Pejam celik Ramadan kini menjelma kembali. Pasti masjid-masjid kini dipenuhi masyarakat Islam yang giat beribadah bagi mengambil kesempatan daripada keberkatan bulan ini. Bagaimana pula dengan kita? Bagaimana dapat kita mengoptimumkan seberapa boleh Ramadan kali ini agar ia merupakan yang terbaik buat kita.
Dalam hal ini, saya pernah diminta dalam satu sesi untuk membincangkan perkara-perkara yang boleh kita lakukan dalam menyambut ketibaan bulan yang penuh berkah ini. Untuk sekalian pembaca al-Ustaz, saya kongsikan bersama beberapa isi kandungan penting perkongsian saya ini:
Pertama: Membuat Evaluasi dan Muhasabah Peribadi
Sebelum kita melangkah lebih jauh, cuba tanya diri kita beberapa soalan berikut sebagai satu muhasabah diri:
Bagaimana prestasi Ramadan kita pada tahun lalu? Jika kita meletakkan skala 1 hingga 10, dengan 10 sebagai paling cemerlang. Berapakah pula skala kita?
Sudahkan kita selesai mengqadha puasa yang masih tertunggak pada tahun yang lalu? Bagi seorang wanita dewasa, pastinya mempunyai sekurang-kurangnya 7 hari puasa yang perlu diqadhakan bagi keuzuran syarie, ini belum termasuk bagi wanita yang tidak dapat berpuasa atas sebab hamil.
Kita juga perlu bertanya pada diri sendiri, apakah erti Ramadan bagi diri kita? Adakah Ramadan hanya sekadar bulan untuk berpuasa sahaja? Atau ia juga merupakan bulan untuk kita beramal , bulan yang mendidik kita erti kesabaran dan merupakan bulan pengampunan?
Kadangkala kita sedar erti Ramadan sebagai bulan yang penuh rahmah, pengampunan dan pembebas dari api neraka, namun pada akhir-akhir Ramadan apabila menjelang Syawal, sedikit demi sedikit kita mula terleka dengan persiapan bagi berhari raya, sehingga kualiti ibadah kita menurun, sedangkan ia sepatutnya semakin meningkat apabila Ramadan semakin meninggalkan kita.
Kedua: Membentuk puasa yang berkualiti
Selepas kita bermuhasabah, pastinya kita tidak ingin perkara yang sama pada tahun lalu berulang lagi pada Ramadan kali ini. Perkara seterusnya yang wajar kita pertingkatkan ialah meningkatkan kualiti puasa kita pada tahun ini agar lebih baik dari tahun yang lalu.
Dalam membentuk puasa yang berkualiti, selain dari menahan diri dari lapar dan dahaga, kita juga perlu menjaga anggota tubuh badan kita dari melakukan perkara yang dilarang. Ini agar kita tidak jatuh dari apa yang disebut Nabi dalam hadis yang bermaksud: “Berapa ramai orang yang berpuasa, namun tidak didapatkan dari puasanya itu kecuali lapar dan dahaga.” [Tirmidzi]
Jika saya dapat rumuskan dan berikan contoh anggota yang perlu kita pelihara adalah seperti berikut:
- Memelihara mata atau pandangan.
Ini termasuk merendahkan penglihatan kita dari melihat sesuatu yang dilarang Allah seperti melihat wanita lebih dari sekali yakni dengan tujuan yang tidak sepatutnya. Dalam hal ini, jika ia berlaku terhadap wanita yang melihat lelaki sehingga memberahikan dirinya, ia juga sesuatu yang dilarang. Malah, jika sesama jenis juga dilarang jika ia sampai kepada peringkat membawa keghairahan kepada diri.
- Memelihara lidah.
Menjaga lidah kita dari mencela, mengata, mengumpat, mengadu domba mahupun sehingga ke tahap memfitnah.
Jika kita tidak pasti apa yang ingin dibualkan, maka sebaiknya, kita berdiam diri sahaja agar dapat mengurangkan risiko bercakap perkara yang tidak berfaedah dan mengelakkan dari risiko dosa yang tidak sepatutnya. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau berdiam”. [Bukhari dan Muslim]
- Memelihara pendengaran.
Bukan sahaja kita dilarang dari mencela mahupun mengumpat, malah turut sama mendengar umpatan juga merupakan sesuatu yang dilarang.
- Memelihara hati
Menurut Imam Ghazali dalam mencapai darjat puasa yang tertinggi seseorang itu bukan sahaja perlu menjaga anggota tubuh badannya, tetapi juga perlu menjaga hati mereka dan mengelakkan daripada sentiasa mengingatkan perkara-perkara yang bersangkutan dengan dunia yang boleh melalaikan diri kita dari Allah.
Sebaliknya, hendaklah hati sentiasa dididik merasa bimbang dan khuatir puasa kita tidak diterima Allah. Dengan itu kita perlu sentiasa berharap agar Allah menerima puasa kita dan diberikan ganjaran.
Ketiga: Memperbaiki Hubungan Antara Kita dan Allah
Langkah seterusnya ialah dengan menggiatkan ibadah kita dan mendekatkan diri kita dengan Allah. Terdapat beberapa perkara yang boleh kita lakukan di kesempatan Ramadan ini, bulan yang menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Antara perkara yang boleh kita lakukan ialah:
- Membaca dan menghayati (tadabbur) Al-Quran.
Ini boleh dilakukan dengan bertilawah (membaca) atau bertadarus (membaca berdua atau lebih dengan seorang membaca, yang lain mendengar dan mneyemak bacaan teman). Bagi memberi nilai tambah pada ibadah kita, pastikan kita bukan setakat membaca tetapi menghayati apa yang dibaca. Ini dapat dilakukan dengan melihat terjemahan dan merenung isi kandungan yang dibaca. Usah sibuk nak khatamkan hingga tidak sempat kita bertadabbur isi kandungan Quran. Namun, jika dapat khatamkan sekali, maka itu dianggap sebagai satu bonus!
- Memperbanyakkan Istighfar.
Bulan Ramadan juga bulan yang kita digalakkan meminta pengampunan pada Allah. Jika Nabi Muhammad s.a.w. diriwayatkan satu hari sehingga 70 hingga 100 kali beristighfar pada Allah, mengapa tidak kita?
- Memperbanyakkan bersedekah.
Ambil juga kesempatan untuk membanyakkan sedekah dan infaq kepada mereka yang memerlukan. Mulakanlah dahulu dengan kaum kerabat terdekat yang memerlukan, iaitu ibu bapa, mertua, adik beradik dan sebagainya. Selepas itu, jika ada kelebihan baharulah disumbangkan kepada orang lain atau institusi lain. Inilah dia ajaran yang dianjurkan oleh agama kita.
- Menghidupkan malam atau Qiyamullail.
Menurut para ulama, sebaik sahaja masuk waktu Maghrib ianya sudahpun dikira sebagai Qiyamullail. Dengan ini ibadah-ibadah selepas itu seperti mendirikan solat sunnah rawatib Maghrib, membaca Quran dan solat-solat sunnah yang lain sudah dianggap sebagai menghidupkan malam atau Qiyamullail. Semakin besar pula ganjaran apabila ibadah yang didirikan pada lewat malam atau dinihari seperti solat tahajjud dan juga witir.
- Jangan lupa bersolat!
Dalam kita giat beribadah, usah pula dilupa solat Fardu lima waktu yang wajib kita dirikan setiap hari.
Ramai orang puasa sebulan tiada masalah. Tapi solat 5 waktu boleh terlepas. Bagaimana tu? Maka jagalah solat kita dan jadikanlah prioriti kita no 1 sebelum kita lakukan ibadah-ibadah yang lain.
Keempat: Melakukan Segala Perbuatan Hanya kerana Allah
Amalan bukan hanya dengan solat atau amalan ibadah ritual sahaja, banyak sebenarnya amalan kerja seharian kita yang kita jika dilakukan bagi mengharapkan keredhaan Allah juga mampu memperolehi ganjaran Allah, antaranya:
- Melakukan kerja pejabat dengan tekun.
Hakikatnya memang sewajarnya begitulah, lebih-lebih lagi bagi mereka yang bekerja dengan majikan yang bukan Islam agar usah dilihat puasa sebagai sebab kelemahan umat Islam. Usah sekali biarkan puasa melemahkan kita. Malahan, pastikan kualiti kerja kerja kita tetap sama. Lantaran itu, bersahur lah, kerana bersahur itu memberi kita keberkatan selain tenaga untuk mereka yang berpuasa. Sabda Rasulullah: “Bersahurlah kerana sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkahan.” [Bukhari]
- Mengulangkaji pelajaran sekolah
Bagi pelajar pun serupa juga, teruskan ulangkaji pelaran. Jika Nabi Muhammad dan sahabat boleh berjihad dan berperang semasa Ramadan. Takkan membaca buku pun kita lemah dan tidak bermaya?
- Tolong menolong antara suami isteri.
Ini juga merupakan peluang untuk kita meraih pahala. Asal sahaja niat kita untuk kebaikan dan kesejahteraan rumahtangga serta mengharapkan keredaan Allah. Maka pertolongan sekecil-kecil seperti mengemas rumah bagi persiapan Syawal juga mampu memperolehi ganjaran pahala dari Allah.
- Melakukan ihsan antara ibu bapa
Ini juga usah dilupakan. Bagi yang sudah berkahwin tu, singgahlah seminggu sekali paling kurang. Iftar bersama-sama dengan ibu bapa. Bila ibu bapa kita gembira, maka itu sudah dikira ihsan kepada kedua ibu bapa dan mampu mendapat pahala juga.
- Berkongsi juadah dengan jiran
Bila masak sesuatu sempena berbuka, usahlah dilupa jiran di sebelah, kerana berbuat baik dengan jiran juga merupakan sunnah yang dianjurkan Nabi s.a.w. Jadi, ayuh kita mengasihi jiran kita. Ini yang dikatakan pepatah, ‘Orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa.’
- Melakukan kerja kemasyarakatan.
Banyak yang boleh dilakukan dari perkara yang paling mudah seperti paku di tepi jalan, mengangkat sampah melata di hadapan mata sehinggalah membuat kena amal kemasyarakatan membantu orang-orang yang sudah dan memerlukan. Kesemuanya merupakan amalan yang terpuji dan bakal memperolehi rahmat dan kasih dari-Nya.
Akhir kata, semoga ibadah puasa kita nanti diterima Allah hendaknya dan Ramadan kali ini lebih baik dari Ramadan tahun lalu. Amin!
Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 39, terbitan Telaga Biru, Malaysia.