Change

Pernahkah kita terfikir bagaimana untuk kita berdakwah dan mengubah seseorang kepada jalan kebaikan? Atau seseorang yang sentiasa kurang keyakinan diri menjadi seorang yang positif dalam hidup? Bolehkan seseorang itu berubah? Bolehkah kita mengubah seseorang? Kita di sini, bolehlah juga merujuk kepada ibu bapa, para guru, pendakwah, mentor dan sebagainya.

Sebenarnya menurut pakar psikologi, terdapat empat faktor utama yang mampu mengubah seseorang kepada sikap dan perilaku yang lebih positif atau ke arah perkara kebaikan. Kesemua faktor ini pula adalah saling berkait antara sama lain, dan merupakan kombinasi antara sikap dan keperluan seorang yang ingin membantu atau ‘helper’ dan juga orang yang ingin kita bantu (klien).

Berikut adalah empat perkara yang akan saya kongsikan bersama dengan turut disertakan panduan Al-Quran serta sirah nabawiyyah bagi manfaat kita bersama:

Pertama: Pendakwah atau Pembantu yang berkemahiran

Seorang ibu atau bapa, guru, pendakwah atau seorang teman yang bertanggungjawab yang ingin membantu orang lain, pelajar, pasangan atau teman mereka, perkara yang terpenting sekali ialah perlu melengkapkan diri dahulu dengan kemahiran tertentu. Tiada gunanya, jika niat di hati mulia, tapi kemahiran tiada. Silap-silap kita pula yang terpengaruh dengan orang yang ingin kita bantu.

Untuk meningkatkan potensi dalam mengubah seseorang, seseorang itu perlukan kemahiran tertentu sebagai contoh, bagi seorang ibu bapa mereka perlukan kemahiran keibubapaan. Ini boleh dipelajari daripada kursus keibupaan mahupun pembacaan buku-buku berkaitan tajuk yang sama.

Dengan semakin tinggi kemahiran, semakin cerah seseorang itu dapat membantu seseorang untuk mengubah diri mereka.

Sebagai contoh, pada artikel yang lepas-lepas pada majalah ini, ada dikongsi tentang tips keibubapaan bagi komunikasi dan interaksi dengan anak-anak seperti bagaimana untuk berkomunikasi dan memilih masa yang sesuai dalam menegur kesilapan anak-anak. Kesemua ini perlukan ilmu dan kemahiran yang tertentu.

Malah dalam Quran sendiri diajar bagaimana teknik dalam menasihati anak sebagaimana Allah merakamkan dialog antara Luqman Al-Hakim dan anaknya dalam surah Luqman ayat 13:

“Dan [ingatlah] ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan [Allah] sesungguhnya mempersekutukan [Allah] adalah benar-benar kezaliman yang besar”.

Lihatlah, Luqman tidak menghendik, menyindir atau membentak anaknya ketika mana beliau ingin mengajak anaknya kepada perkara kebaikan.

Kedua: Hubungan erat dengan klien

Aspek penting dalam menegur akan lebih semakin efektif apabila kita mempunyai hubungan yang erat dengan klien. Malah, jika kita sudah dapat memenangi kepercayaan mereka, jika sampai suatu keadaan yang memerlukan kita bertegas dan memarahi merekapun, itu juga dapat dilakukan dan diterima mereka dengan penuh kesedaran.

Ini berbeza jika tiada hubungan erat, atau kepercayaan masih lagi belum terbina antara kita dan klien, ketegasan dan kemarahan kita akan menjauhkan lagi dan merenggangkan hubungan antara kita. Bahkan, mungkin sampai bila-bila pandangan kita tidak diterima.

Suka juga diingatkan, bahawa hubungan yang erat ini jugak tidaklah mudah dapat dijalinkan. Ia memerlukan kemahiran yang tertentu bagi menarik perhatian lebih-lebih lagi klien yang sukar. Dengan itu, ia sangat berkait rapat dengan perkara yang pertama yang disebutkan tadi iaitu ‘helper’ yang berkemahiran. Semakin luas pengalaman dan kemahiran yang dimiliki, semakin mudahlah dapat dijalinkan hubungan antara keduanya.

Kita lihat sahaja bagaimana Baginda s.a.w. berinteraksi dengan seorang anak muda yang bernama Mu’az bin Jabal r.a. Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Baginda s.a.w. memegang tangan Mu’az bin Jabal, lalu bersabda: “Wahai Mu’az, Demi Allah, aku mencintaimu”. Lalu jawab Mu’az: “Demi ayahku dan ibuku, Demi Allah, aku juga mencintaimu, wahai Rasulullah”. Lalu Rasulullah bersabda: “Aku mewasiatkan kepadamu wahai Mu’az, supaya jangan meninggalkan doa ini setiap kali selepas solat:

“Ya Allah Ya Tuhanku, bantulah aku untuk sentiasa mengingati-Mu, sentiasa bersyukur kepada-Mu, dan sentiasa memperbaiki ibadahku kepada-Mu.” [Abu Daud]

Kita lihat sahaja bagaimana Baginda s.a.w. berinteraksi dengan Mu’az r.a. yang ketika itu masih muda. Baginda tahu bagaimana membina hubungan yang mesra bersama Mu’az, serta tahu bagaimana berkomunikasi dengan beliau. Nabi tidak langsung menasihati, tetapi memilih masa yang sesuai untuk berinteraksi, sambil menyentuh tangan dan menzahirkan rasa kasih Baginda, barulah dinasihatinya. Nasihat Baginda ini pula dilakukan secara cukup personal dan tidak di khalayak ramai.

Begitulah akhlak dan cara yang patut kita contohi.

Ketiga: Harapan serta Kepercayaan yang berterusan

Maksud harapan dan kepercayaan di sini ialah sebagai seorang yang ingin membantu tetap kekal percaya dan berharapan bahawa orang yang ingin didakwah atau diubah sikapnya, mampu berubah pada suatu hari nanti, walaupun si empunya diri sendiri tidak percaya yang beliau boleh berubah!

Ini bermakna, jika katakan seorang pelajar memberitahu kita bahawa beliau pasti akan gagal dalam pelajaran Matematik pada peperiksaan akhir tahun, kita sebagai seorang guru contohnya tetap yakin yang pelajarnya ini akan berjaya juga akhirnya, walaupun yang empunya sendiri tidak percaya dengan kemampuannya! Mengapa?

Ini kerana jika orang yang ingin membantu sendiri tidak percaya, bagaimana dia mampu mengubah seseorang. Ini juga akan membuatkan kita sendiri putus harap atau putus asa.

Untuk membantu kita memahami perkara ini, baik untuk kita merenung perjalanan sirah Nabi s.a.w.

Rasulullah s.a.w. sesekali tidak pernah menyingkirkan atau menyisihkan sesiapa yang mengingkari seruan yang dibawa Baginda. Malah berkat tidak putus asa Baginda s.a.w., mereka yang dahulunya memusuhi Rasulullah seperti Abu Sufyan dan isterinya Hindun, yang dahulunya sangat membenci Nabi s.a.w. akhirnya menganut agama Islam!

Begitu juga layanan Nabi terhadap penduduk Taif yang tegar menentang Rasulullah sehinggakan bukan sahaja seruan Nabi tidak didengari mereka, tetapi Baginda juga diludahi, dicerca dan dilontari dengan batu pula sehingga pecah-pecah kaki Nabi s.a.w.

Namun Rasulullah s.a.w. tidak sama sekali putus asa. Nabi tetap yakin dan berdoa bahawa pada suatu hari nanti bahawa mereka berubah dan beriman, dan benar sama sekali. Akhirnya kesemua penduduk Taif beriman, dan jika kita lihat pada hari ini, tiada satupun yang musyrik, kesemuanya beragama Islam.

Keempat: Sikap Yang Empunya Diri

Kadangkala sebagai manusia, kita merasa kecewa apabila segala usaha yang dicurahkan tidak membuahkan hasil, walaupun dengan kemahiran yang kita ada dan hubungan yang erat antara kita dan klien. Namun yang empunya diri tetap tidak mahu berubah. Rasa kecewa adalah lumrah buat seorang pendakwah. Lihat sahaja sejarah para anbiya’ sendiri. Ingat kisah dakwah Nabi Nuh a.s., Nabi Lut a.s., atau Nabi Ayub a.s., Nabi Ibrahim a.s. dan lain-lain? Ahli keluarga mereka sendiri juga tidak menerima dakwah mereka.

Bahkan paman yang dkasihi Baginda Nabi s.a.w. kita sendiri tidak menerima dakwah Baginda, walaupun membantu Baginda di sepanjang risalahnya dari segala onak dan ranjau. Baginda sendiri tersangat sedih apabila dakwahnya tidak menerima sambutan, namun Allah mengingatkan Baginda dalam Al-Quran bahawa menjadi lumrah pendakwah, hanya sedikit sahaja yang beriman berbanding yang lain, malah Baginda diingatkan bahawa para Nabi sebelumnya juga menempuh cabaran yang sama. Dan tugas Baginda hanyalah menyampaikan sahaja, adapun penerimaan ataupun perubahan sikap mereka adalah di luar kawalan Baginda s.a.w.

Ingatlah pesanan Allah:

“Engkau (Muhammad) tidak mampu memberi petunjuk kepada orang yang engkau cintai, tapi hanya Tuhanlah yang memberi petunjuk kepada yang dikehendaki.” (Al-Qasas 52).

Sebenarnya kita perlu ingat, segala yang kita lakukan merupakan satu usaha dan ikhtiar, akhirnya ia kembali kepada yang empunya diri untuk berubah mahupun tidak. Tidakkah Allah pernah berfirman:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka,” (Ar-Raad: 11).

Ingatlah, peluang merubah seseorang akan semakin tinggi dengan kemahiran yang dimiliki, hubungan yang erat serta kepercayaan dan rasa tidak putus asa serta optimis kita bahawa seseorang itu boleh berubah. Kesemua ini memainkan peranan dalam menambah peratusan seorang itu untuk berubah dan mengubah sikap yang lebih positif dan berjaya dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Yang penting kita mencuba, yang lainnya kita serahkan kepada Allah s.w.t.

Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 43, terbitan Telaga Biru, Malaysia.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s