Dalam hubungan antara keluarga pastinya tidak sepi dari rasa terguris hati, kecewa atau hampa, ianya pasti ada pasang surutnya. Maklum sahajalah, sebagai satu keluarga dan ditambah jika kita tinggal serumah pula, perbalahan antara keluarga ada kalanya tidak dapat kita elakkan.
Namun, bagaimana pula jika perbalahan atau krisis yang kita hadapi merupakan isu yang rumit dan besar, serta membabitkan antara si anak dengan ibu bapa?
Sebagai contoh, si anak telah melakukan sesuatu yang sangat mengguriskan perasaan ibu atau bapa, sehingga ibu atau bapa menghalau anaknya keluar dari rumah kerana tersangat marah dan meluahkan kata ‘kau bukan anak aku lagi’!
Sebenarnya saya terdetik untuk berkongsi permasalahan ini kerana ia membabitkan satu kisah yang memang benar-benar terjadi, iaitu seorang anak yang telah dihalau oleh bapanya.
Si anak bertanya kepada saya, bagaimana beliau dapat memperbaiki kesalahannya yang telah lalu dan seterusnya memenangi semula hati bapanya?
Berdasarkan apa yang beliau coretkan, dapat saya gambarkan dan simpulkan bahawa si anak berkemungkinan telah melakukan suatu perkara yang sangat mengguris hati dan perasaan si bapa sehingga membuatkan bapanya melafazkan kekata demikian.
Sebenarnya bukan mudah untuk memenangi hati orang tua yang sudah berkecil hati dengan anak sendiri. Namun sebagai permulaan, suka saya mencadangkan beberapa tindakan dan sedikit huraian dari segi sikap dan perkara yang boleh dilakukan bagi memenangi hati bapanya. Antara perkara tersebut ialah:
1.Usah berkecil hati
Pertama sekali sebagai permulaan, sebagai seorang anak kita perlu ubah mentaliti dan sikap pendekatan kita terhadap ibu bapa. Tidak perlu sama sekali wujud perasaan kecil hati dengan seorang ibu atau bapa, tidak kiralah sejauh mana dan sedalam mana silap dan salah kedua orang tua terhadap kita.
Bagaimana mungkin kita perlu marah, kecewa atau berperang dingin dengan orang yang selama ini membesarkan kita? Walau macam mana kecewa kita sekalipun mereka tetap ibu dan bapa kita.
Apa yang perlu ialah, jika mereka tersilap, anggaplah itu sebagai kelemahan mereka. Maafkanlah mereka. Tegurlah dengan cara yang penuh dengan hikmah dan santun. Berlembutlah dengan mereka. Ingatlah, kedua ibu bapa kita ini bukanlah teman atau kawan kita atau adik beradik kita, mereka ini adalah ibu dan bapa kita sendiri.
2. Mendoakan mereka.
Berdoa dan terus berdoalah agar dilembutkan hati kedua orang tua untuk menerima kita kembali. Pintalah agar dibukakan hati mereka. Ingatlah Allah itu Maha Mendengar. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud:
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang mendoakan apabila ia berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” [Al baqarah: 186]
Malah banyak doa yang warid yang diajarkan oleh Allah yang boleh kita amalkan seperti:
“Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik daku pada waktu kecil.” [Al-Israa: 24]
Atau seperti yang termaktub dalam surah Al-Ahqaaf ayat 15 yang bermaksud:
“Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku, dan agar aku dapat berbuat kebajikan yang Engkau redhai, dan berilah aku kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucuku. Sungguh aku bertaubat kepada-Mu dan sungguh aku termasuk orang Muslim.
Selain dari itu, kita juga boleh pinta kepada Allah segala apa yang terbuku di hati kita, seperti hasrat kita untuk kembali berbakti kepada keduanya, untuk menjadi anak yang soleh kepada kedua orang tua dan sebagainya.
Mudah-mudahan dengan niat kita yang suci, dan doa kita yang tidak pernah putus-putus, Allah akan buka hati ibu atau bapa kita untuk menerima kita kembali seadanya.
3.Bertanya khabar
Jika khuatir bahawa si bapa masih lagi marah, sebagai langkah permulaan untuk berbaik-baik semula, bolehlah bertanya khabar dan sampaikan salam melalui ibu atau adik beradik. Sekurang-kurangnya ini sebagai satu tanda yang kita masih lagi prihatin dengan bapa dan keluarga.
Boleh nyatakan juga penyesalan kita dengan kesilapan terdahulu dan hasrat untuk kembali menziarahi bapa dan meminta maaf, jika bapa sanggup menerima kepulangan kita.
Andai kata kita sudah bekerja, teruskanlah amalan yang biasa dilakukan sebelum keluar rumah dahulu seperti memberi sedikit sumbangan wang saku bulanan untuk kedua ibu bapa.
Jika ia merupakan amalan yang belum pernah dilakukan, sekaranglah masa yang terbaik untuk kita mulakan. Ini sekurang-kurangnya sebagai tanda kematangan kita dan keinsafan kita dalam berbakti kepada kedua orang tua.
Ini juga salah salah satu daripada langkah-langkah dalam berlaku ihsan dengan kedua ibu bapa, ini menjadi lebih penting khususnya bagi ibu bapa yang sudah tua dan tidak bekerja.
Ingatlah, bukan wang yang menjadi persoalan di sini, tetapi tanda ingatan dan kasih sayang kita kepada keduanya. Hasrat untuk menggembirakan dan berbakti kepada mereka itulah yang sewajarnya menjadi titik mula kita dalam mendekatkan lagi hubungan dengan kedua ibu bapa, di samping memperolehi keberkatan dalam dalam segala rezeki yang diterima.
4. Menziarahi dan meminta maaf
Setelah kesemua perkara tadi telah dilakukan, maka barulah dilakukan langkah yang terakhir iaitu menziarahi bapa dan meminta maaf darinya.
Langkah ini bergantung kepada sejauh mana bapa serius dan dalamnya kekecewaan bapa.
Bagi mengenal pasti tahap perasaan bapa sama ada beliau sudah bersedia untuk menerima atau tidak, bolehlah dapatkan gambaran dari adik beradik atau ibu anda. Andai kata marahnya masih berterusan dan masih lagi membara, tahanlah dahulu hasrat kit untuk menziarahinya, biarkanlah ia reda dan berlalu masa buat seketika. Namun teruskanlah usaha dan langkah perkara 1 hingga 3 seperti yang disebutkan tadi.
Namun ingatlah, sedalam manapun perasaan marah seorang bapa itu, kadangkala sebenarnya masih wujud perasaan kasih dan sayangnya pada kita, cuma barangkali ianya tidak ditonjolkan, begitu juga kesediaannya untuk berjumpa dengan kita, cuma kadangkala ia dinampakkan. Dalam hal ini si anak perlu memahami ego seorang bapa.
Pandangan saya, jika perasaan marahnya masih membara dan tiada tanda beliau masih dapat menerima kita, tunggulah beberapa bulan dan pilihlah saat yang paling sesuai. Ramadan mungkin bulan yang paling baik dan mustajab untuk kita berdoa dan beramal, dan mungkin Syawal kelak adalah masa yang sesuai untuk si anak menziarahi dan meminta maaf dari bapa.
5. Berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan lalu
Perkara terakhir dan yang paling penting ialah sebagai anak ialah cuba mentaati ibu dan bapa sebaik mungkin dan berusaha sedapat mungkin untuk tidak mengulangi kesilapan lalu, dan apa sahaja perkara yang tidak disenangi ibu dan bapa, dan dalam senario sekarang ini ayah kita.
Ingatlah setiap kali kita melakukan sesuatu perkara yang tidak disenangi kedua ibu bapa bererti kita telah menderhakai mereka dan ia merupakan satu dosa yang sangat besar.
Dengan usia yang semakin dewasa dan bertambah matang, serta umur kedua orang tua pula semakin berusia dan lanjut, sewajarnya juga ia menjadi pendorong untuk seseorang itu mengubah sikap dari melakukan sesuatu yang mendukacitakan ibu bapa kepada suatu perkara yang menyenangkan dan menggembirakan hati mereka.
Ketahuilah, tiada suatu yang lebih mulia sebagai anak dari melakukan sesuatu yang menyenangkan hati kedua ibu bapa kita, dan mudah-mudahan kita termasuk dari kalangan anak yang sedemikian, anak yang soleh. Anak yang sentiasa berlaku ihsan kepada kedua ibu bapa kita.
Cubalah langkah-langkah yang disebutkan ini, mudah-mudahan usaha si anak tersebut berjaya. Amin.
Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 24, terbitan Telaga Biru, Malaysia.