Image

Soalan:

Saya seorang lelaki sudah berumah tangga 25-30 tahun. Tujuh tahun lalu saya berkenalan dengan seorang perempuan tetapi kami putus hubungan. Wanita itu sudah bersumah tangga tetapi tiada anak.

Kami telah berjumpa semula hampir setahun dan sayang satu sama lain. Kami mahu bernikah tetapi wanita itu masih bersuami. Suaminya dihukum penjara tujuh tahun kerana kesalahan dadah. Beliau sudah di dalam penjara dua tahun.

Bolehkah kami bernikah kerana kami tidak mahu berdosa. Sejak suaminya masuk penjara hingga kini tiada satu pun daripada keluarganya atau suaminya memberi pertolongan kapadanya. Saya yang menjaga dia makan, minium, sakit, wang bulanan dan pakaian dan lain-lain.

Ada orang memberi pandangan mereka sudah jatuh talak karana hampir 2 tahun tak ada yang pertolong dari keluarga suami itu kepada isterinya.”

Jawapan:

Membantu sesama saudara seislam atas dasar kasih sayang merupakan sesuatu yang sangat terpuji dan bertepatan dengan anjuran agama. Seruan ini banyak sekali dianjurkan dalam Al-Quran mahupun dalam hadis-hadis Nabi s.a.w.

Firman Allah s.w.t.

“…Dan saling tolong menolonglah kalian dalam kebaikan dan takwa dan janganlah kalian saling tolong menolong dalam dosa dan permusuhan…”. [Al-Maidah: 2]

Sabda Rasulullah s.a.w.

“Perumpamaan orang Islam yang saling mengasihi dan mencintai satu sama lain adalah ibarat satu tubuh,Jika salah satu anggota tubuh merasa sakit, maka seluruh tubuh akan ikut merasa sakit.” Hadis riwayat Imam Bukhari.

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:

“Seorang Muslim adalah saudara bagi sesama Muslim lainnya. Tidak boleh menganiaya ataupun membiarkan dianiaya. Barangsiapa memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluan dirinya. Barangsiapa yang mempermudahkan kesukarannya, maka Allah akan mempermudahkan kesukarannya di hari Kiamat. Barangsiapa menutupi aibnya, maka Allah akan menutupi aibnya di hari Kiamat.” Hadis riwayat Imam Bukhari.

Batasan Dalam Membantu Wanita Yang Merupakan Isteri Orang

Membantu sesama saudara seislam yang memerlukan merupakan suatu perkara yang sangat terpuji, namun memandangkan dalam kes saudara ini ia melibatkan hubungan dengan wanita yang bukan mahram, maka ia mempunyai banyak pertimbangan yang perlu diperhatikan.

Pertama sekali dari sudut batasan hubungan antara saudara dan wanita tersebut, lebih-lebih lagi kerana beliau masih lagi isteri kepada seseorang. Melalui kenyataan saudara, bahawa saudara menjaga makan, minum, wang bulanan, pakaian dan lain-lain. Maka saya dapat menjangkakan bantuan-bantuan ini memerlukan interaksi yang kerap antara anda berdua, lebih-lebih lagi saudara sendiri mengakui antara saudara dan wanita tersebut punyai perasaan kasih antara satu sama lain.

Mungkin saya silap dan ia hanya merupakan sangkaan saya. Namun, andai kata sangkaan saya ini benar. Maka saudara perlu memikirkan sesuatu jika ingin terus memberikan bantuan kepada wanita tersebut, antaranya ialah dengan mendapatkan seorang yang boleh dipercayai seperti ibu bapa atau adik beradik wanita tersebut sebagai orang tengah dalam memberikan bantuan kepada wanita tersebut. Ini bertepatan dengan anjuran Baginda s.a.w. yang bermaksud:

“Janganlah seorang lelaki dan seorang wanita berdua-duaan bersama melainkan jika ditemani oleh mahramnya.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Bagi bantuan berbentuk wang tunai, saudara boleh langsung melakukan ‘bank transfer’ secara dalam talian sebagai contoh. Dan jika tiada jalan lain selain perlu berjumpa, dapatkanlah seorang yang boleh dipercayai bagi menemani saudara, atau diadakan pertemuan di rumah kedua ibu bapa wanita tersebut seperti yang disebutkan tadi.

Dengan cara ini, ia dapat mengurangkan fitnah antara anda berdua, dan lebih penting lagi dapat mengurangkan interaksi yang tidak perlu yang boleh membawa kepada hubungan yang lebih intim dan dilarang agama. Ini sesuai dengan ingatan Baginda s.a.w. yang bermaksud:

“Janganlah seorang lelaki dan seorang wanita berdua-duaan bersama kerana syaitan akan hadir sebagai orang ketiga.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Melalui soalan saudara juga, disebutkan bahawa wanita tersebut masih belum mempunyai cahaya mata, cuma tidak disebutkan sama ada beliau bekerja atau tidak.

Merujuk Kepada Pihak Berwenang Bagi Khidmat Bantuan

Andai kata beliau bekerja, saya kira dengan pendapatan yang rendah sekalipun sekurang-kurangnya ia masih mampu membiayai makan minum seharian, selain keperluan perubatan dari semasa ke semasa dan perbelanjaan yang sederhana bagi membeli pakaian sendiri, ini kerana beliau tidak mempunyai tanggungan lain selain dirinya sendiri.

Sebagai alternatif lain, andai kata beliau tidak bekerja, saudara boleh membantunya dengan merujukkan wanita tersebut ke Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) yang terdekat dengan kawasan perumahan wanita tersebut bagi khidmat mencari pekerjaan yang sesuai dengannya. Dengan ini ia dapat membantu wanita tersebut untuk lebih berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada saudara. Malah, memang sewajarnya beliau berusaha sendiri dan tidak mengharapkan bantuan orang lain termasuk ibu bapanya sendiri, bahkan yang menjadi kewajipan ialah anak yang telah dewasa membantu kedua ibu bapa mereka yang sudah tua dan bukan sebaliknya.

Isu Talak Jatuh Atau Tidak Bagi Suami Yang Tidak Memberikan Nafkah

Berkaitan persoalan sama ada talak sudah jatuh ataupun tidak kerana sudah hampir dua tahun wanita tersebut tidak menerima nafkah dari suaminya yang berada di penjara, jawapannya talak masih belum lagi jatuh kerana suaminya masih belum menceraikan isterinya.

Berkemungkinan pandangan yang saudara dengari ialah bersangkutan dengan cerai cara ‘taalik’, iaitu pengaduan ke mahkamah Syariah bagi kes nafkah yang tidak ditunaikan selama 4 bulan berturut-turut atau lebih. Namun cerai dengan cara ini hanya akan jatuh apabila terdapat pengaduan dari si isteri, dan sabit pengaduannya pula oleh Mahkamah Syariah, yakni pihak mahkamah mendapati benar aduan tersebut, maka barulah jatuh talak satu secara otomatis. (Sila rujuk lafaz taalik di bahagian belakang sijil pernikahan). Adapun dalam kes saudara ini, si isteri nampaknya belum membuat sebarang pengaduan ke mahkamah Syariah.

Dengan ini, jika wanita tersebut ingin menuntut cerai daripada suaminya atas alasan tidak mendapat nafkah dari suami, maka beliau bolehlah membuat tuntutan di mahkamah Syariah dengan mendaftarkan tuntutan cerai atas alasan yang disebutkan tadi, pihak mahkamah kemudian akan menentukan sama ada talak boleh jatuh dengan cara taalik, atau perlu kepada perceraian dengan cara lain seperti fasakh (perintah mahkamah bagi memisahkan suami isteri), khuluk (isteri membayar sejumlah wang kepada suami untuk diceraikan, jika suami tidak mahu menceraikan dengan cara biasa) atau keperluan bagi suami melafazkan cerai setelah menghadapi perbicaraan.

Hasrat Berpoligami Bagi Membantu Teman Wanita  

Persoalan sama ada bolehkah saudara bernikah dengannya atas alasan kerana tidak mahu berdosa. Hajat saudara itu boleh diteruskan hanya setelah wanita tersebut bebas dari perkahwinan. Namun memandangkan saudara sudahpun beristeri, maka saudara perlu mendaftarkan permohonan poligami di Pejabat Pendaftar Nikah Orang-Orang Islam (Romm). Antara perkara yang menjadi pertimbangan bagi kelulusan poligami ini ialah pelaksanaan tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak termasuk dari sudut pemberian nafkah terhadap keluarga. Ini menjadi pertimbangan penting pejabat nikah, kerana perkahwinan baru juga bermakna bertambahnya tanggungjawab saudara. Kemampuan saudara dalam memberi nafkah kepada isteri pertama dan juga kepada isteri kedua serta bakal anak-anak dari perkahwinan kedua juga turut menjadi pertimbangan utama pejabat pendaftar nikah.

Pada masa yang sama juga, andai kata saudara memenuhi segala syarat yang diperlukan bagi berpoligami dan diluluskan oleh pendaftar nikah, timbul pula persoalan sama ada saudara mampu berlaku adil apabila mempunyai dua orang isteri kelak?

Adil yang dimaksudkan sebenarnya dalam layanan bukan perasaan, penyediaan tempat tinggal, nafkah dan juga bergilir dalam bermalam di rumah isteri. Itulah yang dimaksudkan adil. Saudara perlu bermuhasabah dan bertanya pada diri sendiri. Sudahkah saudara menunaikan sepenuhnya tanggungjawab pada isteri, dan anak-anak dari pernikahan pertama? Jika isteri satu sahaja belum mampu bersikap adil, bagaimana pula jika sudah beristeri dua?

Poligami bukanlah sesuatu yang indah belaka. Cabaran rumahtangga bersama satu-satunya isteri sudah tentu besar, apatah lagi apabila saudara berkongsi kasih kelak? Sikap cemburu dan iri hati tidak mustahil boleh menyelinap pada diri pada isteri pertama atau kedua. Ini belum mengambil kira penerimaan anak-anak dari isteri pertama saudara.

Perkara-perkara ini kesemuanya perlu ditimbangkan dengan teliti, agar dalam keghairahan kita membantu, keluarga sedia ada kita tidak pula menjadi kucar-kacir atau lebih malang lagi jika ia berakhir pula dengan perceraian, pastinya ini bukanlah tujuan utama agama dalam mensyariatkan poligami.

Diharapkan jawapan-jawapan saya ini dan panduan nasihat yang diberikan dalam ruangan ini mampu memberikan pencerahan kepada saudara.

Wallahu A’lam.

Nota: Artikel kemusykilan agama ini telah diterbitkan dalam ruangan Hidayah Berita Minggu Singapura pada 18 Oktober 2013.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s