Baru-baru ini kecoh di sana-sini baik perbualan teman-teman dan orang ramai, mahupun komen-komen di media sosial yang kesemuanya menjurus kepada topik seorang Ustaz popular dan dikenali ramai berkahwin lagi. Banyak juga yang menyokong tindakan ustaz tersebut, tidak kurang yang mengeji dan melemparkan kata-kata kurang enak. Tidak setuju tidak mengapalah, usahlah pula sampai berkata kesat, berdosa pula kita nanti.
Bagi saya secara peribadi, poligami kadangkala sangat-sangat perlu disebabkan hal-hal tertentu, kadangkala pula lebih banyak buruknya, jika si pelakunya kurang layak.
Bercakap tentang poligami ini, pada sedikit masa dahulu, saya sendiri pernah didatangi oleh seorang wanita (saya namaan sebagai ‘M’), yang ingin mendapatkan pandangan tentang hasratnya untuk menjadi isteri kedua kepada seorang karyawan muda beranak satu.
Berdasarkan pengamatan saya, nampaknya dalam kes ‘M’, saya lihat seperti ada harapan yang cerah untuk diluluskan poligami atas alasan suami mempunyai kewangan yang mantap, dan isteri pertama pula telahpun bersetuju dan pastinya bakal memberi maklum balas yang positif pada suami apabila ditemuduga kelak.
Walau bagaimanapun, sebelum diteruskan permohonan untuk berpoligami, saya meminta ‘M’ memastikan pernikahan mereka direstui oleh kedua ibu bapa ‘M’, dan juga ibu bapa bakal suami selain bersedia untuk menjangkakan cabaran-cabaran berikut, andai kata permohonan mereka disahkan oleh pihak Pejabat Pendaftar Nikah, cabaran-cabaran tersebut ialah:
1. Isteri pertama
M perlu bersedia dengan cabaran-cabaran dalam rumahtangga apabila hidup bermadu nanti. Cabaran rumahtangga selaku satu-satunya isteri sudah tentu besar, apatah lagi jika bermadu kasih? Mungkin sekarang isteri pertama setuju, akan datang mungkin ceritanya lain pula. Memang pernah berlaku kadang kala timbul rasa cemburu dan iri hati isteri pertama pada isteri kedua yang pastinya boleh mengakibatkan perbalahan.
Kesemua perkara ini harus diambil kira, agar bila berlaku krisis sebegini, M dapat bersabar serta terus tabah dalam mempertahankan rumahtangga.
Pernah dalam satu kes lain, di mana isteri kedua berjanji akan melakukan apa sahaja asalkan dapat hidup bermadu, sehinggakan tidak kisah jikalau suami lebih banyak bermalam di rumah isteri tua sekalipun, tetapi sesudah berumahtangga, timbul pula rasa cemburu dan menuntut keadilan serta hak yang sama dalam bermadu.
Bagi sang suami, janganlah percaya janji-janji manis begini. Apapun ingat perintah Allah agar perlu berlaku adil pada kesemua isteri, jika tidak maka cukuplah seorang sahaja, ya bang…seperti firmannya dalam surah An-Nisa ayat 3 yang bermaksud:
“Maka bernikahlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan; dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu), maka (bernikahlah dengan) seorang sahaja…”
2. Mertua
Seperkara lagi yang perlu diingatkan oleh M ialah hubungan dengan mertua, di mana senario mertua menyebelahi isteri pertama atau bila mertua bersikap pilih kasih dari segi layanan antara kedua isteri yang bermadu.
Perlu diingat dalam keadaan perkahwinan biasa pun, kadang-kadang hubungan dengan mertua juga menjadi satu duri dalam rumahtangga jika tidak ditangani dengan baik dan berhati-hati. Apatah pula kehadiran kita sebagai isteri kedua, dan mertua pula memang sayang pada isteri pertama?
Sebab tu saya katakan, perkara pertama ialah restu ibu bapa. Jika tiada restu, maka lupakan sahajalah…susah nanti…
Bersambung…
Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 16, terbitan Telaga Biru, Malaysia.