(Sambungan)
Kedua, bersikap objektif dalam memberi teguran
Ibu bapa perlu bersikap objektif dalam menegur anak. Misalnya, dalam isu temanita anaknya ini. Komen seperti: ‘Mak/ayah tak suka kau kawan dengan pompuan cina tu!’
Ini satu kenyataan yang jelas tidak objektif. Si anak akan menjawab: ‘Kenapa pulak tak boleh? abis pompuan Melayu baik sangat ke?’
Betul juga kan? Perempuan Melayu sekarang pun apa kurangnya. Tidak semua jenis ‘Wanita Melayu Terakhir’! Bahkan kes-kes sosial yang melibatkan anak bangsa kita juga bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.
Malah gadis yang bertudung sekarang pun terdapat juga yang kurang sopan cara pakaiannya walaupun berhijab. Bahkan, terdapat juga gadis berhijab yang berpeluk-pelukan dengan teman lelaki mereka di khalayak ramai, malah yang merokok pun ada!
Jadi persoalannya bukan isu bangsa temanita anak yang perlu dibangkitkan. Akan tetapi, kesan daripada hubungan rapat dan mesra anak kita dengan temanitanya itu. Inilah yang saya maksudkan dengan perlunya kita bersikap objektif.
Contoh agar kita bersikap objektif di sini ialah penekanan kepada keprihatinan kita pada pergaulan bebas, atau batasan hubungan lelaki perempuan, juga termasuk risiko melakukan seks luar nikah jika hubungan antara keduanya tidak lagi terkawal. Inilah yang patut ditekankan oleh kedua ibu bapa dalam menegur anak lelakinya ini, bukannya isu bangsa temanita anak lelaki mereka.
Oleh itu tidak kiralah, temanita berbangsa Cina ke, Melayu ke atau Minah Salleh sekalipun. Yang penting kita perlu objektif dalam memberi teguran. Dengan ini, anak-anak faham mesej yang cuba kita tekankan di sebalik kebimbangan dan keprihatinan kita, dan tidak berangapan bahawa ibu bapa mereka bersikap prejudis terhadap temanita mereka.
Ketiga, memuji dan memperakukan ‘acknowledgment’ usaha positif anak
Semasa sesi yang berasingan dengan si anak pula, saya juga mendapat maklumat baru yang si anak sebenarnya sudah secara senyap-senyap telah cuba untuk mengurangkan tabiat menghisap rokok. Malah dari sekotak rokok dalam masa sehari atau dua hari, telah dapat dikurangkan kepada 10 putung rokok dalam masa beberapa hari.
Sepatutnya kedua bapa perlu bersikap pro aktif, bertanya dan ambil tahu, andai kata si anak telah melakukan sesuatu untuk mengubah tabiat merokonya.
Jika si anak telah cuba berubah, penting bagi ibu bapa untuk memperakukan usaha si anak dan berikan pujian serta galakan agar si anak dapat terus hilangkan tabiat merokok beliau itu.
Mujur saya dapati si anak mempunyai mempunyai daya usaha yang tinggi untuk terus berubah, walaupun tidak mendapat sokongan ibu bapanya sebelum ini. Bayangkan jika berlaku pada remaja yang kurang kuat daya semangat, pasti akan merasa hampa jika sikap positif mereka untuk berubah tidak diperakukan oleh kedua ibu bapa, malah mungkin tidak mustahil jika si anak akan putus asa untuk berubah, jika ibu bapa hanya nampak sikap negatif anak dan tidak mengendahkan kelakuan positif anak-anak.
Semoga tips-tips yang dikongsi ini dapat diamalkan hendaknya, dan selamat mencuba!
Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 14, terbitan Telaga Biru, Malaysia.