Sebenarnya saya terpanggil untuk menyentuh isu ini apabila melihat ramai ibu-ibu muda khususnya yang bertudung, tetapi membiarkan anak-anak kecil mereka yang berusia 8-9 tahun atau lebih besar tidak memakai tudung. Sayang rasanya…
Mengapa saya rasa ‘sayang’ dan rugi? Kerana pertama, ibu merupakan contoh terbaik dan dilihat oleh anak-anak pada setiap masa. Kedua, usia kecil merupakan waktu yang paling mudah untuk kita mentarbiyah atau membiasakan mereka dengan bertudung dan mematuhi perintah agama. Ini berbeza dengan isu di mana si ‘ibu’ hanya bertudung lewat usia mereka, dan anak pada masa itu pula sudahpun berusia belasan tahun. Maka pastinya, ianya lebih sukar dan sulit, kerana si anak sudah terbiasa dan terbudaya untuk tidak bertudung sejak dari kecil.
Pada masa yang sama, timbul persoalan jika anak-anak dididik dari kecil bertudung (atau dipaksa), maka apabila besar nanti mereka akan memberontak dan buka tudung. Saya pernah ajukan isu ini di facebook page abahyasir.com dan berikut adalah komentar para pembaca:
“…memang bgs di didik dr kecil tp kalau da besar anak tu terasa selama ni dia terpaksa then she start to rebel pun susah..”
“Ust, ramai juga (dr pengalaman saya) yg dari kecil dididik pkai hejab. tetapi meningkat usia remaja, mrk buka tudung sebab merasa terpaksa.”
“apa hukumnya jika diberi anak yg kecil pakai tudung juga walaupun suami tak izinkan? mungkin di pihak suami, dia tak suka nanti besar anak saya akan on/off tudung seperti setengah-setengah org.”
Bagi saya seperti mana solat, memakai tudung juga perlu dibudayakan dan dibiasakan sejak dari kecil lagi bagi persediaan apabila tiba usia baligh kelak. Tidakkah peluang mereka untuk kekal bertudung adalah lebih besar, jika mereka dibudayakan sejak dari kecil berbanding dengan sebaliknya?
Pada masa yang sama, bukankah tanggungjawab kita untuk mendidik mereka dan membesarkan mereka dengan tuntutan agama?
Selebihnya sama ada mereka kekal bertudung atau tidak, ianya sudah menjadi tanggungjawab antara anak-anak tersebut dengan Allah s.w.t. Kegagalan mendidik anak-anak dalam mematuhi perintah Allah, membuatkan para ibu bapa akan dipertanggungjawabkan juga pada hari akhirat nanti. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka, yang bahan bakarnya dari manusia dan batu, penjaganya malaikat yang kasar, keras, lagi tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”. [At-Tahrim: 6]
Timbul pula satu isu, kekhuatiran ini adalah akibat kerana anak-anak ‘dipaksa bertudung’. Mengapa pula perlu dipaksa? Mungkin isu ini perlu dilihat tentang bagaimana implementasi pemakaian tudung tersebut dilakukan.
Sebelum saya coretkan pandangan saya ini, mungkin timbul pula kenyataan…bagaimana pula jika kita sudah mendidik anak-anak perempuan kita sejak kecil, adakah ia akan menjamin anak-anak kita untuk terus kekal bertudung sehingga dewasa?
Terus terang, tiada siapa yang dapat meramalnya. Kita hanya mampu mendidik dan berikan persekitaran yang sihat, namun keputusan sama ada ia kekal atau tidak bertudung kembali pada yang empunya diri. Sekurang-kurangnya mereka tidak boleh mendakwa di akhirat kelak, bahawa kita tidak mengajarnya.
Kembali kepada soal implementasi tudung, sebenarnya terdapat beberapa perkara yang perlu kita tanamkan pada diri anak-anak sejak dari kecil, bukan setakat hanya suruh anak kita bertudung. Antaranya ialah:
1. Sikap malu.
Ini perkara yang paling penting. Anak-anak tidak kira lelaki ataupun perempuan perlu diterapkan sifat malu pada diri sejak dari usia kecil lagi. Pastinya perkara ini bermula dari sikap ibu bapa juga. Kalau ibu bapa sendiri tidak mempunyai perasaan malu, bagaimana kita hendak mengajar anak-anak kita erti malu?
Perkara ini termasuklah penerapan sikap malu ketika mandi, keluar dari bilik air dan sebagainya. Pastikan anak-anak tidak berlengging tanpa tuala pada setiap masa sebagai contoh. Ibu bapa perlu bersikap tegas dalam hal ini bagi mendidik sikap malu pada diri anak.
Sikap sebegini pada anak memang perlu, agar anak-anak mendapat mesej yang jelas bahawa perbuatan tersebut memang tidak dapat diterima, dan seterusnya menjadi kebiasaan pada diri mereka untuk mempunyai sikap malu pada setiap ketika.
(Bersambung)
Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 18, terbitan Telaga Biru, Malaysia.
Benar.. idola anak tentulah ibu mereka
Apa saja yg si ibu buat pasti akan mereka
Ikut…