Bersempena dengan ketibaan bulan Sya’ban ini, suka saya berkongsi pandangan saya tentang amalan yang biasa diamalkan oleh masyarakat Islam di rantau ini, iaitu bacaan tahlil dan Yasin ketika malam Nisfu Sya’ban.

Tidak kurang juga masjid-masjid yang menganjurkan pembacaan tahlil arwah beramai-ramai yang biasanya diadakan pada malam Jumaat atau kadangkala digabungkan sekali dengan upacara membaca Yasin sebanyak tiga kali ini.

Acara sebegini memang ditunggu-tunggu oleh sebahagian umat Islam, bagi acara tahlil arwah tahunan yang biasanya diadakan sebelum ketibaan Ramadan memang biasanya mendapat sambutan hangat.

Pada ruangan kali ini, izinkan saya berkongsi isu-isu dan respon saya dalam satu sesi bersama seorang jemaah masjid yang bertanyakan kepada saya tentang persoalan hukum, pendekatan dan pendirian yang sewajarnya kita lakukan dalam persoalan amalan pada malam Nisfu Sya’ban ini. Boleh atau tak boleh. Salah atau benar. Halal atau haram, dan adakah ia merupakan satu perkara yang diada-adakan dalam agama atau bid’ah?

Berikut adalah respon saya dalam sesi tersebut:

  1. Amalan Membaca Tahlil Arwah

Bacaan tahlil atau doa untuk arwah bukanlah hanya dibaca setahun sekali atau tiap malam Jumaat sahaja. Ia juga tidak terhad pada hari-hari tertentu.

Ia sepatutnya suatu perkara yang perlu kita lakukan sehari-harian. Oleh itu, pihak masjid atau individu tidaklah perlu menunggu sehingga malam Jumaat atau ketika majlis tahlil arwah beramai-ramai dalam bulan Sya’ban sempena ketibaan Ramadan.

Malah, jika pihak Masjid tidak mengadakan langsung majlis tahlil ini juga tidak menjadi satu kesalahan, kerana ia bukannya satu perkara yang menjadi satu kewajipan untuk dilaksanakan.

Namun pada masa yang sama, tiada salahnya jika majlis tersebut dianjurkan oleh masjid, kerana ia merupakan satu peringatan dari semasa ke semasa untuk kita mengingati orang yang sudah tiada dan mendoakan mereka.

Ini bertepatan dengan hadith Nabi: “Jika mati anak Adam, terputus segala amalan kecuali 3 perkara: Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan Doa anak lelaki yang soleh”. [Muslim]

Menurut para ulama maksud anak lelaki di sini juga meliputi anak perempuan yang solehah.

Kadangkala acara sebegini menjadi satu wadah untuk mengumpulkan keluarga dan adik beradik bagi mengingati kedua ibu bapa kita, dan supaya kita tidak lupa membacakan ayat-ayat suci Al-Quran atau zikrullah serta mendoakan kesejahteraan dan pengampunan kedua ibu bapa yang masih ada atau yang sudah meninggalkan kita.

  1. Hukum Amalan Membaca Yasin

Amalan membaca Yasin sebanyak 3 kali dengan niat-niat yang berbeza sempena ketibaan malam nisfu Sya’ban bukanlah satu perkara yang warid daripada sunnah. Maksudnya ia tidak pernah dilakukan oleh Baginda Rasulullah. Tetapi ia hanya merupakan amalan yang dilakukan oleh para ulama terdahulu yang diteruskan oleh generasi kini.

Namun, dalam keharusan melakukan perkara yang tidak pernah dibuat oleh Baginda juga merupakan satu perkara yang menjadi perselisihan pendapat para ulama. Ini semuanya berpunca daripada penafsiran kekata bid’ah. Ada yang menyatakan jika perkara tersebut walaupun tidak pernah dibuat Baginda tetapi bertepatan dengan prinsip sunnah, maka ia tidak mengapa dilakukan. Sebagai contoh membaca surah-surah dalam Quran seperti Surah Yasin adalah perkara yang dianjurkan oleh sunnah secara umum.

Perlu ditekankan, yang penting kita menghormati kepelbagaian pendapat. Bagi sesiapa yang berpendapat ia bid’ah. Kita perlu menghormati pandangan mereka, kerana pendapat tersebut juga mempunyai hujjah yang tersendiri.

Kita tidak boleh kata, pendapat kita sahaja yang betul, orang lain semua salah, ini boleh menimbulkan perpecahan sesama ummah dan semestinya bukan perkara yang dianjurkan oleh sunnah!

Oleh kerana bacaan Yasin 3 kali ini tidak warid (tiada asal) daripada sunnah (amalan Nabi), maka tidak menjadi kesalahan jika Imam masjid membaca Yasin sekali sahaja atau kita baca surah selain daripada Yasin. Atau tidak dibaca langsung pada malam nisfu Sya’ban tetapi dibaca pada keesokan harinya.

Begitu juga tiada salahnya membaca Yasin sebanyak 3 kali, kerana tidak kira apa sahaja surah yang dibaca tertulis ganjaran pada sesiapa yang membacanya. Tidakkah setiap huruf Al-Quran padanya ganjaran pahala tertentu seperti yang disabdakan Nabi s.a.w.: “Siapa yang membaca satu huruf dari Kitab Allah, ia akan mendapatkan satu kebaikan yang nilainya sama dengan 10 kali ganjaran. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, dan Mim satu huruf.” [Tirmidzi]

Apatah lagi jika kita mengulangi surah sepanjang surah Yasin sebanyak 3 kali?

Apapun, yang paling penting amalan membaca Quran ini tidak hanya terhenti setakat pada malam nisfu Sya’ban sahaja, tetapi juga seharusnya perlu berlanjutan pada bulan-bulan yang lain juga.

  1. Amalan Lain Bulan Sya’ban

Terdapat banyak hadith-hadith yang menceritakan tentang fadhilat bulan Sya’ban, namun kebanyakannya bersumber daripada hadith yang dhaif atau lemah malah tidak kurang juga terdapat wadis-hadis palsu yang membicarakan hal ini. Tetapi jangan salah faham, terdapat juga pandangan ulama yang menyatakan hadith dhaif – dengan syarat tidak terlalu dhaif atau lemah (contoh hadis palsu atau dari perawi yang dituduh pendusta –  juga boleh dijadikan hujjah tetapi hanya pada perkara fadhail a’mal atau amalan-amalan yang baik dilakukan.

Pada masa yang sama, suka saya tekankan bahawa walaupun terdapat banyak hadis dhaif atau maudhu’ (palsu) yang membincangkan tentang kelebihan malam Nisfu Sya’ban, terdapat juga beberapa hadis berstatus sahih seperti hadis dari Abu Musa Al-Asy’ari r.a. yang diriwayatkan Imam Ibnu Majah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah akan turun pada malam Nisfu Sya’ban dan diampuni dosa kesemua makhluk-Nya kecuali orang-orang yang musyrik atau munafik.”

Apapun para ulama bersetuju bahawa terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan pada bulan Sya’ban sebagai satu ‘warm up’ atau persediaan kepada kita untuk memperbanyakkan amalan sebelum ketibaan Ramadan. Kesemua amalan ini pula tidak diragui lagi fadhilatnya atau terdapat perselisihan padanya.

Antara amalan-amalan lain yang baik dilakukan dalam bulan ini ialah:

  • 
Berpuasa

Baginda dikatakan paling banyak berpuasa pada bulan Sya’ban berbanding lain-lain bulan seperti yang diriwayatkan dari Aisyah r.a. yang bermaksud:

“Aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat beliau paling banyak berpuasa sebagaimana Baginda berpuasa di bulan Sya’ban”. [Bukhari dan Muslim]

  • Memperbanyakkan zikir dan doa.

Hendaklah kita perbanyakkan ingatan kita pada Allah dan juga doa kepadanya. Bukan hanya kita sibuk doakan untuk orang yang sudah tiada tetapi diri kita sendiri dilupakan.

  • Bertaubat dan beristighfar.

Sebaiknya kita banyakkan bertaubat dan beristighfar pada Allah agar kita bertemu dengan bulan Ramadan dalam keadaan yang suci lagi bersih.

Melangkah ke hadapan, saya menjelaskan kepadanya, usahlah kita cepat menghukum seseorang itu sebagai sesat atau tidak mengikut sunnah.

Bagi yang ingin mengamalkan amalan nisfu Sya’ban ini teruskanlah, bagi yang tidak bersetuju juga tiada halangan. Teruskan dengan pendapat dan hujjah yg kita tenang padanya dan menghormati serta meraikan pendapat yg berbeza dgn kita.

Ini kerana berbeza pendapat itu adalah khilaf, tapi mengekalkan ukhuwwah itu adalah wajib dan disepakati ulama.

Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 38, terbitan Telaga Biru, Malaysia.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s