat al-Nasa’i)
Sahabat menceritakan bahawa Rasulullah apabila berlaku sesuatu yang merungsingkannya, Baginda segera mendirikan solat.
Karya berharga ini diinspirasikan daripada ilmu penulis yang berkeahlian dalam bidang hadis, iaitu Ustaz Yusri Yusof yang sumber asalnya merupakan sebahagian hasil disertasi dan kajian di peringkat sarjana beliau dalam menghalusi erti dan inti sari solat.
Karya ini disokong dengan dalil daripada al-Quran dan hadis serta pandangan berwibawa ulama yang telah dimudahkan untuk bacaan umum. Hal solat ini sangat penting untuk difahami agar solat kita bukan hanya semata-mata pergerakan anggota badan yang zahir. Bahkan melangkaui kepada suatu amal yang bermakna dan bernilai maknawi dan spiritual. Inilah tuntutan yang disebut dalam al-Quran:
Ertinya: “Dirikanlah solat untuk kamu mengingatiKu. (Surah Thaha 14 :20)
Makna mengingati Allah termasuklah menjiwai makna zikir dan bacaan dalam solat.
Antara aspek yang ditekankan dalam penulisan ini meliputi:
- Menjelaskan pengertian solat, faedah dan kepentingannya bagi seorang Muslim.
- Menghalusi rukun-rukun solat dan kaifiat melaksanakannya.
- Menerangkan makna di sebalik bacaan dan zikir yang disyariatkan dalam solat.
- Membahaskan sebahagian solat terpilih seperti solat duha, solat rawatib dan sebagainya.
- Memberi solusi berkesan kepada beberapa permasalahan yang berlaku dalam masyarakat berkaitan solat seumpama waswas dalam solat, solat orang sakit, jamak dan lain-lain lagi.
Malah, buku ini sangat bermanfaat buat pembaca yang ingin:
- Memahami ibadah agung ini secara lebih halus dan mendasar.
- Mengetahui dalil dan sumber asas kepadasolat berdasarkan sunah dan kefahaman ulama berautoriti.
- Mengharmonikan kefahaman berdasarkan ilmu yang tuntas dan lebih bersikap lapang dada dan menghormati perbezaan pendapat.
- Meningkatkan penghayatan berkesan terhadap sunah Nabi dan zikir yang Nabi amalkan dalam solat.
- Menyebarluaskan manfaat buku ini dengan mewakafkan atau menghadiahkannya buat saudara dan teman agar berkekalan faedahnya.
Oleh itu, Telaga Biru Sdn. Bhd. mengharapkan semoga Allah menerima usaha serba sedikit ini di sisi-Nya dan dapat memberi pencerahan berhikmah kepada para pembaca dengan kefahaman yang hakiki. Seterusnya kami mengharapkan respons dan maklum balas serta teguran yang membina daripada para pembaca agar kami dapat meningkatkan kualiti persembahan dan bahan yang jauh lebih berkualiti pada masa hadapan.
Selamat membaca, berfikir dan beramal soleh.
Telaga Biru Sdn. Bhd.